Isnin, 31 Oktober 2016

Kajian Mansuh UPSR

Kajian mansuh UPSR hampir siap
Bakal digantikan dengan pentaksiran berasaskan sekolah.


Kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan berkaitan cadangan untuk menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan pentaksiran ber­asaskan sekolah (PBS) kini sudah memasuki peringkat akhir.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya menyifatkan sudah sampai masanya untuk ujian yang berorentasikan peperiksaan yang dilaksanakan pada masa ini dikaji semula bagi menilai pencapaian sebenar murid.

“Sebenarnya, zaman ini bukan lagi nak tengok keputusan pepe­riksaan semata-mata tetapi melihat pencapaian sebenar murid tersebut. Kalau pada masa ini, 100 peratus pencapaian murid berpaksikan peperiksaan mungkin kita boleh ubah.

“Melalui PBS yang bakal dilaksanakan nanti, mungkin hanya 50 peratus sahaja markah berdasarkan kepada peperiksaan manakala markah selebihnya dinilai pihak sekolah menerusi kehadiran, tingkah laku, disiplin, penyertaaan dalam aktiviti kokurikulum dan sukan murid tersebut.

“Bagaimanapun, saya kena berjumpa dahulu de­ngan semua pihak berkepentingan seper­ti guru, ibu bapa dan persatuan sebelum keputusan (pemansuhan) dibuat. Kalau semua bersetuju, baharu kerajaan akan memutuskan kaedah lain untuk menilai pencapaian murid tahun enam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Masjid Baharu Kariah Pulau Kijang yang bernilai RM3.2 juta di sini hari ini.

Menurut Mahdzir, pihaknya tidak menolak berkemungkinan model yang diguna pakai dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) akan turut diaplikasi dalam pentaksiran untuk murid tahun enam.

“Pihak kementerian sedang membuat kajian untuk mencari resolusi terbaik dan mungkin model PT3 akan diguna pakai. Untuk membolehkan murid tersebut memasuki sekolah asrama penuh, mungkin peperiksaan one off akan diperkenalkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mahdzir berpendapat, UPSR berorentasikan peperiksaan itu perlu diubah berikutan kebanyakan guru dan ibu bapa hanya menumpukan kepada keputusan semata-mata hingga menyebabkan murid berasa tertekan.

“Demi mengejar keputusan 5A atau 6A, siang malam ibu bapa menghantar anak-anak mereka pergi kelas tambahan. Guru pula, mahukan murid-murid mereka mendapatkan keputusan cemerlang kerana peperiksaan itu menjadi instrumen menilai pencapaian sekolah.

“Psikomotor atau perkembang­an kanak boleh terganggu kerana mereka berasa tertekan kerana guru, ibu bapa yang mendesak mereka mendapatkan 5A atau 6A. Secara peribadi, saya memang mahu memansuhkan UPSR ini tahun depan,” ujarnya.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kajian-mansuh-upsr-hampir-siap-1.400553

Khamis, 20 Oktober 2016

Terapi Teater Bantu Murid Disleksia



DI sebalik fizikal kelihatan insan normal, mereka berdepan masalah. Namun dek kebanyakan orang luar hanya melihat rupa luaran, ramai salah sangka dan menggelar golongan ini malas, bodoh atau 'lembap'. Penghidap disleksia sebenarnya berdepan masalah kecerdasan otak tidak selaras dengan usia biologikal.

Tahukah anda, disleksia menyebabkan terutama kanak-kanak di alam persekolahan lambat bertutur, alami kesukaran sebutan atau rima, sukar menulis nama sendiri, payah mengenal bentuk atau warna atau sukar memberitahu cerita didengarinya?

Memetik artikel Disleksia daripada portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, di alam persekolahan, kanak-kanak disleksia mungkin gagal menguasai tugasan sekolah seperti membaca, menulis, mengeja atau mengira serta tidak suka membaca dan mengelak dari membaca di kelas.

Mereka juga selalunya akan membuat kesilapan semasa membaca huruf, perkataan atau nombor (bacaan terbalik) dan selalu tersalah letak atau hilang barang atau kerja sekolah.

Jadi, jika berdepan anak-anak mempunyai ciri-ciri seumpamanya, jangan mudah menggelar mereka yang tidak-tidak. Mereka insan istimewa.

Apalagi dianggarkan 4 hingga 8 peratus pelajar sekolah dikatakan bermasalah disleksia. Angka agak besar itu sudah seharusnya diberikan perhatian.

Malahan disleksia diletakkan di bawah komponen Masalah Pembelajaran merupakan satu daripada tujuh jenis golongan dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pelbagai langkah diambil bagi membantu anak-anak bermasalah disleksia melalui pemulihan latihan dan terapi. Langkah jarang diketengahkan, antaranya melalui terapi teater.

Seni sebagai terapi kepada beberapa permasalahan telah lama dijalankan, malahan sebelum trend pengubatan moden. Seni seperti muzik, lukisan, puisi, mantera dan sebagainya dijadikan agen penyembuhan atau meredakan tekanan.

Definisi terapi dalam konteks pendidikan ialah kaedah membantu seseorang murid untuk bergerak-balas terhadap sesuatu aktiviti atau kemahiran yang  didasari dari konsep kepelbagaian kategori individu berkeperluan khas seperti disleksia, autisme dan sebagainya.

Dengan itu, kaedah terapi sebenarnya membantu perkembangan dari segi kognitif, emosi, sosial atau psikomotor.

Perkara baharu

GPS Bestari bertemu 'orang kuat' penggiat terapi teater ini yang juga Penolong Pengarah, Sektor Teknikal Penerbitan, Kementerian Pendidikan, Norzuraina Mohd Nor @ Ayudez Fia.

Berkongsi pengalamannya, menurutnya, beliau menjadi seorang yang memandang murid istimewa ini dengan hati bermula dengan kajiannya dalam sarjana yang melibatkan golongan ini.

Tambahan pula, sebagai seorang pegawai terlibat dalam penghasilan buku murid berkeperluan khas, ia menguatkan lagi keinginan itu.

"Minat dan pendedahan dalam teater ditambah tanggungjawab sebagai warga pendidik membuatkan saya menjadi seorang yang sangat berminat dengan golongan murid ini. Idea itu telah lama saya bincangkan bersama penggiat teater yang juga guru, Mohd Fairul Rashid atau lebih dikenali sebagai Fairul Pujangga, namun tiada peluang merealisasikannya.

"Apabila diberi peluang oleh Persatuan Disleksia Malaysia (PDM), kami seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Terus bersetuju tanpa berfikir panjang. Fairul ada bertanya, berani ke? Berdasarkan penglibatan dan kajian sebelum ini, saya rasa, saya bersedia," katanya semasa Pertandingan Seni Visual & Rekacipta, PDM, anjuran PDM Cawangan Shah Alam berlangsung di Galeri Shah Alam, baru-baru ini.

Hadir merasmikan program, Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Swasta & Pendidikan Khas (Unit Pendidikan Khas), Jabatan Pendidikan Selangor, Azhar Minai.    

Norzuraina berkata, di luar negara, teater untuk terapi telah lama dijalankan dan membandingkan mengapa tidak beliau dan rakan seangkatan turut melakukannya.

Menurutnya, apalagi mereka mempunyai kepakaran sebagai guru dan kemahiran di dalam teater.

"Apa salahnya kami cuba membuat perkara baharu untuk membantu murid-murid ini," katanya.

Bantu murid keperluan khas

Perubahan anak selepas terlibat terapi melalui seni teater  bukanlah dapat dilihat dalam jangka masa pendek kerana keperluan murid ini adalah berbeza.

Norzuraina berkata, untuk peringkat pertama pihaknya lebih menekankan kepada menarik fokus murid, sosialis (komunikasi) dan motorskill dan menyifatkan ia berjaya.

"Disleksia juga mempunyai tahap tertentu. Untuk peringkat awal, kami mengesan murid dapat melibatkan diri dengan aktif dalam aktiviti dijalankan.

"Objektif kami kali ini lebih kepada penglibatan murid dalam aktiviti asas lakon teater seperti latihan vokal, artikulasi, ekspresi dan pergerakan besar," katanya.

Menurutnya, terapi tidak mengikut peringkat umur namun untuk terlibat secara aktif dan mudah dikawal, disarankan bermula dengan murid berusia 4 tahun dan ke atas.

Katanya lagi, ia juga sesuai untuk semua terutama murid berkeperluan khas atau murid mempunyai masalah tingkah laku.

"Orang berkeperluan khas ini perlu mendapat pendidikan dan layanan setara tanpa prejudis. Itulah sedang kami lakukan di Kelab Deklamator Malaysia. Kami bukan mengejar nama semata, kami lebih suka hadir dalam industri sebagai pendidik yang beri sedikit sumbangan pada anak bangsa.

"Harapan saya dan Fairul Pujangga amat besar, agar kami diberi peluang sama-sama menggembleng tenaga ke arah usaha ini. Insya-ALLAH tahun 2O17 kami akan keluar dengan pementasan libatkan murid berkeperluan khas ini," katanya.

Menurutnya, berikutan kekangan kewangan, beliau mengalu-alukan pihak sanggup menyuntik dana dalam usaha memartabatkan seni teater khusus untuk anak-anak murid ini.

Norzuraina berkata, pihaknya bakal menemui peminat teater untuk pementasan Syahid Dukapura pada 28, 29 dan 30 Oktober ini di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) jam 8 malam.

Pada 29 Oktober juga, akan dilancarkan Kumpulan Drama Pentas Konklusi hasil tulisannya, Ayudez Fia dan Fairul Pujangga.

Fahami karakter

Sementara itu, menurut Fairul, ada sekolah mengajarkan teater kanak-kanak sebagai elemen pengajaran bagi kes murid khas (OKU) .

Menurutnya, kebiasaannya anak-anak ini diajar membuat boneka (puppet), berlakon menggunakan boneka dan membuat persembahan sketsa pendek.

"Namun, aktiviti seumpama ni tidak dilakukan menyeluruh di semua sekolah menawarkan pendidikan khas. Mungkin kepakaran guru dalam bidang teater untuk pendidikan khas tidak banyak. Bagi kes disleksia pula, saya masih belum dengar ada pihak menawarkan kursus teater untuk mereka.

"Aktiviti baharu kita buat bersama murid disleksia di Galeri Shah Alam ini mungkin pertama barangkali. Namun, untuk sesi pertama ini, kami lebih menekankan sesi mengenali dan fahami watak murid disleksia. Hal ini kerana, kebanyakan aktivis teater tak banyak terlibat dengan murid disleksia," katanya.

Menurutnya, pengalaman pertama itu akan digunakan pihaknya untuk memahami karakter mereka di samping memperkenalkan permainan teater. Sekiranya ada ruang, pihaknya akan rangka proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) lebih sistematik.

Mengulas bentuk sketsa sesuai kepada murid ini, katanya, pembimbing mesti menjadi watak fantasi seperti binatang, robot, peralatan sekeliling, pokok dan sebagainya.

"Pembimbing perlu pakai kostum lengkap dengan tatarias watak. Ia penting menarik perhatian maksimum. Jika tidak, murid akan hilang fokus.

"Pengisian mestilah ada unsur tarian, nyanyian, dan kerja-kerja kraf untuk meningkatkan kemampuan psikomotor murid mereka," katanya.

Menurutnya, sasaran usia untuk mengikuti sesi perbengkelan ini antara 7 hingga 14 tahun.

Fairul berkata, terapi teater masih baharu di Malaysia. Justeru memerlukan kajian serius jika benar mahu menjadikannya sebagai terapi murid berkeperluan khas.

"Bagaimana teater jadi terapi, jawapannya mudah, untuk merangsang hormon serotonin kanak-kanak. Melalui permainan dalam teater, hormon ini akan meningkat sekali gus mengubah emosi mereka menjadi gembira dan fokus dengan aktiviti pembelajaran secara tidak langsung.

"Sokongan dana dan keterlibatan banyak pihak amat diperlukan kerana ia memerlukan kos kostum, peralatan dan kos tenaga pengajar. Dari segi kepakaran, kita ada banyak tenaga pengajar teater yang mahir. Mereka hanya perlukan ruang dan peluang saja untuk berkongsi ilmu secara lebih meluas," tegasnya.

Budak 4 Tahun Fasih Tujuh Bahasa

Angelina Bella Devyatkina

Kanak-kanak 4 tahun tapi fasih tujuh bahasa iaitu bahasa Rusia, Inggeris, Perancis, Jerman, Sepanyol, Cina dan Arab

MOSCOW - RUSIA. Si cilik yang hebat! Itu sahaja gambaran yang sesuai diberikan kepada seorang kanak-kanak yang kini viral kerana kepetahannya bercakap dalam tujuh bahasa.

Menurut Malaysian Digest, Angelina Bella Devyatkina, 4 atau Bella berasal dari Moscow, Rusia menjadi popular ketika menghadiri uji bakat sebuah rancangan.

Dalam ujibakat itu, Bella menjawab soalan dalam bahasa Rusia, Inggeris, Perancis, Jerman, Sepanyol, Cina dan Arab, menyebabkan juri dan penonton 'terlopong'.

Menurut ibu Bella yang mengajar bahasa Inggeris, Bella didedahkan dengan bahasa-bahasa berkenaan sejak lahir.

Bella juga dijaga lebih daripada seorang penjaga yang berlatarbelakangkan pelbagai negara.

Penjaganya bukan sahaja mengajar Bella mengenai bahasa dan frasa, malah menceritakan isu-isu dunia, sejarah dunia dan pelbagai topik dari ensiklopedia.

Rakaman telatah Bella telah viral di laman Facebook dan ditonton lebih 8 juta pelayar.

Ahad, 16 Oktober 2016

Rahsia Kantin Tersihat Negara


Menerima pengiktirafan sebagai kafeteria sekolah tersihat dalam negara ini nyata sesuatu yang mengagumkan bagi warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasir Kechil, dekat sini.

Barang kali juga ramai yang tertanya-tanya bagaimana peng­iktirafan itu boleh diberikan, namun segala perso­alan terjawab sekiranya anda berkunjung sendiri ke kantin sekolah tersebut.

Tidak hanya menyajikan makanan sihat dan bersih, keadaan kantin yang ceria, berinformasi, kemas dan tersusun sememang­nya melayakkan pengiktirafan itu diberi oleh Kementerian Ke­sihatan.

Kantin sekolah tersebut yang dikendalikan syarikat Eimpian Enterprise diangkat sebagai satu-satunya kantin sekolah di negara ini yang menerima pengiktirafan sebagai kafeteria sihat.

Kantin yang ingin mendapatkan pengiktirafan tersebut perlu mematuhi beberapa syarat ditetapkan dengan tidak menjual makanan tidak berkhasiat termasuk makanan ringan.

Bukan itu sahaja, pengusaha kafeteria juga perlu mempromosi makanan sihat di premis, mematuhi prinsip amalan pe­ngilangan baik (GMP), tidak menjual rokok atau menyediakan kemudahan merokok serta digalakkan mendapat pensijilan halal.

Bercakap tentang rahsia kejayaan sekolah berkenaan, pemilik Eimpian Enterprise, Mat Zain Itam, 64, mengakui gembira dengan apa yang dilakukannya kerana berjaya memberi perkhid­matan terbaik kepada 'cucu-cucunya' di sekolah tersebut.

“Ibarat memberi makan kepada ahli keluarga, sudah tentu kita mahu memberi yang terbaik. Sama juga di sini di mana makanan dan minuman untuk pelajar dipastikan agar tidak mendatangkan kemudaratan kepada mereka.

“Di sini kami tidak menyediakan nasi lemak sebaliknya hanya nasi putih dan sambal ikan bilis. Para pelajar juga boleh memilih untuk menikmati ikan kembung bakar dan nasi yang dijual pada harga RM1.50,” katanya yang lebih mesra dipanggil Tok Wan oleh murid-murid di situ.

Bagi minuman pula katanya, pihaknya hanya menjual air mineral, air bertapis, milo serta air soya sekali gus menepati piawaian ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan untuk melayakannya menerima pengiktirafan tersebut.

Sementara itu, guru besar sekolah tersebut, Mohd. Bakri Md. Taib berkata, usaha untuk melakukan perubahan di kantin sekolah tersebut bermula kira-kira tiga tahun lalu setelah ada dalam kalangan ibu bapa pelajar yang bekerja dengan Kementerian Kesihatan, menyua­rakan keprihatinannya mengenai perkara itu.

“Usaha tersebut dirancakkan lagi setelah sekolah kami terpilih untuk program 'saya nak sihat' anjuran Unit Pemakanan, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda yang menyasarkan penurunan indeks jisim badan (BMI) untuk para pelajar obes pada tahun lalu.

“Hasilnya, 13 daripada 31 murid sekolah ini menepati sasaran setelah BMI mereka berjaya diturunkan. Apa yang kami lakukan adalah bersandarkan rasa tanggungjawab dan pengiktirafan bukanlah sesuatu yang tidak dijangka,” katanya.

Melalui aktiviti berkenaan katanya, semua murid dapat mempelajari dan mengamalkan budaya pemakanan sihat termasuk dalam kalangan ibu bapa dan waris mereka.

“Selain murid ibu bapa turut diberikan kursus amalan pemakanan sihat.

“Alhamdulillah usaha sekolah ini mendapat kerjasama baik dalam kalangan pengusaha kantin, ibu bapa, murid serta guru sekolah,” katanya.

Akhlak Dan Ilmu Perlu Seimbang


Perubahan lanskap pendidikan dan ekonomi semasa menuntut mu­rid-murid sebagai bakal pe­mimpin generasi akan datang mempunyai keseimbangan dari segi ilmu dan akhlak.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usaha membangunkan murid-murid secara holistik sebagai persediaan pada masa hadapan telah diselaraskan melalui enam aspirasi yang diterapkan dalam pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Katanya, penerapan nilai aspirasi terbabit akan membantu mengembangkan set pengetahuan dan kemahiran murid-murid sebagai persediaan menempuh kehendak pasaran pada abad ke-21.

Menurut beliau, kemahiran yang perlu dimiliki adalah keupayaan untuk bekerja secara berpasukan, kolaboratif, kreatif, imaginatif, berfikiran kritis dan mampu menyelesaikan masalah.

“Dengan perkembangan pesat teknologi yang mempengaruhi kehidupan ketika ini, kita perlu berfikir tentang nilai dan kemahiran yang perlu dimiliki oleh murid-murid kita yang bakal me­nempuhi cabaran masa hadapan yang tidak dapat dibayangkan.

“Justeru, enam aspirasi perlu diterapkan kepada murid-murid iaitu ilmu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran dwibahasa, kemahiran memim­pin, etika dan kerohanian serta identiti nasional,” katanya dalam satu rakaman video kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Mahdzir menambah, pepe­riksaan yang bakal menjelang bukanlah penentu segala, sebaliknya merupakan langkah pertama ke arah pembentukan sahsiah dan jati diri kepada anak-anak sebagai warga yang dapat menyumbang kepada negara.

Beliau turut mengingatkan bahawa era pembe­lajaran secara hafa­lan sudah berlalu kerana ilmu penge­tahuan kini berada di hujung hari dan murid-murid perlu bijak menggunakan kemudahan tersebut bagi pembangunan sahsiah diri.

“Kepada ibu bapa fahamilah setiap anak-anak mempunyai potensi dan bakat masing-masing yang boleh digilap dan diterapkan dengan kemahiran serta dan nilai untuk mereka bersaing pada abad ke-21 nanti, berikan mereka peluang untuk bersinar mengikut kecende­rungan dan bakat yang ada pada mereka.

“Kementerian telah menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti melalui transformasi pendidikan untuk me­letakkan negara satu per tiga teratas dalam sistem pendidikan terbaik di dunia,” ujarnya.

Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut