Khamis, 7 November 2013

Aktiviti Merangsang Minda Anak 3-5 Tahun


Tujuh tahun pertama adalah tempoh paling penting dalam perkembangan seseorang kanak-kanak. Otak kanak-kanak umpama span yang menyerap apa saja yang tersaji di sekeliling mereka sama ada baik atau buruk. Inilah sebabnya pakar perubatan, pendidikan dan ilmuwan menyarankan ibu bapa supaya memberi perhatian khusus terutama dalam mendidik anak kerana pada usia begini, anak masih belum dapat membezakan antara yang baik dengan buruk.

Memang semua ibu bapa mengimpikan mempunyai anak yang cerdik, tetapi tidak ramai yang mampu menghantar anak ke prasekolah berprestij. Namun begitu, ada beberapa aktiviti yang boleh kita lakukan sendiri untuk membantu merangsang minda anak terutama yang berumur antara tiga hingga lima tahun.

Dalam tempoh ini, kanak-kanak sepatutnya meneroka persekitaran mereka sebagai persediaan untuk memasuki alam persekolahan. Ketika inilah kemahiran menyelesaikan masalah dan penggunaan bahasa untuk berunding mula terbentuk dalam otak mereka.

Kanak-kanak juga belajar kaedah mewujudkan koordinasi badan bagi melakukan sesuatu seperti menendang bola, kata jurucakap Akademi Paediatrik Amerika (AAP) dan pakar perkembangan kanak-kanak, Dr Michele Macias.


Antara aktiviti yang dicadangkan ialah:

Masa berdua dengan anak 

Walaupun inilah masanya anak kita belajar berdikari, mereka tetap mahukan kehadiran anda dalam pelbagai aktiviti yang dilakukan.

Menurut Dr Macias, meluangkan masa berdua dengan anak sambil berbual dan bertukar idea sebenarnya lebih bermanfaat untuk perkembangan otak si kecil berbanding menghantarnya mengikuti pelbagai aktiviti berbeza.

Masa berdua sangat penting kerana inilah saatnya anda boleh mengajarnya pelbagai kemahiran asas terutama membabitkan soal agama, budi pekerti dan mengenal peribadinya. Inilah juga masanya untuk anda memberikan teguran pada mana-mana kesalahannya dan memberitahu apa yang sepatutnya dia lakukan tanpa si kecil berasa malu berbanding jika ditegur di depan adik-beradik lain.

Malah, pada ketika inilah juga anda boleh bertanyakan perkara yang disukai atau sebaliknya. Biasanya ketika berdua ini sambil melakukan aktiviti kegemarannya, anak akan lebih mudah untuk berbicara dan meluahkan rasa hatinya.


Membaca buku bersama 

Membaca buku bukan saja baik untuk merangsang minda anak, malah ia menjadi saat berkualiti untuk benar-benar berhadapan dengan si kecil.

Kajian menunjukkan membaca buku dengan anak prasekolah dapat memperbaiki kemahiran si kecil mengenal huruf. Berbincang mengenai apa yang dibaca dengan anak dapat membantu meningkatkan pemahaman dan penguasaan bahasanya.


Bermain olok-olok 

Ini permainan yang amat digemari kanak-kanak di seluruh dunia. Kanak-kanak prasekolah berumur tiga hingga lima tahun mempunyai daya imaginasi yang tinggi. Ketika inilah mereka mula bermain dan berpura-pura menjadi guru, ibu, doktor, puteri, watak adi wira atau seumpamanya.

Selain menyeronokkan, permainan imaginasi atau olok-olok ini memberi peluang kepada si kecil mengenali peranan satu-satu watak yang dipilihnya. Anda boleh merangsang perkembangan minda anak dengan memasukkan satu masalah atau insiden supaya dia berfikir cara untuk menangani perkara berkenaan.

Idea yang dilahirkan mungkin boleh membuatkan anda ketawa tetapi ia sebenarnya bersesuaian dengan pengetahuannya. Pakar berkata bermain olok-olok juga boleh
membantu memperbaiki kemahiran bahasa kerana ia membabitkan pemikiran untuk melahirkan satu-satu perlakuan dengan kata-kata dan mengulang semula apa yang mereka dengar. Kemahiran bersosial juga menjadi lebih baik jika mereka bermain dengan adik-beradik lain.


Mempunyai kehidupan sosial 

Kanak-kanak sekarang amat akrab dengan teknologi. Tarikan teknologi ini memang hebat sehingga boleh membuatkan kanak-kanak terpaku dan tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Malah, ia juga boleh membuatkan kanak-kanak hilang banyak kemahiran termasuk penguasaan bahasa, bersosial, berkongsi dan bertolak ansur, bahkan mereka tidak pandai menikmati keseronokan bermain
di luar rumah.

Galakkan anak bermain di luar bersama kawan-kawannya kerana ia akan membantu meningkatkan kemahirannya bersosial. Ketika bermain inilah dia belajar untuk berkawan, berkongsi, bertolak ansur, mengawal diri dan berunding - kemahiran yang sangat penting supaya dia boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Menurut Dr Macias, secara umumnya kemahiran bersosial yang lemah secara tidak langsung akan menjejaskan kesihatan, prestasi di sekolah dan peluang mendapatkan pekerjaan.


Bermain permainan yang ada peraturan dan menguji minda 

Ia akan mengajar kanak-kanak untuk bersabar, menunggu giliran dan mematuhi peraturan. Selain itu kanak-kanak juga akan belajar untuk menerima kekalahan. Mengingati peraturan dikatakan menjadi senaman untuk menguatkan daya ingatan. Permainan fizikal yang juga membantu koordinasi otak dan pergerakan anggota badan.

Mulakan dengan permainan yang mempunyai tiga atau empat peraturan mudah. Pilih permainan yang pendek dan boleh diselesaikan dengan cepat. Permainan menguji minda contohnya teka-teki, silang kata serta menyusun gambar atau warna merangsang minda anak untuk membayangkan jalan penyelesaiannya. Ia juga akan merangsang pergerakan otot jari mereka yang kecil.


Belajar bahasa lain 

Kajian menunjukkan kanak-kanak lebih cepat menguasai bahasa berbanding orang dewasa. Belajar bahasa kedua atau ketiga ketika kecil juga memberi rangsangan berganda kepada bahagian otak yang berperanan untuk menyimpan, menyusun dan mengucapkan kata-kata. Bahasa kedua juga membantu perkembangan kemahiran lisan, memperbaiki penguasaan perkataan dan membaca.


Menonton televisyen bersama-sama 

Ya, pada zaman moden ini kanak-kanak dan televisyen tidak dapat dipisahkan. Namun, pilihlah rancangan bercorak pendidikan yang bersesuaian dengan minatnya. Anda boleh menguji kefahaman anak dengan meminta dia bercerita mengenai apa yang ditontonnya termasuk rancangan kartun. Kehadiran anda membolehkan dia bertanya jika ada perkara yang tidak difahaminya.

Bagaimanapun hadkan masa menonton televisyen kepada satu atau dua jam saja setiap hari. Lebih baik jika tempoh ini turut merangkumi masa untuknya bermain permainan komputer.


Memasuki kelas kanak-kanak

Ini termasuk kelas mempertahankan diri, muzik, lukisan atau apa saja bersesuaian dengan minat mereka. Ia boleh membantu mereka untuk belajar berinteraksi, bersosial, mendengar dan mematuhi arahan serta memperbaiki keseimbangan badan. Tidak kurang pentingnya, ia juga boleh meningkatkan keyakinan diri si kecil.


Aktiviti yang menyeronokkan 

Carilah aktiviti menyeronokkan yang tidak terikat dengan peraturan. Ibu bapa juga perlu terbabit secara langsung dalam aktiviti anak. Ketika ini jangan cuba terlalu mengawal mereka kerana kita mahu anak-anak belajar kemahiran bermain dalam kumpulan dan memimpin selain berfikir secara kreatif bagi menjadikan permainan itu lebih menyeronokkan.

-hmetro.com.my/articles/Rangsangmindaanak/Article/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti

Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut