Friday, 17 October 2014

ISTILAH BAHASA MELAYU MAMPU MENGUNGKAPKAN ILMU


Adakah bahasa mempunyai peranan dalam menentukan laluan ilmu? Adakah ilmu itu neutral? Adakah ilmu tidak berpihak kepada bahasa dan kebudayaan? Persoalan sebegini sering sahaja ditimbulkan oleh individu yang meragui kemampuan bahasa yang dimiliki oleh sesebuah bangsa untuk menentukan laluan bagi penghadaman ilmu. Dari segi teorinya, isu ini telah ditimbulkan oleh ahli bahasa pada abad ke- 19 yang telah mengutarakan pendapat bahawa bahasa ini mempunyai pengaruh dan peranan yang penting dalam menentukan laluan ilmu.

Kini, di Malaysia, ramai beranggapan bahawa bahasa Inggeris dianggap kononnya merupakan satu-satunya laluan bagi mendapatkan pengetahuan. Begitu juga di Indonesia yang menganggap kebudayaan Belanda sebagai sumbu ilmu. Jadi, di manakah letak bahasa Melayu yang dahulunya dikenali sebagai tunjang peradaban dan akar keilmuan?

Terdapat anggapan bahawa bahasa Melayu yang asli hanya mengandungi empat istilah sahaja iaitu tanah, besi, padi, dan babi. Walaupun keempat-empat istilah ini boleh diragukan dari segi ketepatan asal-usulnya, namun istilah tersebut sebenarnya merupakan istilah sains yang hebat dalam korpus keilmuan Melayu. Sebelum terciptanya teori atom, sarjana sains di Eropah menyatakan bahawa tanah yang digelar mereka sebagai earth, merupakan unsur asasi yang penting. Selain itu, terdapat istilah lain, iaitu besi dalam disiplin subjek kimia yang dikenali sebagai ferum. Penggunaan istilah ferum ini diajar di sekolah, sedangkan bahasa Melayu sendiri mempunyai istilah awalnya, iaitu besi. Jadi mengapa menggunakan istilah yang diambil daripada kebudayaan luar, sedangkan kebudayaan Melayu sendiri jelas memiliki etimologinya yang tersendiri? -Dewan Bahasa, Julai 2014

Tuesday, 14 October 2014

Belajar Bahasa dengan Padlet


Penghasilan media pengajaran (instructional media) dan media pembelajaran (learning media) berasaskan TMK dan penggunaannya dalam pengajaran dan pembelajaran kini telah menjadi satu standard bagi pengintegrasian teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Pengintegrasian TMK dalam pengajaran dan pembelajaran menuntut guru memahami aspek-aspek perancangan pengajaran (instructional planning), teori
pembelajaran, rekabentuk pengajaran, dan menguasai kemahiran pelbagai aplikasi komputer bagi menghasilkan media yang dapat menyokong pengajaran dan pembelajaran.

Padlet (http://www.padlet.com) merupakan satu aplikasi internet yang membolehkan pelajar menyiarkan pendapat mereka dengan nota lekat elektronik pada dinding digital yang dikongsi bersama-sama. Pelajar boleh menaip huruf bagi setiap nota lekat elektronik yang boleh menggabungkan imej, audio atau video menggunakan pautan alamat web yang sesuai. Padlet juga boleh digunakan untuk mencatat nota peribadi, senarai perkara yang perlu dilakukan, koleksi maklum balas, dan sebagainya.

Dalam pembelajaran bahasa, pelbagai aktiviti berbentuk kolaboratif boleh dilaksanakan dengan menggunakan aplikasi ini. Antaranya ialah aktiviti penulisan, pertuturan, sumbang saran, tatabahasa, perbendaharaan kata dan aktiviti berbentuk projek. Selain itu, aplikasi ini juga boleh dimanfaatkan oleh pendidik sebagai media pemberitahuan, iaitu untuk memaklumkan aktiviti pembelajaran atau latihan-latihan, perkembangan semasa tentang pelajaran dan juga pesanan kepada pelajar lain yang mungkin tidak hadir di kelas.

Terdapat kajian yang menunjukkan penggunaan TMK secara intensif boleh meningkatkan pencapaian murid. Projek Apple Classrooms of Tomorrow (ACOT) (1995) mendapati murid yang menggunakan TMK secara intensif semasa persekolahan mempunyai ciri-ciri berikut:
i. boleh meneroka dan menyampaikan secara dinamik dalam pelbagai bentuk
ii. lebih tinggi keyakinan diri dan kemahiran sosial
iii. boleh berkomunikasi secara berkesan mengenai perkara-perkara yang kompleks
iv. mempunyai kemahiran akses kendiri dan terarah kendiri
v. mengetahui kebolehan masing-masing dan boleh berkongsi dengan orang lain
vi. boleh berkerja secara kolaboratif, dan
vii. lebih bersedia untuk menghadapi masa depan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts