Jumaat, 11 Oktober 2013

Transformasi pendidikan prasekolah


Kementerian Pendidikan dalam usaha mentransformasikan pendidikan negara meletakkan matlamat melengkapkan setiap murid di negara ini dengan semua kemahiran baharu mengikut keperluan mereka sekali gus menangani cabaran abad ke-21.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang diperkenalkan juga turut menggariskan strategi untuk menggerakkan transformasi ini meliputi semua peringkat persekolahan termasuk prasekolah.


Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, berdasarkan PPPM, kementerian akan memastikan semua kanak-kanak yang memasuki alam persekolahan berpeluang mengikuti pendidikan awal tanpa mengira status sosioekonomi mereka.

"Kementerian sentiasa berusaha meluaskan akses pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan termasuk pendidikan prasekolah dan matlamat itu terkandung pada teras sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pendidikan untuk prasekolah.

"Melalui usaha itu, guru prasekolah yang terlibat akan bersaing dan berkongsi idea serta kreativiti mereka untuk melaksanakan pengajaran menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan projek yang selari dengan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Konvensyen Amalan Terbaik pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Prasekolah Kebangsaan 2013 di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Konvensyen yang bertemakan Memacu Pendidikan Prasekolah melalui Amalan Terbaik dengan fokus menggunakan Pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek, merupakan satu usaha kementerian meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah melalui PdP yang menarik minat murid, kreatif, inovatif dan berkesan.

Melalui penganjuran konvensyen itu, memberi peluang kepada guru bersaing dan mengemukakan satu contoh PdP yang mantap dengan menggunakan pelbagai strategi dan teknik, bersesuaian dengan kehendak Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.

Konvensyen juga bertujuan menghasilkan model PdP menggunakan Pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek sebagaimana yang terkandung dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan sebagai rujukan dan panduan guru prasekolah.

Selain itu, konvensyen berkenaan menjadi platform kepada pihak yang terlibat untuk menyediakan model PdP yang boleh dijadikan penanda aras dalam usaha meningkatkan kecemerlangan guru.

Di samping itu, konvensyen turut memberi idea kepada guru prasekolah untuk merancang pelbagai strategi PdP agar lebih menarik dan menyeronokkan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif.

Definisi Amalan Terbaik dalam Pengajaran dan Pembelajaran bermaksud penghasilan PdP yang selari dengan kehendak kurikulum, kreatif, menarik dan berkesan yang menghasilkan perubahan yang positif di kalangan murid.

Peserta konvensyen sebanyak 54 orang terdiri daripada guru-guru prasekolah kementerian dari seluruh negara.

Mereka membentangkan kertas kerja dan PdP dengan fokus pendekatan pembelajaran berasaskan projek.

Penyertaan peserta dibahagikan kepada empat kategori iaitu bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan bahasa Tamil.

Setiap peserta mengikut kategori dikehendaki terlibat melaksanakan projek di prasekolah masing-masing dengan minimum pelaksanaan projek dihadkan selama tiga minggu, selari dengan kehendak Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.

Berdasarkan projek yang dilaksanakan, peserta dikehendaki menyediakan kertas kerja, membuat pembentangan kertas kerja (dalam masa 15 minit) dengan mempersembahkan PdP yang turut disertai oleh lapan murid.

Aktiviti lain yang dilaksanakan sepanjang konvensyen termasuklah bengkel guru, pembentangan video amalan terbaik PdP dan pameran artifak atau produk.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20131007/pe_01/Transformasi-pendidikan-prasekolah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti

Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut