Selasa, 6 Mei 2014

Bermain Sambil Belajar Di KidZania


Bermain merupakan satu pendekatan terancang, dan berstruktur bagi memberikan peluang kepada kanak-kanak mahupun orang dewasa belajar dalam suasana yang tidak begitu formal, menyeronokkan dan bebas. Pelajar yang melalui proses belajar sambil bermain akan mendapat pengalaman langsung yang sudah pasti akan memberikan kesan pembelajaran yang mantap dan berkesan. Bagi kanak-kanak pula, main merupakan satu laluan yang membolehkan mereka belajar dan mengenali persekitaran atau dunianya melalui penerokaan, simulasi, lakonan, proses cuba-jaya dan manipulasi bahan dan alatan.


KEPENTINGAN BELAJAR SAMBIL BERMAIN.

Secara amnya kepentingan belajar sambil bermain ialah;

  • Mengurangkan tekanan
  • Meningkatkan kemahiran manipulatif seperti mencantum, melukis dan menampal.
  • Berinteraksi secara positif
  • Memenuhi keperluan naluri ingin tahu
  • Meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi
  • Meningkatkan penguasaan bahasa dengan melakonkan semula apa yang dibaca atau cerita yang didengar.
  • Memupuk pemikiran inovatif, kritis dan kreatif

Terdapat banyak contoh untuk aktiviti bermain. Antara beberapa contoh aktiviti yang boleh dianggap sebagai main atau bermain adalah main drama, menyanyi, berlakon dan bercerita dan lain-lain contoh yang boleh dikategorikan di bawah definisi main. Drama yang digunapakai sebagai salah satu aktiviti di sekolah boleh membina konsep kendiri yang positif kepada kanak-kanak dan memberikan kepada mereka pengalaman bahawa terdapat jawapan yang betul atau salah seperti kata McCaslin (2000).

“Drama builds positive self-concepts in children as they participate in experiences that have no right or wrong answers”

Drama juga dapat menilai dan menghormati identiti tersendiri kanak-kanak dan ekspresi kreatif mereka. Disamping itu drama kreatif juga dapat menawarkan pembelajaran secara kerjasama dan berpasukan melalui perkongsian pengalaman (Heller,1996).

Verriour (1994) pula menyatakan drama membolehkan kanak-kanak menghasilkan situasi abstrak yang bermakna. Selari dengan penemuan mengenai drama sebagai salah satu aktiviti bermain yang banyak meninggalkan kesan positif, input aktiviti ini di dalam kurikulum di bawah Komponen Kreativiti dan Estetika menunjukkan bermain bukan sesuatu yang tidak penting. Bukan juga sesuatu yang wujud untuk tujuan komersial. Malah merupakan satu aktiviti yang banyak memerlukan penglibatan aktif sehingga boleh dinyatakan idea serta ekspresi diri serta berupaya menggalakkan perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor disamping memupuk nilai estetika.

Selain dari drama, berlakon merupakan salah satu lagi aktiviti bermain yang lazim dipraktikkan oleh guru di tadika. Sebagai contoh kanak-kanak berlakon dan berimaginasi bermain masak-masak seperti situasi yang sebenar dan dalam situasi sebegini, mengikut Wilhelm & Edminston (1998) In creative drama, children act “as if” their imagined world were an actual world and represent familiar feelings, thoughts, and actions for themselves rather than memorizing a script for an audience.

Banyak lagi kepentingan main dalam proses pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak yang berlaku secara langsung dan tidak langsung. Bahagian berikut ini akan menerangkan pentingnya bermain mengikut yang lebih spesifik berdasarkan perkembangan yang tertentu.

1) Bermain untuk Perkembangan fizikal.

Permainan biasanya melibatkan aktiviti fizikal yang berhubung rapat dengan perkembangan kanak-kanak dari aspek motor kasar dan motor halus serta kesedaran tentang badan mereka. Kanak-kanak berasa seronok dan gembira sewaktu aktif menggunakan bahagian-bahagian anggota badan mereka untuk bersenam. Ini membolehkan kanak-kanak meningkatkan kemahiran yang membolehkan mereka berasa lebih selamat, lebih yakin, dan boleh berdikari. Dalam masyarakat di mana kanak-kanak menghadapi tekanan, keyakinan dan sikap bersaing untuk berjaya dalam segala bidang amat diperlukan (Berk, 1995; Fromberg, 2002; Holmes & Geiger, 2002; Mccune& Zanes,2001: Murata & Maeda, 2002; Santrock, 2003).

2) Bermain untuk Perkembangan Sosial dan Emosi

Dalam kehidupan sosial kanak-kanak, bermain adalah pencetus kepada pembentukan perkembangan serta kemahiran sosial dan emosi kanak. Sebagai contoh kanak-kanak dari pelbagai umur perlu bersosialisasi, sebagai peyumbang dalam kebudayaan masing-masing. Kajian (Rubin & Howe 1986; Creasey, Jarvis, & Berk, 1998) menunjukkan bahawa bermain dengan individu lain memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menyesuaikan perlakuan mereka dengan orang lain dan memberikan pendapat mereka sendiri. Main dikatakan dapat memberi kanak-kanak pengalaman yang kaya untuk meningkatkan kemahiran bersosial, mempunyai sensitiviti nilai dan keperluan orang lain, mengawal emosi, belajar mengawal diri sendiri dan juga boleh berkongsi kuasa.

3) Bermain untuk Perkembangan Kognitif

Kajian telah menunjukkan perhubungan yang positif antara main dan pembelajaran kanak-kanak ( Kumar & Harizuka,1998: Lieberman, 1977) Mereka telah mengenalpasti kemajuan dalam penumpuan, kemahiran kesediaan, dan sikap ( McCune & Zanes, 2001: Smilansky & Shefatya, 1990); kreativiri dan pemikiran divergent (Dansky, 1980 ; Holmes & Geiger, 2002); pengambilan perspektif (perspective-taking) ( Burns & Brainerd,1979); memori ( Jensen, 1999, 2000; Gardner,1993). Jelas menunjukkan bahawa proses pembelajaran yang melibatkan operasi mental mengikut teori pembelajaran kognitif seperti Gagne, Ausubel dan Bruner ada kepentingannya di dalam aktiviti bermain.

Terdapat banyak lagi kepentingan main contohnya dalam perkembangan bahasa. Apapun jika main setakat untuk digunakan sebagai alat bermain dan bukan alat pembelajaran tidak akan meninggalkan kesan positif dalam proses pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak. Guru harus memainkan peranan yang penting dalam memberi panduan yang sepatutnya agar melalui bermain boleh menghasilkan pembelajaran optima kepada kanak-kanak.


BELAJAR SAMBIL BERMAIN DI KIDZANIA


Berperanan sebagai pusat pembelajaran menghiburkan yang selamat dan interaktif, KidZania Kuala Lumpur menawarkan pengalaman hebat dengan membolehkan kanak-kanak bermain dengan berbagai-bagai peranan di dalam sebuah replika bandar sebenar. Di KidZania Kuala Lumpur permainan arked dan taman tema tidak disediakan. Sebaliknya, pelbagai aktiviti lakon peranan yang meriangkan disediakan dan direka khusus untuk merangsang tumbesaran fizikal dan intelektual kanak-kanak. Ini turut menyumbang ke arah perkembangan kemahiran dan perwatakan mereka.

Malah, kandungan bagi tiap-tiap aktiviti di setiap premis berkait rapat dengan subjek yang dipelajari di sekolah. Menerusi ‘lakon peranan’, kanak-kanak lebih memahami keadaan dunia sebenar. Peranan profesional mewakili kepentingan setiap individu dalam membangunkan sesebuah masyarakat. Ia turut menyemai nilai-nilai persamaan hak dan saling menghormati di kalangan kanak-kanak ini. Menerusinya, kanak-kanak belajar untuk saling berinteraksi dengan persekitaran mereka sambil membentuk identiti mereka sendiri. Kepelbagaian pengalaman belajar di KidZania Kuala Lumpur menyumbang sebagai pengaruh yang positif bagi setiap kanak-kanak dalam menjalani kehidupan di sekolah, di rumah dan ketika mereka bersama-sama rakan mereka. Profesion yang boleh dijayakan oleh kanak-kanak di sini terbahagi kepada beberapa kategori:  Media, Seni dan Kebudayaan, Peruncitan, Perkhidmatan Awam dan Persendirian, Sukan, Makanan  dan Minuman, Pembinaan dan banyak lagi. Banyak lagi aktiviti sekolah yang boleh dimanfaatkan daripada kunjungan ke KidZania Kuala Lumpur, termasuklah menyelesaikan kerja rumah, projek penyelidikan, mempamerkan hasil kerja dan banyak lagi.

KidZania Kuala Lumpur menawarkan berbagai-bagai aktiviti untuk memastikan si kecil anda bukan sekadar terhibur di sepanjang kunjungan, malah juga menyedarkan mereka mengenai fungsi dan peranan aspek-aspek di dalam dunia golongan dewasa. Ini menjadikan KidZania Kuala Lumpur sebuah kota pembelajaran unik yang membantu menggalakkan pemikiran secara kreatif dan merangsang keyakinan diri.



PERKEMBANGAN KANAK-KANAK DI KIDZANIA

Perkembangan psikomotor

  • Koordinasi motor halus dan motor kasar
  • Pengendalian objek
  • Kawalan sentuhan
  • Kebolehan meniru aksi


Perkembangan kognitif

  • Perhatian
  • Memori
  • Analisis dan sintesis
  • Imaginasi
  • Kreativiti
  • Pemikiran saintifik
  • Komunikasi
  • Hubung-kait logik


Perkembangan emosi

  • Perkembangan subjektiviti (dunia dalaman)
  • Sublimasi keresahan dan hiperaktif
  • Pengendalian ekspresi simbolik
  • Penyelesaian konflik
  • Pembentukan identiti, jantina, bangsa dan jenis profesion dan sebagainya


Perkembangan sosial

  • Pengetahuan mengenai dunia orang dewasa
  • Persediaan menghadapi kehidupan bekerja
  • Pembentukan moral
  • Pembentukan sosial
  • Pemahaman antara kaum
Sumber:

http://www.kpakk.edu.my/?ref=article_on&lang=ms&aid=3
http://www.ipislam.edu.my/uploaded/file/saayah.pdf
https://www.kidzania.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti

Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut