BAJET 2013 DALAM
MEMPERKASA PENDIDIKAN DAN LATIHAN
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025
58. Sememangnya sejak merdeka,
Kerajaan telah menjadikan bidang pendidikan
sebagai agenda utama
negara. Kerajaan juga menyedari pelaburan dalam bidang ini adalah prasyarat
kepada sebuah negara yang makmur dan
pembangunan rakyat yang sejahtera.
Lalu, setiap tahun menyaksikan peruntukan besar
dan kali ini 21 peratus daripada keseluruhan bajet. Namun, didapati hasil
yang diperolehi tidak setara dengan pelaburan yang telah
dibuat. Maka, pada 11 September
lepas, Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran telah melancarkan
Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi memastikan
sistem pendidikan negara akan mampu mengoptimumkan potensi setiap anak
Malaysia.
59. Bagi Bajet 2013, sebanyak
38.7 bilion ringgit telah diperuntukkan
kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan
mengurus dan pembangunan.
60. Berbicara tentang itu, langkah meningkat upaya
kompetensi dan kualiti guru merupakan
prasyarat kritikal yang
menunjang kejayaan
sistem pendidikan negara. Oleh itu, bagi menjana mula prakarsa ini, di samping
38.7 bilion ringgit peruntukan kepada Kementerian
Pelajaran bagi perbelanjaan mengurus dan
pembangunan, Kerajaan akan
menyediakan peruntukan tambahan sebanyak 500 juta ringgit bagi
meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran subjek-subjek teras, yakni Bahasa
Kebangsaan, bahasa Inggeris, sains dan matematik
melalui pendekatan Higher Order Thinking
Skills. Peruntukan ini juga merangkumi penubuhan
Unit Pelaksanaan Pendidikan atau Education
Delivery Unit bagi memantau dan
menilai keberkesanan pelaksanaan transformasi pelan tersebut.
61. Pada pembentangan
Bajet 2012, Kerajaan
telah menyediakan sebanyak 1 bilion ringgit di bawah Tabung
Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan
Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk
membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan
pembinaan blok tambahan. Untuk meneruskan komitmen Kerajaan, sukacita
saya mengumumkan tambahan 1 bilion ringgit lagi kepada Tabung khas ini.
Daripada jumlah ini, 400 juta
ringgit akan disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan, 100
juta ringgit kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 100 juta
ringgit Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil,
100 juta ringgit Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah
Agama Bantuan Kerajaan, 100 juta ringgit Sekolah Berasrama Penuh dan 100 juta
ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA.
Memperkukuh Pendidikan Awal Kanak-Kanak
62. Melangkah ke ruang pendidikan awal kanak-kanak, kualiti pendidikan prasekolah
amat penting sebagai platform
melengkapkan kanak-kanak dengan
pendidikan asas. Untuk ini, sebanyak 1.2 bilion ringgit disediakan bagi tujuan pendidikan prasekolah
termasuk kepada
Jabatan Kemajuan
Masyarakat,
Kementerian Pelajaran,
PERMATA dan Jabatan
Perpaduan dan Integrasi
Nasional. Sebagai tambahan, sebanyak 380 juta ringgit disediakan di bawah Kementerian Pelajaran untuk penempatan guru prasekolah.
63. Berhubung perkhidmatan taska
dan pusat jagaan kanak-kanak
yang
berkualiti pula, demi memastikan kanak-kanak mendapat penjagaan sempurna di samping membangunkan
perkembangan minda yang
positif,
Kerajaan mencadangkan insentif-insentif berikut:
Pertama: Geran
pelancaran 10 ribu ringgit kepada
penyedia Pusat
Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE) swasta untuk membantu mereka membuka
taska
baru yang
berkualiti. Dianggarkan 1,000 ECCE swasta baru akan mendapat manfaat;
Kedua: Potongan cukai 2 kali ke atas elaun atau subsidi yang diberi kepada pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan
taska dan
pusat
jagaan kanak-kanak
akan diberi
kepada majikan;
Ketiga:
Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 5 tahun dan elaun bangunan
industri pada kadar 10 peratus setahun diberi kepada pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak swasta; dan
Keempat:
Pengecualian cukai pendapatan untuk tempoh 5 tahun dan elaun bangunan
industri pada
kadar 10 peratus
setahun
kepada pengusaha pra-sekolah swasta.
64. Pada
masa ini, kita
dapati ramai kanak-kanak
kurang upaya dari keluarga berpendapatan rendah yang
tidak mendapat pendidikan awal kerana kekurangan taska OKU. Untuk ini Kerajaan akan melaksanakan projek perintis taska
OKU bagi 6 kategori kanak-kanak
OKU yang merangkumi down syndrome, autisme, penglihatan, pekak dan bisu, fizikal dan OKU masalah pembelajaran.
Latihan dan Kemahiran
65. Berganjak kepada soal modal insan, yang berpengetahuan, kreatif dan inovatif, program
latihan akan dibentuk untuk
mengasah kemahiran
baru selaras
dengan keperluan
industri masa depan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju. Bagi tujuan ini, pada tahun 2013, sejumlah 3.7 bilion ringgit akan disediakan untuk melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional
66. Setiap
tahun hampir
180 ribu graduan berkelulusan diploma dan sarjana muda menamatkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi. Untuk membantu mereka yang masih menganggur, maka Kerajaan akan melancarkan Graduate Employability Blueprint pada penghujung tahun 2012. Rangka kerja ini akan memberi tumpuan untuk memperkukuh kebolehpasaran graduan. Dalam hal ini, Kerajaan akan menubuhkan Graduate Employability Taskforce dengan peruntukan 200 juta ringgit.
67. Kerajaan telah melaksanakan Program Skim Latihan 1Malaysia atau dikenali sebagai SL1M yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan melalui latihan
soft-skills dan on-job-training di syarikat swasta melalui galakan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan oleh pihak syarikat. Galakan ini telah diberi mulai 1 Jun 2012 sehingga tahun 2016.
68. Kerajaan juga memperuntukkan
440 juta ringgit kepada
Perbadanan Tabung Pembangunan
Kemahiran bagi memberi
pinjaman
kepada pelatih untuk
menjalani latihan kemahiran.
Langkah ini akan
dapat memanfaatkan hampir 40 ribu pelatih di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap 1 hingga 5. Kerajaan
juga memperuntukkan 366 juta ringgit bagi menaik taraf
serta pembelian peralatan Institut Latihan Perindustrian dan Institut Kemahiran Belia Negara.
69. Pelbagai program latihan kemahiran akan dilaksanakan selaras dengan matlamat mentransformasikan industri utama negara berteras kepada teknologi tinggi, berinovatif serta berpendapatan tinggi. Ke arah ini, tumpuan akan diberi bagi melahirkan tenaga kerja profesional dan berbakat di dalam industri terpilih termasuk industri
minyak dan
gas, perkapalan, ICT,
kreatif serta bioteknologi. Bagi tahun 2013,
dijangka seramai 5,000 pelatih akan menyertainya. Di
samping itu, Petronas akan menggunakan kemudahan Institut Kemahiran Belia Negara di Pengerang, Johor untuk melatih seramai 300 orang belia menjelang akhir tahun ini dalam bidang minyak dan gas bagi memenuhi
keperluan projek RAPID.
70. Kerajaan sedar tentang pelajar miskin masyarakat India, terutamanya dari
estet-estet yang tidak memperolehi keputusan yang baik dalam
peperiksaan dan tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan. Selaras dengan itu, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit untuk melatih
3,200 pelajar
masyarakat India bagi memperlengkapkan
mereka dengan kemahiran, selaras permintaan pasaran. Latihan ini akan dikendalikan oleh Institut Latihan Perindustrian dan kolej-kolej di bawah Skim Latihan Dual Nasional.
71. Bagi memastikan golongan pekerja swasta adalah sentiasa sihat dan produktif
dalam menyumbang kepada pembangunan
syarikat dan
ekonomi negara, aspek kesihatan mesti diberi keutamaan. Untuk ini, PERKESO akan menyediakan peruntukan
sebanyak 200 juta ringgit bagi membolehkan ahlinya seramai 1.4 juta orang
menjalani pemeriksaan kesihatan secara
percuma di hospital Kerajaan atau klinik panel PERKESO. Pemeriksaan
kesihatan ini bertujuan untuk mengesan penyakit tidak berjangkit, kepada semua pekerja yang berumur antara 40 hingga 55 tahun.
Petikan daripada : http://www.treasury.gov.my/data/ucapan/ub13.pdf