Pembangunan projek 1BestariNet memberi impak positif dalam jangka panjang membantu murid memperoleh kemahiran pembelajaran abad ke-21, merapatkan jurang digital dan merealisasikan konsep teknologi untuk semua sekali gus mengubah kehidupan masyarakat khususnya mereka yang tinggal jauh di kawasan pinggiran bandar.
YTL Communications Sdn. Bhd. (YTLC) berkata, antara usaha itu, pihaknya membuat tawaran membina stesen tapak yang dikenali sebagai menara telekomunikasi Sistem Penerima Bersepadu 1BestariNet (1BRIS).
Katanya, ia dibina di lokasi-lokasi strategik dalam kawasan sekolah terpilih yang tanah tapaknya diperuntukkan oleh Kementerian Pendidikan tanpa sebarang caj bagi memastikan penyediaan liputan perkhidmatan 4G yang stabil termasuk mampu dinikmati oleh komuniti yang tinggal di sekitar kawasan sekolah sebagai kemudahan tambahan.
“Bagaimanapun, selepas projek dianugerahkan kepada YTLC, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian telah menegaskan bahawa sewaan perlu dibayar bagi penggunaan lot tanah seluas 4 meter x 4 meter di setiap sekolah terpilih.
“Sehubungan itu, selepas mempertimbangkan perjanjian yang dibuat oleh YTLC dengan kementerian sebelumnya, kadar sewaan tahunan yang nominal untuk setiap tapak dipersetujui oleh kesemua pihak terlibat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
YTLC membangunkan projek 1BestariNet bagi memenuhi cadangan hasil kajian yang dijalankan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Pejabat Perdana Menteri.
Ia dijalankan dengan usahasama Boston Consulting Group mengenai peranan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam bidang pendidikan sebagai pengganti serta penambahbaikan perkhidmatan SchoolNet yang tamat pada akhir tahun 2010.
Sebanyak 19 syarikat membida projek itu dan YTLC dipilih berdasarkan bidaannya yang mempamerkan faktor pematuhan teknikal dan keberkesanan kos yang terbaik pada nilai RM663 juta oleh Kementerian Pendidikan pada akhir tahun 2011.
Antara faktor keberkesanan kos yang ditawarkan termasuklah cadangan YTLC untuk membiayai sepenuhnya pelaburan kapital teknologi 4G bagi projek tersebut tanpa melibatkan sebarang kos perbelanjaan daripada pembayar cukai mahupun Kementerian Pendidikan.
Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/1bestarinet-realisasi-konsep-teknologi-untuk-semua-1.413600
Baca -> YTL Communications Responds To Reports On MoE's 1BestariNet Project For Malaysian Schools
Baca -> YTL Communications Responds To Reports On MoE's 1BestariNet Project For Malaysian Schools