Rabu, 30 November 2016

Jangan Kecewa Dengan Keputusan UPSR


AKHIRNYA keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan pada 17 November lalu. Pastinya calon peperiksaan tersebut kini sudah boleh menarik nafas lega, setelah berhempas pulas mengulang kaji pelajaran untuk mendapat keputusan terbaik.

Pelbagai perasaan pastinya bercampur baur. Ada gembira, sedih, biasa-biasa saja dan tidak kurang juga rasa menyesal setelah melihat gred keputusan diterima.

Guru dan ibu bapa calon pastinya teruja menanti pengumuman peperiksaan ini. Apa tidaknya tahun ini merupakan kohort pertama telah mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) serta melalui pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sejak berada di tahun 1, pada 2011.

Pastinya mahu melihat, apakah keputusan diperoleh calon perintis yang dihasratkan dapat melalui transformasi kurikulum dan pentaksiran pada peringkat pendidikan sekolah rendah bagi memastikan perkembangan mereka secara menyeluruh, seimbang dan sepadu ini.

Perkembangan ini dikatakan meliputi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan insan seimbang, harmonis dan berakhlak mulia. Justeru format Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (Kbat) diserap dalam UPSR bermula tahun ini.

Yang pasti, kelibat A dalam slip peperiksaan tersebut, tetap sangat dinanti-nantikan calon, guru dan pihak sekolah malah lebih berharap, adalah ibu bapa murid terlibat.

Namun, agak membuka mata apabila hanya seramai 4,896 calon memperoleh keputusan cemerlang semua Gred A dalam UPSR tahun ini. Jumlah pencapaian dikategorikan cemerlang itu adalah bersamaan hanyalah 1.11 peratus daripada 452,751 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu September lalu.

Apa pun seperti dimaklumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, pencapaian calon UPSR 2016 adalah dilaporkan berdasarkan pelaksanaan kurikulum dan format peperiksaan baharu. Jadi ia tanpa membuat perbandingan dengan pencapaian calon tahun lalu.

Menurutnya, keputusan tahun ini tidak boleh dibandingkan secara terus dengan tahun lalu kerana sebelum ini ia berdasarkan tiga gred iaitu A,B, C manakala tahun ini empat gred iaitu A, B, C dan D.

Termaktub DSKP

Tidak ketinggalan memberi respons terhadap pencapaian calon UPSR, Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Foziah Buang berkata, tujuan peperiksaan ini adalah untuk melihat pencapaian murid dalam bidang akademik daripada segi penguasaan kemahiran literasi, numerasi dan penaakulan atau 4M (menulis, membaca, mengira, menaakul) dan bukan semata-mata terhadap bilangan gred A yang diperoleh oleh calon.

"Keputusan peperiksaan UPSR merujuk kepada pencapaian akademik calon berdasarkan standard kandungan, pembelajaran dan standard prestasi seperti termaktub dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), serta bukan merujuk kepada lulus atau gagal.

"Tahap pencapaian calon dilaporkan dalam bentuk gred berdasarkan pertimbangan terhadap kualiti, ketekalan, ketepatan dan keadilan. Tahap pencapaian minimum pada 2016 ialah gred D berbanding gred C pada 2015," katanya.

Beliau berkata demikian semasa pengumuman rasmi keputusan UPSR 2016 di Blok Duta 1, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, lalu.

Dalam pada itu, menurutnya, pelaporan akhir pendidikan rendah yang terdiri daripada keputusan peperiksaan UPSR, Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum, dan Pentaksiran Psikometrik mengandungi pelbagai maklumat mengenai calon secara menyeluruh.

"Maklumat ini harus digunakan oleh semua pihak kerana ia menggambarkan profil calon sebagai modal insan untuk negara di masa akan datang.

"Ia juga menggambarkan status pendidikan sekolah rendah bagi seseorang murid," katanya.

Apa pun pesan GPS Bestari.com, walau apa pun keputusan dan gred adik-adik dapat bagi UPSR ini, ini hanya peringkat permulaan. Berapa banyak pun A diperoleh dalam UPSR ini, ia bukan penentu kejayaan dalam hidup.

Banyak lagi ranjau dan duri perlu dilalui!

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/gps-bestari/jangan-kecewa-bilangan-a-1.592210

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti

Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut