Kajian mansuh UPSR hampir siap
Bakal digantikan dengan pentaksiran berasaskan sekolah.
Kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan berkaitan cadangan untuk menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) kini sudah memasuki peringkat akhir.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya menyifatkan sudah sampai masanya untuk ujian yang berorentasikan peperiksaan yang dilaksanakan pada masa ini dikaji semula bagi menilai pencapaian sebenar murid.
“Sebenarnya, zaman ini bukan lagi nak tengok keputusan peperiksaan semata-mata tetapi melihat pencapaian sebenar murid tersebut. Kalau pada masa ini, 100 peratus pencapaian murid berpaksikan peperiksaan mungkin kita boleh ubah.
“Melalui PBS yang bakal dilaksanakan nanti, mungkin hanya 50 peratus sahaja markah berdasarkan kepada peperiksaan manakala markah selebihnya dinilai pihak sekolah menerusi kehadiran, tingkah laku, disiplin, penyertaaan dalam aktiviti kokurikulum dan sukan murid tersebut.
“Bagaimanapun, saya kena berjumpa dahulu dengan semua pihak berkepentingan seperti guru, ibu bapa dan persatuan sebelum keputusan (pemansuhan) dibuat. Kalau semua bersetuju, baharu kerajaan akan memutuskan kaedah lain untuk menilai pencapaian murid tahun enam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Masjid Baharu Kariah Pulau Kijang yang bernilai RM3.2 juta di sini hari ini.
Menurut Mahdzir, pihaknya tidak menolak berkemungkinan model yang diguna pakai dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) akan turut diaplikasi dalam pentaksiran untuk murid tahun enam.
“Pihak kementerian sedang membuat kajian untuk mencari resolusi terbaik dan mungkin model PT3 akan diguna pakai. Untuk membolehkan murid tersebut memasuki sekolah asrama penuh, mungkin peperiksaan one off akan diperkenalkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mahdzir berpendapat, UPSR berorentasikan peperiksaan itu perlu diubah berikutan kebanyakan guru dan ibu bapa hanya menumpukan kepada keputusan semata-mata hingga menyebabkan murid berasa tertekan.
“Demi mengejar keputusan 5A atau 6A, siang malam ibu bapa menghantar anak-anak mereka pergi kelas tambahan. Guru pula, mahukan murid-murid mereka mendapatkan keputusan cemerlang kerana peperiksaan itu menjadi instrumen menilai pencapaian sekolah.
“Psikomotor atau perkembangan kanak boleh terganggu kerana mereka berasa tertekan kerana guru, ibu bapa yang mendesak mereka mendapatkan 5A atau 6A. Secara peribadi, saya memang mahu memansuhkan UPSR ini tahun depan,” ujarnya.
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kajian-mansuh-upsr-hampir-siap-1.400553
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti