Minggu ini banyak kemalangan yang tragis melibatkan guru.
Berita 1: Guru wanita dan 2 anaknya maut dihempap konkrit
Berita 2: Guru lelaki maut digilis guru wanita
Al-Fatihah, Semoga roh mereka dicucuri rahmat dari Allah SWT atas segala ilmu-ilmu yang dicurah kepada anak bangsa kita...Amin
JIHAD DALAM PENDIDIKAN
Menurut sumber Kementerian Pelajaran dan Kementerian
Pengajian Tinggi pada hari ini terdapat seramai 5 304 201 orang anak-anak kita
sedang belajar di sekolah-sekolah dan seramai 415 467 orang guru yang sedang bertugas mendidik anak-anak kita.
Selain itu ribuan pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta secara formal di seluruh negara. Terdapat juga orang dewasa dan
warga emas sedang belajar secara tidak formal di masjid, surau dan kelas-kelas
pengajian lain. Tumpuan besar
pelajar-pelajar yang mencari dan dahagakan ilmu sebenarnya selari dengan
tuntutan Islam. Firman
Allah SWT dalam surah an-Nahl, ayat 43:
Maksudnya: “Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu
melainkan orang lelaki, yang Kami wahikan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah
kamu kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui”.
Rasulullah SAW menyifatkan bidang pendidikan adalah perjuangan fi
sabilillah- berjuang di jalan Allah. Rasulullah SAW bersabda,
” Sesiapa yang keluar
menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah
hingga ia kembali” (Riwayat: at-Tirmizi).
Pekerjaan sebagai guru, murabbi dan pendakwah diiktiraf amat mulia di sisi agama dan masyarakat kerana mereka mewarisi tugas-tugas Rasul membimbing manusia ke jalan yang benar, pencetus hidayah, membantu mengubah nasib seseorang, mengangkat darjat seseorang, membebaskan seseorang dari kemiskinan dan membentuk tamadun manusia melalui pendidikan dan penyebaran ilmu. Betapa besar peranan guru ini, maka mereka diibaratkan seperti bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan menerangi laluan sama di desa atau di bandar, di darat atau di lautan. Anas bin Malik RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya perumpamaan
orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang
di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di
daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan
hilang arah tujuan".(Riwayat: Imam Ahmad)
Ruang lingkup pendidikan ini amat luas.
Ia memerlukan perkhidmatan guru, murabbi dan pendakwah yang ramai. Syeikh Dr. Yusof
Al-Qaradhawi seorang tokoh ulama’ semasa yang amat berpengaruh menyatakan, “pendidikan
merangkumi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati, rohani, jasmani, akhlak
dan tingkahlaku, ia bertujuan untuk membentuk manusia bagi menghadapi
masyarakat yang sering berhadapan dengan kebaikan, kejahatan, kemanisan dan
kepahitan”.
Walaubagaimana pun kejayaan dan
keberkesanan pencapaian sistem pendidikan sebenarnya berkait rapat dengan
kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya, kelengkapan ilmunya dan keluhuran
peribadinya. Kesepaduan antara peribadi dan kemahiran keilmuan adalah unsur
penting membantu kecemerlangan pendidikan.
Berdasarkan bilangan institusi pendidikan
dan bilangan pelajarnya ternyata guru mempunyai pengikut yang ramai, sentiasa
berkerumun mengelilingi guru-guru serta amat berpengaruh pula dalam mencorakkan
nilai-nilai hidup anak-anak kita. Persoalan besar timbul apa akan terjadi jika
tidak ada guru sepenuh masa membimbing anak-anak kita dalam mengharungi
pancaroba kehidupan ini?. Banyak
hadis-hadis sahih menjelaskan Allah SWT sendiri, para Malaikat, penghuni langit
dan bumi hatta semut sekalipun berselawat kepada guru atau orang yang
mengajarkan kebaikan kepada manusia.
Saidina Umar RA pernah berkata “
kematian seribu ahli ibadat adalah sedikit kesannya berbanding kematian seorang
alim (ahli ilmu) yang mahir dalam ilmu halal haram dalam syariat Allah”. Iman Shafie amat menghormati gurunya.
Beliau pernah berkata: “Malik bin Anas adalah guruku. Seandainya tidak ada Iman Malik dan guruku seperti Ibnu
Uyainah, maka hilanglah seluruh ilmu ulama-ulama negeri Hijaz ini. Saidina
Ali RA juga pernah berkata “Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu
huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin
memetik nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya supaya menghormati guru,
katanya, “ wahai anakku, pergaulilah para guru dan rapatilah mereka dengan
kedua lututmu, kerana Allah SWT menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmat,
sebagaimana Allah menghidupkan bumi dengan hujan dari langit”.
Pangkat dan hadiah tinggi menggunung bukanlah dituntut oleh para guru. Tetapi
apa yang penting ialah murud-murid yang dibimbingnya menjadi manusia yang
berguna dan mampu mengembalikan maruah agama dan martabat negara. Bagaimanapun kadangkala guru-guru menghadapi
cabaran besar dalam membentuk murid yang berjaya dan bertamadun. Walaupun besar pengorbanan guru tetapi terdapat juga di
kalangan ibubapa dan murid yang tidak menghormati guru.
Penghormatan kepada guru semakin
longgar dan semakin luntur dalam masyarakat kita. Tidak salah jika kita berkawan rapat
dengan guru, tetapi adalah salah jika kita tidak beradab dan kurang ajar
kepadanya. Sejahat-jahat guru, selagi mana dia menumpahkan ilmu maka adalah
perlu untuk kita menghormatinya. Ingatlah pesan Saiyidina Ali RA yang
bermaksud : Kecantikan dan pakaian itu bukanlah
penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri
seseorang. Bukanlah yatim itu seseorang yang kematian bapanya, sesungguhnya
yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab.
Jika kita hendak menegur seseorang
guru hendaklah dilakukan dalam keadaan penuh beradab. Setinggi mana pun kita mencapai
kedudukan, ingatlah kepada guru yang
membimbing kita. Tidak ada sebab untuk seseorang murid
mendabik dada kepada gurunya. Malah kalau hubungan antara murid dan guru ini
baik, maka akan terhasil satu gabungan dan perkongsian ilmu yang cantik. Apa
yang nyata tidak rugi jika kita menghormati guru tetapi sebaliknya satu kerugian
besar jika kita tidak mengambil peluang menimba ilmu bersama guru.
Guru adalah manusia biasa, mereka juga
mempunyai kelemahan. Tetapi kita sebagai anak muridnya perlu berlapang dada dan
menerimanya secara waras kerana dia memberikan manfaat yang banyak kepada kita.
Ibubapa
dan guru-guru adalah institusi utama yang amat berpengaruh dalam memberi
pendidikan dan membentuk nilai murni di kalangan pelajar. Peranan ibubapa dan guru jika dilakukan dengan ikhlas bukan sahaja
dapat melahirkan generasi yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara malah
memberi pelaburan yang menguntungkan berterusan hingga hari akhirat. Rasulullah
SAW bersabda:
“
Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga
perkara, iaitu : Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang
mendoakan kepadanya”.(Riwayat Muslim)
Pertama: Perkhidmatan perguruan dan pendidikan adalah jihad dan
amalan mulia kerana mewarisi tugas para rasul dan nabi malah Allah SWT dan para
malaikat sentiasa berselawat keatas guru-guru,
Kedua: Penampilan dan akhlak guru menjadi ikutan kepada murid kerana mereka
mempunyai pengikut yang ramai dan pengaruh yang kuat,
Ketiga: Ibubapa dan guru perlu berkawan mesra supaya
kesinambungan bimbingan dan tarbiah
anak-anak dapat menghasilkan kualiti pendidikan yang cemerlang
Keempat: Ibubapa perlu melatih anak-anak supaya menghormati dan
beradab dengan guru agar ilmu yang diperolehi itu berkat.
Sebagai
muhasabah pentingnya ilmu dalam kehidupan , kita ikuti Firman Allah SWT dalam
surah az-Zumar ayat 9:
Maksudnya: “Apakah orang yang taat beribadat diwaktu malam dengan sujud dan berdiri, ia
takutkan azab hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya, sama dengan
orang musyrik? Katakanlah: Adakah
sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya
orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal”.
Petikan asal dari : http://www.islam.gov.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti