Sabtu, 9 Februari 2013

Pemakanan Sihat Asas Kesejahteraan



Hidup ini satu anugerah. Ia boleh dinikmati dengan kesihtatan dan kecergasan. Semuanya bermula dengan satu langkah kecil iaitu mempelajari amalan pemakanan dan gaya hidup yang lebih sihat. Anda pasti gembira mengetahui betapa mudah untuk melakukannya. Tanpa disedari, terpancar sinar dalam senyuman anda, lonjakan dalam setiap langkah dan kesegaran baru ini akan menjadikan hidup lebih bermakna.

Mengapa perlu jaga pemakanan?

Memastikan sistem tubuh berfungsi dengan baik Sel-sel kita bekerja secara berterusan untuk memastikan badan kita berfungsi dengan baik. Semua ini memerlukan bekalan tenaga dan nutrien yang berterusan serta mencukupi dengan mengambil pelbagai jenis makanan.

Terus bergerak
Badan kita menukar karbohidrat dan lemak kepada tenaga untuk melakukan aktiviti harian. Makan mengikut waktu dan mengambil makanan yang membekalkan tenaga dalam jumlah yang berpatutan membantu kita mengekalkan aras tenaga sepanjang hari.

Kekal sihat
Pemakanan sihat membantu melindungi kita daripada jangkitan serta beberapa penyakit kronik (seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, diabetes dan kanser.) Aktiviti fizikal harian juga penting untuk mengekalkan kesihatan.


14 Tip Pemakanan Hebat

Lebih ramai individu menyedari kelebihan amalan pemakanan sihat. Anda boleh memiliki kelebihan ini dengan mengamalkan cadangan mudah di bawah dalam membantu anda menjadikan amalan pemakanan sihat sebahagian gaya hidup anda.

1. Makan pelbagai jenis makanan mengikut pengambilan yang disarankan.
Tiada satu jenis makanan dapat membekalkan kesemua tenaga, nutrien dan komponen makanan berkhasiat yang kita perlukan. Jadi, amalkan diet seimbang dan berkepelbagaian yang merangkumi kelima-lima kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia.

2. Kekalkan berat badan dalam julat sihat.
Obesiti dan kekurangan berat badan boleh mengundang masalah kesihatan. Kekalkan berat badan sihat dengan makan secara setimpal dan tingkatkan aras aktiviti fizikal. Timbang berat badan secara kerap.

3. Aktif secara fizikal setiap hari.
Ketidakaktifan secara fizikal boleh mengundang pelbagai penyakit kronik. Jadi, lakukan aktiviti fizikal dalam rutin harian anda (contohnya pilih untuk menaiki tangga daripada menggunakan lif dan berjalan ke meja rakan
sekerja anda daripada menelefon). Berjalan pantas setiap hari atau bersukan sekurang-kurangnya 2 hingga 3 kali seminggu.

4. Makan jumlah nasi dan produk bijirin lain (terutamanya bijian penuh) dan ubi-ubian secukupnya.
Makanan ini membekalkan tenaga. Pilih bijian penuh atau tidak diproses (contohnya, nasi perang, roti penuh gandum dan bijirin sarapan) untuk kesihatan sistem usus yang lebih baik di samping membantu mengurangkan risiko penyakit kronik.

5. Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari
Buah-buahan dan sayur-sayuran membantu melindungi anda daripada pelbagai penyakit kronik. Makan sekurang-kurangnya 3 hidangan sayur dan 2 hidangan buah setiap hari. Nikmatilah buah dan sayur yang berlainan pada setiap hidangan.

6. Makan ikan, daging, ayam, itik, telur, kacang dan bijian secara sederhana.
Makanan ini membekalkan protein, pelbagai nutrien dan komponen makanan berkhasiat yang penting untuk kecergasan. Ikan dan kekacang merupakan pilihan yang lebih sihat, jadikannya sebahagian daripada hidangan harian anda.

7. Ambil susu dan produk tenusu yang mencukupi
Susu merupakan makanan berkhasiat yang mengandungi pelbagai nutrien penting, termasuk kalsium. Kesemua individu patut mengambil susu dan produk tenusu setiap hari. Ambil yogurt, keju atau produk tenusu lain yang tanpa-laktosa sekiranya anda mengalami masalah toleransi laktosa.

8. Hadkan pengambilan makanan tinggi lemak dan kurangkan lemak dan minyak dalam penyediaan makanan
Lemak dan minyak membekalkan tenaga, asid lemak perlu dan membantu penyerapan vitamin larut lemak. Namun, pengambilan lemak secara berlebihan menyumbang kepada berat badan berlebihan. Hadkan juga pengambilan makanan tinggi kolesterol, lemak haiwan dan asid lemak trans. Kesemua ini menyumbang kepada masalah jantung.

9. Pilih dan sediakan makanan kurang garam dan sos.
Pengambilan natrium yang tinggi dikaitkan dengan tekanan darah tinggi dan pelbagai masalah berkaitan. Natrium didapati daripada garam dan sumber yang lain, contohnya makanan masin, sos dan perasa tertentu (contohnya belacan dan cincaluk). Jadi, hadkan pengambilan makanan ini dan kurangkan penggunaan garam.

10. Ambil makanan dan minuman rendah gula
Mengambil terlalu banyak gula boleh menyebabkan karies gigi dan menyumbang kepada berat badan berlebihan. Kurangkan pengambilan gula dalam makanan dan minuman anda dan jadikan produk rendah gula sebagai pilihan yang lebih sihat.

11. Minum banyak air setiap hari
Air membantu mengawalatur suhu badan, mengekalkan jumlah darah, dan mengangkut nutrien dan bahan buangan dalam tubuh. Minum enam hingga lapan gelas air kosong setiap hari dan kekalkan pengambilan cecair daripada makanan dan minuman.

12. Amalkan pemberian susu ibu secara eksklusif dari lahir hingga enam bulan
dan terus menyusu sehingga berusia dua tahun.
Susu ibu adalah pemakanan paling baik untuk bayi dan turut membantu melindunginya dari pelbagai jangkitan. Pada masa yang sama, penyusuan susu ibu memberi manfaat kepada kesihatan para ibu dengan mengurangkan kehilangan darah ketika haid dan risiko kanser payudara dan ovari serta kemungkinan osteoporosis.

13. Ambil makanan dan minuman yang selamat dan bersih.
Elakkan penyakit bawaan makanan dengan menyimpan dan menyediakan makanan dengan baik, memasak dengan sempurna dan mengendalikannya dengan bersih. Ketika membeli makanan terproses, periksa tarikh luput dan pastikan bungkusan tidak rosak. Apabila makan di luar, pilih kedai yang bersih.

14. Gunakan maklumat pemakanan pada label makanan secara efektif.
Gunakan Panel Maklumat Pemakanan (Nutrition Information Panel, NIP) untuk memilih produk yang menepati keperluan anda. NIP menunjukkan jenis dan jumlah nutrien yang terkandung dalam sesejenis produk. Maklumat ini juga boleh digunakan untuk membuat perbandingan antara produk.

"Hidup Lebih Sihat Bermula Hari Ini"

www.nutriweb.org.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti

Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut