Khamis, 5 Oktober 2017

MYREN-X Berkeupayaan 100 Gbps


MYREN-X Berkeupayaan 100 Gbps

Malaysian Research and Education Network (MYREN) dilancarkan pada bulan Mac 2005 merupakan rangkaian yang berkelajuan tinggi khusus untuk sektor pendidikan di samping untuk memperluaskan penyelidikan di Malaysia. MYREN adalah projek di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah pengurusan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Inisiatif jalur lebar rangkaian penyelidikan dan pendidikan MYREN kini dijenamakan semula sebagai MYREN-X dengan kelajuan 100 Gigabit sesaat (Gbps) bagi menghubungkan 150 institusi pengajian tinggi seluruh negara.



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, melalui infrastruktur ini, MYREN-X dijangka memacu kecemerlangan penyelidikan dan pendidikan tinggi masa hadapan negara.


Katanya, menerusi penyelidikan, Malaysia berharap infrastruktur ini dapat menghasilkan saintis-saintis bertaraf Nobel Laureatte selain mentransformasikan pendidikan tinggi negara berciri abad ke-21.

"Saya menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan Tinggi atas inisiatif penubuhan sebuah konsortium yang terdiri 20 buah universiti awam yang dinamakan MYREN Networks Sdn. Bhd.,” katanya sewaktu berucap pada majlis pelancaran MYREN-X di Dewan Tunku Canselor,  Universiti Malaya di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi,  Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Komunikasi dan Multimedia,  Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak.


MYREN-X Beri Manfaat Luas

Inisiatif jalur lebar rangkaian penyelidikan dan pendidikan Malaysia (MYREN) yang dijenamakan semula sebagai MYREN-X memberi manfaat kepada pelbagai pihak termasuk golongan penyelidik serta pelajar dengan kemampuan merentas sempadan ke luar negara tanpa halangan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, infrastruktur tersebut yang akan digunakan di 150 institusi pengajian tinggi termasuk universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di negara ini mampu memberi lonjakan pelaksanaan Massive Open Online Courses (MOOC), JukeBox, Sistem Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA) dan Program Dua Universiti + Dua Industri (2u2i) di bawah inisiatif mereka bentuk pendidikan tinggi (Redesigning Higher Education).


Selain itu, katanya, pemba­ngunan MYREN-X yang menelan belanja sebanyak RM330 juta itu juga memberi penjimatan mela­lui penambahbaikan peralatan sedia ada dan infrastruktur MYREN yang telah dilancarkan sebelum ini.

“Ia merupakan kontrak lama yang telah dibuat melalui MYREN tanpa melibatkan pihak lain dan hanya menggunakan peralatan sedia ada.

Kita juga akan menggunakan rangkaian baharu yang memberi banyak penjimatan.

“Jadi MYREN-X ini memberi banyak manfaat kepada pelbagai pihak lebih-lebih lagi golongan pelajar yang boleh membuat penyelidikan dan pembelajaran sehingga melangkaui negara lain lebih me­luas tanpa ada halangan,” kata­nya dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Infrastruktur Siber Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi 100 Gigabit sesaat MYREN-X di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yang turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur
Sejak 12 tahun, Malaysia membangunkan rangkai­an Penyelidikan dan Pendidikan (REN) melalui MYREN.

Idris berkata, UM menjadi pelopor kepada infrastruktur MYREN-X sebelum diperluaskan kepada universiti awam dan institusi pendidikan tinggi yang lain.

“Sebelum ini mereka hanya mempunyai jalur lebar berkelajuan hanya lima gigabit per saat (Gbps). Kini dengan peningkatan sehingga hampir 20 kali ia menjadi satu lonjakan kepada sektor pendidikan tinggi di negara ini,” ujarnya.

Sumber :
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/myren-x-berkelajuan-100-gbps-dilancar-1.534066

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/myren-x-beri-manfaat-luas-1.534152

https://myren.net.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti

Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut