Khamis, 25 Julai 2013

Sejarah Peristiwa Nuzul Al-Quran


Nuzul Al-Quran

Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur'an yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M. Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq. Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

Ramai pengkaji berselisih pendapat tarikh sebenar turunnya kitab suci al-Quran, namun mereka bersepakat mencatat peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan. Perkataan 'nuzul' bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jenayah, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya.

Firman Allah SWT: "Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)." (Al-An'am:38)

Nuzul al-Quran suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai 'kitab induk' panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Bukan setakat membaca, bahkan kita harus berusaha menyelidiki rahsia ilmu pengetahuan di dalamnya.

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah Nabi SAW, ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada surah Al-'Alaq. maksudnya: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (al-'Alaq:1-5)

Nabi SAW banyak membaca al-Quran dalam bulan Ramadan. Maknanya Nabi juga belajar secara berguru iaitu dengan Jibril dan umatnya juga dituntut belajar dengan berguru. Nabi Muhammad juga mengulang-ulangi bacaan al-Quran begitu juga dengan para sahabat. Nabi bersabda maksudnya: "Semulia-mulia umatku ialah orang yang menghafaz al-Quran."

Membaca al-Quran adalah sebagai suatu ibadat, malah ia boleh ditingkatkan lagi dengan membaca al-Quran kepada menganalisis, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan dan kajian yang akhirnya memajukan dunia ini, terutama untuk memajukan umat Islam daripada penindasan dan kekejaman dari semua pihak di peringkat nasional dan antarabangsa.


Faedah membaca al-Quran

Antara faedah membaca al-Quran adalah;

1. Mampu mengusir bisikan syaitan terkutuk;
2. Menjadi penyebab meraih keredaan Allah SWT;
3. Memperoleh pahala yang banyak;
4. Membahagiakan rakan seperjuangan;
5. Menghapus kesalahan dan dosa;
6. Menjadikan wajah (pembaca al-Quran) berseri-seri;
7. Melapangkan hati dan fikiran, menjernihkan sanubari;
8. Melahirkan ketenteraman dalaman antara seorang hamba dengan Allah SWT;
9. Memelihara umur manusia;
10. Merangsang seorang hamba untuk terus melakukan kebaikan dalam hidup yang sementara;
11. Mengembali, menjernihkan hati kepada Allah untuk meningkatkan kualiti hubungan dengan-Nya.


Antara Al-Quran yang terawal

Al-Quran yang pertama di dunia

Antara Al-Quran terawal di dunia

Antara Al-Quran pertama di dunia


Sumber:
bharian.com.my
islam.gov.my
ms.wikipedia.org/wiki/Nuzul_Quran

Sambutan Hari Nuzul Al-Quran

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti

Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Blog

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut