Sabtu, 18 Julai 2015

Sistem 'traffic light' dalam pertukaran guru


PUTRAJAYA - Mulai Jun 2015, Kementerian Pendidikan mewujudkan sistem 'traffic light' dalam permohonan secara dalam talian bagi pertukaran guru sekolah menengah dan sekolah rendah antara bahagian, negeri, daerah dan dalam daerah melalui modul e-GTukar.
 
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Ahmad Tajudin Jab berkata sistem 'traffic light' membantu guru memilih negeri untuk bertukar berdasarkan indikator warna yang dipaparkan dalam sistem tersebut iaitu hijau bermaksud terdapat kekosongan, manakala merah bermaksud perjawatan telah diisi penuh.

Pejabat Pendidikan Wilayah, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri berperanan sebagai pembuat keputusan dan kelulusan bagi semua permohonan pertukaran manakala Kementerian Pendidikan adalah sebagai pembuat dasar dan  penguatkuasa, katanya.
 
Bercakap pada sidang media di Kementerian Pendidikan di sini hari ini, Ahmad Tajudin berkata proses kelulusan pertukaran guru dibuat berdasarkan wajaran yang diberikan kepada beberapa kriteria ditetapkan.
 
"Kelulusan bergantung kepada tiga perkara utama iaitu keperluan perkhidmatan, kekosongan jawatan dan keperluan opsyen di negeri yang dimohon," katanya, sambil menambah modul e-GTukar boleh diakses di alamat http://epgo.moe.gov.my/  
 
Ahmad Tajudin berkata, antara alasan yang dikemukakan oleh guru apabila membuat permohonan bertukar ialah mengikut pasangan, sakit kronik dan ancaman keselamatan seperti diugut oleh pihak ketiga dan sebagainya.
 
Bagi sesi Jun, pertukaran yang diluluskan bagi sekolah menengah ialah 554 daripada 7,969 permohonan, sementara bagi sekolah rendah ialah 165 dari 8,327 permohonan, katanya.
 
Beliau berkata, proses pertukaran guru dilaksanakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan iaitu Prosedur Kualiti PK 02, Pengurusan Pertukaran Guru yang berlandaskan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2008.
 
Kata Ahmad Tajudin, pertukaran guru dilaksanakan dua kali setahun iaitu pada 1 Januari dan 1 Jun setiap tahun.
 
Permohonan bagi pertukaran 1 Jun bermula pada 1 April hingga 25 April, manakala permohonan bagi pertukaran 1 Januari dibuka pada 1 September hingga 30 September.   - Bernama

Khamis, 2 Julai 2015

Pendidikan Holistik Bagi Kanak-Kanak Autisme


AUTISME adalah salah satu bahagian dalam gangguan yang dipanggil “ Pervasive Developmental Disorders.“ dan satu lagi gangguan dari kumpulan ini ialah 'Asperger's Syndrome di mana pertuturan kanak-kanak dan kemahiran kognitif boleh jadi normal.

Autisme merupakan gangguan perkembangan yang sangat kompleks pada seorang kanak-kanak yang gejalanya sudah boleh dilihat sebelum kanak-kanak tersebut mencapai umur tiga tahun.

Penyebab autisme adalah gangguan neurobiologi yang mempengaruhi fungsi otak sehingga kanak-kanak itu tidak mampu berinteraksi dan berkomunikasi dengan dunia luar secara efektif.

Perangainya yang sangat ketara adalah sikap anak yang cenderung tidak mempedulikan sekelilingnya dan orang-orang di sekitarnya, seakan-akan mereka hidup dalam dunia sendiri.

Kanak-kanak autisme merupakan kanak-kanak istimewa yang boleh dibantu daripada banyak segi seperti pembelajaran, pengurusan diri, terapi pertuturan, melakukan aktiviti atau senaman dan sebagainya.

Jika di Amerika Syarikat (AS), terdapat sebuah pusat pemulihan autistik di Ivymount, Rockville. Ia merupakan sebuah pusat pendidikan khas khusus memberi pengajaran menerusi bidang muzik.

Tidak kurang di Malaysia, Selain NASOM terdapat sebuah pusat rawatan autisme yang meneramkan pendidikan holistik bagi melengkapi keperluan pendidikan kanak-kanak autisme. Dengan hasrat menyediakan pendidikan yang sewajarnya kepada kanak-kanak autisme, tiga orang sahabat, iaitu Marissa Ali, Rafidah Ramly dan Aisyah Maricar bersepakat membuka sebuah sekolah untuk kanak-kanak autisme yang dinamakan Brightstars.



Brighstars terletak di Oasis Square, Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, pusat ini mula dibuka pada bulan Oktober 2014 dan pengambilan pelajar bermula pada bulan Januari 2015.

Pada masa ini terdapat seramai 15 orang kanak-kanak autisme , gangguan tingkah laku attention deficit hyperactive disorder (ADHD) dan kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran berumur di antara dua hingga 12 tahun, dihantar oleh ibu bapa mereka setiap hari ke sini.

Marissa, Rafidah dan Aisyah yang merupakan pengasas Brighstars juga merupakan ibu yang mempunyai anak-anak autisme. Inilah antara penyebab utama mengapa mereka membuka Brightstars kerana mereka sendiri memahami mengenai anak autisme dan masalah yang dihadapi oleh ibu bapa.

Menurut Marissa, di Brightstars, mereka menggunakan pendekatan holistik dan menggunakan semua terapi yang bagus seperti Apply Behavioral Analysis (ABA), program Son-Rise dan sebagainya.

Katanya, terdapat dua orang konsultan untuk ABA untuk setiap kanak-kanak dan memantau keseluruhan pembelajaran kerana setiap kanak-kanak yang berada di sini adalah unik.

“Kanak-kanak yang belajar di sini adalah daripada mereka yang terdiri daripada tahap autisme yang paling rendah hingga pada yang paling tinggi. Oleh itu setiap orang daripada mereka adalah berbeza.

“Kami menyediakan seramai 13 orang ahli terapi sepenuh masa dan tiga orang separuh masa. Majoriti daripada mereka berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari universiti tempatan atau ijazah pendidikan awal kanak-kanak. Seorang ahli terapi hanya ditugaskan untuk menjaga seorang kanak-kanak sahaja.

“Kriteria penting untuk mengenali kanak-kanak autisme ialah melihat kepada pertuturannya, kelakuan dan pergaulan. Ada yang hiperaktif, agresif, pendiam, antisosial (suka menyendiri), suka menghantukkan kepala dan mengeluarkan bunyi daripada mulut (istilah psikologinya self stimulatory behavior).

“Pembelajaran harian dimulakan dengan terapi pergerakan autisme dan senaman. Kemudian mereka akan dilatih dengan kemahiran harian seperti menyikat rambut, mencuci muka, memakai baju, menggosok gigi dan sebagainya.

“Kemudian mereka akan makan bersama-sama dengan dibantu oleh ahli terapi. Seterusnya pembelajaran akademik, aktiviti berkumpulan, terapi pertuturan, kemahiran hidup dan sebagainya.

“Kanak-kanak ini akan diajar mengenai tata-tertib, membantu menghidangkan makanan, mengangkat pinggan, membasuh pinggan dan ini semua dapat praktikkan semasa mereka di rumah.

“Ada ibu bapa yang memang mahukan kami mengajar anak mereka untuk melakukan kerja-kerja ringan di rumah seperti mencuci pinggan dan melipat baju.

“Sebelum balik, kanak-kanak ini akan diajar membuat senaman yang memberikan fokus untuk menenangkan dan melepaskan stres kerana selepas sehari di sekolah mereka pasti penat dan kami tidak mahu mereka mengamuk selepas pulang ke rumah.

“Kami dapat melihat perubahan pada kanak-kanak yang dihantar ke sini. Jika sebelumnya mereka nampak agresif, tidak mahu bergaul, suka menyendiri dan sebagainya tetapi setelah diberikan pembelajaran dan pendidikan di sini, keadaan mereka nampak lebih baik daripada dahulu. Ibu bapa mereka turut menyatakan bahawa anak mereka sudah boleh menguruskan diri sendiri dan membantu mengemaskan meja selepas makan,” kata Marissa.

Sementara itu, rakan kongsinya, Rafidah yang merupakan bekas peguam berkata, Brighstars menyediakan dua program, iaitu program sepenuh masa yang diadakan pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula pukul sembilan pagi hingga tiga petang, sementara program setengah hari bermula pukul sembilan pagi hingga 12 tengah hari atau 12.30 tengah hari hingga 3.30 petang.

Ujarnya, bayaran bulanan yang dikenakan untuk program sepenuh masa ialah RM5,200 sebulan, sementara program setengah hari ialah RM2,900 sebulan.

“Kanak-kanak autisme sentiasa ada harapan untuk pulih atau meningkatkan kualiti dalam hidup. Oleh itu ibu bapa harus berusaha daripada peringkat awal lagi. Walaupun memiliki anak autisme seperti menekan sesebuah keluarga daripada segi kewangan, hubungan suami isteri, stres dan sebagainya namun penting jika ada kumpulan sokongan yang akan memberikan sokongan kepada satu sama lain.
“Brighstars adalah sebuah sekolah istimewa untuk anak autisme yang menyediakan satu guru untuk satu kanak-kanak, secara intensif dan berkualiti,” kata Rafidah.

“Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pusat tersebut boleh hubungi talian 012-3222405 atau lawati laman sesawang www.brightstars.my atau Facebook brightstars.


Sumber:
http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/pendidikan-holistik-di-brighstars-1.109705
https://www.facebook.com/BrightstarsLifeSkills/photos_stream
http://www2.bharian.com.my/articles/Misteriautisme/Article/


Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut