Isnin, 19 Ogos 2013

Puasa Enam Dan Fadilatnya


Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan.

Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda;


Ertinya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan, dan diikuti dengan enam hari dalam bulan Syawal maka dia seumpama berpuasa sepanjang tahun”. (Hadis riwayat Muslim)

Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Kita perlu fahami bahawa sesiapa yang melakukan dua perkara; pertama, berpuasa pada bulan Ramadan. Kedua, berpuasa enam hari pada Bulan Syawwal. Maka ganjarannya seperti dia berpuasa setahun. Ertinya, jika dia hanya berpuasa Ramadan sahaja tanpa enam hari pada bulan Syawwal, dia tidak memperolehi fadilat ini. Demikian juga jika dia hanya berpuasa enam hari pada bulan Syawwal tanpa diselesaikan puasa Ramadan, maka dia juga tidak memperolehi fadilat ini.

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Menurut Abu Hurairah ra ; “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].

Puasa enam hari dalam bulan Syawal boleh dilakukan berselang-seli tetapi sebaik-baiknya dilakukan secara berturutan selepas Hari Raya Pertama. Ini kerana melewatkannya akan menimbulkan rasa malas,
sedangkan bersegera melakukan ibadat adalah lebih afdal.

Menurut ulama terkemudian dalam Mazhab asySyafie seperti al-Khatib asy-Syarbini dan Imam ar-Ramli, orang yang menunaikan puasa kerana qadha, nazar atau sebagainya (selama enam hari) dalam bulan Syawal, akan memperolehi pahala puasa sunat Syawal.


Kelebihan puasa enam Syawal

Antara keistimewaan puasa enam Syawal adalah:

* Puasanya sama seperti ganjaran berpuasa selama setahun.

Dalam hadis riwayat Imam Muslim telah disebutkan Nabi SAW menjelaskan sesiapa yang berpuasa Ramadan dan menambah enam hari pada bulan Syawal sama seperti berpuasa setahun. Imam Nawawi menyatakan, setiap kebaikan akan digandakan oleh Allah sebanyak sepuluh kali ganda.

Tambah beliau lagi, barang siapa melengkapkan Ramadan maka ganjaran pahalanya sama seperti puasa sepanjang 10 bulan. Puasa enam hari Syawal digandakan sepuluh bersamaan 60 hari dan bersamaan dua bulan. Oleh itu, puasa Ramadan ditambah enam hari bulan Syawal sama pahalanya seperti puasa setahun.

* Melengkapkan kekurangan yang terdapat dalam ibadah puasa pada Ramadan.

Al-Hafiz Ibnu Rajab menyatakan, puasa enam hari Syawal akan melengkapkan kekurangan dan kecacatan yang terdapat ketika mana seseorang itu melaksanakan ibadah puasa Ramadan. Beliau mengkiaskan dengan kelebihan solat sunat rawatib sebelum mahupun selepas solat fardu yang menampung kekurangan terdapat padanya.

* Supaya manusia tidak lupa menunaikan puasa sunat lain.

Dengan mensyariatkan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal, manusia akan terlatih untuk meneruskan puasa sunat yang lain. Kemungkinan seseorang muslim itu terlupa untuk meneruskan ibadah puasa sunat lain setelah menyambut Aidilfitri namun dengan adanya puasa sunat enam hari Syawal sekurang-kurangnya memberikannya peringatan dan motivasi untuk terus berpuasa, tidak semata-mata menunggu kedatangan Ramadan akan datang.


Utamakan qada puasa

Berkenaan mana lebih penting, puasa ganti atau puasa sunat, seelok-eloknya kita mempercepatkan qada dengan menggantikan puasa yang ditinggalkan dalam bulan Ramadan.

Ulama membahaskan keutamaan iaitu adakah lebih perlu menggantikan puasa Ramadan sebelum berpuasa sunat. Majoriti ulama menyatakan, seseorang yang meninggalkan puasa Ramadan seelok-eloknya menggantikan puasa itu sebelum meneruskan puasa enam hari bulan Syawal.

Sebahagian ulama pula berpendapat, seseorang yang wajib menggantikan puasa seperti wanita didatangi haid perlulah mendahulukan puasa wajib iaitu mengqadakan puasa ditinggalkan sebelum melaksanakan puasa sunat Syawal.

Pada pandangan mereka, urusan wajib perlulah disegerakan dan tidak boleh didahulukan dengan urusan lain walaupun urusan berbentuk sunat.

Syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin berkata, sebahagian ulama membenarkan mendahulukan puasa enam hari Syawal ke atas puasa ganti. Namun pengecualian itu hanya untuk puasa enam hari Syawal saja.

Perkara ini juga untuk memudahkan wanita turut sama mendapat kelebihan menunaikan puasa enam Syawal. Jika mereka mendahulukan puasa ganti kemungkinan mereka tidak sempat menunaikan puasa sunat Syawal.


Bolehkah menggabungkan Puasa Enam dengan Qada Puasa? 
Tonton Video dibawah;


Sumber:
http://www.islah.edu.my/
http://pusatislam.unimap.edu.my/
http://zaharuddin.net/
http://www.islam.gov.my/
http://drmaza.com/


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti

Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut