Khamis, 20 Oktober 2016

Terapi Teater Bantu Murid Disleksia



DI sebalik fizikal kelihatan insan normal, mereka berdepan masalah. Namun dek kebanyakan orang luar hanya melihat rupa luaran, ramai salah sangka dan menggelar golongan ini malas, bodoh atau 'lembap'. Penghidap disleksia sebenarnya berdepan masalah kecerdasan otak tidak selaras dengan usia biologikal.

Tahukah anda, disleksia menyebabkan terutama kanak-kanak di alam persekolahan lambat bertutur, alami kesukaran sebutan atau rima, sukar menulis nama sendiri, payah mengenal bentuk atau warna atau sukar memberitahu cerita didengarinya?

Memetik artikel Disleksia daripada portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, di alam persekolahan, kanak-kanak disleksia mungkin gagal menguasai tugasan sekolah seperti membaca, menulis, mengeja atau mengira serta tidak suka membaca dan mengelak dari membaca di kelas.

Mereka juga selalunya akan membuat kesilapan semasa membaca huruf, perkataan atau nombor (bacaan terbalik) dan selalu tersalah letak atau hilang barang atau kerja sekolah.

Jadi, jika berdepan anak-anak mempunyai ciri-ciri seumpamanya, jangan mudah menggelar mereka yang tidak-tidak. Mereka insan istimewa.

Apalagi dianggarkan 4 hingga 8 peratus pelajar sekolah dikatakan bermasalah disleksia. Angka agak besar itu sudah seharusnya diberikan perhatian.

Malahan disleksia diletakkan di bawah komponen Masalah Pembelajaran merupakan satu daripada tujuh jenis golongan dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pelbagai langkah diambil bagi membantu anak-anak bermasalah disleksia melalui pemulihan latihan dan terapi. Langkah jarang diketengahkan, antaranya melalui terapi teater.

Seni sebagai terapi kepada beberapa permasalahan telah lama dijalankan, malahan sebelum trend pengubatan moden. Seni seperti muzik, lukisan, puisi, mantera dan sebagainya dijadikan agen penyembuhan atau meredakan tekanan.

Definisi terapi dalam konteks pendidikan ialah kaedah membantu seseorang murid untuk bergerak-balas terhadap sesuatu aktiviti atau kemahiran yang  didasari dari konsep kepelbagaian kategori individu berkeperluan khas seperti disleksia, autisme dan sebagainya.

Dengan itu, kaedah terapi sebenarnya membantu perkembangan dari segi kognitif, emosi, sosial atau psikomotor.

Perkara baharu

GPS Bestari bertemu 'orang kuat' penggiat terapi teater ini yang juga Penolong Pengarah, Sektor Teknikal Penerbitan, Kementerian Pendidikan, Norzuraina Mohd Nor @ Ayudez Fia.

Berkongsi pengalamannya, menurutnya, beliau menjadi seorang yang memandang murid istimewa ini dengan hati bermula dengan kajiannya dalam sarjana yang melibatkan golongan ini.

Tambahan pula, sebagai seorang pegawai terlibat dalam penghasilan buku murid berkeperluan khas, ia menguatkan lagi keinginan itu.

"Minat dan pendedahan dalam teater ditambah tanggungjawab sebagai warga pendidik membuatkan saya menjadi seorang yang sangat berminat dengan golongan murid ini. Idea itu telah lama saya bincangkan bersama penggiat teater yang juga guru, Mohd Fairul Rashid atau lebih dikenali sebagai Fairul Pujangga, namun tiada peluang merealisasikannya.

"Apabila diberi peluang oleh Persatuan Disleksia Malaysia (PDM), kami seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Terus bersetuju tanpa berfikir panjang. Fairul ada bertanya, berani ke? Berdasarkan penglibatan dan kajian sebelum ini, saya rasa, saya bersedia," katanya semasa Pertandingan Seni Visual & Rekacipta, PDM, anjuran PDM Cawangan Shah Alam berlangsung di Galeri Shah Alam, baru-baru ini.

Hadir merasmikan program, Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Swasta & Pendidikan Khas (Unit Pendidikan Khas), Jabatan Pendidikan Selangor, Azhar Minai.    

Norzuraina berkata, di luar negara, teater untuk terapi telah lama dijalankan dan membandingkan mengapa tidak beliau dan rakan seangkatan turut melakukannya.

Menurutnya, apalagi mereka mempunyai kepakaran sebagai guru dan kemahiran di dalam teater.

"Apa salahnya kami cuba membuat perkara baharu untuk membantu murid-murid ini," katanya.

Bantu murid keperluan khas

Perubahan anak selepas terlibat terapi melalui seni teater  bukanlah dapat dilihat dalam jangka masa pendek kerana keperluan murid ini adalah berbeza.

Norzuraina berkata, untuk peringkat pertama pihaknya lebih menekankan kepada menarik fokus murid, sosialis (komunikasi) dan motorskill dan menyifatkan ia berjaya.

"Disleksia juga mempunyai tahap tertentu. Untuk peringkat awal, kami mengesan murid dapat melibatkan diri dengan aktif dalam aktiviti dijalankan.

"Objektif kami kali ini lebih kepada penglibatan murid dalam aktiviti asas lakon teater seperti latihan vokal, artikulasi, ekspresi dan pergerakan besar," katanya.

Menurutnya, terapi tidak mengikut peringkat umur namun untuk terlibat secara aktif dan mudah dikawal, disarankan bermula dengan murid berusia 4 tahun dan ke atas.

Katanya lagi, ia juga sesuai untuk semua terutama murid berkeperluan khas atau murid mempunyai masalah tingkah laku.

"Orang berkeperluan khas ini perlu mendapat pendidikan dan layanan setara tanpa prejudis. Itulah sedang kami lakukan di Kelab Deklamator Malaysia. Kami bukan mengejar nama semata, kami lebih suka hadir dalam industri sebagai pendidik yang beri sedikit sumbangan pada anak bangsa.

"Harapan saya dan Fairul Pujangga amat besar, agar kami diberi peluang sama-sama menggembleng tenaga ke arah usaha ini. Insya-ALLAH tahun 2O17 kami akan keluar dengan pementasan libatkan murid berkeperluan khas ini," katanya.

Menurutnya, berikutan kekangan kewangan, beliau mengalu-alukan pihak sanggup menyuntik dana dalam usaha memartabatkan seni teater khusus untuk anak-anak murid ini.

Norzuraina berkata, pihaknya bakal menemui peminat teater untuk pementasan Syahid Dukapura pada 28, 29 dan 30 Oktober ini di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) jam 8 malam.

Pada 29 Oktober juga, akan dilancarkan Kumpulan Drama Pentas Konklusi hasil tulisannya, Ayudez Fia dan Fairul Pujangga.

Fahami karakter

Sementara itu, menurut Fairul, ada sekolah mengajarkan teater kanak-kanak sebagai elemen pengajaran bagi kes murid khas (OKU) .

Menurutnya, kebiasaannya anak-anak ini diajar membuat boneka (puppet), berlakon menggunakan boneka dan membuat persembahan sketsa pendek.

"Namun, aktiviti seumpama ni tidak dilakukan menyeluruh di semua sekolah menawarkan pendidikan khas. Mungkin kepakaran guru dalam bidang teater untuk pendidikan khas tidak banyak. Bagi kes disleksia pula, saya masih belum dengar ada pihak menawarkan kursus teater untuk mereka.

"Aktiviti baharu kita buat bersama murid disleksia di Galeri Shah Alam ini mungkin pertama barangkali. Namun, untuk sesi pertama ini, kami lebih menekankan sesi mengenali dan fahami watak murid disleksia. Hal ini kerana, kebanyakan aktivis teater tak banyak terlibat dengan murid disleksia," katanya.

Menurutnya, pengalaman pertama itu akan digunakan pihaknya untuk memahami karakter mereka di samping memperkenalkan permainan teater. Sekiranya ada ruang, pihaknya akan rangka proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) lebih sistematik.

Mengulas bentuk sketsa sesuai kepada murid ini, katanya, pembimbing mesti menjadi watak fantasi seperti binatang, robot, peralatan sekeliling, pokok dan sebagainya.

"Pembimbing perlu pakai kostum lengkap dengan tatarias watak. Ia penting menarik perhatian maksimum. Jika tidak, murid akan hilang fokus.

"Pengisian mestilah ada unsur tarian, nyanyian, dan kerja-kerja kraf untuk meningkatkan kemampuan psikomotor murid mereka," katanya.

Menurutnya, sasaran usia untuk mengikuti sesi perbengkelan ini antara 7 hingga 14 tahun.

Fairul berkata, terapi teater masih baharu di Malaysia. Justeru memerlukan kajian serius jika benar mahu menjadikannya sebagai terapi murid berkeperluan khas.

"Bagaimana teater jadi terapi, jawapannya mudah, untuk merangsang hormon serotonin kanak-kanak. Melalui permainan dalam teater, hormon ini akan meningkat sekali gus mengubah emosi mereka menjadi gembira dan fokus dengan aktiviti pembelajaran secara tidak langsung.

"Sokongan dana dan keterlibatan banyak pihak amat diperlukan kerana ia memerlukan kos kostum, peralatan dan kos tenaga pengajar. Dari segi kepakaran, kita ada banyak tenaga pengajar teater yang mahir. Mereka hanya perlukan ruang dan peluang saja untuk berkongsi ilmu secara lebih meluas," tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti

Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut