Selasa, 20 Mei 2014

Pemuliharaan Alam Sekitar


Penggunaan yang berleluasa telah memberi kesan buruk ke atas kelestarian alam sekitar. Kadar penggunaan
oleh masyarakat kini jauh melebihi daripada kadar penggantian yang berlaku secara semula jadi. Dalam
menggunakan barangan dan perkhidmatan, sumber-sumber semulajadi seperti elektrik dan air banyak
digunakan dalam pembuatan barangan dan penawaran perkhidmatan. Namun penggantian bagi sumber-sumber semula jadi oleh alam sekitar berada pada kadar yang lebih rendah berbanding penggunaannya. Penggunaan tidak terkawal menyebabkan masalah pencemaran, pengurusan bahan buangan dan penyusutan sumber asli yang serius.


Oleh itu, untuk menangani isu alam sekitar ini, antara langkah yang boleh diambil oleh pengguna adalah dengan menggantikan barangan dan perkhidmatan yang kurang mencemarkan alam sekitar iaitu dengan mengubah corak penggunaan isi rumah atau pengguna. Selanjutnya penambahbaikan boleh berlaku kepada kualiti alam sekitar. Selain itu, langkah untuk mengurangkan kuantiti barangan dan perkhidmatan yang digunakan oleh isi rumah atau pengguna juga perlu dilakukan.


Penggunaan yang mesra alam hendaklah diamalkan, iaitu merujuk kepada corak penggunaan yang tidak
membawa bencana kepada alam sekitar dan hidupan lain. Konsep mesra alam melibatkan pengeluaran
barangan dan perkhidmatan yang proses pembuatan, penggunaan dan pelupusannya tidak menjejaskan
kesejahteraan alam sekitar.


Barangan mesra alam dapat memenuhi ciri-ciri berikut, iaitu:

i. Pembuatan, penggunaan dan pelupusannya tidak mendatangkan kemudaratan atau kerosakan terhadap alam sekitar secara berterusan. Contohnya menggunakan barangan dan bungkusan yang boleh terurai secara semula jadi (biodegradable), mengurangkan penggunaan plastik.

ii. Barangan dan pembungkusannya diperbuat daripada bahan mentah yang banyak dan mudah diperoleh serta melibatkan air dan tenaga semula jadi yang minimum.

iii. Sisa-sisa dari pembuatan barangan tidak membahayakan pada alam sekitar atau kehidupan lain. Contohnya, mengelakkan penghasilan karbon dioksida secara berlebihan. 

iv. Keluaran sampingan daripada pembuatan barangan itu boleh digunakan semula.


Selain memberi keutamaan kepada produk yang dihasilkan secara mesra alam, amalan penggunaan lestari
juga meliputi tingkah laku seperti mengelak daripada menggunakan bahan isi rumah yang mempunyai bahan
kimia yang berbahaya, mengasingkan dan mengitar semula bahan buangan.


Penerapan cara hidup yang mesra alam hendaklah digalakkan kerana ini dapat mengurangkan kadar
penggunaan sumber alam secara terancang dan efektif. Ia juga memupuk pemikiran dan minda lestari yang boleh dijalankan melalui kempen dan promosi. Pengguna juga boleh menghayati amalan dan cara hidup mesra alam melalui pemilihan makanan dan proses pelupusan untuk bahan buangan. Begitu juga dalam menggunakan kemudahan untuk kehidupan harian, pengguna boleh membuat pilihan untuk menggunakan kenderaan yang memberi impak minimum kepada alam sekitar.


Individu dan keluarga perlu mengutamakan kelestarian dalam penggunaan masing-masing. Pembaziran
hendaklah dielakkan dan digunakan seminimum, terutamanya yang melibatkan sumber-sumber yang
tidak boleh diperbaharu. Barangan yang boleh diguna semula digalakkan untuk dikitar semula supaya
dapat mengurangkan proses pengeluaran barangan berkenaan, dan ini dapat mengurangkan penggunaan
sumber-sumber semula jadinya.


Pengguna hendaklah berhemat dalam penggunaan barangan dan perkhidmatan dengan berlandaskan
kepada prinsip 5R iaitu mengurang (reduce), mengguna semula (reuse), mengitar semula (recycle), menolak
(reject) dan bertindak balas (react). Oleh itu, digalakkan penggunaan barangan dalam kuantiti minimum,
mengguna semula bekas barangan tertentu melalui pengisian semula (refill) menggunakan bekas yang sama,
dan mengitar semula barangan melalui penggunaan barangan yang diproses semula menggunakan barangan
lama. Selain itu, pengguna boleh menolak sesuatu barangan yang akan menyumbang kepada pencemaran
alam sekitar, sama ada dalam proses pembuatannya mahupun penggunaannya. Begitu juga, pengguna boleh
bertindak balas terhadap penghasilan barangan yang tidak mesra alam sekitar. Dalam hal ini, pengguna boleh
membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab.




Barangan yang boleh menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar mempunyai ciri-ciri berikut, iaitu pembuatan barangan-barangan berkenaan:

i. Menggunakan tenaga yang berpunca daripada sumber yang tidak boleh diperbaharu dengan banyak semasa proses pembuatan, penggunaan dan pelupusan. Contohnya, menggunakan tenaga daripada minyak dan gas asli. Tambahan pula, pembakaran minyak dalam pembuatan barangan boleh menyumbang kepada pencemaran akibat daripada gas-gas berbahaya yang dihasilkannya.

ii. Menghasilkan pembaziran berlebihan, sama ada disebabkan pembungkusan melampau atau dengan tempoh penggunaan yang amat singkat. Contohnya pembungkusan dalam bentuk paket-paket kecil, barangan pakai-buang.

iii. Menggunakan bahan daripada spesies yang semakin pupus atau terancam. 

iv. Melibatkan penggunaan haiwan dalam pengujian barangan.


Di pihak industri, mereka hendaklah memainkan peranan dalam menangani isu alam sekitar. Pihak industri perlu mempunyai inovasi dalam penghasilan produk produk yang dihasilkan melibatkan sumber-sumber semula jadi yang minimum atau tidak langsung menggunakan sumber-sumber semula jadi berkenaan. Proses penghasilan sesuatu produk juga hendaklah ditumpukan kepada pemilihan proses yang melibatkan sumber-sumber semula jadi yang minimum, di samping bersifat mesra alam. Oleh itu, pengeluaran dan penjualan barangan dan perkhidmatan baharu hendaklah disesuaikan dengan masalah alam sekitar yang global, di samping mengurangkan kesan negatif yang secara langsung ke atas alam sekitar dalam proses pembuatan, penggunaan dan pelupusan barangan atau perkhidmatan.


Dalam mengamalkan penggunaan lestari, pengguna dan keluarga hendaklah memperoleh maklumat yang
lengkap mengenai penggunaan lestari. Ini adalah supaya mereka dapat membuat pilihan bijak yang selari dengan penggunaan lestari dalam pembuatan keputusan harian dan keseluruhan kehidupan mereka.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti

Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut