Isnin, 24 Februari 2014

PBS Ditangguh



Guru-guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sehingga perkara itu diputuskan oleh Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yuso berkata, Kementerian Pendidikan mengambil serius mengenai isu pelaksanaan PBS yang dibangkitkan oleh guru-guru di samping pandangan tentang kesannya terhadap murid.

Berikut kenyataan penuh Dr Khair Mohamad;


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat memandang serius mengenai isu bebanan tugas yang dibangkitkan oleh guru-guru dalam pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di samping pandangan akan kesannya kepada murid. PBS merupakan dasar yang melibatkan pentaksiran secara menyeluruh (holistik) terhadap pencapaian murid. Dalam hal pelaksanaannya, KPM sentiasa terbuka dan telus terhadap sebarang rungutan, komen, pandangan, kritikan daripada guru-guru dan masyarakat.

Sehubungan dengan itu, selaras dengan arahan YAB Menteri Pendidikan supaya KPM membuat kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PBS, pihak KPM telah mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya agar dapat mengurangkan bebanan tugas guru. Kajian dan penelitian ini difokuskan kepada rombakan terhadap perkara-perkara yang melibatkan kekerapan guru-guru memasukkan data-data berkaitan eviden dan pencapaian murid yang termasuk juga pengisian borang-borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru-guru.

Di samping memastikan kajian dan penelitian tersebut dilaksana secara berkesan, KPM juga telah mengambil langkah-langkah segera bagi menanganinya seperti berikut;

Menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula pada 17 Februari 2014 bagi mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.

Mengadakan perbengkelan yang melibatkan guru-guru termasuk kesatuan-kesatuan guru dalam usaha penelitian dan kajian semula terhadap pelaksanaan PBS. Bengkel tersebut telah dilaksanakan pada awal dan pertengahan bulan Februari 2014 dan hasilnya akan dibentangkan semula kepada KPM dalam tempoh terdekat.

Menubuhkan Jawatankuasa Task Force PBS di peringkat KPM yang mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS.

Mewujudkan War Room PBS di peringkat KPM untuk menangani isu-isu berbangkit berkaitan pelaksanaan PBS dengan segera dan berkesan termasuk membuat maklumbalas segera mengenainya dari semasa ke semasa; dan usaha-usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) juga sedang dilaksanakan di peringkat KPM bagi memastikan guru-guru boleh mengakses sistem tersebut secara lebih mudah dan berkesan.

Kesemua tindakan tersebut diambil adalah bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran secara holistik terhadap murid dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan bebanan tugas guru yang melaksanakannya.

KPM akan memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula berkaitan hal ini termasuk tindakan selanjutnya terhadap pelaksanaan PBS setelah YAB Menteri Pendidikan berpuashati dengan penambahbaikan yang dicadangkan dengan mengambilkira dapatan kajian terbaru KPM, rungutan para guru dan pandangan masyarakat termasuk oleh Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).

Buat masa ini guru-guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga satu kenyataan mengenainya dibuat oleh KPM dalam masa terdekat.

Terima kasih.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140224/dn_03/PBS-ditangguh-teliti-kesan-bebanan-guru


Isnin, 10 Februari 2014

NPQEL Melahir Pentadbir Cemerlang


Pentadbir Penentu Keberhasilan Murid

Dalam Anjakan Kelima Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, kriteria pemilihan pentadbir sekolah, pengetua atau guru besar, bukan lagi berasaskan tempoh perkhidmatan tetapi berfokuskan kecekapan kepimpinan.

Hal ini kerana beberapa kajian antarabangsa tentang kepemimpinan sekolah menunjukkan bahawa pengetua atau guru besar yang cemerlang, iaitu yang memberi tumpuan kepada kepemimpinan instruksional dan bukannya kepemimpinan pentadbiran, dapat meningkatkan keberhasilan murid sebanyak 20 peratus.

Oleh sebab itu, bakal pentadbir sekolah dikehendaki mendapatkan sijil Kelayakan Profesional Kebangsaan bagi Kepimpinan Pendidikan (NPQEL) daripada Institut Aminuddin Baki (IAB) sebelum boleh dilantik sebagai pengetua atau guru besar.

Kursus NPQEL direka bentuk dengan mengambil kira keperluan pengurus dan pemimpin sekolah dalam mengurus dan memimpin sekolah.

Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (National Professional Qualification for Educational Leaders - NPQEL) merupakan satu inisiatif latihan dalam perkhidmatan bagi bidang kepimpinan dan pengurusan anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Program NPQEL adalah kesinambungan daripada program yang dahulunya dikenali sebagai Sijil Kelayakan Profesional Kepengetuaan Kebangsaan (National Professional Qualification for Headteachers - NPQH). Program NPQH ini bertujuan untuk membentuk satu kelompok pemimpin pelapis yang bakal menerajui institusi pendidikan, khususnya sekolah, ke tahap yang cemerlang dan unggul. Hal ini adalah selaras dengan matlamat yang digariskan dalam National Key Results Area (NKRA) bagi KPM.

Program NPQEL berlangsung dalam tempoh satu tahun, enam bulan pertama di IAB dan bakinya dilaksanakan di sekolah bagi Program Sandaran.

Dan salah satu program wajib untuk memenuhi keperluan kursus ini adalah program penanda arasan yang dilaksanakan selama dua minggu di sekolah terpilih dalam daerah peserta.


SYARAT-SYARAT PERMOHONAN NPQEL

Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang layak memohon hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) yang sedang berkhidmat dan telah disahkan dalam perkhidmatan sekarang pada tarikh
tutup permohonan.

2. Kelayakan Akademik dan Ikhtisas:

Calon PPPS (guru sekolah rendah/menengah) hendaklah sekorang-kurangnya memiliki Ijazah Sarjana Muda atau yang setaraf dengannya dan Diploma Pendidikan/Sijil Perguruan atau yang setaraf dengannya.

Calon PPPLD hendaklah sekurang-kurang memiliki SPM/MCE atau yang
setaraf dengannya dan Diploma Pendidikan/Sijil Perguruan atau yang
setaraf dengannya


3. Tiada had umur ditetapkan untuk permohonan ini.

4. Bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah hendaklah telah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun dalam Skim Perkhidmatan Siswazah pada tarikh tutup permohonan

5. Mencapai Laporan Nilaian Prestasi Tahunan Gred A (purata 85 markah ke atas) bagi tempoh 3 tahun terkini.

6. Tidak pernah dikenakan apa-apa tindakan tatatertib, bersih daripada pertuduhan tatatertib dan bebas daripada dakwaan mahkamah.

7. Pemohon mestilah sihat fizikal dan mental. Pemohon dikehendaki mengemukakan laporan kesihatan, jika perlu.

8. Sasaran utama adalah guru-guru penolong kanan dan pegawai di PPD/PPG, JPN dan bahagian KPM.







Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut