Ahad, 27 Januari 2013

Panduan Penubuhan Dan Pengurusan Persatuan Silat Sekolah


PANDUAN PENUBUHAN DAN PENGURUSAN
PERSATUAN SILAT SEKOLAH


1. Pendahuluan

1.1  Dipercayai bahawa silat di Malaysia telah berusia lebih dari 400 tahun. Pengajaran dan pembelajaran diwariskan dari generasi ke generasi sehinggalah ke hari ini. Sedaya yang boleh segala keaslian budaya silat seperti cara berpakaian, langkah gerak, istiadat dan lain-lainnya dipelihara.

1.2    Kegiatan silat kini bukan sahaja aktif di kalangan masyarakat Melayu di kampung malah diterima sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah, maktab perguruan, universiti dan juga di kelab-kelab rekreasi dan sukan Jabatan Kerajaan dan swasta. Badan Penyelaras kegiatan silat di Malaysia, Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) ditubuhkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dalam tahun 1983.

1.3    Pada Disember 1987 negara kita telah menjadi tuan rumah kepada Kejuaraan Ke-4 Silat Sedunia. Masyarakat di negara ini telah dikejutkan oleh penyertaan dari negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat. Kemunculan peserta-peserta dan negara-negara ini telah memberi semangat kepada pencipta silat untuk mengembangkan pengajaran silat ke seluruh pelusuk negara.

1.4  Usaha ini disokong pula dengan permintaan yang bertambah dari masyarakat umum untuk membuka kelas-kelas silat. Perkembangan seterusnya memperlihatkan acara pertandingan silat dimasukkan ke dalam Sukan SEA. Sukan Malaysia dan Sukan Merdeka Brunei. Kejuaraan-kejuaraan khusus untuk silat turut dianjurkan baik di dalam mahupun di luar negara. PESAKA menganjurkan Kejuaraan Silat Kebangsaan, Kejuaraan Silat Terbuka Malaysia dan Kejuaraan Silat Remaja Malaysia. Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) menganjurkan Kejuaraan Jemputan Silat Singapura, dan Persekutuan Silat Antarabangsa (PERSILAT) menganjurkan Kejuaraan Silat Sedunia.

1.5    Terdapat 267 jenis silat di negera ini. Setiap Perguruan mempunyai kesamaan dankelainan di antara satu sama lain. Dalam perkara ini pengamal silat perlu mengetahui matlamat mempelajari silat agar boleh memilih jenis silat yang bersesuaian.

1.6    Sehubungan dengan ini, Kementerian Pendidikan merasakan perlu perkembangan silat di sekolah ditentukan arahnya. Penentuannya akan dapat dijadikan asas kepada jenis silat yang dipilih dan seterusnya mengawasi perjalanan kegiatan-kegiatannya bagi memastikan ianya mencapai matlamat.




2. Matlamat

2.1   Untuk menyemai dan mengukuhkan rasa cinta para pelajar terhadap warisan budaya bangsa.

2.2   Untuk melahirkan generasi yang berdikari, bersikap positif, sabar, berani menghadapi cabaran dan yakin pada diri.

2.3   Menyediakan pelbagai aktiviti silat di sekolah.





3. Dasar Penubuhan Kelab Silat Sekolah

3.1   Penubuhan kelab silat sekolah adalah tertakluk kepada ’The School (Societies) Regulation 1956’.

3.2   Untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kelab, sekolah-sekolah hendaklah mendapat bantuan nasihat dan tenaga pengajar dari perguruan-perguruan silat yang berdaftar dengan :
a. Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA);
b. Majlis Silat Negeri;
c. Majlis Silat Daerah;
d. Badan-badan Perguruan Silat yang berdaftar.

3.3   Bagi tujuan penyelarasan serta kawalan perkara-perkara berikut hendaklah dijadikan panduan di dalam membuat pemilihan perguruan silat yang sesuai :

3.3.1         Pendaftaran Perguruan
Silat Perguruan Silat hendaklah berdaftar. Sesalinan Sijil Pendaftaran badan perguruan perlu diperolehi oleh pihak sekolah. Status pendaftarannya boleh secara langsung kepada JabatanPendaftaran Pertubuhan Malaysia atau berdaftar dengan mana-mana badan lain yang berdaftar dengan Jabatan berkenaan.

3.3.2         Pendaftaran Tenaga Pengajar
                 Semua tenaga pengajar hendaklah berdaftar. Sesalinan Sijil Kejurulatihan yang dikeluarkan oleh badan perguruan berkenaan hendaklah diperolehi dari tenaga pengajar yang ditugaskan di sekolah.

3.3.3         Adat Istiadat Perguruan
Adat istiadat Perguruan Silat yang dijalankan hendaklah tidak menyalahi ajaran Agama Islam atau boleh memesongkan akidah para pelajar. Antara adat istiadat yang tidak wajar dilakukan ialah seperti menyemah gelanggang, memakai tangkal, azimat dan pertapaan.

3.3.4         Kurikulum
Kurikulum perguruan silat hendaklah jelas dan terancang serta mampu menyediakan para pelajar  ntuk menyertai pertandingan di dalam pertandingan-pertandingan yang diiktiraf seperti Pertandingan  silat Olahraga dan Pertandingan Silat Seni. Kurikulum silat juga perlu jelas dalam hal-hal mengenai peringkat pencapaian dan pensijilan.

3.4   Hanya para pelajar lelaki dan perempuan berumur sekurang-kurangnya 10 tahun sahaja dibenarkan mengikuti latihan silat.




4.  Pengurusan Kelab Silat Sekolah

4.1 Organisasi

4.1.1 Penasihat

Kelab Silat sekolah hendaklah diawasi oleh sekurang-kurangnya seorang guru.
Di antara tanggungjawab guru penasihat ialah :

a.  Menubuh sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh pelajar yang akan menolong merancang dan mengurus aktiviti kelab.

b. Membimbing jawatankuasa kelab merancang, merangka dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dapat memupuk dan mempertingkatkan minat pelajar, sehubungan dengan ini, guru penasihat seharusnya mempunyai pengetahuan yang diperlukan.

c. Mendapatkan bantuan jurulatih bertauliah dalam merancang dan melaksanakan aktiviti yang bersesuaian.

d. Membantu ahli mengenalpasti masalah, menganalisanya dan seterusnya mencari langkah untuk mengatasi masalah tersebut.

e. Hadir dalam semua perjumpaan dan latihan yang diadakan oleh Kelab.

f. Memupuk keyakinan diri dan ketabahan di kalangan ahli Kelab dalam usaha meningkatkan kemahiran bersilat. Untuk menjalankan tugas dengan lebih berkesan, Penasihat Kelab seelok-eloknya didedahkan kepada pengetahuan seperti berikut :-
a. Konsep dan falsafah silat.
b. Adat istiadat dalam Silat.
c. Kurikulum Silat.
d. Jenis dan sistem pertandingan silat.

4.1.2 Jawatankuasa

a. Jawatankuasa hendaklah terdiri daripada :
Pengerusi
Naib Pengerusi
Setiausaha
Bendahari
dan ahi-ahli jawatankuasa, yang bilangannya bergantung kepada bilangan ahli dalam kelab. Bagi sekolah-sekolah rendah memadai dengan melantik seorang Pengerusi untuk membantu Guru Penasihat.

b. Ahli Jawatankuasa perlu diasuh dan dilatih untuk membolehkan mereka memainkan peranan penyeliaan dan membantu guru dalam kerja-kerja pengurusan kelab.


Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4/1992 dan 
Panduan Penubuhan dan Pengurusan Persatuan Silat Sekolah
oleh:Bahagian Pengurusan Sekolah Harian

.

Jumaat, 25 Januari 2013

Jihad Dalam Pendidikan


Minggu ini banyak kemalangan yang  tragis melibatkan guru.
Berita 1: Guru wanita dan 2 anaknya maut dihempap konkrit
Berita 2: Guru lelaki maut digilis guru wanita

Al-Fatihah, Semoga roh mereka dicucuri rahmat dari Allah SWT atas segala ilmu-ilmu yang dicurah kepada anak bangsa kita...Amin

JIHAD DALAM PENDIDIKAN

Menurut sumber Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi pada hari ini terdapat seramai 5 304 201 orang anak-anak kita sedang belajar di sekolah-sekolah dan seramai 415 467 orang guru yang sedang bertugas mendidik anak-anak kita.

Selain itu ribuan pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta secara formal di seluruh negara. Terdapat juga orang dewasa dan warga emas sedang belajar secara tidak formal di masjid, surau dan kelas-kelas pengajian lain. Tumpuan besar  pelajar-pelajar yang mencari dan dahagakan ilmu sebenarnya selari dengan tuntutan Islam. Firman Allah SWT  dalam surah an-Nahl, ayat 43: 


Maksudnya: “Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu melainkan orang lelaki, yang Kami wahikan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui”. 

 Rasulullah SAW menyifatkan bidang pendidikan adalah perjuangan fi sabilillah- berjuang di jalan Allah. Rasulullah SAW bersabda, 
Sesiapa yang keluar menuntut ilmu maka ia berjuang  fisabilillah hingga ia kembali” (Riwayat: at-Tirmizi).


Pekerjaan sebagai guru, murabbi dan pendakwah diiktiraf  amat mulia di sisi agama dan masyarakat kerana mereka mewarisi tugas-tugas Rasul membimbing manusia ke jalan yang benar, pencetus hidayah, membantu mengubah nasib seseorang, mengangkat darjat seseorang, membebaskan seseorang dari kemiskinan dan membentuk tamadun manusia melalui pendidikan dan penyebaran ilmu. Betapa besar  peranan guru ini, maka mereka diibaratkan seperti bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan menerangi laluan sama di desa atau di bandar, di darat atau di lautan. Anas bin Malik RA meriwayatkan Rasulullah SAW  bersabda:
"Sesungguhnya perumpamaan orang-orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan".(Riwayat: Imam Ahmad)

Ruang lingkup pendidikan ini amat luas. Ia memerlukan perkhidmatan guru, murabbi dan pendakwah yang ramai. Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradhawi seorang tokoh ulama’ semasa yang amat berpengaruh menyatakan, “pendidikan merangkumi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati, rohani, jasmani, akhlak dan tingkahlaku, ia bertujuan untuk membentuk manusia bagi menghadapi masyarakat yang sering berhadapan dengan kebaikan, kejahatan, kemanisan dan kepahitan”.
Walaubagaimana pun kejayaan dan keberkesanan pencapaian sistem pendidikan sebenarnya berkait rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya, kelengkapan ilmunya dan keluhuran peribadinya. Kesepaduan antara peribadi dan kemahiran keilmuan adalah unsur penting membantu kecemerlangan pendidikan.

Berdasarkan bilangan institusi pendidikan dan bilangan pelajarnya ternyata guru mempunyai pengikut yang ramai, sentiasa berkerumun mengelilingi guru-guru serta amat berpengaruh pula dalam mencorakkan nilai-nilai hidup anak-anak kita. Persoalan besar timbul apa akan terjadi jika tidak ada guru sepenuh masa membimbing anak-anak kita dalam mengharungi pancaroba kehidupan ini?.  Banyak hadis-hadis sahih menjelaskan Allah SWT sendiri, para Malaikat, penghuni langit dan bumi hatta semut sekalipun berselawat kepada guru atau orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia. 
Saidina Umar RA pernah berkata “ kematian seribu ahli ibadat adalah sedikit kesannya berbanding kematian seorang alim (ahli ilmu) yang mahir dalam ilmu halal haram dalam syariat Allah”. Iman Shafie amat menghormati gurunya. Beliau pernah berkata: “Malik bin Anas adalah guruku. Seandainya tidak  ada Iman Malik dan guruku seperti Ibnu Uyainah, maka hilanglah seluruh ilmu ulama-ulama negeri Hijaz ini. Saidina Ali RA juga pernah berkata “Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
          Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin memetik nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya supaya menghormati guru, katanya, “ wahai anakku, pergaulilah para guru dan rapatilah mereka dengan kedua lututmu, kerana Allah SWT menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmat, sebagaimana Allah menghidupkan bumi dengan hujan dari langit”.
Pangkat dan hadiah tinggi menggunung bukanlah dituntut oleh para guru. Tetapi apa yang penting ialah murud-murid yang dibimbingnya menjadi manusia yang berguna dan mampu mengembalikan maruah agama dan martabat negara.  Bagaimanapun kadangkala guru-guru menghadapi cabaran besar dalam membentuk murid yang berjaya dan bertamadun. Walaupun besar pengorbanan guru tetapi terdapat juga di kalangan ibubapa dan murid yang tidak menghormati guru. 
          Penghormatan kepada guru semakin longgar dan semakin luntur dalam masyarakat kita. Tidak salah jika kita berkawan rapat dengan guru, tetapi adalah salah jika kita tidak beradab dan kurang ajar kepadanya. Sejahat-jahat guru, selagi mana dia menumpahkan ilmu maka adalah perlu untuk kita menghormatinya. Ingatlah pesan Saiyidina Ali RA yang bermaksud : Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim itu seseorang yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab.
Jika kita hendak menegur seseorang guru hendaklah dilakukan dalam keadaan penuh beradab. Setinggi mana pun kita mencapai kedudukan, ingatlah  kepada guru yang membimbing kita. Tidak ada sebab untuk seseorang murid mendabik dada kepada gurunya. Malah kalau hubungan antara murid dan guru ini baik, maka akan terhasil satu gabungan dan perkongsian ilmu yang cantik. Apa yang nyata tidak rugi jika kita menghormati guru tetapi sebaliknya satu kerugian besar jika kita tidak mengambil peluang menimba ilmu bersama guru. 
Guru adalah manusia biasa, mereka juga mempunyai kelemahan. Tetapi kita sebagai anak muridnya perlu berlapang dada dan menerimanya secara waras kerana dia memberikan manfaat yang banyak kepada kita.

Ibubapa dan guru-guru adalah institusi utama yang amat berpengaruh dalam memberi pendidikan dan membentuk nilai murni di kalangan pelajar.  Peranan ibubapa dan  guru jika dilakukan dengan ikhlas bukan sahaja dapat melahirkan generasi yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara malah memberi pelaburan yang menguntungkan berterusan hingga hari akhirat. Rasulullah SAW bersabda:
  Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu : Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya”.(Riwayat Muslim)

Ringkasnya:

Pertama: Perkhidmatan perguruan dan pendidikan adalah jihad dan amalan mulia kerana mewarisi tugas para rasul dan nabi malah Allah SWT dan para malaikat sentiasa berselawat keatas guru-guru,
Kedua: Penampilan dan akhlak guru  menjadi ikutan kepada murid kerana     mereka mempunyai pengikut yang ramai dan pengaruh yang kuat,
Ketiga: Ibubapa dan guru perlu berkawan mesra supaya kesinambungan   bimbingan dan tarbiah anak-anak dapat menghasilkan kualiti pendidikan yang cemerlang
Keempat: Ibubapa perlu melatih anak-anak supaya menghormati dan beradab dengan guru agar ilmu yang diperolehi itu berkat.
Sebagai muhasabah pentingnya ilmu dalam kehidupan , kita ikuti Firman Allah SWT dalam surah az-Zumar ayat 9:

Maksudnya:Apakah orang yang taat beribadat diwaktu malam dengan sujud dan berdiri, ia takutkan azab hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya, sama dengan orang musyrik? Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal”.

Petikan asal dari : http://www.islam.gov.my/


Isnin, 7 Januari 2013

Belajar awal untuk cemerlang





SESI persekolahan tahun 2013 sudah pun bermula. Ada yang baru memasuki alam persekolahan, ada yang mula melangkah ke sekolah menengah iaitu Tingkatan 1, ada pula yang memulakan pengalaman baru berada di sekolah berasrama dan terpisah dengan kedua ibu bapa. Anak-anak ini akan mula menyesuaikan diri setelah bersekolah beberapa minggu. Ada pula pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan ini pelajar perlu bersedia awal. Kegagalan belajar awal akan mengundang tekanan yang tidak perlu apabila peperiksaan semakin hampir pada suku ketiga 2013 ini.

Berikut adalah beberapa tip bagi para pelajar yang mahu belajar awal:

Ada pelajar yang memberi alasan tidak suka belajar awal kerana apa yang dibaca dan diulang kaji itu akan lupa dan akhirnya terpaksa dibaca semula ketika menjelangnya peperiksaan. Ini adalah salah faham tentang konsep belajar awal. Belajar awal bukan semestinya mengingati semua apa yang dipelajari. Sebaliknya, belajar awal bertujuan menguasai mata pelajaran dan memahaminya. Kalau lupa sekali pun tidak mengapa sebab pelajar masih punya masa yang panjang untuk mengingatinya. Setelah berulang kali membaca, secara tidak langsung maklumat dan fakta-fakta itu akan tersimpan dalam memori jangka panjang. Yang penting mesti faham dahulu apa yang dipelajari.

Apabila belajar awal, setiap perkara yang tidak faham atau keliru perlu disenaraikan dan diselesaikan segera. Kesilapan utama para pelajar apabila guru mengajar dan mereka tidak faham, maka mereka tidak membuat catatan berkaitan perkara yang tidak difahami itu. Biasanya pelajar hanya mencatat apa yang mereka faham dan menyalin apa yang guru tulis atau paparkan di hadapan. Perkara yang mereka tidak faham dibiarkan sahaja.

Memang ada pelajar yang bertanya tetapi tidak semua perkara sempat ditanya. Malah ramai pula pelajar yang malu bertanya. Akhirnya, perkara yang tidak faham semakin hari semakin banyak hingga akhirnya membuatkan mereka rasa sesuatu subjek itu susah. Kesannya, markah ujian bulanan tidak memuaskan dan ini memperkukuhkan lagi kepercayaan bahawa dia tidak mampu menguasai subjek tersebut atau subjek itu susah. Sedangkan jika dari hari pertama dia senaraikan apa yang dia tidak faham dan selesaikan segera maka masalah sebegini tidak akan berlaku.

Belajar awal bertujuan menyediakan nota ringkas, peta minda, peta konsep, kad imbasan dan seumpamanya sebagai persediaan mengulang kaji apabila tibanya musim peperiksaan. Kesilapan ramai pelajar ialah menyediakan nota-nota ketika menjelang peperiksaan sedangkan nota-nota ini sepatutnya daripada awal lagi sudah disediakan. Apabila peperiksaan semakin hampir masa begitu berharga dan bermakna. Ketika itu fokus utama belajar ialah memastikan semua fakta penting telah dihafal, teknik dan format menjawab soalan diketahui, serta apa yang telah dibaca dapat dikeluarkan semula dengan pantas dan menepati kehendak soalan. Ini bukan masa menyediakan nota. Oleh itu, manfaatkan masa di awal tahun sebegini bagi menyediakan nota-nota peperiksaan.

Belajar awal untuk belajar secara berkumpulan dan melakukan perbincangan. Sepanjang belajar berkumpulan itu tumpukan kepada penyelesaian masalah bukannya sekadar mengulangi apa yang telah diajarkan oleh guru dalam kelas. Caranya ialah setiap pelajar yang terlibat dalam kumpulan dimaklumkan awal topik atau bab yang mahu dibincangkan dan diminta membacanya dahulu dan menyenaraikan setiap perkara yang mereka tidak tahu atau tidak faham.

Pada hari perbincangan, secara bergilir-gilir setiap pelajar melontarkan permasalahan dalam topik atau bab tersebut dan rakan-rakan yang lain membantu memberikannya kefahaman dan menyelesaikannya. Dengan cara itu masalah selesai dan semua berpuas hati. Jika semua orang tidak tahu penyelesaiannya maka buatlah temu janji untuk sama-sama berjumpa guru dan minta bantuan atau penjelasan. Sebaliknya apabila semakin hampir dengan peperiksaan, pelajar lebih perlukan masa belajar secara sendirian bagi menghabiskan jadual ulang kaji.

Belajar awal memberikan pelajar ruang dan masa yang banyak bagi melibatkan diri dalam aktiviti persatuan dan kokurikulum. Disebabkan pelajar belajar secara konsisten maka fikiran mereka tidak terganggu dan mereka juga tidak dihantui dengan rasa bersalah apabila aktif dengan pelbagai aktiviti di sekolah. Ini membuatkan pelajar cemerlang dalam semua bidang dan berpeluang menjadi tokoh pelajar di penghujung tahun nanti.

http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130106/pe_01/Belajar-awal-untuk-cemerlang



Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut