Sabtu, 4 Ogos 2012

Matapelajaran sejarah sekolah rendah 2014



"Matapelajaran sejarah akan mula diperkenalkan di semua sekolah rendah seluruh negara pada tahun 2014.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, beberapa penambahan baru akan dimasukkan pada subjek Kajian Tempatan yang diajar pada murid tahap dua di sekolah rendah ketika ini.

Menurutnya, tambahan yang dibuat pada subjek tersebut termasuk aspek kewarganegaraan, patriotisme dan perlembagaan negara.

''Kita akan laksanakan subjek Sejarah di sekolah rendah dengan konsep seperti ‘education is fun’ dengan pendekatan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah dan rombongan ke Parlimen.

''Kita mahu jadikan ia sebagai matapelajaran yang mudah difahami dan dihayati murid sekolah rendah,'' katanya kepada pemberita selepas menutup persidangan perwakilan dwitahunan Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) ke-22 di sini hari ini.
" – Utusan 24.10.2010.


Definisi Sejarah.

Kata Sejarah (History) yang kita gunakan pada sekarang bersumber daripada perkataan Arab yaitu Syajaratun yang berarti Pohon. Dari sisi lain, istilah history merupakan terjemahan dari kata dalam bahasa Yunani yakni Histories yang memberikan arti atau bermakna suatu penyelidikan ataupun pengkajian.(Muhd. Yusof Ibrahim, 1986.)

Menurut “Bapak Sejarah” Herodotus, Sejarah ialah satu kajian untuk menceritakan suatu perputaran jatuh bangunnya seseorang tokoh, masyarakat dan peradaban.(R. Suntralingam, 1985)

Mengikut definisi yang diberikan oleh Aristotle, bahwa Sejarah merupakan satu sistem yang meneliti suatu kejadian sejak awal dan tersusun dalam bentuk kronologi. Pada masa yang sama, menurut beliau juga Sejarah adalah peristiwa-peristiwa masa lalu yang mempunyai catatan, rekod-rekod atau bukti-bukti yang konkrit.

Menurut R. G. Collingwood, Sejarah ialah sebuah bentuk penyelidikan tentang hal-hal yang telah dilakukan oleh manusia pada masa lampau. Shefer juga berpendapat bahwa Sejarah adalah peristiwa yang telah lalu dan benar-benar berterjadi. Sementara itu, Drs. Sidi Gazalba (1966), cuba menggambarkan sejarah sebagai masa lalu manusia dan seputarnya yang disusun secara ilmiah dan lengkap meliputi urutan fakta masa tersebut dengan tafsiran dan penjelasan yang memberi pengertian dan kefahaman tentang apa yang berlaku. Sebagai usaha susulan dalam memahami sejarah.

Sejarah dalam artian lain digunakan untuk mengetahui masa lampau berdasarkan fakta-fakta dan bukti-bukti yang sahih yang berguna bagi manusia dalam memperkaya pengetahuan agar kehidupan sekarang dan yang akan datang menjadi lebih cerah. Dengan demikian akan timbul sikap waspada (awareness) dalam diri semua kelompok masyarakat karena telah mempelajari Sejarah, hal ini dapat membentuk sikap tersebut terhadap permasalahan yang dihadapi agar peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa lampau dapat dijadikan pengajaran yang berguna. Pengertian Sejarah bisa dilihat dari tiga dimensi yaitu epistomologi (kata akar), metodologi (kaedah sesuatu sejarah itu dipaparkan) dan filsafat atau pemikiran peristiwa lalu yang dianalisa secara teliti untuk menentukan apakah ia benar atau tidak. (R. G. Collingwood,1966).


Konsep Sejarah.


Dari segi konsepnya, semangat patriotik boleh didefinisikan sebagai semangat cinta akan tanah air dan sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan negara tercinta.  Bill Totten (1998) menjelaskan patriotisme bermaksud semangat cintakan negara. Menurut beliau tidak ada bangsa, keluarga, pasukan dan kumpulan dalam apa bentuk yang boleh berfungsi dengan baik melainkan semua ahli cintakan negara.   Patriotisme ialah  "the more or less concious convictionof the person that his own welfare and of that signifikant group he belongs to are depended uponthe preservationn of the power and culture of his society." (Doob, 1964). Secara ringkasnya semangat patriotisme berkait rapat dengan emosi mempertahankan kedaulatan negara, institusi politik dan undang-undang negara daripada dicerobohi oleh kuasa asing. Semangat patriotik dapat membentuk rakyat Malaysia yang bersatu padu dan harmoni.yang dibina , berdasarkan pengetahuan dan pemahaman aspek-aspek sejarah negara. Setiap warganegara perlu dibimbing untuk menganalisis dan menilai fakta-fakta sejarah secara rasional. Natijah daripada pemahaman dan penghayatan sejarah negara, seluruh rakyat dapat membina kekuatan semangat cinta akan negara.
            Tidak dinafikan sistem pendidikan di negara kita mendukung semangat patriotisme. Buktinya Buku Panduan Pemupukan Patriotisme Di Sekolah Rendah (Kementerian Pelajaran:1994) telah menetapkan garis panduan agar nilai-nilai patriotime perlu diterapkan melalui kurikulum dan ko-kurikulum. Oleh itu, subjek-subjek seperti Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Pendidikan Moral, Kajian Tempatan dan lain-lain subjek sekolah rendah perlu menerapkan nilai-nilai patriotisme dalam proses pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah penggabungjalinan. Begitu juga semasa aktiviti ko kurikulum. Di peringkat sekolah menengah pula, penerapan nilai-nilai patriotisme dibuat melalui subjek Sejarah, Pendidikan Moral, Geografi ,Pendidikan Islam dan lain-lain. Walaupun demikian, didapati bahawa tahap penghayatan generasi muda akan semangat patriotisme agak rendah malah amat mendukacitakan.
            Kebelakangan ini sejarah negara yang merupakan asas kepada pembentukan peradaban bangsa sekaligus kecintaan yang mendalam kepada negara semakin dilupakan. Negara pernah menyaksikan detik pahit apabila golongan tertentu di negara kita yang pernah menjual maruah Malaysia di persada antarabangsa dengan insiden seperti membakar Jalur Gemilang dan pengubahsuaian lirik lagu ’Negaraku suatu ketika dahulu. Malahan pernah terpapar di dada- dada akhbar tentang perilaku anak-anak Malaysia yang berada di luar negara tergamak melempar kata-kata berupa nista yang memburukkan nama negara. Alpanya mereka bertutur sesuatu yang menjejaskan imej dan nama negara ibarat “mengumpat” ibunda mereka sendiri, tanah tumpah darah mereka yang banyak berjasa pada mereka. Generasi muda ini  tidak mengenang jasa ibu pertiwi, seumpama kacang lupakan kulit.  Ini membuktikan tipisnya semangat patriotisme di kalangan generasi muda kini. Generasi muda hari ini seolah telah lupa untuk memelihara dan mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai etnik dan kaum seperti yang diwarisi di Malaysia.
            Biasanya, golongan remaja yang tidak menyedari kepentingan sejarah silam tidak memiliki semangat patriotik. Maka kerajaan telah memutuskan untuk menekankan betapa pentingnya metodologi subjek sejarah melalui satu transformasi besar supaya pengajaran dan pembelajarannya menjadi lebih relevan lagi menarik sekali gus berjaya mendorong pelajar menghayati ilmu yang begitu penting dalam kehidupan manusia ini. Kita juga lupa tentang kesengsaraan dan perjuangan perit generasi terdahulu kerana kita tidak pernah mengalaminya. Jika disorot, pasti ramai di antara anak-anak kita yang tidak mengetahui  nama-nama terbilang seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Dato' Bahaman, Abdul Rahman Limbong, Dol Said, Rentap dan ramai lagi kerana saban hari mereka disogokkan dengan cerita-cerita hero khayalan seperti Spiderman atau Superman yang lebih menyeronokkan dan mengkhayalkan.

Peranan Sejarah Dalam Pendidikan  
 
            Bagi memartabatkan ilmu sejarah di Malaysia, maka pendedahan awal di peringkat sekolah rendah kepada subjek ini amat penting. Membina bangsa dengan semangat patriotisme mestilah bermula dari bangku sekolah. Melalui mata pelajaran Sejarah serta Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang jelas mendidik dan memberikan ilmu ke arah semangat cinta negara. Usaha sebegini dapat melahirkan warganegara Malaysia yang peka akan sejarah negara dan bangsanya dan yang paling penting melahirkan semangat patriotik di peringkat awal lagi kerana diperingkat ini mereka mudah menerima ilmu, membentuk nilai diri dan perspektif. Pada masa yang sama sejarah memberi kita peluang menghayati dan memahami kerelevenan sejarah dalam kehidupan harian dan kehidupan masa depan. Cara memupuk semangat patriotisme kepada pelajar mestilah melalui kesedaran dan ilmu sejarah.
            Justeru itu, Sejarah yang akan menjadi mata pelajaran teras dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai 2014 akan menerapkan unsur kewarganegaraan, patriotisme dan perlembagaan bagi memastikan murid memahami serta menghayati sejarah negara secara mendalam. Matlamat umum pelaksanaan, KSSR adalah satu transformasi pendidikan, iaitu proses melakukan satu bentuk perubahan yang holistik kepada kurikulum persekolahan sedia ada yang melibatkan perubahan bentuk, organisasi, kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum di sekolah.
            Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, elemen sejarah yang diajar melalui subjek Kajian Tempatan di sekolah rendah pada ketika ini kurang menerapkan ketiga-tiga unsur terbabit. Jadi, kita mahu menekankan perkara ini supaya mata pelajaran Sejarah dapat dihayati dan difahami oleh semua golongan masyarakat, terutama generasi muda.
             Ketiga-tiga unsur terbabit akan diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran subjek sejarah yang menggunakan konsep ‘pendidikan itu menyeronokkan’ membabitkan pendekatan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah, forum, perbahasan, lakonan dan drama bagi mengelakkan murid sekolah rendah bosan ketika menghadapi pelajaran serta dapat meningkatkan tahap pembelajaran di sekolah.
            Menerusi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah murid-murid sekolah rendah berpeluang untuk meningkatkan semangat patriotisme. Sejarah dapat menyemaikan bibit-bibit semangat perpaduan dan patriotik di kalangan pelajar. Ini sekaligus bagi mendedahkan pelajar kepada sejarah pembangunan negara bermula dari peringkat umur rendah.
            Pelbagai unsur patriotisme beleh diselitkan dalam sukatan Sejarah agar melalui proses pengajaran dan pembelajaran Sejarah boleh memupuk semangat patriotisme yang tinggi dalam diri pelajar.
            Antara peranan yang dimainkan oleh subjek sejarah ialah sebagai pemangkin kepada perpaduan. Perpaduan sangat penting dalam sesebuah negara lebih-lebih lagi negara berbilang kaum.  Hal ini demikian kerana perpaduan merupakan asas pembentukan sebuah negara yang progresif dan maju. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa bulat air kerana pembentung, bulan manusia kerana muafakat.  Remaja, sebagai pewaris negara ini dan mereka memainkan peranan penting untuk terus memupuk semangat perpaduan. Negara pernah menyaksikan detik apabila perpaduan antara kaum telah dicemari oleh insiden 13 Mei 1969. Oleh yang demikian, sebagai generasi yang akan meneruskan legasi agenda perpaduan untuk generasi akan datang maka wajarlah generasi muda hari ini menghargai dan teruskan mengekalkan bibit perpaduan yang telah terbina sekian lama.
            Pembelajaran mata pelajaran Sejarah dapat meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai asal-usul negara. Sukatan  Sejarah yang cukup komprehensif izharnya dapat memberi kesedaran kepada pelajar bahawa perjuangan ke arah kemerdekaan suatu ketika dahulu bukanlah sesuatu yang mudah. Dengan kolaborasi dan sinergi antara kaum Melayu, Cina dan India berkat usahasama Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambathan, barulah kita dapat merasai nikmat kemerdekaan. Perkara ini sepatutnya perlu diketahui oleh setiap warganegara kerana “sesiapa yang melupakan akar bangsanya ibarat si Tenggang menderhakai ibunya”. Sehubungan dengan itu, mata pelajaran Sejarah berperanan sebagai satu platform yang cukup utuh untuk mengetengahkan kembali warisan sejarah kita suatu ketika dahulu.
            Generasi muda hendaklah menghayati dan mengambil iktibar daripada sejarah negara.  Hal ini demikian kerana banyak peristiwa yang berlaku dalam sejarah tanah air dapat dijadikan iktibar supaya sesuatu yang buruk dapat dihindarkan.  Sebagai contoh. tragedi 13 Mei 1969 merupakan satu detik hitam dalam sejarah yang berlaku akibat semangat perpaduan yang rapuh dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.  Ahli falsafah George Santayana mengatakan orang yang melupai sejarah akan melakukan kesilapan yang sama.  Oleh itu remaja hari ini hendaklah diterapkan dengan pengetahuan sejarah secara lebih serius.  Dengan mempelajari, memahami, menghayati, dan mengambil iktibar daripada sejarah, maka mereka akan menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab, rasional, dan berhemah tinggi dalam kehidupan di dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.  Jadi, remaja mestilah mengambil iktibar daripada sejarah sebagai pemangkin semangat perpaduan yang jitu.
            Penghayatan mata pelajaran Sejarah membolehkan kita membaca tentang masalah perkauman dan perebutan kuasa yang berlaku  antara pembesar-pembesar  pada zaman Kesultanan Melayu Melaka  telah membuka pintu kepada penjejahan imperialis-imperialis Barat selama 446 tahun. Nasib rakyat peribumi tidak terbela dan mereka hidup merana. Oleh itu,sudah tentu masyarakat pada zaman ini tidak menginginkan peristiwa pahit tersebut berulang . Mereka akan berdiri, berfikir dan bertindak sebagai  bangsa Malaysia dan bukannya mengikut etnik masing-masing.
            Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Begitu besar harapan bangsa pada generasi muda hari ini. Maka adalah penting bagi mereka mempelajari nilai-nilai patriotisme kerana mereka masih dalam proses menuju dewasa. Patriotisme  mengajar remaja mendisiplinkan diri. Generasi  berdisiplin dan prodiktif adalah kemudi pembangunan kepimpinan negra pada masa akan datang (Mahathir dan Belia; dalam Saifuddin:2002).  Jadi apabila nilai-nilai patriotisme disemai dalam jiwa setiap rakyat Malaysia maka kita tidak mudah  dipengaruhi  oleh unsur-unsur asing yang mempamerkan budaya dan acuan  lain luar dari ciri-ciri Malaysia.
            Rata-rata generasi muda hari ini memiliki kehidupan yang serba senang dan mudah di kalangan generasi muda masa kini adalah satu faktor yang dikhuatiri mengurangkan semangat patriotisme di kalangan mereka. Pelbagai kemudahan sosial, kemajuan ekonomi, kehadiran berbagai-bagai barangan dan perkhidmatan di pasaran, aneka bentuk hiburan, semua ini boleh melekakan dan mengalpakan generasi muda daripada hal-hal yang lebih serius seperti soal kedudukan dan kemajuan bangsanya atau peranan dan tanggungjawabnya terhadap masyarakat dan negara. Era globalisasi dan liberasi melihatkan ledakan maklumat melalui kemajuan teknologi yang semakin hari semakin canggih. Apabila remaja selesa menikmati kehidupan sebegini semangat patriotisme jelas akan menipis.
            Seterusnya Sejarah juga mengajar kita agar mengelakkan diri daripada mementingkan diri dan bersikap etnosentrisme.  Sikap etnosentrisme ialah sikap yang mementingkan kelompok etnik sendiri.  Sikap seperti ini akan menjejaskan hubungan dengan kaum-kaum lagi di negara ini.  Remaja perlu menghayati dan mengamalkan Gagasan 1 Malaysia yang menekankan aspek perpaduan secara tuntas ke arah pembentukan sebuah negara yang progresif.  Remaja perlu menerima segala perbezaan yang wujud antara kaum di negara ini dengan hati yang terbuka.  Contohnya, remaja tidak harus menyentuh isu-isu sensitif seperti hak istimewa sesuatu kaum yang sudah termaktub dalam perlembagaan. Natijahnya, negara akan menjadi mundur, masa depan negara kabur jika generasi pelapis luntur semangat patriotiknya.  Mereka hendaklah mengamalkan sikap di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung.  Jika semangat ini dapat diamalkan oleh setiap remaja, nescaya negara kita akan terhindar daripada sebarang malapetaka akibat perpaduan yang rapuh.
            Subjek Sejarah adalah satu-satunya saluran untuk menyampaikan warisan negara dan legasi kebudayaan kepada generasi masa kini.. Melalui subjek Sejarah, para pelajar akan didedahkan kepada kesusahan dan kepayahan masyarakat lalu berjuang mempertahankan negara. Contohnya, melalui sejarah, penentangan yang berlaku di Bukit Kepong. Para anggota polis telah bersusah payah untuk menentang pihak komunis sehingga sanggup mengorbankan nyawa dan keluarga mereka. Hal ini sedikit sebanyak akan menimbulkan perasaan cinta yang mendalam para pelajar kepada tanah air sehingga menyebabkan mereka bersemangat tinggi untuk mengekalkan kemerdekaan yang telah dikecapi.
             Pembelajaran Sejarah bukan setakat kita memperoleh ilmu tentang sejarah negara kita, malah berupaya memberi ikhtibar dan pengajaran kepada kita agar menjadikan sejarah lampau yang melanda negara tidak berulang kembali. Saya masih ingat kata-kata dari guru Sejarah saya yang menyatakan ‘Sejarah ini ibarat roda’, ia sentiasa berputar. Peristiwa yang lampau boleh berulang kembali. Jika kita mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang ‘sejarah’ yang telah berlaku, setentunya kita berupaya mengubah ‘sejarah’ yang bakal berlaku. Pengertian ini  bertunjangkan hasrat  untuk mencapai status negara maju. Syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu. Negara yang bersatu padu hanya dapat dicapai dengan mempunyai rakyat yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.
            Mata pelajaran Sejarah juga membolehkan kita mengetahui kebudayaan dan falsafah hidup rakyat majmuk. Kita mengetahui asal usul pelbagai kaum di Malaysia. Kita juga sedar bahawa pembangunan Malaysia hasil daripada pengorbanan tiga kaum utama. Dengan itu persefahaman yang lebih erat dapat dipupuk. Sikap toleransi antara kaum dapat diwujudkan. Semangat kekitaan dapat dilahirkan. Prasangka antara kaum dapat dielakkan. Semua sikap positif ini haruslah dimiliki oleh setiap rakyat sekiranya gagasan Satu Malaysia mencapai matlamatnya.
            Umum mengetahui bahawa subjek sejarah  membolehkan kita  membuat penilaian, mengetahui sebab, akibat dan kepentingan sesuatu peristiwa, memahami sejarah tamadun awal bangsa kita, melahirkan perasaan jati diri yang tinggi, membentuk keperibadian bangsa, menghargai jasa pemimpin negara yang telah berkhidmat dan berbakti demi mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara serta memajukan negara dari segi ekonomi dan sosial.

            Namun tidak dinafikan juga subjek sejarah juga mengingatkan kita agar tidak mengulangi kesilapan masa lalu, merangka wawasan masa depan dengan penuh keyakinan, berusaha mempertahankan kedaulatan negara dan memajukan negara dalam semua bidang malah menjadi panduan dan iktibar dalam hidup kita pada masa kini dan masa hadapan.

            Ini seterusnya mengundang pelbagai soalan tentang kerelevanan pengajaran dan pembelajaran matapelajaran sejarah khususnya di peringkat sekolah terutama sekolah rendah.
            Antara tujuan subjek sejarah diperkenalkan di peringkat sekolah adalah sebagai usaha menyemai kefahaman Sejarah di peringkat awal bertujuan melahirkan generasi baharu yang mampu menilai dan menghayati sejarah.  Kandungan kurikulum yang dirangka bagi sekolah rendah, menengah rendah dan menengah atas seharusnya memupuk perasaan taat setia kepada bangsa dan negara. Fokus juga diberikan kepada pemahaman menyeluruh tentang sejarah negara yang merangkumi jangka masa lima ratus tahun dan dibuat secara kronologis iaitu mengikut susunan tahun. Dasar mewajibkan pelajar sekolah memepelajari subjek sejarah  adalah menepati kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang inginkan perkembangan jasmani, emosi, rohani  dan intelek pelajar secara seimbang.
            Walaupun demikian perlu diingat generasi muda bukan hanya mempelajari semangat nilai-nilai patriotisme daripada subjek sejarah yang di ajar secara fomal mengggunakan kurikulum sahaja. Kita tidak mahu mereka hanya membaca dan menghafal untuk lulus peperiksaan semata-mata yang akhirnya lupa dengan segera apa yang dihafal. Selain mewajibkan kelulusan subjek Sejarah di peringkat peperiksaan sekolah, ia juga perlu dipastikan agar dipelajari dan dihayati sepenuhnya oleh anak-anak kita. Pembacaan sahaja tidak membuktikan individu tersebut kenal sejarah. Pendidikan secara tidak formal perlu dijalankan sepanjang masa tanpa henti.
            Antaranya peranan ibu bapa .Ibu bapa boleh mengajak anak-anak ke tempat bersejarah.Contoh tempat bersejarah yang boleh dilawati ialah Kota 'A' Famosa di Melaka.Ibu bapa juga boleh menceritakan tentang kejatuhan kerajaan Melaka dan Portugis membina 'A' Famosa.Ibu bapa juga boleh bercerita kepada anak-anak tentang kisah bagaimana tokoh zaman dahulu membangunkan negara.  Ibu bapa boleh membelikan anak-anak buku,DVD dan sebagainya yang mengandungi isu-isu berkaitan patriotisme. Perkara ini sesuai dilakukan kepada anak-anak sejak kecil kerana "melentur buluh biarlah dari rebungnya".Jelaslah ibu bapa merupakan orang yang kuat mempengaruhi anak-anak dengan semangat patriotisme.
            Guru juga boleh mengajak pelajar-pelajar menyertai pelbagai seperti ucapan,pidato,bahas dan sebagainya.Pada bulan kemerdekaan,guru boleh mengajak pelajar menyertai sambutan hari kemerdekaan.Antara acara yang boleh dijalankan termasuk nyanyian lagu patriotik,tayangan filem berkaitan semangat patriotik dan sebagainya.Jelaslah,pihak sekolah turut sama berperanan untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan pelajar sepanjang tahun mereka berada di sekolah.
            Media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.Dengan perkataan lain,televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara.Selain itu,media elektronik itu juga hendaklah menyiarkan filem seperti "Bukit Kepong","Paloh"dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.Jelaslah bahawa media massa juga seharusnya memainkan peranan dalam menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat di negara kita.  Stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kemerdekaan suatu masa dahulu.Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.
            Begitu juga menerusi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang membolehkan remaja Malaysia berusia 18 tahun ditanam dengan semangat patriotik Sementara Biro Tata Negara yang ditubuhkan pada tahun 1974, dipertanggungjawabkan untuk menyalurkan pendidikan kenegaraan bagi memupuk semangat patriotisme secara berterusan  kepada semua lapisan masyarakat termasuk anggota komuniti institusi pendidikan, belia, pekerja awam dan swasta, anggota pertubuhan, serta pemimpin dan pemaju masyarakat.

            Kesimpulannya, pengajaran dan pembelajaran subjek sejarah di sekolah negara penting untuk melahirkan generasi muda yang tidak buta sejarah, yang tidak mempersoalkan fakta sejarah negara atau generasi yang menghafal fakta sejarah semata –mata untuk lulus peperiksaan peringkat sekolah tetapi gagal menghayati, mengambil pengajaran dan teladan apa yang tersirat daripada peristiwa yang berlaku. Kita perlu melahirkan  generasi yang memahami sejarah tempatan berpaksikan inisiatif untuk meningkatkan semangat cintakan negara dan perjuangan bangsa, seterusnya dapat memupuk perpaduan dan sinergi kesinambungan semangat patriotisme generasi muda akan datang. Kita bimbang tanpa pengetahuan sejarah, generasi muda tidak dapat menghayati apatah lagi mendukung semangat  gagasan 1Malaysia dan pentingnya perpaduan antara kaum yang hanya dapat dibina berlandaskan keunggulan jati diri yang dipelajari melalui ilmu sejarah. 

Rujukan:

Carr E.H., What Is History. Pelicon Book. London. 1965.
Collingwood R.G. The Ideo Of History. Oxford University Press. 1966.
Dr. Abdul Murat Mat Jan. Nota Kuliah. Pengantar Sejarah.
Dr. Tengku Iskandar. Kamus Dewan Edisi Kedua. 1984. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Drs. Sidi Gazalba. 1966. Pengantar Sejarah Sebagai Ilmu. Jakarta.
Dunia Sukan. Utusan Melayu (Malaysia). Sdn. Bhd. 1987.
Herbert Butter Field. 1981. The Rise of Classical Historiography.
Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah, Falsafah, Pengertian dan Kaedah.   Dewan Bahasa dan Pustaka. 1997.
Muhd.Yusof Ibrahim. Pengertian Sejarah: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 1986.
Shafer R.G Jones. A Guide To Historical Method. Illineis
R. Suntharalingam. Pengenalan Kepada Sejarah. Merican  &Sons. Sdn. Bhd. Kuala Lumpur. 1985.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti

Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut