Selasa, 21 Mei 2013
LINUS 2.0 bantu murid kuasai bahasa Inggeris
Putrajaya: Program peningkatan pencapaian murid dalam penguasaan literasi dan numerasi (LINUS) membabitkan penguasaan menulis serta membaca dalam bahasa Melayu akan diperluaskan kepada bahasa Inggeris, yang dikenali sebagai LINUS 2.0.
Ini berikutan pencapaian memberangsangkan program LINUS sejak diperkenalkan pada 2010 dengan 99.84 peratus pelajar Tahun Tiga yang mengikuti program itu sejak 2010 berjaya menguasai literasi (menulis dan membaca) manakala 99.92 peratus pelajar berjaya menguasai asas numerasi (mengira).
Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Shamsuri Sujak, berkata daripada jumlah itu hanya 0.15 peratus atau 692 adalah pelajar yang perlu mengikuti pemulihan literasi manakala 0.08 peratus atau 346 lagi memerlukan pemulihan numerasi.
Mulai sesi 2013
Bagaimanapun, katanya, jumlah terbabit dalam pemulihan itu adalah mereka yang dikategorikan sebagai murid berkeperluan khas merangkumi pelajar kurang upaya, menghadapi kecacatan fizikal, cacat penglihatan dan pendengaran.
“Berdasarkan kejayaan ini, program LINUS akan diteruskan dalam bahasa Inggeris bermula sesi persekolahan 2013 bagi memastikan penguasaan murid dalam literasi bahasa Inggeris.
“Melalui program ini, murid yang menghadapi masalah literasi bahasa Inggeris akan menerima bantuan dan sokongan tambahan melalui LINUS 2.0 bagi membolehkan mereka setara dengan rakan lain dalam arus perdana,” katanya pada satu sidang media di sini, semalam.
Shamsuri menjelaskan, saringan asas akan dilaksana di kalangan pelajar Tahun Satu pada Jun 2013 bagi menentukan tahap literasi murid dalam bahasa Inggeris supaya murid yang memerlukan perhatian khusus dikenal pasti. - Berita Harian
Tip pengajaran bahasa Inggeris di peringkat awal
1. Berikan anak-anak anda pendedahan dan latihan kepada bahasa ibunda dan bahasa Inggeris yang sedang dipelajarinya secara sama rata.
2. Anak-anak anda perlu mendengar dan bertutur bahasa asing itu secara kerap bagi menguasai perkataan serta tatabahasa bahasa tersebut.
3. Ibu dan bapa adalah tenaga pengajar yang paling berkesan untuk anak-anak memahirkan diri sekali gus menguasai bahasa kedua. CD atau DVD tidak begitu memberikan impak yang sama seperti komunikasi yang berlangsung antara anak dengan ibu dan bapanya.
4. Gunakan bahasa Inggeris dalam apa jua situasi seperti bermain, membeli-belah atau berbual bersama anak-anak. Kaedah ini boleh mempercepatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris anak-anak anda.
5. Bacakan sesuatu bahan bacaan dengan menggunakan bahasa Inggeris serta bahasa ibundanya. Ini adalah cara terbaik untuk meningkatkan lagi pengetahuan tentang perbendaharaan kata serta memupuk skil membaca sejak dari awal.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Mengenai Saya
- Titian Ilmu
- Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti