Selasa, 19 November 2013

3 subjek baru untuk murid Tahun Empat



Kuala Lumpur: Mulai tahun depan (2014) murid Tahun Empat sekolah kebangsaan akan mula belajar tiga subjek baru, iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan Sejarah.

Menurut laman web Kementerian Pendidikan, subjek RBT akan menyediakan murid dengan pengetahuan dan kemahiran asas yang membolehkan mereka menyambung pelajaran dalam bidang teknikal atau vokasional di peringkat menengah kelak.

Mata pelajaran itu merangkumi teknikal, sains rumah tangga dan teknologi pertanian, selain elemen merentas kurikulum seperti asas keusahawanan, kreativiti dan inovasi serta teknologi maklumat dan komunikasi.

Mata pelajaran TMK pula fokus kepada penguasaan ilmu dan kemahiran bersesuaian dengan tahap kebolehan murid sekolah kebangsaan dalam lima modul, iaitu dunia komputer, eksplorasi multimedia, sistem rangkaian dan dunia internet, dunia pangkalan data serta pengaturcaraan.


Fahami sejarah negara

Peruntukan 60 minit seminggu yang diajar secara bergilir dengan mata pelajaran RBT, TMK diharap dapat membekalkan murid dengan kemahiran penyelesaian masalah, pemikiran logik, pengurusan maklumat, manipulatif, menaakul serta berfikir secara kreatif, kritis dan berinovasi.

Pengenalan mata pelajaran Sejarah pula bertujuan mendidik murid memahami latar belakang negara dan sejarahnya dengan melihat perubahan berlaku serta kesinambungan yang masih dikekalkan dalam kehidupan masyarakat.

Mata pelajaran itu disusun secara kronologi yang membincangkan pengenalan sejarah awal, diikuti dengan kedaulatan dan kemakmuran negara mengikut tajuk supaya murid dapat menghargai sejarah tanah air dan kegemilangannya.

Subjek itu diperkenalkan di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) sebagai transformasi penambahbaikan kepada kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa.

Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/3subjekbaruuntukmuridTahunEmpat/Article/


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti

Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut