Isnin, 9 Mei 2016

Tema Hari Guru 2016: Guru Pembina Negara Bangsa


PELANCARAN PERAYAAN HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN KE-45

Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-45 akan diadakan pada 16 Mei 2016 di Universiti Malaysia Sabah. "Guru Pembina Negara Bangsa"  menjadi tema Hari Guru 2016, selaras dengan peranan guru yang terbukti memainkan watak penting dalam memperjuangkan dan mengekalkan kemerdekaan serta kedaulatan negara melalui sistem pendidikan. Seterusnya, guru juga berperanan membangunkan negara dan mencipta pelbagai kejayaan sehingga dikagumi oleh masyarakat antarabangsa.

TEMA HARI GURU

2016   Guru Pembina Negara Bangsa
2015   Guru : Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak
2014   Guru : Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi
2013   Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda
2012   Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
2011   Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
2010   Guru Pembina Negara Bangsa
2009   Guru Pembina Negara Bangsa
2008   Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007   Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006   Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005   Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004   Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003   Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002   Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001   Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
2000   Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999   Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998   Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997   Guru Bestari Sekolah Bestari
1996   Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995   Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994   Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993   Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992   Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991   Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990   Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989   Guru Pembina Budaya Ilmu
1988   Guru Pengasas Budaya Membaca
1987   Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986   Pendidikan Teras Nasionalisme
1985   Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984   Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983   Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982   Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981   Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980   Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979   Murid Sejahtera Negara Jaya
1978   Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977   Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976   Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975   Guru dan Pembangunan Negara
1974   Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973   Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972   Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

PERUTUSAN KPPM UNTUK HARI GURU 2016



TEKS PERUTUSAN HARI GURU TAHUN 2016

KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

TEMA:
“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam sejahtera, Salam 1Malaysia dan Salam Sehati Sejiwa

Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan murid-murid yang dikasihi sekalian,

1. Saban tahun, tarikh 16 Mei merupakan hari yang amat bermakna bagi warga pendidik atau lebih sinonim dengan panggilan ‘cikgu’. Pada hari istimewa ini, para guru akan diraikan oleh anak-anak didik demi menghargai jasa dan menyanjungi pengorbanan guru dalam mendidik anak bangsa. Guru-guru sekalian amat bertuah kerana ia merupakan pengiktirafan tertinggi masyarakat dan kerajaan atas sumbangan tidak ternilai dalam mencorak masa hadapan anak bangsa dan membangunkan negara. Kita bersyukur ke hadrat Ilahi kerana pada tahun ini, dapat kita bersama-sama menyambut Hari Guru kali ke-45 yang bertemakan “Guru Pembina Negara Bangsa”.

2. Tema ini bertepatan dengan peranan guru sebagai pendidik dalam membentuk murid yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, memiliki jati diri yang kukuh, berdaya saing dan berpegang teguh kepada ajaran agama serta nilai sejagat. Para guru sekalian wajar berbangga kerana faktor utama yang menyumbang kepada kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia ialah tuan-tuan dan puanpuan sendiri. 

3. Demi merealisasikan agenda pendidikan, gurulah yang bertungkus-lumus memerah kudrat, berkorban masa bersengkang mata, cekal menempuhi pelbagai cabaran. Bagi menjayakan misi murni ini, para guru sanggup menabur bakti ke segala pelosok rantau – bandar, desa, merentas pulau dan lautan hatta lurah dan gunung. Di sanubari guru tersemat satu iltizam – akal budi murid mesti dibangunkan dan ditajamkan, sahsiah murid perlu dipimpin dan diasuh, jasmani murid harus dicergaskan dan disegarkan, emosi murid patut dibelai dan disentuh, rohani murid wajar dibimbing dan dimantapkan, potensi murid layak dimajukan dan disuburkan. Syabas guru semua!

4. Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, prasyarat utama untuk membina sebuah negara bangsa yang teguh, harmoni dan sejahtera adalah melalui pengukuhan perpaduan, pembinaan identiti
nasional, persefahaman dan saling meraikan kepelbagaian resam budaya dan keutuhan semangat kebangsaan bersesuaian dengan kepesatan pembangunan negara dalam menghadapi era dunia tanpa
sempadan. Tidak mungkin kepentingan peranan guru dalam merealisasikan aspirasi ini boleh dikesampingkan dan dipandang remeh apatah lagi perjuangan guru telah terpahat dalam sejarah sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Berdiri teguh di barisan hadapan pendidikan, dengan bersanggakan semangat juang yang tulus, tanpa mengharapkan ganjaran dan balasan, para guru gigih berjuang melalui penulisan, persatuan malah berani menentang secara terang-terangan pihak penjajah yang menafikan hak kedaulatan negara.

5. Pengorbanan guru mana mungkin dipertikaikan lagi. Pada zaman pasca kemerdekaan ini, peranan guru telah berubah daripada menentang penjajah kepada menyuntik bibit-bibit perpaduan dan pembangunan negara, memperkukuh perkongsian nilai dan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum. Sekolah menjadi agen perpaduan dan medan penyubur
nilai sosial seperti semangat kekitaan, sifat toleransi, demokratik, saling menghormati dan menerima, taat setia kepada negara dan mempunyai keazaman, kesanggupan dan kesediaan untuk hidup bersama dengan bersepakat, rukun dan harmoni.

Warga pendidik yang diraikan sekalian,

6. Sesungguhnya tugas seorang guru dipandang tinggi dan amat mulia. Guru merupakan penggerak kepada pembangunan pendidikan dengan menyahut cabaran transformasi pendidikan negara melalui
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Menerusi transformasi tersebut, peradaban bangsa boleh diperkukuh apabila guru melaksanakan peranan mereka menghasilkan modal insan yang memiliki kemahiran memimpin, adil, berdikari, hidup dalam masyarakat demokratik, liberal, bertolak ansur, prihatin dan penyayang. Nilai-nilai peradaban ini perlu disemai bermula pada peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi. Peranan guru adalah memastikan generasi pewaris negara diberikan pendidikan berkualiti seiring era kemajuan terkini. 

7. Justeru itu, guru perlu sentiasa bersedia untuk berubah, melaksanakan tugas daripada cara biasa kepada yang luar biasa, berdaya tahan, futuristik dan berfikiran aras tinggi. Guru juga berperanan membentuk murid agar berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang baharu, mempunyai daya tahan dan kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran global yang dinamik. Sehubungan dengan itu, kita selaku warga pendidik perlu melestarikan pembangunan profesionalisme keguruan melalui nilai tambah dalam aspek pengetahuan, kemahiran dan amalan profesional keguruan bagi menyokong usaha pelaksanaan transformasi pendidikan negara.

Guru-guru pembina bangsa sekalian,

8. Untuk bersaing dengan negara maju dunia, kita perlu menyediakan pendidikan berkualiti dan mantap yang mampu menghasilkan murid bertaraf dunia dan mempunyai pemikiran kritikal abad ke-21. Kurikulum pendidikan disemak semula dari semasa ke semasa untuk membangunkan kemahiran abad ke-21 yang dapat menggalakkan perkembangan sahsiah murid yang holistik dan seimbang. Hasrat ini direalisasikan dalam Gelombang 2 PPPM (2016- 2020), iaitu melalui Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan penyemakan semula Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Selain itu, pendidikan abad ke-21 ini turut memberikan penekanan kepada pembangunan murid secara holistik yang menekankan pembangunan intelek, rohani, emosi dan fizikal, seiring dengan
pembinaan identiti nasional yang kukuh dan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pihak Kementerian Pendidikan telah mengenal pasti kemahiran abad ke-21 yang mampu melahirkan murid yang seimbang, berdaya tahan, bersemangat jitu, berprinsip, bermaklumat dan patriotik, juga mempunyai kemahiran berfikir, berkomunikasi dan bekerja secara berpasukan seperti yang dihasratkan oleh kementerian dalam melahirkan modal insan cemerlang dan berketerampilan. Natijahnya, diharapkan modal insan negara pada era akan datang memiliki keupayaan berdaya saing pada peringkat antarabangsa dan diiktiraf pengetahuan, kemahiran dan nilai etika mereka dalam kelas tersendiri.

9. Untuk makluman para guru, kerajaan sentiasa berusaha menaik taraf kemudahan pendidikan yang meliputi pembinaan infrastruktur bangunan dan penyediaan bilik khas bagi mengupayakan sistem
pembelajaran ke arah pendidikan abad ke-21. Pihak Kementerian Pendidikan dalam usaha untuk menambah baik kelengkapan makmal komputer, makmal sains dan bengkel kemahiran agar dapat menyokong pembelajaran berteraskan projek yang membolehkan murid mempunyai akses pembelajaran kendiri. Hal ini banyak membantu menarik minat murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Transformasi pendidikan ini adalah selaras dengan perubahan sistem pendidikan global yang diaplikasikan oleh kebanyakan negara maju.

10. Kementerian juga sentiasa berusaha untuk melengkapkan murid dengan pengetahuan dan kemahiran terkini yang amat penting dalam mendepani cabaran dunia tanpa sempadan, antaranya dengan memperkukuh inisiatif pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM. Pendidikan sepanjang hayat ini merangkumi pembelajaran bersepadu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik di sekolah dan juga di luar sekolah. Pendidikan STEM akan mula didedahkan kepada murid seawal usia empat atau lima tahun pada peringkat prasekolah. Sekolah memainkan peranan utama dan
pemangkin untuk menyediakan sumber graduan STEM yang mencukupi dan berkelayakan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja untuk memacu Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi. Gagasan kerajaan dan pihak kementerian ini tidak mungkin berjaya tanpa sokongan dan daya upaya guru.

11. Melalui pelaksanaan inisiatif STEM di sekolah, nilai tambah yang dikenal pasti boleh menyumbang kepada peningkatan minat murid dalam bidang pendidikan STEM akan diberi penekanan dan diperluaskan manakala pendekatan strategik yang optimum untuk pelaksanaan pendidikan STEM di sekolah akan dimantapkan dari semasa ke semasa. Daya usaha ini merupakan titik tolak ke arah
mewujudkan masyarakat berliterasi STEM yang mampu memahami sekurang-kurangnya konsep asas STEM dan mengaplikasikan pengetahuan tersebut bagi memahami dunia sekeliling juga
menggunakan teknologi terkini serta prinsip matematik dan saintifik dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam berkomunikasi, mempermudahkan urusan dan menyelesaikan masalah.

12. Selain itu, usaha meningkatkan kualiti penyampaian pengetahuan dan kemahiran serta memperluas pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) menjadi fokus pihak kementerian. Inisiatif ini
merupakan sebahagian daripada transformasi pendidikan yang perlu dicapai dalam usaha kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan, modal insan dan daya saing negara. Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) merupakan salah satu usaha merekayasa sistem tersebut bagi menyumbang kepada agenda transformasi negara bertujuan memenuhi keperluan industri dan kehendak pasaran kerja supaya kita tidak terlalu bergantung kepada tenaga mahir dari luar negara. 

13. Sekolah dan guru sekali lagi memikul amanah melahirkan modal insan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, mempunyai kebolehkerjaan dan kebolehpasaran tinggi selaras dengan keperluan
industri negara malah bersahsiah mulia. Kerjasama dan usaha semua pihak, termasuklah para guru, telah mula menampakkan kemajuan dan keberhasilan positif. Antara kejayaannya; semua program yang dilaksanakan di 15 buah Kolej Vokasional rintis telah menerima akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia dan program yang ditawarkan juga telah mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Peratusan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Vokasional Malaysia telah meningkat kepada 87.9 peratus pada tahun 2015 berbanding 83.6 peratus pada tahun 2014.

14. KPM turut mengatur langkah bagi melahirkan golongan berkemahiran melalui Transformasi Pendidikan Vokasional dengan melaksanakan program Pendidikan Asas Vokasional (PAV) melibatkan
81 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan 4 buah Sekolah Model Khas K9. Program kemahiran vokasional ini dilaksanakan seawal pendidikan menengah rendah. Mulai tahun 2016, Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) diperkenalkan di 271 buah SMK terpilih di seluruh negara. Murid akan menerima dua pensijilan iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sijil kemahiran daripada badan pentauliahan kemahiran seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) selepas menamatkan
program ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian,

15. Kerjaya sebagai guru memerlukan kita semua siap siaga melakukan anjakan minda dan perubahan budaya kerja dengan memperbaharui pengetahuan dan mempertingkatkan kemahiran agar pengajaran terus relevan dan berkesan. Peliharalah akhlak dan budi pekerti supaya guru terus dipandang tinggi dan menjadi suri teladan kepada anak didik dan masyarakat. Sayangilah profesion keguruan kerana bakti luhur dan jasa murni guru sesungguhnya tidak terbalas. Tanggungjawab kita sememangnya semakin hari semakin kompleks serta mencabar selaras dengan perkembangan yang amat pesat pada masa kini. Ingatlah bahawa setiap gerak laku, tutur bicara dan tindakan para guru menjadi perhatian dan dinilai oleh masyarakat, justeru, guru hendaklah memastikan martabat profesion keguruan dipelihara,
disanjung dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

16. Dasar dan etika penjawat awam seperti Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Pindaan Tahun 2002 perlu dipatuhi demi menjaga imej dan kepentingan negara, juga profesion keguruan. Guru merupakan contoh kepada murid melalui nilai integriti yang dipamerkan dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan. Guru yang berintegriti menjadi pemangkin memacu sesebuah organisasi ke arah perkhidmatan berkualiti dan cekap yang menyumbang ke arah pembangunan negara dengan lebih berkesan. Dengan erti kata lain, integriti dalam diri seorang guru amat penting kerana masa hadapan murid, malah masa hadapan bangsa dan negara ditentukan oleh corak didikan yang disemai oleh guru-guru pada hari ini. Integriti dalam pendidikan berkait rapat dengan akauntabiliti. Akauntabiliti keguruan merangkumi tanggungjawab guru terhadap murid, diri sendiri, sekolah, masyarakat dan negara. Oleh itu, guru perlu melaksanakan tugas dengan amanah, adil, berdedikasi, prihatin, penuh kasih sayang dan memiliki tahap kesabaran yang tinggi.

Tuan-tuan, puan-puan dan murid-murid sekalian,

17. Barisan kepimpinan sekolah juga tidak terlepas menerima tempias cabaran perubahan pesat dalam arus transformasi yang melanda dunia pendidikan kita pada masa kini. Senario ini sudah tentunya memerlukan perubahan yang radikal dalam aspek pengurusan di sekolah khasnya dalam pengurusan profesional. Pihak pentadbir bertanggungjawab menentukan iklim sekolah, suasana pengajaran dan pembelajaran, tahap dan kualiti profesionalisme guru, semangat kekitaan, dan rasa tanggungjawab terhadap kemenjadian murid. Pengetua dan guru besar selaku peneraju tonggak kepimpinan sekolah perlu berubah dahulu dan bertindak proaktif bagi melaksanakan transformasi di sekolah dan memberikan sokongan jitu terhadap guru-guru di bawah seliaan mereka. Hal ini kerana pengetua dan guru besar merupakan penggerak utama dalam membina negara bangsa agar setiap murid memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, bertolak ansur, hidup sebagai masyarakat penyayang, bersatu padu, berfikiran dan berbudaya saintifik, demokratik serta liberal. 

Anak-anak murid yang disayangi sekalian,

18. Saya yakin tanggungjawab berat yang digalas oleh para guru dan pelbagai cabaran yang harus dihadapi tidak sedikit pun melunturkan rasa kasih sayang kepada anak-anak didik semua. Kehadiran murid ke sekolah tentulah dengan harapan dan semangat untuk menimba ilmu dan mempertingkatkan kualiti diri. Setiap murid di mata dan hati seorang guru adalah permata yang menanti untuk digilap sehingga bergemerlapan yang akhirnya membentuk individu berdaya saing, berfikiran logik, berbudi pekerti mulia dan berjati diri kukuh seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara. Anggaplah para guru sebagai ibu dan bapa di sekolah yang sentiasa mengambil berat dan menginginkan yang terbaik untuk murid-murid. Jadikanlah nasihat dan teguran para guru sebagai pedoman dan bekalan menuju kejayaan.

Para guru yang dihormati,

19. Besarlah harapan saya agar warga pendidik yang dikasihi sekalian terus melaksanakan amanah yang diberi dengan tulus dan ikhlas, bertunjangkan integriti dan berlandaskan etika perkhidmatan awam. Kegigihan guru dalam mendidik anak watan dengan ikhlas tanpa rasa jemu tidak perlu dipertikaikan. Kahlil Gibran pernah mengungkapkan bahawa “seorang guru yang bijaksana tidak hanya mengalu-alukan murid meneroka domain kebijaksanaan guru malah memimpin murid meneroka kecendiakaan sendiri”. Sudah terang lagi bersuluh, jasa dan pengorbanan seorang guru itu sukar untuk dibalas walaupun dengan segunung intan dan emas permata. Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang pula pernah menyatakan bahawa lahirnya seorang perdana menteri, doktor, peguam dan pensyarah adalah bermula daripada seorang guru biasa yang mengajarnya membaca dan menulis.
Inilah ungkapan yang mengangkat martabat seorang guru dalam mendidik anak bangsa tanpa mengira masa, tenaga dan wang ringgit. Mereka ibarat matahari yang menyinari kehidupan insan dengan cahaya
ilmunya. 

20. Guru haruslah menjaga keperibadian dan menjadi contoh kepada insan lain dengan mengamalkan apa yang diajarkan. Selaku pencetus, penggerak dan pemegang amanah kepada proses transformasi sistem pendidikan negara, warga pendidik sesungguhnya mempunyai kedudukan mulia yang tersendiri dalam masyarakat, sentiasa disegani dan dipandang tinggi. Perjuangan guru tetap berterusan dan merupakan satu perjalanan yang masih jauh. Jadi, teruskanlah khidmat baktimu yang mulia ini. Terima kasih ‘cikgu’ dan sekali lagi saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Guru. Akhir kata, saya sudahi ucapan dengan dua rangkap pantun:

Sekolah gudang pelita ilmu,
Bekalan hidup aman sentosa,
Selamat menyambut hari guru,
Guru Pembina Negara Bangsa.

Kaulah pendidik perwira bangsa,
Mendidik tanpa mengira masa,
Segala budi dan curahan jasa,
Tak akan dilupa terpahat sentiasa.


Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sekian. Terima kasih.


DATO’ SRI DR. KHAIR BIN MOHAMAD YUSOF
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Sumber TeksUcapan: 
http://www.moe.gov.my/cms/upload_files/articlefile/2016/articlefile_file_004525.pdf


Frog VLE Kaedah Pengajaran Alaf Baharu



KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) terus mengorak langkah seiring tuntutan teknologi, agar pembelajaran alaf baharu lebih relevan dengan kehendak semasa.

KPM melalui kerjasama dengan YTL Communications mewujudkan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (Frog VLE) atau dikenali juga sebagai bilik darjah online dan ruang sosial untuk sekolah, semuanya di bawah satu bumbung.

Kaedah ini adalah sistem pembelajaran berasaskan laman sesawang (web) menyerupai pendidikan dunia sebenar dengan menyatukan konsep pendidikan konvensional.

Menurut KPM, melalui laman ini, guru-guru boleh memberi tugasan, ujian dan markah secara maya, sementara, pelajar dan murid-murid boleh menghantar kerja rumah dan menyemak markah yang diperoleh melalui Frog VLE.

Ibu bapa juga berpeluang berkomunikasi dengan guru-guru, manakala, pentadbir sekolah pula boleh menyusun kalendar sekolah dan memaparkan notis melalui internet.

Frog VLE boleh diakses di mana jua, pada bila-bila masa menggunakan sambungan internet.

Ia mula dilancarkan pada Mac 2012, dan masih dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Frog VLE dibina dengan mengutamakan penggunanya. Sasarannya adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berkuasa ke atas pemilikan pendidikan serta bersedia bersaing dalam ekonomi global yang berasaskan pengetahuan.

KPM juga menyatakan Frog VLE mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran kerana menjimatkan masa dan usaha. Ia berfungsi sebagai alat untuk memudahkan guru melaksanakan tugas, seperti merancang pengajaran, menandakan tugasan dan menguruskan kalendar akademik.

Ia juga menghubungkan para pendidik di seluruh negara bagi membolehkan mereka berkolaborasi serta berkongsi sumber dan idea.

Oleh kerana perisian Frog berasaskan awan (cloud-based), dan pembelajaran boleh dilaksanakan pada bila-bila masa, pelajar dan murid boleh melakukan penyimpanan awan, beg sekolah yang berat bertukar ringan.

Sistem Frog yang mudah digunakan membolehkan guru dan pelajar mencari kandungan pendidikan dalam  satu laman web tanpa memerlukan kepakaran teknikal.

Ia membolehkan guru menghasilkan sumber pengajaran yang menarik. Ikuti pendapat guru-guru dan murid berhubung pelaksanaan kaedah ini di sekolah.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/cikgu-cikgi/frog-vle-kaedah-pengajaran-alaf-baharu-1.516479

Isnin, 2 Mei 2016

Tokoh Nilam


SIRI Jelajah Resensi bersama Tokoh Pembaca (Nilam) Sekolah Rendah Negeri Pahang telah diadakan bagi membudayakan tabiat membaca kalangan murid. Nur Alyaa Zaheeda Kamarulzaman dari Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Pekan Jaya Pekan merupakan Tokoh Pembaca bagi kategori Bahasa Melayu, manakala Hajar Khadija Sofea Mohd Shaharuddin dari Sekolah Berprestasi Tinggi SK Seri Biram Pekan Pahang merupakan Tokoh Pembaca bagi kategori Bahasa Inggeris.

Masing-masing telah membaca lebih 360 judul buku dan dianugerahi Pingat Nilam iaitu pencapaian tertinggi dalam Program Nilam (Nadi Ilmu Amalan Membaca) anjuran Kementerian Pendidikan (KPM). Sebanyak 11 sekolah dari daerah Pekan, Kuantan, Muadzam dan Zon Chini terlibat dalam siri jelajah ini. Program ini berjaya memupuk tabiat membaca dalam kalangan murid-murid seawal usia mereka.

Selain berkongsi maklumat pembacaan kedua tokoh ini telah menyampaikan pengucapan awam daripada pelbagai isu yang dipilih seperti pencemaran, laman sosial, dan pendidikan. Kedua-duannya telah dibimbing oleh Cikgu Norafizah Abdul Razak dan Cikgu Muhamad Hazrul Hafiz yang merupakan Guru Perpustakaan dan Media sekolah masing-masing.

Program Jelajah Resensi Buku merupakan aktiviti dalam Tahap Rakan Pembaca yang menekankan kepimpinan dalam pembacaan. Melalui aktiviti ini pelbagai strategi boleh digunakan dalam melahirkan pembaca berkesan dalam Pendidikan Abad Ke-21.

Idea yang diperoleh semasa membaca akan digunakan secara bebas dalam perbincangan dan menjadi rakan pembaca yang berjaya. Mereka mampu menarik ramai rakan untuk berkongsi minat. Budaya ilmu dan pembacaan akan membawa pemikiran mereka ke tahap tinggi (High Order Thinking Skills).

Rakan pembaca yang berjaya mempunyai keyakinan diri, menjadikan mereka pelajar yang efektif, dan mampu menjadi ejen yang dapat mempamerkan potensi diri selaras dengan ciri Pendidikan Abad Ke-21.

Amalan budaya suka membaca dan kemampuan menarik orang lain untuk membaca merupakan suatu keadaan di mana wujudnya budaya sekolah yang mampu mencapai tahap amalan dan minat membaca yang sejati.



Menurut Cikgu Norafizah, Guru Cemerlang Perpustakaan dan Media yang juga Jurulatih Program Nilam Pahang, tabiat membaca harus dipupuk  seawal usia kanak-kanak lagi dalam melahirkan generasi yang cintakan ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/cikgu-cikgi/nur-alyaa-hajar-baca-360-judul-buku-1.511151

Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut