MUAR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak, terutama sekolah dan ibu bapa, agar sentiasa memantau aktiviti pelajar bagi memastikan keselamatan mereka diawasi.
Beliau berkata meskipun kejadian itu tidak berlaku di kawasan sekolah, perkara sedemikian perlu diberi tumpuan bagi mengelak kes jenayah yang menjadikan pelajar atau murid sekolah sebagai mangsa.
"Memang kita cukup bimbang dan prihatin dengan perkara itu, dan bagi pihak kerajaan, kita tidak boleh pandang mudah, pihak berkuasa seperti polis menyiasat peristiwa itu, dan kita juga harap komuniti dapat bersama-sama untuk membantu.
"Di peringkat sekolah, kita sudah ada beberapa program untuk mengingatkan pelajar tentang keselamatan diri supaya jangan mudah ikut orang luar yang nak pujuk atau membuat apa-apa perkara untuk memikat mereka sebagai tipu helah yang digunakan," katanya kepada pemberita di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh hari ini.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata demikian ketika mengulas kes culik membabitkan pelajar sekolah dan usaha mempertingkat kesedaran mereka tentang keselamatan.
Beliau berkata ibu bapa bertanggungjawab memantau pergerakan anak masing-masing dan memastikan mereka tidak berseorangan agar dapat mengelak kemungkinan menjadi mangsa penjenayah.
Muhyiddin juga meminta pihak pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memberi peringatan berterusan kepada pelajar berkaitan isu keselamatan.
"Orang kata pencegahan lebih baik daripada rawatan. Langkah dan tanggungjawab pimpinan sekolah dan PIBG boleh memainkan peranan untuk menentukan anak mereka sentiasa terkawal dan tidak dibiarkan terdedah dengan kemungkinan yang disebutkan tadi," katanya.
Mengulas kemungkinan menempatkan anggota Rela di sekolah, beliau berkata pasukan itu mempunyai tugas sendiri namun jika difikirkan wajar dan perlu, mereka boleh diserap untuk memantau keselamatan pelajar.
Terdahulu, dalam ucapan beliau, Muhyiddin membidas dakwaan sesetengah pihak bahawa kualiti pendidikan negara tidak setanding negara maju, sebaliknya berkata pelajar Malaysia bukan sahaja diterima universiti terkemuka di dunia malah pernah muncul pelajar terbaik di universiti di United Kingdom dan Amerika Syarikat.
"Kalau orang kata sistem pendidikan kita ini tidak standard, tidak sama dengan yang dicapai di negara lain, itu tidak benar kerana bila mereka keluar daripada SPM, mereka ke universiti, lepas tu mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara dan mereka diterima semua universiti," katanya.
Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan kepada 116 masjid dan surau serta anugerah cemerlang PMR, SPM, STPM dan Darjah Khas sekolah agama Parlimen Pagoh.
Bagi memastikan kualiti pendidikan negara terus cemerlang, beliau berkata kerajaan sedang berusaha menarik satu atau dua universiti luar negara untuk membuka kampus cawangan di Pagoh tidak lama lagi.
Universiti Tun Hussien Onn Malaysia sudah membuka kampus cawangannya di Pagoh, yang bakal menjadi hab pendidikan di selatan tanah air.
Muhyiddin turut meluangkan masa menghadiri program sembang santai bersama pemimpin dan masyarakat India Parlimen Pagoh kira-kira sejam di Pejabat MICBahagian Pagoh di Taman Pagoh Jaya. - Bernama
Tips/Nasihat
- Jangan membiarkan anak-anak ke sekolah atau ke mana-mana tempat tanpa pengawasan.
- Sentiasa mengingatkan atau menasihatkan anak-anak menggunakan jalan yang terang dan ada orang ramai.
- Sentiasa mengingatkan atau menasihatkan anak-anak tidak menggunakan jalan pintas melalui semak samun, padang, tempat letak kereta atau berjalan belakang rumah atau kedai.
- Adakan satu kod khas yang hanya digunakan di kalangan ahli keluarga dan memberitahu anak anda untuk tidak semudahnya mengekori orang yang tidak dikenali dan tanyakan kod khas tersebut jika benar orang tersebut diminta bantuan oleh ahli keluarga untuk mengambilnya.
- Sentiasa mengingatkan atau menasihatkan anak-anak tidak mengambil atau menerima makanan dan minuman dan barang-barang yang diberikan oleh orang yang tidak atau baru dikenali.
- Jangan lewat mengambil anak anda apabila selesai waktu persekolahan atau di lain-lain tempat awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti