Isnin, 31 Mac 2014

Mengenali Ubat Asli atau Palsu

Apa itu ubat?
Ubat ialah bahan-bahan yang ;
• mengubati penyakit
• melegakan tanda-tanda sakit
• mencegah penyakit
• meningkatkan tahap kesihatan dan keseluruhan kesejahteraan

Adakah ubat saya itu asli atau tiruan?
Semua ubat yang dijual di Malaysia perlu mendaftar dengan Kementerian Kesihatan melalui Biro Pengawalan
Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK).
Semua ubat berdaftar akan mempunyai:-
• Nombor pendaftaran MAL xxxxxxxxx dengan huruf terakhir yang menandakan kumpulan kepunyaan tertentu

• Hologram yang disertakan untuk setiap produk:
Nombor pendaftaran MAL
Hologram Meditag

Kod MAL
Maklumat tentang ubat-ubatan boleh diperolehi dengan merujuk kepada kod pendaftaran pada bungkusan atau botol ubat. Semua ubat yang dijual di Malaysia mesti mempunyai huruf MAL, 8 nombor dan diikuti dengan satu abjad yang menjelaskan kategori ubat.

Klasifikasi ubat:
A: Ubat Racun Berjadual
X: Ubat Bukan Racun berjadual (produk kaunter)
T: Ubat-ubatan Tradisional
K/NOT (nombor notifikasi): Kosmetik
C: Pengilangan Berkontrak
E: Untuk Export Sahaja
R: Ubat Dibungkus Semula
S: Ubat dari Sumber Kedua


Ubat Asli atau Ubat Palsu?

Vicks Vaporub

 Panadol 

Panadol Actifast



Periksa pada Hologram untuk mengenal ubat palsu atau tulen.




Sabtu, 29 Mac 2014

Kesan Kafien Pada Kanak-Kanak


Kafein adalah bahan semula jadi yang dikeluarkan pada bahagian daun dan biji kebanyakan tumbuhan. Ia juga dihasilkan secara tiruan yang ditambah pada jenis makanan tertentu. Kafein juga boleh didapati dalam pemakanan kita setiap hari terutama kopi, teh dan minuman berkarbonat.

Kebanyakan ibu bapa tidak menggalakkan anak kecil minum kopi namun tanpa disedari, mereka mungkin . memberikan minuman yang mengandungi kafein. Pengambilan kafein untuk kanak-kanak seeloknya pada tahap minimum.

Garis panduan dikeluarkan Kanada menyarankan kanak-kanak prasekolah mengambil kafein kurang daripada 45 miligram sehari. Ini setara dengan jumlah purata kafein yang didapati dalam 355 mililiter tin minuman bergas atau empat kepingan (seberat 43 gram) coklat bersusu.

Dalam suatu kajian yang dijalankan penyelidik Pusat Perubatan Universiti Nebraska di Amerika Syarikat ke atas 200 kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun mendapati kira-kira 75 peratus kanak-kanak mengambil kafein setiap hari dan kebanyakannya melalui minuman berkarbonat.

Kajian berkenaan dilakukan di klinik paediatrik dengan cara bertanya soalan kepada ibu bapa yang membawa anak untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan iaitu jenis dan jumlah snek yang diambil oleh anak mereka setiap hari.

Daripada soal selidik itu didapati kanak-kanak berumur lapan hingga 12 tahun mengambil kira-kira 109 miligram kafein sehari; bersamaan dengan tiga tin minuman berkarbonat (350 mililiter setiap tin). Kanak-kanak yang lebih kecil mengambil kurang kafein iaitu kira-kira 36 miligram (satu tin minuman berkarbonat).
Dalam kenyataan bertulis yang ketua penyelidikan itu, Dr William Warzak berkata, lebih banyak kafein diambil, seseorang kanak-kanak itu akan lebih susah hendak tidur. Apabila kurang tidur, daya tumpuan kanak-kanak di dalam bilik darjah akan terjejas.

Sebaliknya kajian lain menunjukkan kanak-kanak yang kurang tidur mengambil lebih banyak kafein dan menghabiskan banyak masa di depan televisyen atau komputer. Tidak cukup tidur dan kurang melakukan aktiviti fizikal (kerana terlalu asyik di depan komputer dan televisyen) mempunyai kaitan rapat dengan peningkatan berat badan.

Memang ada banyak sebab pertambahan berat badan di kalangan kanak-kanak dan kurang tidur adalah salah satu daripadanya yang boleh membuatkan masalah obesiti menjadi semakin meluas. Apa yang lebih membimbangkan ialah kekurangan tidur ini juga akan menyebabkan kanak-kanak cenderung untuk mendapat tabiat lebih buruk iaitu merokok.


Kesan Kafien Pada Kanak-Kanak

Kafein yang bertindak serupa pada kanak-kanak mahupun orang dewasa, merangsang sistem saraf utama. Pada tahap lebih rendah, ia membuatkan pengambil kafein berasa lebih peka dan cergas.

Bagaimanapun, pengambilan kafein yang terlalu banyak boleh menyebabkan gementar, sakit perut, pening, sukar memberi tumpuan, sukar tidur serta peningkatan kadar degupan jantung dan tekanan darah.

Untuk kanak-kanak pula, pengambilan yang sedikit boleh menimbulkan kesan berkenaan;


  • Pengambilan kafein di kalangan kanak-kanak juga harus dihadkan kerana ia boleh meningkatkan risiko kegemukan melampau sebanyak 60 peratus misalnya dengan mengambil 355 mililiter minuman ringan manis sehari.



  • Kanak-kanak yang terlalu banyak mengambil minuman ringan mungkin kurang mendapat khasiat seperti kalsium yang diperlukan daripada susu untuk membina tulang dan gigi kuat.



  • Kafein bersifat diuretik yang menyebabkan tubuh menyingkirkan air (menerusi pembuangan air kencing). Sungguhpun jumlah pengambilan kafein yang boleh menyebabkan kehilangan air dalam tubuh masih belum dapat dipastikan, untuk langkah berjaga-jaga, elak pengambilan kafein berlebihan dalam cuaca panas.


Antara makanan mengandungi kafein termasuk kopi, teh, coklat, aiskrim kopi serta beberapa jenis ubat-ubatan melegakan sakit.

Teh ais pula bukan saja mengandungi banyak gula malah kafein, sama seperti minuman ringan. Pilihan minuman yang lebih baik untuk kanak-kanak termasuk air kosong, susu atau 100 peratus jus buah-buahan.


Pengurangan Kafein

Adakah anda boleh memastikan bahawa anak-anak anda bebas daripada minuman berkafein? Sudah tentu 
boleh! Cara terbaik untuk mengurangkan kafein (dan gula tambahan) adalah menggantikan dengan air kosong, susu atau minuman yang mengandungi 100% peratus jus buah-buahan. Sekali sekala anda boleh menyediakan teh. Namun begitu, pastikan anda membaca label dan ramuan untuk memastikan ia “noncaffeinated” atau kurang mengandungi kafien.

Sekiranya anak atau remaja telah biasa mengambil kopi, terutama bertujuan untuk kekal cergas sehingga 
lewat malam bagi mengulang kaji pelajaran, ia boleh menyebabkan anak remaja ini akan cepat ketagih kepada kafien. Langkah terbaik bagi menghindari masalah ini ialah, dengan mengurangkan pengambilannya secara perlahan-lahan. Ini kerana akibat daripada pengambilan minuman berkafien ini, kanak-kanak dan remaja mudah mendapat sakit kepala dan merasa tertekan. Oleh itu, cuba kenal pasti berapa banyak minuman berkafien yang anak anda perlukan dan gantikan kepada minuman alternatif yang bebas kafein di bawah paras 100 mg.

Pada peringkat permulaan, individu yang cuba mengurangkan pengambilan kafein mungkin akan berasa letih. Jangan bimbang kerana tahap tenaga akan kembali normal dalam masa beberapa hari. 

Sebagai ibu bapa kepada kanak-kanak dan remaja, anda bertanggungjawab untuk memastikan tahap kesihatan dan keselamatan makanan di rumah. Sentiasa pastikan anda dan anak-anak anak mengambil minuman berkafien secara terkawal.

Sumber:
www.hmetro.com.my
www.1pengguna.com

Jumaat, 28 Mac 2014

Kenaikan pangkat ke Gred DG42.


Sukacita dimaklumkan bahawa bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan urusan kenaikan pangkat PPP Gred DG29, DG32, DG34 dan DG38 yang memperolehi ijazah semasa dalam perkhidmatan ke Gred DG42.

Mana-mana pegawai yang berminat hendaklah tersebut hendaklah mengemukakan permohonan yang lengkap melalui Ketua Jabatan untuk pertimbangan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) di KPM bagi tujuan kenaikan pangkat tersebut

Keterangan lanjut sila rujuk link dibawah;
Urusan kenaikan pangkat ke Gred DG42.


Penggabungan Skim Perkhidmatan PPPS Dan PPPLD


Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 40 Tahun 2013 melibatkan gred jawatan/gred gaji skim perkhidmatan bagi Gred DG29, DG32, DG34, DG38, DG41/42, DG44, DG48, DG52, DG54.

Pekeliling ini adalah bertujuan untuk memaklum dan melaksanakan keputusan kerajaan mengenai penggabungan skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) kepada skim perkhidmatan bersepadu iaitu skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP).

Selaras dengan hasrat kerajaan yang menyasarkan peningkatan kelayakan guru ke peringkat ijazah sarjana muda melalui Program Pensiswazahan Guru, kesinambungan perkhidmatan dan penambahbaikan laluan kemajuan kerjaya profesion keguruan, kerajaan telah bersetuju untuk menggabungkan skim perkhidmatan PPPS dan PPPLD menjadi skim perkhidmatan bersepadu PPP yang merangkumi Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Semua PPPS dan PPPLD dilantik secara tetap termasuk mereka yang dalam tempoh percubaan serta memilih opsyen Sistem Saraan Malaysia akan dipindahkan secara gred ke gred ke skim perkhidmatan PPP seperti berikut:


Pekeliling Penggabungan Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma  ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2014.

Klik untuk lihat 


Khamis, 27 Mac 2014

Interaksi Antara Hidupan

Memahami persaingan sebagai satu bentuk interaksi antara dua atau lebih hidupan.

Persaingan berlaku antara haiwan atau tumbuhan yang tinggal dalam habitat yang sama. Persaingan berlaku apabila haiwan atau tumbuhan memerlukan keperluan hidup yang sama dan terhad seperti makanan, air dan habitat. Keperluan hidup yang terhad menyebabkan haiwan atau tumbuhan bersaing untuk hidup.



Tonton video untuk mengetahui lebih lanjut tentang persaingan antara kehidupan.



Khamis, 20 Mac 2014

Penambahbaikan PBS dilaksanakan mulai 1 April .2014

KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI PENDIDIKAN TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN MENGENAI PENAMBAHBAIKAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat prihatin terhadap isu pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah dibangkitkan oleh guru-guru.

PBS merupakan dasar yang melibatkan pentaksiran secara menyeluruh (holistik) terhadap pencapaian murid yang terangkum menerusi empat komponen pentaksiran iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Pusat (PP).

Selain itu PBS merupakan sistem pentaksiran yang akan digunakan bagi menjamin pencapaian seseorang murid supaya tidak lagi dinilai berasaskan peperiksaan semata-mata.

Jemaah Menteri pada Disember 17, 2010 telah bersetuju supaya PBS dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program transformasi pendidikan. Pengoperasian PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah  pada sesi persekolahan tahun 2011 dan sekolah menengah  pada sesi persekolahan tahun 2012.

Walaubagaimanapun, pada 11 Februari tahun ini, KPM telah membuat keputusan untuk menangguhkan PBS dan mengkaji semula pelaksanaannya.

Ini adalah kerana guru-guru  menyatakan bahawa mereka  dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat yang menjadi bebanan kepada mereka, manakala ibubapa pula tidak pasti bagaimana murid dinilai terutama pelajar tingkatan 3 tahun ini yang merupakan kohort pertama melalui PBS.

Penangguhan ini adalah untuk mengenalpasti permasalahan yang ditimbulkan ekoran daripada rungutan guru-guru dan ibu-bapa dan mengambil langkah-langkah yang perlu dan segera dalam penambahbaikan PBS.

Ekoran dari kajian semula PBS, KPM telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan kesatuan-kesatuan guru serta beberapa kelompok guru-guru  untuk mendapatkan maklum balas dan membantu dalam memberi input kepada penambahbaikan PBS.

 Isu-isu pelaksanaan PBS

Berdasarkan kajian KPM dan input daripada guru-guru dan kesatuan-kesatuan guru, didapati terdapat tiga isu utama  berkaitan perlaksanaan pentaksiran sekolah.

Isu pertama, ialah penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang menyebabkan guru terikat dengan bilangan pernyataan deskriptor dan pernyataan evidens yang banyak.  

Bagi menangani isu ini, KPM telah menetapkan DSP dipermudahkan menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.

Guru mengajar menggunakan kurikulum kebangsaan yang dibangunkan berdasarkan tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Guru seterusnya mentaksir perkembangan pembelajaran murid berdasarkan pemerhatian dan penilaian mereka sendiri dengan merujuk kepada Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid tersebut.

Guru boleh merekodkan tahap penguasaan murid mengikut kesesuaian masa dan kaedah mereka sendiri. Perekodan ini menggambarkan perkembangan pembelajaran murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh dimaklumkan kepada ibu bapa. Dengan yang demikian, guru tidak lagi dibebankan dengan pengumpulan data dan evidens hasil kerja murid melalui pernyataan evidens yang terlalu kompleks.

Bagi ibu bapa yang ingin mengetahui tahap pencapaian anak-anak mereka, pihak sekolah boleh menyediakan pelaporan pencapaian dengan mengadakan ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun atau peperiksaan akhir tahun sekolah.


Dokumen Standard Prestasi (DSP) dipermudahkan kepada Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.



Perbandingan Bilangan Pernyataan Deskriptor dan Evidens dalam DSP dengan bilangan pernyataan Deskriptor dalam Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid. 



Isu kedua ialah pengurusan fail yang rencam meliputi Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit.

Bagi menangani masalah ini, guru tidak perlu lagi menyediakan FPM dan melengkapkan Rekod Transit. Perekodan perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru.


CONTOH PELAPORAN PERKEMBANGAN PEMBELAJARAN MURID PENTAKSIRAN SEKOLAH.


Ketiga, perekodan prestasi murid melalui Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) secara atas talian (online) yang sukar diakses dan memakan masa yang lama.

Oleh kerana bilangan pernyataan deskriptor dan evidens telah dikurangkan, secara otomatik guru-guru tidak akan dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat.  

Bagi memastikan guru memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran, guru tidak perlu lagi mengisi data penguasaan murid menerusi SPPBS secara online seperti sebelum ini. Guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran murid secara offline.

Menerusi PBS juga, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Tingkatan 3 akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Ini bermakna tiada peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah.

PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan. Manakala mata pelajaran Science, Mathematics, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja. Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis (assignment), ujian amali (practical test), projek, kajian lapangan (field study) atau kajian kes (case study).

Melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran yang setara (standardised) yang disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan (LP). LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan.

Moderasi ialah suatu proses menyelaras markah yang diberi oleh beberapa orang pemeriksa ke atas hasil kerja murid bagi mendapatkan satu markah yang dipersetujui bersama. Persetujuan ini adalah berdasarkan peraturan pemarkahan yang disediakan dan merupakan prosedur untuk memastikan ketekalan (konsistensi) pemberian markah antara pemeriksa. Verifikasi pula ialah proses menentusahkan markah yang diperoleh murid adalah markah yang selayaknya diterima.


PMR merupakan Peperiksaan Pusat 
 
Mata pelajaran dalam PMR 
1. Bahasa Melayu 
2. Bahasa Inggeris 
3. Science 
4. Mathematics 
5. Sejarah 
6. Geografi 
7. Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) 
8. Pendidikan Islam 
9. Bahasa Tambahan 
• Bahasa Cina 
• Bahasa Tamil 
• Bahasa Iban 
• Bahasa Kadazandusun 
• Bahasa Arab 
• Bahasa Punjabi 
 
Lembaga Peperiksaan 
 Menyediakan instrumen 
 Menyediakan Peraturan Penskoran 
 Melaksanakan penjaminan kualiti 
 Melaksanakan verifikasi dan moderasi 
 Mentadbir peperiksaan 
 Memeriksan skrip jawapan calon 
 Menguruskan penskoran 
 Mengeluarkan keputusan 



PT3 ini juga akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional. Di samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka.

Contoh Pentaksiran Tingkatan 3

Pihak sekolah 
 Mentadbir peperiksaan
 Memeriksan skrip jawapan calon
 Menguruskan penskoran
 Mengeluarkan keputusan

Lembaga Peperiksaan
 Menyediakan instrumen
 Menyediakan Peraturan Penskoran
 Melaksanakan penjaminan kualiti
 Melaksanakan verifikasi dan moderasi


Untuk memastikan PBS yand telah di tambahbaik ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan seperti yang dihasratkan, KPM akan mengadakan taklimat secara terperinci tentang konsep dan pelaksanaannya kepada pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, pentadbir dan guru-guru.

Latihan adalah satu aspek utama dalam memastikan guru dapat melaksanakan pentaksiran. Oleh itu, KPM akan berusaha mengadakan latihan supaya guru memahami konsep pentaksiran dan mengamalkannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Selain daripada itu, KPM juga akan mengadakan latihan bagi meningkatkan kemahiran guru memeriksa jawapan murid.



Penambahbaikan PBS akan di laksanakan mulai 1 April .














Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut