Ahad, 17 November 2013

Manfaatkan cuti sekolah dengan aktiviti berfaedah


Melentur bulu biarlah dari rebungnya...
Selain ilmu pengetahuan dalam akademik, kemahiran insani dan kemahiran sosial anak-anak perlu diterapkan dalam diri mereka sebagai persediaan menuju alam dewasa.

Masa cuti inilah ibu bapa perlu mengambil peluang untuk memupuk anak agar mereka bijak berkomunikasi, memiliki daya kepimpinan berkualiti, bijak bergaul, cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, mempunyai daya tahan atau kekentalan hati

Tanpa aktiviti yang berfaedah sewaktu cuti sekolah, anak-anak kebiasaannya akan menonton televisyen, melayari Internet bermain permainan berkomputer sama ada secara talian atau sebaliknya. Aktiviti-aktiviti sebegini pula akan membuatkan mereka ketagih dan akhirnya ia akan melarat hingga waktu persekolahan.

Berikut adalah beberapa aktiviti atau program yang boleh mengisi masa anak-anak sepanjang cuti sekolah :

Kem cuti sekolah
Pelbagai kem-kem yang ada sempena cuti sekolah ini. Ambillah peluang dengan menyertai kem (camp) yang berfaedah dan dapat memberi input yang baik pada anak-anak seperti Kem Ibadah, Kem Jati Diri dan sebagainya. Program-program seumpama ini membolehkan pelajar faham hala tuju hidupnya, bijak mengurus masa, tahu cara belajar yang betul, mantap sahsiah dan matang cara fikir. Pastikan ada insurans yang melindungi anak-anak sebab malang tidak berbau dan sukar dihidu.



Sertai kelas kemahiran
Bagi memastikan cuti anak-anak terisi dengan aktiviti berfaedah, mereka juga boleh diberi peluang untuk menyertai kelas jangka pendek seperti kelas memasak (cooking class), kelas muzik, kelas melukis atau kelas seni mempertahankan diri. Walaupun ibu bapa terpaksa mengeluarkan sedikit perbelanjaan bagi memasukkan anak-anak ke program-program ini, namun ia bukanlah pelaburan yang sia-sia bagi masa depan anak-anak. Ini kerana anak yang dibekalkan dengan ilmu kehidupan dan kecemerlangan mampu bersaing dan pergi lebih jauh berbanding dengan mereka yang tidak pernah diberikan pendedahan.


Hadiri kelas intensif
Bagi memastikan masa lapang anak-anak dipenuhi dengan program-program berfaedah, cuba letakkan matlamat agar setiap kali cuti sekolah ada ilmu baru yang diketahui atau kemahiran baru diperoleh oleh anak. Contohnya mereka menghadiri kelas intensif Al-Quran atau kelas intensif bahasa Inggeris. Selain dapat memperbaiki bacaan, mereka juga pasti dapat berkenalan dengan kawan baru.


Program Motivasi.
Anak yang mempunyai imej diri negatif dan sentiasa merasakan bahawa dirinya tidak cukup hebat, tidak pandai, tiada keyakinan diri dan seumpamanya. Keyakinan diri mereka rendah, sebab itu ibu bapa perlu memberikan peluang kepada anak-anak membina keyakinan diri dengan memasukkan mereka ke program-program motivasi. Program motivasi juga mampu membentuk pemikiran minda yang positif serta merangsang perubahan sikap. Ramai anak-anak yang gagal dalam pelajaran atau kehidupan bukan disebabkan mereka tidak bijak sebaliknya disebabkan masalah sikap.


Siapkan tugasan sekolah
Pastikan semua tugasan sekolah yang telah dibekalkan oleh guru sepanjang cuti sekolah ini telah disiapkan. Ibu bapa juga boleh memberi tugasan tambahan sengan membeli buku-buku latihan yang mudah untuk mengukuhkan kemahiran yang telah mereka pelajari.


Membaca buku cerita
Beli buku cerita agar anak-anak dapat menghabiskan masa cuti sekolah dengan membaca buku cerita kegemaran mereka. Aktiviti ini akan memupuk semangat membaca, meningkatkan kemahiran bahasa seperti bina ayat, perbendaharaan kata serta penulisan. Selain itu aktiviti ini juga dapat memberi keyakinan untuk berucap dihadapan orang ramai.


Mengunjung perpustakaan
Luangkan masa anak-anak untuk ke perpustakaan (library). Persekitaran yang sunyi dan tenang pasti memberikan pembacaan yang lebih rileks. Bahan bacaan yang mempunyai nilai-nilai murni dapat dijadikan pengajaran.


Bersiar bersama keluarga 
Ketika cuti sekolah ini cadangkan pada mereka untuk keluar bersiar-siar ke tempat-tempat yang menarik. Aktiviti ini pasti dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.


Melawat saudara
Ambillah peluang pada musim cuti  sekolah ini untuk mengeratkan tali persaudaraan dengan menziarahi sanak-saudara yang sudah lama tidak bertemu.


Melawat ke tempat bersejarah dan ilmiah
Selain membaca buku, melalui lawatan ke tempat-tempat bersejarah atau pusat sains seperti Muzium, Petrosains dan Planetarium juga dapat menambah ilmu pengetahuan (knowledge) anak-anak.


Berkebun bersama ibu bapa 
Berkebun bersama anak-anak boleh dijadikan sebagai salah satu aktiviti masa lapang pada musim cuti sekolah. Selain dapat mempelajari ilmu pertanian, berkebun juga dapat menyihatkan tubuh badan mereka.


Kemas rumah dan bilik tidur
Mungkin sebelum ini tugas mengemas dikendalikan oleh ibu, inilah masa untuk mendidik mereka membantu ibu  mengemas rumah dan bilik tidur (bedroom). Dengan ini juga sikap berdikari dapat dipupuk dalam diri mereka.


Menonton televisyen
Menonton televisyen dapat menenangkan fikiran anak-anak. Walau bagaimanapun ketika cuti persekolahan aktiviti menonton televisyen perlu dihadkan agar mereka tidak menghabiskan sepanjang masa dengan hanya menonton televisyen sahaja.


Beriadah bersama kawan
Anak-anak juga boleh mengisi jadual cuti mereka dengan beriadah bersama kawan-kawan. Selain dapat memberi kesan baik pada kesihatan, ia juga dapat mengeratkan persahabatan mereka dan memupuk mereka agar bijak berkomunikasi serta bergaul secara sihat.


Bergotong-royong
Aktiviti bergotong-royong bersama keluarga seperti mengemas rumah atau kawasan keliling rumah boleh juga dijadikan salah satu aktiviti cuti sekolah. Persekitaran (environment) yang bersih akan mendatangkan suasana harmoni di dalam keluarga. Selain itu aktiviti gotong-royong juga dapa mengeratkan hubungan kekeluargaan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti

Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut