Sabtu, 29 Mac 2014

Kesan Kafien Pada Kanak-Kanak


Kafein adalah bahan semula jadi yang dikeluarkan pada bahagian daun dan biji kebanyakan tumbuhan. Ia juga dihasilkan secara tiruan yang ditambah pada jenis makanan tertentu. Kafein juga boleh didapati dalam pemakanan kita setiap hari terutama kopi, teh dan minuman berkarbonat.

Kebanyakan ibu bapa tidak menggalakkan anak kecil minum kopi namun tanpa disedari, mereka mungkin . memberikan minuman yang mengandungi kafein. Pengambilan kafein untuk kanak-kanak seeloknya pada tahap minimum.

Garis panduan dikeluarkan Kanada menyarankan kanak-kanak prasekolah mengambil kafein kurang daripada 45 miligram sehari. Ini setara dengan jumlah purata kafein yang didapati dalam 355 mililiter tin minuman bergas atau empat kepingan (seberat 43 gram) coklat bersusu.

Dalam suatu kajian yang dijalankan penyelidik Pusat Perubatan Universiti Nebraska di Amerika Syarikat ke atas 200 kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun mendapati kira-kira 75 peratus kanak-kanak mengambil kafein setiap hari dan kebanyakannya melalui minuman berkarbonat.

Kajian berkenaan dilakukan di klinik paediatrik dengan cara bertanya soalan kepada ibu bapa yang membawa anak untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan iaitu jenis dan jumlah snek yang diambil oleh anak mereka setiap hari.

Daripada soal selidik itu didapati kanak-kanak berumur lapan hingga 12 tahun mengambil kira-kira 109 miligram kafein sehari; bersamaan dengan tiga tin minuman berkarbonat (350 mililiter setiap tin). Kanak-kanak yang lebih kecil mengambil kurang kafein iaitu kira-kira 36 miligram (satu tin minuman berkarbonat).
Dalam kenyataan bertulis yang ketua penyelidikan itu, Dr William Warzak berkata, lebih banyak kafein diambil, seseorang kanak-kanak itu akan lebih susah hendak tidur. Apabila kurang tidur, daya tumpuan kanak-kanak di dalam bilik darjah akan terjejas.

Sebaliknya kajian lain menunjukkan kanak-kanak yang kurang tidur mengambil lebih banyak kafein dan menghabiskan banyak masa di depan televisyen atau komputer. Tidak cukup tidur dan kurang melakukan aktiviti fizikal (kerana terlalu asyik di depan komputer dan televisyen) mempunyai kaitan rapat dengan peningkatan berat badan.

Memang ada banyak sebab pertambahan berat badan di kalangan kanak-kanak dan kurang tidur adalah salah satu daripadanya yang boleh membuatkan masalah obesiti menjadi semakin meluas. Apa yang lebih membimbangkan ialah kekurangan tidur ini juga akan menyebabkan kanak-kanak cenderung untuk mendapat tabiat lebih buruk iaitu merokok.


Kesan Kafien Pada Kanak-Kanak

Kafein yang bertindak serupa pada kanak-kanak mahupun orang dewasa, merangsang sistem saraf utama. Pada tahap lebih rendah, ia membuatkan pengambil kafein berasa lebih peka dan cergas.

Bagaimanapun, pengambilan kafein yang terlalu banyak boleh menyebabkan gementar, sakit perut, pening, sukar memberi tumpuan, sukar tidur serta peningkatan kadar degupan jantung dan tekanan darah.

Untuk kanak-kanak pula, pengambilan yang sedikit boleh menimbulkan kesan berkenaan;


  • Pengambilan kafein di kalangan kanak-kanak juga harus dihadkan kerana ia boleh meningkatkan risiko kegemukan melampau sebanyak 60 peratus misalnya dengan mengambil 355 mililiter minuman ringan manis sehari.



  • Kanak-kanak yang terlalu banyak mengambil minuman ringan mungkin kurang mendapat khasiat seperti kalsium yang diperlukan daripada susu untuk membina tulang dan gigi kuat.



  • Kafein bersifat diuretik yang menyebabkan tubuh menyingkirkan air (menerusi pembuangan air kencing). Sungguhpun jumlah pengambilan kafein yang boleh menyebabkan kehilangan air dalam tubuh masih belum dapat dipastikan, untuk langkah berjaga-jaga, elak pengambilan kafein berlebihan dalam cuaca panas.


Antara makanan mengandungi kafein termasuk kopi, teh, coklat, aiskrim kopi serta beberapa jenis ubat-ubatan melegakan sakit.

Teh ais pula bukan saja mengandungi banyak gula malah kafein, sama seperti minuman ringan. Pilihan minuman yang lebih baik untuk kanak-kanak termasuk air kosong, susu atau 100 peratus jus buah-buahan.


Pengurangan Kafein

Adakah anda boleh memastikan bahawa anak-anak anda bebas daripada minuman berkafein? Sudah tentu 
boleh! Cara terbaik untuk mengurangkan kafein (dan gula tambahan) adalah menggantikan dengan air kosong, susu atau minuman yang mengandungi 100% peratus jus buah-buahan. Sekali sekala anda boleh menyediakan teh. Namun begitu, pastikan anda membaca label dan ramuan untuk memastikan ia “noncaffeinated” atau kurang mengandungi kafien.

Sekiranya anak atau remaja telah biasa mengambil kopi, terutama bertujuan untuk kekal cergas sehingga 
lewat malam bagi mengulang kaji pelajaran, ia boleh menyebabkan anak remaja ini akan cepat ketagih kepada kafien. Langkah terbaik bagi menghindari masalah ini ialah, dengan mengurangkan pengambilannya secara perlahan-lahan. Ini kerana akibat daripada pengambilan minuman berkafien ini, kanak-kanak dan remaja mudah mendapat sakit kepala dan merasa tertekan. Oleh itu, cuba kenal pasti berapa banyak minuman berkafien yang anak anda perlukan dan gantikan kepada minuman alternatif yang bebas kafein di bawah paras 100 mg.

Pada peringkat permulaan, individu yang cuba mengurangkan pengambilan kafein mungkin akan berasa letih. Jangan bimbang kerana tahap tenaga akan kembali normal dalam masa beberapa hari. 

Sebagai ibu bapa kepada kanak-kanak dan remaja, anda bertanggungjawab untuk memastikan tahap kesihatan dan keselamatan makanan di rumah. Sentiasa pastikan anda dan anak-anak anak mengambil minuman berkafien secara terkawal.

Sumber:
www.hmetro.com.my
www.1pengguna.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti

Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut