Wednesday, 8 August 2012

Pemakanan Pelajar Dalam Pencapaian Akademik

Share on :


Percaya atau tidak sebenarnya makanan mampu menjadikan otak kita berfungsi dengan lebih baik? Walaupun terdapat faktor-faktor lain yang boleh menyumbang kepada keupayaan otak seseorang, namun faktor pemakanan tidak dapat dinafikan impaknya. Nikmat kepelbagaian sumber makanan yang dianugerahkan Allah memerlukan kebijaksanaan seseorang individu untuk memilih makanan agar tidak mencampakkan dirinya dalam kebinasaan. Ini kerana terdapat makanan yang boleh meningkatkan fungsi otak dan ada juga makanan yang boleh menjejaskan fungsi otak. Pemilihan makanan yang meningkatkan keupayaan otak juga sejajar dengan prinsip maqasid syariah yang mengutamakan pemeliharaan akal.

Pemakanan ditakrifkan sebagai “kombinasi proses yang dilalui oleh organisma hidup, menerima dan menggunakan bahan makanan yang diperlukan untuk mengawal fungsi-fungsinya dan untuk pertumbuhan serta memperbaharui komponennya (Krause & Mahan 1993)”. Menurut Sir Harold Himsworth (1980) dalam Suriah pula menyatakan pemakanan ialah analisis mengenai kesan makanan dan juzuk-juzuknya ke atas organisma hidup.

Menurut Krause dan Mahan (1993) lagi, pemakanan merangkumi hubungan makanan dengan kesejahteraan (kesihatan) tubuh manusia, termasuklah metabolisme makanan, nilai pemakanan sesuatu jenis makanan, keperluan makanan daripada segi kualitatif dan kuantitatif pada peringkat umur dan tahap perkembangan yang berbeza untuk memenuhi keperluan perubahan fisiologi dan aktiviti, perubahan dalam keperluan
nutrien dan makanan yang mengiringinya atau mencegah penyakit dan faktor-faktor sosio ekonomi, psikologi, sosial dan juga budaya yang mempengaruhi pemilihan dan pengambilan makanan. Manakala menurut Coralie Mathews ( 2001) kesihatan kanak-kanak ialah kesihatan yang merujuk kepada keadaan fizikal, mental, rohani dan keadaan sosial sekitar kanak-kanak, ahli keluarga mereka dan seluruh ahli masyarakat;

“ Health includes the physical, mental, spiritual and social wellbeing of children, their families and the whole community.”

Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Hashim (1992), cara terbaik amalan pemakanan ialah dengan memastikan makanan seimbang diperolehi ketika bersarapan, makan tengah hari dan makan malam, ia juga penting untuk membolehkan pelajar menghadapi detik penting iaitu mengulangkaji, tubuh yang sihat, tidur yang cukup dan persekitaran yang menggalakkan pembelajaran iaitu faktor-faktor yang mempengaruhi
pencapaian pelajar dalam sesuatu peperiksaan. Menurut beliau lagi seseorang perlu memastikan bahawa mereka mendapat bekalan makanan yang mencukupi daripada kumpulan vitamin, karbohidrat, protein dan zat besi. Karbohidrat diperlukan kerana ia menjadi sumber tenaga, manakala protein diperlukan kerana ia membantu pembinaan tubuh dan otot. Vitamin pula berperanan sebagai nutrien yang mencegah penyakit dan
membantu kesempurnaan perjalanan metabolisme dalam badan. Zat besi penting untuk pembentukkan enzim kerana ia menjadi pemangkin untuk menggalakkan perubahan satu bahan kimia ke peringkat yang lain.

Antara sorotan-sorotan kajian yang dilakukan oleh Sarina Binti Saleh (2004),  tentang Corak Pengambilan Makanan Pelajar Melayu Sekolah Rendah, adalah;

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Diraja Ungku Aziz (1999) menyatakan bahawa selain faktor pemakanan, kurangnya keazaman berfikir merupakan kelemahan pelajar Melayu dalam mencapai kecemerlangan akademik. Manakala kajian yang dilakukan oleh Puan Safiah Mohd. Yusof (1992), mendapati keseluruhan pelajar di negara ini kekurangan zat makanan terutamanya kalsium. Di kalangan murid perempuan yang sudah baligh pula disamping kekurangan zat kalsium mereka juga turut kekurangan zat besi. Tambah beliau lagi, bekalan zat makanan untuk pembesaran sangat penting kepada mereka yang berada dalam kumpulan usia 7 hingga 19 tahun kerana tempoh berkenaan adalah tempoh tumbesaran mereka.

Corak pemakanan mesti memenuhi keperluan zat bagi fizikal dan mental kerana ketika inilah mereka sangat aktif manakala mentalnya pula digunakan untuk belajar. Faktor pengambilan makanan juga merupakan elemen yang penting dalam menentukan tahap kesihatan dan kecerdasan kanak-kanak. Sehingga kini masih kurang kajian-kajian yang cuba menganalisis kekerapan, kandungan nutrien dan faktor-faktor yang mempengaruhi pengambilan makanan oleh pelajar sekolah khasnya di kalangan orang-orang Melayu.
  
Kajian status pemakanan penduduk melaporkan bahawa kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah mengambil nutrien yang rendah arasnya dan mempunyai bentuk tubuh yang rendah (Abraham, S. et al, 1977). Kajian di kawasan kemiskinan dan kumpulan etnik saperti Orang Kulit Hitam dan Indian Amerika pula menunjukkan lebih banyak pengambilan diet yang tidak baik (Owen G dan Lippman G, 1977).
Tabiat pemakanan setiap individu berbeza dan terbentuk sejak kecil lagi, ibu bapalah yang mula mengasuh dan mengajar serta mengatur cara pemakanan anak-anak mereka. Tabiat pemakanan yang dibawa sejak kecil mungkin berubah berdasarkan faktor-faktor tertentu. Diantara faktor-faktor yang mempengaruhi amalan pemakanan seseorang individu ialah umur, jantina, bangsa, sosioekomoni, tahap pendidikan, kepercayaan dan pengaruh luaran seperti mediamassa dan rakan sebaya (Store & Mc Williams, 1990). Ramai pelajar yang tidak menghiraukan keperluan makanan sempurna. Mereka kerap meninggalkan sajian tertentu terutamanya sarapan pagi (Guthrie, 1975). Dalam kajian yang dilakukan oleh Krause (1969) pula mendapati kanak-kanak yang tidak mengambil sarapan pagi kurang berupaya dalam pelajarannya dan menyebabkan gangguan emosi serta kurang stabil.

Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Hashim (1992) yang merupakan Pakar Pemakanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan ibu bapa sering memberi makanan dalam kuantiti yang banyak serta mengandungi karbohidrat kepada kanakkanak. Kanak-kanak sebenarnya memerlukan lebih banyak sumber makanan yang mengandungi protein berbanding orang dewasa. Kesan daripada kekurangan zat
makanan, mereka lebih mudah dijangkiti pelbagai penyakit, termasuk serangan cacing, kurang darah dan cirit-birit yang menyebabkan tubuh kehilangan kandungan air. Kekurangan zat makanan juga menjadi salah satu punca kanak-kanak seringkali mengantuk di bilik darjah. Berikutan itu mereka sering diejek oleh kawan-kawan dan guru pula kurang memberikan perhatian kepada mereka. Banyak kajian dan kempen pemakanan sihat telah dijalankan namun permasalahan pemakanan ini masih merupakan satu masalah yang belum dapat diatasi sepenuhya. Selain daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pendidikan
Malaysia juga amat prihatin dalam menangani permasalahan ini. Program Rancangan Makanan Tambahan Sekolah ( RMTS ) yang mula diperkenalkan ke seluruh sekolah rendah di Malaysia pada tahun 1979 dan diikuti Program Susu Sekolah yang mula diperkenalkan pada tahun 1989 adalah antara program yang dijalankan bagi meminimumkan masalah tersebut ( Abdul Rahman, 1993 ). Pengerusi Helwa Seberang
Perai Selatan, Jau-Zaharah Shaari (1992) berkata, ekoran daripada pengabaian ibu bapa terhadap tanggungjawab mengenai pemakanan yang baik dan seimbang kepada anak-anak mereka yang sedang membesar menjadi punca pelajar Melayu di luar bandar mundur dalam pelajaran berbanding kaum lain. Hasil daripada kajian yang dijalankan di kalangan ibu bapa di luar bandar terbukti benar apabila beberapa pelajarnya tidak menunjukkan minat serta semangat untuk menimba ilmu sebaliknya mudah menyerah kalah apabila tertekan.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, pada tahun 1996, para pelajar yang mendapat cukup zat makanan dan dalam persekitaran yang baik akan berpeluang untuk mencapai tumbesaran yang maksimum. Sebaliknya pelajar yang kurang mendapat zat makanan akan mengalami gangguan pertumbuhan fizikal dan mental, keletihan, kurang penumpuan terhadap pelajaran dan kemerosatan pencapaian dalam pelajaran di sekolah (Wan Nudri & Aminah, 1996).

No comments:

Post a Comment

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts