Selasa, 26 Februari 2013

Pengidap autisme yang berjaya

Bagi Ibu bapa yang mempunyai anak autisme haruslah reda akan ketentuan Ilahi. Ingat bahawa apa yang berlaku adalah ujian daripada Allah SWT. Jangan sesekali menganggap bahawa anak autisme tidak dapat ditolong lalu hanya berserah kepada takdir. Yakinlah bahawa pertolongan pasti akan datang bagi mereka yang mencarinya

Menurut Singgih D. Gunarsa, (2003), Peranan orang tua dalam penyembuhan kanak-kanak penghidap autisme adalah penting. Ibu sebagai salah satu dari orang tua anak autisme sangat berberan penting dalam mengetahui perkembangan kanak-kanak. Hal ini berkaitan dengan sikap penerimaan ibu terhadap anak autisme yang ditunjukkan dalam perilaku menghadapi anak autisme. Sikap menerima setiap anggota keluarga sebagai langkah lanjutan pengertian iaitu bererti dengan segala kelemahan, kekurangan, dan kelebihanya ia seharusnya mendapat tempat dalam keluarga. Setiap ahli keluarga berhak atas kasih sayang orang tuanya.

Ramai pengidap-pengidap autisme telah mencipta pelbagai kejayaan, malah ada diantara mereka memberi sumbangan dalam ketamadunan manusia. Berikut adalah beberapa kejayaan tokoh dan disebalik kejayaan mereka sebenarnya adalah seorang autisme.
 

 Albert Einstein

Albert Einstein (14 Mac 1879-18 April 1955) adalah seorang saintis fizik teori yang dipandang luas sebagai saintis terbesar dalam abad ke-20. Dia mengemukakan teori relativitas dan juga banyak menyumbang kepada pembangunan mekanik kuantum, mekanik statistik, dan kosmologi. Dia dianugerahi Penghargaan Nobel dalam Fizik pada tahun 1921 bagi penjelasannya mengenai kesan fotoelektrik dan "pengabdiannya bagi fizik teori".  Menurut teori terbaru tentang perkembangan mentalnya, beliau dianggap menghidapi sindrom Asperger, sejenis penyakit yang berkaitan dengan autisme.



Temple Grandin

Temple Grandin merupakan salah seorang antara 100 orang paling berpengaruh di dunia versi majalah Time pada tahun 2010, untuk kategori 'Heroes'. Temple Grandin adalah seorang Doktor di bidang ilmu haiwan dan juga profesor di Colorado State University, merangkap sebagai seorang perunding perilaku haiwan di sebuah syarikat livestock. Di samping itu, dia juga dikenali sebagai penulis yang cukup berjaya. Salah satu bukunya yang terkenal adalah 'Thinking in Pictures', yang menjelaskan bagaimana memahami cara pandang orang autis serta teknik untuk menolong kanak-kanak autisme. Grandin juga mencari 'squeeze machine', iaitu mesin yang boleh menenangkan orang yang hipersensitif.


Axel Brauns

Axel Brauns adalah seorang penulis dan penerbit filem kelahiran Hamburg, Jerman. Brauns berhenti dari sekolah pada tahun 1984, untuk menumpukan perhatian pada kerjaya menulisnya. Brauns telah menulis sejumlah novel, antara lain dengan mencipta watak literal yang popular di Jerman, Adina Adelung, yang kemudian menghantarnya masuk nominasi German Book Prize. Pada 1992, dia menerbitkan buku autobiografinya, 'Shadows and Coloured Bat - Living in Another World', yang menggambarkan kehidupannya sebagai seorang autisme, yang disebutnya dirasakannya sejak berumur 1 tahun. Axel Braun mempunyai minat terhadap sebuah buku statistik dan genetik kuda berjudul 'German Harness Racing Studs'. Keasyikannya terhadap buku inilah yang salah satunya inspirasi dalam buku-buku yang Brauns tulis sendiri. Axel Brauns mempunyai kesulitan bicara pada masa kecilnya. Brauns secara susah payah belajar sendiri bagaimana ekspresi wajah dan pola bicara, antara lain dengan banyak membaca komik dan menonton filem. Brauns mengaku masih sering merasa tidak selesa dengan orang-orang di sekitarnya yang tidak dia kenal, dan juga kurang selesa menghabiskan masa di depan umum.


James Hobley

Hobley merupakan satu dari dua saudara kembar di keluarganya, yang sama-sama didiagnosis autisme. Awalnya dia tak dapat membaca dan menulis. Namun, segalanya berubah selepas dia berkenalan dengan dunia menari (dancing) pada usia 8 tahun, yang memberinya passion yang luar biasa. Melalui muzik dalam dance itu, dia boleh mengekspresikan dirinya, dan mula mempunyai banyak teman. Cita-citanya kini adalah menjadi penari balet di sebuah syarikat entertainment yang besar. Kejayaannya telah dokumentarikan oleh BBC, dengan tajuk 'Autism, Disco, and Me'.

Jason McElwain
Jason McElwain mengalami kesukaran untuk berinteraksi dengan anak-anak seusianya. Jason McElwain amat meminati sukan bola keranjang. Jason McElwain berjaya mencipta rekod 20 point dalam masa 4 minit dalam sebuah pertandingan basket di Amerika. Semenjak pertandingan itu, nama McElwain langsung melambung bak selebriti dadakan di Amerika Syarikat. Sebuah lagu dan sebuah buku ditulis untuknya. Bahkan rencananya, kisahnya juga akan difilemkan oleh Walt Disney dan Warner Bros company. Kini beliau sibuk mengelilingi Amerika untuk mengumpul dana bagi kanak-kanak autisme sepertinya.
 Matt Savage

Matt Savage sudah menjadi salah satu pemuzik jazz kenamaan Amerika ketika beliau berusia 19 tahun. Hingga kini, dia telah menerbitkan sekurang-kurangnya 4 album muzik instrumental. Matt Savage juga telah menerima banyak penghargaan. Dia juga merupakan satu-satunya anak-anak yang pernah diterima oleh pasukan Bosendofer Pianos dalam sejarah 175 tahun company tersebut. Pada usia 14 tahun, dia telah melakukan konser bekerjasama dengan Chaka Khan dan pelbagai penyanyi terkenal lain. Matt didiagnosis mempunyai gangguan perkembangan pervasif, salah satu pola autisme, pada usai 3 tahun. Pada mulanya dia tidak suka dengan muzik yang bising, sebelum akhirnya dia mula tertarik pada piano, dan akhirnya mula mendalami muzik jazz dan klasik. Dengan kecerdasannya yang luar biasa, walaupun tidak pernah mendapat bangku sekolah formal dan juga pendidikan muzik secara khusus, namun Matt mampu belajar sendiri mengenai muzik hingga menjadi komposer yang hebat.


Satoshi Tajiri

'Pokemon'iaitu kartun animasi kanak-kanak yang sangat popular di era akhir 1990-an hingga awal 2000-an. Namun, tidak ramai yang tahu bahawa dicipta oleh seorang lelaki Jepun bernama Satoshi Tajiri. Satoshi Tajiri adalah pengidap autisme. Sejak kecil hingga remaja, Tajiri sangat tergila-gila dengan arcade games. Beliau sangat meminati video game, dan mula menghasilkan majalah mengenai game bernama 'Game Freak' pada 1978. Pokemon diciptanya sendiri pada tahun 1996. Ideanya berasal dari keinginannya membuat game di mana anak-anak boleh menangkap dan mengkoleksi sesuatu, sebagaimana keasyikannya pada serangga di masa kecil. Selain video games dan filem kartun, Pokemon juga dihasilkan dalam bentuk manga (komik) dan filem.


Menurut http://www.sinarharian.com.my/rencana/bimbing-remaja-autisme-berdikari-1.63562 , Bill Gates, Pengasas Microsoft Corporation  dan Isaac Newton , pakar dalam teori fizik juga merupakan pesakit autisme.

Tahukan bahawa di Malaysia seorang murid yang menghidap sindrom autisme iaitu Muhammad Fikri Sabri dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Biram berjaya memperoleh 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) (Baca).  Begitu juga dengan Mohd Daniel Zainuddin pelajar Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malik, yang juga penghidap penyakit autisme berjaya mencatat keputusan cemerlang 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) (Baca).

Nabil Lutfi, 18, walaupun lambat untuk memahami sesuatu perkara, kekurangan itu tidak menjadi penghalang buatnya untuk bersaing dengan rakan-rakan normal yang lain.
(Baca: Pelajar austisme SMK Abdul Rahman Talib dapat 9A)

Mohd Daniel Zainuddin

Beberapa tips cara mengatasi anak autis tanpa perlu menyakitinya. Pertama, kenali dulu anak anda, kerana kanak-kanak autisme itu memang sukar untuk difahami, maka siapa lagi yang boleh memahami bagaimana dia, apakah yang diminatinya dan apa perilakunya. Maka diperlukan extra sensitif untuk menghadapi anak anda. Buatlah persekitaran yang tambahan keselamatan untuk keselamatan anak anda. Kerana, kanak-kanak autisme cenderung lebih hiperaktif, sehingga anda perlu lebih berhati-hati misalnya meletakkan barang-barang di rumah. Mungkin boleh dengan menyimpan rak didinding yang diikat benar-benar kuat, menyimpan almari yang benar-benar aman, atau juga mengelakkan kanak-kanak agar tidak memanjat seenaknya.

 

Ciri-ciri kanak-kanak Autisme



Autisme adalah gangguan perkembangan yang sangat kompleks pada kanak-kanak, yang gejalanya sudah timbul sebelum anak itu mencapai usia tiga tahun.

Penyebab autisme adalah gangguan neurobiologis yang menjejaskan fungsi otak sedemikian rupa sehingga anak tidak mampu berinteraksi dan berkomunikasi dengan dunia luar secara berkesan.

Gejala yang sangat menonjol adalah sikap kanak-kanak yang cenderung tidak mempedulikan persekitaran dan orang-orang di sekitarnya, seolah menolak berkomunikasi dan berinteraksi, serta seakan hidup dalam dunianya sendiri. Anak autistik juga mengalami kesukaran dalam memahami bahasa dan berkomunikasi secara lisan.

Disamping itu seringkali (prilaku stimulasi diri) seperti berputar-putar, mengepak-ngepakan tangan seperti sayap, berjalan berjinjit dan lain sebagainya.

Gejala autisme sangat berbeza. Sebahagian kanak-kanak berkelakuan hiperaktif dan agresif atau menyakiti diri, tapi ada pula yang pasif. Mereka cenderung sangat sulit mengendalikan emosinya dan sering tempertantrum (menangis dan mengamuk). Kadang-kadang mereka menangis, ketawa atau marah-marah tanpa sebab yang jelas.

Selain berbeza dalam jenis gejalanya, intensitas gejala autisme juga berbeza-beza, dari sangat ringan hingga sangat berat.

Oleh kerana banyaknya perbezaan-perbezaan tersebut di antara masing-masing individu, maka saat ini gangguan perkembangan ini lebih sering dikenali sebagai Autistic Spectrum Disorder (ASD) atau Gangguan Spektrum Autistik (GSA).

 Menurut Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), setiap seorang daripada 150 kanak-kanak yang dilahirkan di seluruh dunia memiliki autisme dan dianggarkan 47,000 orang kanak-kanak di Malaysia menghidapnya.

Ada antara mereka memiliki tanda-tanda masalah autisme kronik dan ada yang baru sahaja di peringkat awal. Antara tanda-tanda yang mungkin anak anda autisme adalah;


  • Kesukaran berinteraksi merupakan antara tanda UTAMA dalam autisme. Ibu bapa biasanya akan menyedari masalah autisme di dalam diri anak mereka melalui gejala ini. Seawal bayi lagi, anak – anak yang mempunyai masalah autisme tidak memberi respon atau fokus kepada sesuatu benda dalam jangka masa yang lama.
  • Mereka gagal memberi respons apabila namanya dipanggil atau ditanyakan soalan walaupun ianya mudah. Ini disebabkan mereka gagal untuk menafsir maklumat yang diterima dan tidak tahu bagaimana untuk membalasnya secara lisan. Mereka kelihatan sama seperti anak-anak yang normal namun sebenarnya mempunyai kekurangan dalam komunikasi sosial.
  • Tidak mencapai tahap perkembangan tepat waktu. Setiap kanak-kanak berkembang secara berbeza. Beberapa kanak-kanak akan merangkak pada empat bulan sementara yang lain tidak boleh, sampai mereka beberapa bulan lebih tua. Ini boleh menjadi normal. Masalahnya bermula apabila setiap tonggak jauh lebih lambat dari biasanya.
  • Anak tidak berbicara. Anak-anak belajar bercakap pada usia yang berbeza. Beberapa akan mula berbicara sangat muda sementara yang lain hanya akan mulai melontarkan kalimat utuh satu hari. Ini boleh sangat normal. Namun jika anak anda tidak mempunyai jenis bicara mengoceh pada usia satu tahun yang satu ini boleh menjadi perhatian utama. Kebanyakan kanak-kanak akan mengatakan beberapa perkataan pada saat mereka enam belas bulan. Jika anak anda tidak melakukannya segeralah hubungi doktor.
  • Tidak ada hubungan mata. Kebanyakan bayi dan kanak-kanak-kanak-kanak akan melihat anda ketika anda bercakap kepada mereka. Anak-anak autis sering tidak memberikan hubungan mata. Mereka tidak akan mengarah ke objek. Mereka tidak akan melihat sesuatu yang anda cuba untuk tunjukkan kepada mereka.
  • Anak tidak menunjukkan emosi. Anak-anak autis sering tidak menunjukkan emosi apapun. Mereka tidak tersenyum kembali apabila seseorang tersenyum pada mereka. Mereka tidak menunjukkan peduli ketika seseorang di sekitar mereka mengekspresikan rasa sakit, atau menangis. Anak autis biasanya tidak suka dipegang atau dipeluk.
  • Suka bermain sendiri. Anak autis biasanya akan bermain sendiri. Mereka merasa lebih selesa sendiri, dan seakan-akan hidup dalam dunianya sendiri. Mereka kesulitan mencari teman. Mereka tidak tahu bagaimana berhubungan dengan anak-anak lain. Mereka tidak mengerti ketika kanak-kanak lain bergurau dengan mereka.
  • Apabila mereka mempunyai kekurangan dalam komunikasi sosial, bermain dalam kumpulan adalah aktiviti yang paling tidak disukai mereka. Mereka lebih suka berada di dalam ‘dunia’ mereka sendiri dan kadangkala ketawa dan mencederakan diri sendiri tanpa sebab. Apabila ditegur untuk berhenti, mereka akan bertindak agresif kerana tidak sukakan sebarang perubahan tingkahlaku dengan segera.
  • Anak kehilangan kemahiran mengetahui. Anak mungkin telah belajar untuk bercakap dan kemudian kelihatan seolah-olah mereka lupa bagaimana. Mereka boleh belajar kemahiran baru dan kemudian seminggu kemudian tidak tahu bagaimana melakukannya. Anak-anak autis sering kehilangan kemahiran yang telah mereka pelajari.
  • Mereka tidak sukakan perubahan samada drastik atau tidak terutama yang akan mengubah emosi mereka ketika itu. Perbuatan menggunakan tandas atau pergi ke sekolah adalah perkara yang sukar bagi mereka. Rata-rata anak yang menghidapi autisme masih menggunakan pampers di usia 5-6 tahun disebabkan mereka gagal untuk ke tandas dengan sendirinya. (tidak kesemuanya begitu)
  • Uniknya pula, ada sebahagian mereka yang  kurang sensitif kepada rasa sakit namun mereka lebih sensitif kepada bunyi, sentuhan serta sensori (deria rasa). Sifat sensitiviti mereka yang kuat ini merupakan jawapan mengapa mereka yang tidak mahu dirangkul atau dipeluk.



Autisme boleh terjadi pada siapa saja, tanpa mengira warna kulit, status sosial ekonomi mahupun pendidikan seseorang. Tidak semua individu ASD / GSA memiliki IQ yang rendah. Sebahagian dari mereka dapat mencapai pendidikan di perguruan tinggi. Bahkan ada pula yang mempunyai kemampuan luar biasa di bidang tertentu (muzik, matematik, menggambar).

Sekiranya ada dalam kalangan ahli masyarakat yang mempunyai anak-anak autisme, ia tidak perlu berakhir dengan kekecewaan. Ingatlah bahawasanya Allah SWT sentiasa bersama mereka yang sabar. 

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 153:

"Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar."


Wasalam...

.

Penggunaan kata adjektif berkaitan perasaan



PERKATAAN sayang tergolong ke dalam sejumlah kata adjektif yang membawa konsep perasaan. Contoh lain, antaranya malu, marah, benci, berani, kasih, ragu, takut dan lain-lain lagi.

Dalam bahasa Melayu, jika kata adjektif hendak diluaskan struktur unsurnya (konstituen) dengan menambahkan kata nama selepasnya, maka lazimnya, kata adjektif itu diikuti oleh kata sendi nama seperti 'akan', 'pada', 'kepada' dan seumpamanya.

Perhatikan ayat-ayat contoh berikut ini:

1. (a) Penduduk di kampung itu sangat benci dengan perangai buruk pemuda itu.

(b) Penduduk di kampung itu sangat benci akan perangai buruk pemuda itu.

2. (a) Anak muda kini suka akan hiburan bercorak muzik.

(b) Anak muda kini suka pada hiburan bercorak muzik.

3. (a) Adik bongsu Kuswadi takut akan hantu.

(b) Adik bongsu Kuswadi takut pada hantu.

4. (a) Megawati amat sayang terhadap anak dan menantunya.

(b) Megawati amat sayang akan anak dan menantunya.

(c) Megawati amat sayang kepada anak dan menantunya.

Kata-kata adjektif dalam ayat (1) hingga (4) diikuti oleh kata sendi 'dengan', 'akan', 'pada' 'kepada' dan 'terhadap'.

Ayat-ayat tersebut salah jikalau ayat-ayat itu tidak mengandungi kata sendi nama selepas kata adjektif kerana kata-kata adjektif itu merupakan kata adjektif yang memerlukan kata sendi nama selepasnya.

Oleh yang demikian, salahlah jikalau ayat-ayat di atas ditulis begini:

1. (c) *Penduduk di kampung itu sangat bencikan perangai buruk pemuda itu..

2. (c) *Anak muda kini sukakan hiburan bercorak muzik.

3. (c) *Adik bongsu Kuswadi takutkan hantu.

4. (c) * Megawati amat sayangkan anak dan menantunya.

Lain pula halnya jikalau kata-kata adjektif itu dijadikan kata kerja dengan menambahkan imbuhan yang sesuai.

Misalnya, sayang dijadikan menyayangi, benci menjadi membenci, suka menjadi menyukai dan menyukakan, kata adjektif takut menjadi menakuti dan menakutkan, dan kata adjektif rindu menjadi merindu, dan merindukan.

Bagi kata adjektif rindu, kadang-kadang orang tersilap dalam penggunaan bentuk rindu akan, merindu dan merindukan.

Frasa rindu akan ialah frasa adjektif (kata adjektif + kata sendi), manakala merindu dan merindukan ialah kata kerja transitif. Daripada ketiga-tiga bentuk kata tersebut dapat dibinakan ayat-ayat seperti yang berikut:

5. Latifah rindu akan kekasihnya.

6. Sejak pemergian kekasihnya di perbatasan, sejak itulah dia merindu.

7. Rosnita merindukan kampung halamannya.

Frasa sendi rindu akan tidak boleh menjadi *rindukan seperti dalam ayat:

(9) *Pungguk rindukan bulan.

Ayat ini salah kerana kata adjektif rindu tidak dapat menerima akhiran -kan (semua kata adjektif tidak boleh menerima akhiran -kan dalam bahasa Melayu melainkan jika hendak mengubah kelas katanya). Sebaliknya kata adjektif rindu itu perlu menerima kata sendi 'akan'.

Jikalau akhiran -kan hendak digunakan, maka perlulah kata adjektif rindu diubah menjadi kata kerja merindukan. Jadi ayat (9) itu betul jika kata rindukan menjadi merindukan seperti dalam ayat

(10) Pungguk merindukan bulan.

Harus diingat juga, apabila kata adjektif disertai akhiran -kan, maka kata yang tadinya daripada golongan kata adjektif itu berubah kelasnya menjadi kata kerja pasif, dan hal ini akan melibatkan berlakunya hukum tentang bentuk ayat pasif pula.

Misalnya, kata adjektif takut ditiadakan maka terbentuklah perkataan takutkan. Perkataan takutkan bukan kata kerja transitif, tetapi kata kerja pasif.

Dengan kata kerja transitif menakutkan kita dapat membentuk ayat aktif transitif seperti:

(11) Saya menakutkan kanak-kanak itu.

dengan maksud 'menyebabkan' atau 'menjadikan' kanak-kanak itu takut.

Daripada ayat-ayat aktif ini sebagai ayat dasar, kita dapat membentuk ayat pasif songsang seperti yang berikut:

(11a) Saya takutkan kanak-kanak itu.

Ayat (11a) ini berbeza dari segi semantik dengan ayat (12) di bawah

(12) Saya takut akan kanak-kanak itu.

Makna ayat (11a) ialah bahawa 'kanak-kanak itu takut', sementara makna ayat (12) ialah bahawa 'saya dan bukan kanak-kanak itu yang takut'.

Perhatikan perbezaan ketiga-tiga ayat berikut ini:

(13) Saya gemarkan buah-buahan tempatan.

(13a) Saya gemar akan buah-buahan tempatan.

(13b) Saya menggemari buah-buahan tempatan.

Ayat (13) *Saya gemarkan buah-buahan tempatan, berbeza maknanya dengan ayat (13a) Saya gemar akan buah-buahan tempatan, atau (13c) Saya menggemari buah-buahan tempatan. Ayat (13) bermakna buah-buahan menjadi gemar oleh perbuatan saya, tetapi bukanlah saya gemar akan (menggemari) buah-buahan tempatan.

Demikianlah beberapa tatacara penggunaan kata adjektif bahasa Melayu yang betul. Penggunaan tatacara yang betul ini dapat membantu pengguna bahasa Melayu berbahasa persis.

http://utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130218/pe_02/Tatacara-penggunaan-kata-adjektif-berkaitan-perasaan


Khamis, 14 Februari 2013

Penjodoh bilangan untuk kata nama benda hidup



DALAM kegiatan berbahasa, lumrah didapati pengguna bahasa Melayu cenderung meninggalkan penjodoh bilangan.

Ada dalam kalangan mereka berpendapat bahawa tidak menggunakan penjodoh bilangan sebelum sesuatu kata nama tidak akan menjejaskan maksud sesuatu ayat. Tanpanya, pembaca tetap dapat memahami maksud ayat.

Dalam media massa, sama ada media cetak atau media elekronik dapat kita temukan ayat-ayat contoh seperti yang berikut:

1. Lima pendatang tanpa izin ditangkap oleh polis.

2. Beberapa jalan di kawasan itu ditenggelami air.

Kedua-dua ayat 1 dan 2 akan menjadi persis apabila penjodoh bilangan orang dan batang dibubuh di hadapan kata nama pendatang (ayat 1) dan jalan (ayat 2).

Ketiadaan penjodoh bilangan juga menerbitkan maksud yang pelbagai. Kepelbagaian maksud itu menyebabkan maksud ayat tidak khusus.

Dalam ayat contoh 1 misalnya, bilangan 'enam' itu boleh jadi membawa maksud jumlah individu atau jumlah kumpulan, atau jumlah gerombolan.

Hal ini menunjukkan betapa pentingnya penjodoh bilangan untuk menyampaikan maklumat yang tepat.

Di samping itu, penjodoh bilangan berfungsi untuk mengindahkan gaya bahasa selain melembutkan serta menimbulkan lenggang-lenggok bahasa yang menarik. Tanpa penjodoh bilangan, kelembutan dan keindahan bahasa tidak berapa ketara.

Apakah penjodoh bilangan? Penjodoh bilangan ialah perkataan yang terletak di antara kata bilangan dan kata nama sesuatu frasa nama.

Pendeta Za'ba menamakan penjodoh bilangan sebagai "pemadan bilangan".

Dalam tulisan kali ini, saya akan berbicara tentang penjodoh bilangan untuk kata nama hidup.

Dalam bahasa Melayu, kata nama hidup dapat dibahagikan kepada dua, iaitu manusia dan bukan manusia. Penjodoh bilangan untuk manusia berbeza daripada penjodoh bilangan bukan manusia.

Penjodoh bilangan untuk manusia bergantung pada jumlah bilangan nombor atau bilangan kuantiti. Penjodoh bilangan untuk manusia yang menunjukkan jumlah bilangan ialah orang.

Bagi bilangan yang menunjukkan kuantiti pula, penjodoh bilangannya ialah kumpulan, pasukan dan gerombolan.

Beberapa ayat contoh yang menggunakan penjodoh bilangan tersebut ialah:

3. Seorang pelancong asing sedang makan di restoran itu.

4. Enam orang kanak-kanak tadika bermain di padang permainan.

5. Beberapa kumpulan sukarelawan telah berangkat sebentar tadi.

6. Dua pasukan kriket di daerah kami bertemu dalam perlawanan akhir.

7. Segerombolan pengganas telah ditawan oleh askar kerajaan di tepi rawa.

Penjodoh bilangan gerombolan digunakan untuk kumpulan orang jahat, seperti samseng, pengganas, penjenayah, penjarah, penyamun dan seumpamanya.

Organ di dalam tubuh manusia seperti usus, jantung, paru-paru, pankerias, hempedu, limpa dan lain-lain tidak menggunakan penjodoh bilangan, kecuali organ hati yang diberi penjodoh bilangan keping, seperti sekeping hati.

Penjodoh bilangan untuk benda bernyawa bukan manusia dapat dibahagikan kepada dua, iaitu binatang dan makhluk lain.

Seperti halnya dengan penjodoh bilangan untuk manusia, penjodoh bilangan untuk binatang juga bergantung pada jumlah bilangan atau jumlah kuantiti.

Bagi menunjukkan jumlah bilangan (nombor), penjodoh bilangannya ialah ekor. Penjodoh bilangan yang menunjukkan kuantiti pula ialah kawan. Contoh dalam ayat:

8. Saya membeli dua ekor itik bemban.

9. Beberapa ekor kerbau balar berkubang di sawah.

10. Pemburu itu terserempak dengan sekawan gajah.

Penjodoh bilangan ekor digunakan untuk semua binatang, sama ada bersaiz besar atau kecil, tidak kira binatang itu mempunyai ekor atau tidak. Semut, ketam dan siput binatang yang tidak mempunyai ekor, tetapi tetap menggunakan penjodoh bilangan ekor.

Binatang yang menerima penjodoh bilangan ialah binatang yang dapat dikira dan dilihat. Binatang yang bersaiz mikro, yakni yang bersaiz halus seperti bakteria, ameba, virus, kuman, dan protozoa tidak menggunakan penjodoh bilangan.

Kita tidak menyebut seekor bakteria, lima ekor virus atau beberapa ekor kuman.

Jenis benda bernyawa bukan manusia yang kedua, iaitu makhluk asing, ialah seperti malaikat, syaitan, iblis, bidadari dan bunian.

Masyarakat Melayu menggolongkan makhluk jenis ini kepada dua, iaitu golongan yang baik dan golongan yang jahat.

Makhluk yang baik dikatakan berperangai seperti manusia. Makhluk tersebut ialah bidadari dan bunian, dan penjodoh bilangannya ialah orang.

11. Tujuh orang bidadari telah turun dari kayangan ke taman tuan puteri.

12. Orang kampung mengatakan Tok Ketua telah berkahwin dengan seorang bunian.

Demikian huraian berkenaan dengan penjodoh bilangan untuk kata nama benda hidup. Dalam siaran akan datang, dibincangkan pula penjodoh bilangan bagi benda tidak bernyawa.

http://utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130211/pe_02/Penjodoh-bilangan-untuk-kata-nama-benda-hidup




Sabtu, 9 Februari 2013

Pemakanan Sihat Asas Kesejahteraan



Hidup ini satu anugerah. Ia boleh dinikmati dengan kesihtatan dan kecergasan. Semuanya bermula dengan satu langkah kecil iaitu mempelajari amalan pemakanan dan gaya hidup yang lebih sihat. Anda pasti gembira mengetahui betapa mudah untuk melakukannya. Tanpa disedari, terpancar sinar dalam senyuman anda, lonjakan dalam setiap langkah dan kesegaran baru ini akan menjadikan hidup lebih bermakna.

Mengapa perlu jaga pemakanan?

Memastikan sistem tubuh berfungsi dengan baik Sel-sel kita bekerja secara berterusan untuk memastikan badan kita berfungsi dengan baik. Semua ini memerlukan bekalan tenaga dan nutrien yang berterusan serta mencukupi dengan mengambil pelbagai jenis makanan.

Terus bergerak
Badan kita menukar karbohidrat dan lemak kepada tenaga untuk melakukan aktiviti harian. Makan mengikut waktu dan mengambil makanan yang membekalkan tenaga dalam jumlah yang berpatutan membantu kita mengekalkan aras tenaga sepanjang hari.

Kekal sihat
Pemakanan sihat membantu melindungi kita daripada jangkitan serta beberapa penyakit kronik (seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, diabetes dan kanser.) Aktiviti fizikal harian juga penting untuk mengekalkan kesihatan.


14 Tip Pemakanan Hebat

Lebih ramai individu menyedari kelebihan amalan pemakanan sihat. Anda boleh memiliki kelebihan ini dengan mengamalkan cadangan mudah di bawah dalam membantu anda menjadikan amalan pemakanan sihat sebahagian gaya hidup anda.

1. Makan pelbagai jenis makanan mengikut pengambilan yang disarankan.
Tiada satu jenis makanan dapat membekalkan kesemua tenaga, nutrien dan komponen makanan berkhasiat yang kita perlukan. Jadi, amalkan diet seimbang dan berkepelbagaian yang merangkumi kelima-lima kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia.

2. Kekalkan berat badan dalam julat sihat.
Obesiti dan kekurangan berat badan boleh mengundang masalah kesihatan. Kekalkan berat badan sihat dengan makan secara setimpal dan tingkatkan aras aktiviti fizikal. Timbang berat badan secara kerap.

3. Aktif secara fizikal setiap hari.
Ketidakaktifan secara fizikal boleh mengundang pelbagai penyakit kronik. Jadi, lakukan aktiviti fizikal dalam rutin harian anda (contohnya pilih untuk menaiki tangga daripada menggunakan lif dan berjalan ke meja rakan
sekerja anda daripada menelefon). Berjalan pantas setiap hari atau bersukan sekurang-kurangnya 2 hingga 3 kali seminggu.

4. Makan jumlah nasi dan produk bijirin lain (terutamanya bijian penuh) dan ubi-ubian secukupnya.
Makanan ini membekalkan tenaga. Pilih bijian penuh atau tidak diproses (contohnya, nasi perang, roti penuh gandum dan bijirin sarapan) untuk kesihatan sistem usus yang lebih baik di samping membantu mengurangkan risiko penyakit kronik.

5. Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari
Buah-buahan dan sayur-sayuran membantu melindungi anda daripada pelbagai penyakit kronik. Makan sekurang-kurangnya 3 hidangan sayur dan 2 hidangan buah setiap hari. Nikmatilah buah dan sayur yang berlainan pada setiap hidangan.

6. Makan ikan, daging, ayam, itik, telur, kacang dan bijian secara sederhana.
Makanan ini membekalkan protein, pelbagai nutrien dan komponen makanan berkhasiat yang penting untuk kecergasan. Ikan dan kekacang merupakan pilihan yang lebih sihat, jadikannya sebahagian daripada hidangan harian anda.

7. Ambil susu dan produk tenusu yang mencukupi
Susu merupakan makanan berkhasiat yang mengandungi pelbagai nutrien penting, termasuk kalsium. Kesemua individu patut mengambil susu dan produk tenusu setiap hari. Ambil yogurt, keju atau produk tenusu lain yang tanpa-laktosa sekiranya anda mengalami masalah toleransi laktosa.

8. Hadkan pengambilan makanan tinggi lemak dan kurangkan lemak dan minyak dalam penyediaan makanan
Lemak dan minyak membekalkan tenaga, asid lemak perlu dan membantu penyerapan vitamin larut lemak. Namun, pengambilan lemak secara berlebihan menyumbang kepada berat badan berlebihan. Hadkan juga pengambilan makanan tinggi kolesterol, lemak haiwan dan asid lemak trans. Kesemua ini menyumbang kepada masalah jantung.

9. Pilih dan sediakan makanan kurang garam dan sos.
Pengambilan natrium yang tinggi dikaitkan dengan tekanan darah tinggi dan pelbagai masalah berkaitan. Natrium didapati daripada garam dan sumber yang lain, contohnya makanan masin, sos dan perasa tertentu (contohnya belacan dan cincaluk). Jadi, hadkan pengambilan makanan ini dan kurangkan penggunaan garam.

10. Ambil makanan dan minuman rendah gula
Mengambil terlalu banyak gula boleh menyebabkan karies gigi dan menyumbang kepada berat badan berlebihan. Kurangkan pengambilan gula dalam makanan dan minuman anda dan jadikan produk rendah gula sebagai pilihan yang lebih sihat.

11. Minum banyak air setiap hari
Air membantu mengawalatur suhu badan, mengekalkan jumlah darah, dan mengangkut nutrien dan bahan buangan dalam tubuh. Minum enam hingga lapan gelas air kosong setiap hari dan kekalkan pengambilan cecair daripada makanan dan minuman.

12. Amalkan pemberian susu ibu secara eksklusif dari lahir hingga enam bulan
dan terus menyusu sehingga berusia dua tahun.
Susu ibu adalah pemakanan paling baik untuk bayi dan turut membantu melindunginya dari pelbagai jangkitan. Pada masa yang sama, penyusuan susu ibu memberi manfaat kepada kesihatan para ibu dengan mengurangkan kehilangan darah ketika haid dan risiko kanser payudara dan ovari serta kemungkinan osteoporosis.

13. Ambil makanan dan minuman yang selamat dan bersih.
Elakkan penyakit bawaan makanan dengan menyimpan dan menyediakan makanan dengan baik, memasak dengan sempurna dan mengendalikannya dengan bersih. Ketika membeli makanan terproses, periksa tarikh luput dan pastikan bungkusan tidak rosak. Apabila makan di luar, pilih kedai yang bersih.

14. Gunakan maklumat pemakanan pada label makanan secara efektif.
Gunakan Panel Maklumat Pemakanan (Nutrition Information Panel, NIP) untuk memilih produk yang menepati keperluan anda. NIP menunjukkan jenis dan jumlah nutrien yang terkandung dalam sesejenis produk. Maklumat ini juga boleh digunakan untuk membuat perbandingan antara produk.

"Hidup Lebih Sihat Bermula Hari Ini"

www.nutriweb.org.my

Isnin, 4 Februari 2013

Bentuk kata 'ada' sebagai kata penegas



KATA penegas tergolong dalam golongan kata tugas. Kata penegas disebut juga partikel.

Partikel ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat.

Ayat yang mengandungi kata penegas ialah ayat penegas kerana mengandungi sesuatu penegasan tentang sesuatu perkara.

Kita mengenal sesuatu ayat penegas itu melalui adanya kata penegas dalam binaan predikat ayat. Dengan adanya kata penegas itu, hal atau perkara yang hendak ditekankan, atau yang hendak diutamakan dapat disampaikan dengan jelas dan berkesan.

Selain partikel -kah, -lah, -tah (penegas frasa predikat, dan bahagian-bahagiannya), juga, jua, pun, sahaja, lagi dan memang (penegas frasa subjek dan frasa predikat), kata kerja tak transitif ada juga dapat berfungsi sebagai penegas ayat.

Sebagai kata penegas, ada menjadi unsur dalam binaan predikat ayat. Ayat yang mengandungi kata ada dinamai ayat penegas.

Perhatikan penggunaan kata penegas ada dalam ayat-ayat contoh yang berikut ini:

1. Saya / ada bersamanya ketika kejadian itu terjadi.

2. Dia / ada mengatakan hal itu kepadanya.


Dalam ayat (1) dan (2), kata penegas ada yang menjadi unsur utama predikat ayat digunakan untuk menegaskan kesungguhan sesuatu hal yang hendak diperkatakan.

Hal demikian itu terkandung dalam makna frasa kerja ayat (1) dan (2), iaitu ada bersamanya dan ada mengatakan. Jadi, untuk menegaskan frasa kerja, maka kata penegas ada dapat digunakan.

Bagaimana pula halnya untuk menegaskan frasa nama, frasa adjektif dan frasa sendi nama?

Untuk frasa adjektif dan frasa sendi nama, kata penegas ada perlu ditambahkan dengan partikel -lah di belakangnya, lalu membentuk kata adalah.

Harus diingat, dalam golongan kata bahasa Melayu, kata adalah ialah kata pemeri.

Fungsi kata pemeri tidak lain daripada tugasnya sebagai unsur yang menjadi pemeri hal selain sebagai perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat.

Dengan kata lain, maksud pemerian merupakan suatu penegasan juga. Hal yang demikian ini dapat kita perhatikan dalam ayat-ayat contoh seperti yang berikut:

3. Komputer riba ini adalah untuk anak bongsunya.

(adalah diikuti oleh frasa sendi nama dan penegas frasa sendi nama "untuk anak bongsunyanya")

4. Kenyataan saksi perbicaraan itu adalah benar.

(adalah diikuti oleh frasa adjektif dan penegas frasa adjektif "benar")

Untuk frasa nama, kata pemeri ialah bukan adalah digunakan kerana penggunaan ialah dapat menunjukkan pemerihalan secara persamaan atau akuatif.

Oleh itu, untuk maksud yang demikian itu, ialah hadir di hadapan frasa nama. Contohnya dalam ayat:

5. Wanita itu ialah pramugari.

(ialah diikuti oleh frasa nama, dan penegas frasa nama "pramugari")

Untuk tujuan pertanyaan pula, partikel -kah digabungkan dengan kata ada dan ia membentuk kata tanya adakah dan iakah. Partikel -kah pada kata ada, dan ia bertujuan semata-mata untuk menegaskan hal yang ditanyakan.

Lihatlah tanya jawab yang berikut yang menunjukkan cara kata penegas tanya itu digunakan:

6. Adakah Syahmi datang ke sini?

Ya, Syahmi ada datang ke sini.

7. Adakah berita itu benar?

Ya, berita itu adalah benar.

8. Iakah lelaki itu abangmu?

Ya, lelaki itu ialah abangku.

Harus diingat bahawa kata tanya apakah tidak boleh dijadikan kata penegas tanya seperti adakah atau iakah.

Perhatikan betapa janggalnya ayat tanya yang menggunakan kata tanya apakah dalam ayat tanya berikut:

9. Apakah keluarganya merestui perkahwinanmu?

Seharusnya: Adakah keluarganya merestui perkahwinanmu?

10. Apakah orang itu mantan merinyu polis?

Seharusnya: Iakah orang itu merinyu polis?

11. Apakah bandar Melaka ibu negeri Melaka?

Seharusnya: Adakah bandar Melaka ibu negeri Melaka?

Begitulah huraian tentang bentuk kata ada yang berfungsi sebagai kata penegas dalam ayat bahasa Melayu.

http://utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130204/pe_03/Bentuk-kata-ada-sebagai-kata-penegas


Sabtu, 2 Februari 2013

Cara betul penggunaan awalan ter-


Awalan ter- ialah awalan asli bahasa Melayu. Awalan ter- ini dapat digabungkan dengan kata dasar daripada pelbagai golongan kata utama (kata nama, kata kerja dan kata adjektif) bagi membentuk kata kerja terbitan.

Misalnya, daripada kata nama buku, dayung, nama, paku dan pelajar terbitlah kata kerja terbuku, terdayung, ternama, terpaku, dan terpelajar. Daripada kata kerja transitif ambil, beli, makan, pukul dan suruh lahir kata kerja terambil, terbeli, termakan, terpukul, dan tersuruh. Kemudian, daripada golongan kata kerja tak transitif baring, duduk, diam, jatuh dan sandar, terbit kata kerja terbaring, terduduk, terdiam, terjatuh dan tersandar.

Daripada kata adjektif baik, cantik, masyhur, pandai dan tinggi, terbit kata kerja terbaik, tercantik, termasyhur, terpandai, dan tertinggi.

Kata kerja (KK) dengan awalan ter- terdiri daripada dua jenis, iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Kata kerja transitif itu pula terbahagi kepada dua bentuk lagi, iaitu kata kerja transitif aktif, dan kata kerja transitif pasif.

Kata kerja transitif aktif ialah kata kerja yang diikuti oleh objek atau penyambut, dan objek atau penyambut itu hendaklah terdiri daripada frasa nama.

Peraturan ini samalah seperti objek yang mengikuti kata kerja transitif aktif berawalan me-. Perhatikan ayat-ayat yang berikut ini:

1. Ruslan terbaca buku yang tebal itu.

2. Adik termakan lauk yang pedas ini.

3. Ramlah membaca majalah Dewan Siswa.

4. Pembinaan pangsapuri itu telah memakan masa dua tahun.

Kata-kata buku dan lauk dalam ayat 1 dan 2 ialah objek kata kerja terbaca dan termakan, sementara Dewan Siswa dan masa satu tahun dalam ayat 3 dan 4 ialah objek kata kerja berawalan me-, iaitu memakan dan membaca. Semua objek yang berkenaan terdiri daripada frasa nama belaka.

Demikianlah persamaan yang terdapat antara kata kerja transitif aktif berawalan ter- dengan kata kerja transitif aktif berawalan me-.

Dalam bahasa Melayu juga, ada kata kerja yang terhasil daripada gabungan kata dasar dengan imbuhan ter- berfungsi sebagai kata kerja ayat pasif.

Contoh:

5. Kulit pisang itu terpijak oleh Razid.

6. Pasukan bola baling sekolah tertewas oleh pasukan pelawat.

Dalam ayat-ayat di atas, unsur pasif dinyatakan melalui struktur kata kerja berawalan tertewas oleh pasukan pelawat.

Dalam ayat pasif ini, struktur oleh + frasa nama membawa maksud pelengkap pelaku, iaitu yang menerima akibat sesuatu perbuatan.

Kadang-kadang seluruh struktur oleh + frasa nama digugurkan, meninggalkan susunan ayat dengan kata kerja berawalan ter- sahaja, tetapi disedari bermaksud pasifnya kerana makna yang tergambar, iaitu yang sedia dan telah sempurna jadinya. Contoh:

7. Pakaian seragam itu terpakai di sekolah kami.

Berasal daripada ayat “Pakaian seragam itu terpakai oleh kami di sekolah kami."

Kata kerja tak transitif dengan awalan ter- pula ialah kata kerja yang tidak memerlukan objek atau penyambut sesudahnya, tetapi dapat diikuti oleh pelengkap. Contoh:

8. Mohamad terduduk setelah mendengar berita itu.

9. Pekerja kontrak itu tersandar di tiang bangunan.

10. Murid-murid terdiam apabila dimarahi pengetua.

Ungkapan setelah mendengar berita itu (ayat 8), di tiang bangunan (ayat 9), dan apabila dimarahi pengetua (ayat 10) ialah pelengkap kepada kata kerja terduduk, tersandar dan terdiam.

Demikianlah huraian tentang awalan ter- dalam bahasa Melayu yang membentuk kata kerja terbitan. Anda harus berhati-hati sewaktu menggunakan ayat yang berawalan ter- kerana adakalanya ayat itu berbentuk aktif, dan ada ketikanya pula berbentuk pasif.

http://utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130128/pe_02/Cara-betul-penggunaan-awalan-ter-





Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut