Sabtu, 28 Julai 2012

Al-Quran dan Sains

Asal mula alam semesta digambarkan dalam Al Qur'an pada ayat berikut:

“Dialah pencipta langit dan bumi.” (AlQuran; Surah Al-An'aam Ayat 101)

Keterangan yang diberikan Al Qur'an ini bersesuaian penuh dengan penemuan ilmu pengetahuan masa kini. Kesimpulan yang didapati astrofizik saat ini adalah bahawa keseluruhan alam semesta, beserta dimensi benda dan masa, muncul menjadi ada sebagai hasil dari suatu letupan yang besar yang tejadi dalam sekejap. Peristiwa ini, yang dikenali dengan "Big Bang", membentuk keseluruhan alam semesta sekitar 15 bilion tahun lalu. Cakerawala raya tercipta dari suatu ketiadaan sebagai hasil dari letupan satu titik tunggal. Kalangan saintis moden menyetujui bahwa Big Bang merupakan satu-satunya penjelasan masuk akal dan yang dapat dibuktikan mengenai asal mula alam semesta dan bagaimana alam semesta muncul menjadi ada.


Sabtu, 21 Julai 2012

Kelebihan Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.


http://www.masjidnegara.gov.my - Tazkirah Kelebihan Ramadhan 

SEMBAHYANG TARAWIH

1. Hukum Sembahyang Tarawih:

a) Hukumnya sunat muakkad (yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan samada secara berseorangan atau berjamaah.

b) Sunnat dikerjakan di masjid, surau dan lain-lain tempat sembahyang orang-orang Islam.

2. Waktu Sembahyang Tarawih:

Waktu sembahyang Tarawih ini ialah selepas menunaikan sembahyang Fardhu Isya’.

3. Rakaat Sembahyang Tarawih:

a) Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan sembahyang Tarawih ini sebanyak 20 rakaat, tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar 8 rakaat sahaja.

b) Pada zaman Rasulullah s.a.w. sembahyang Tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat saja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan.

c) Pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab pula beliau menambah lagi menjadikan 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan sembahyang sebanyak itu.

d) Sembahyang Terawih hendaklah ditunaikan dua rakaat, pada tiap-tiap satu kali takbiratul-ihram kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki.

4. Lafaz Niat Sembahyang Tarawih:


Adab-adab dan sunat puasa

Antara adab-adab dan perkara sunat ketika menunaikan ibadat puasa ialah;

1. Bersahur dan mengakhirkan sahur

Bersahur merupakan amalan sunat berdasarkan hadith yang
diriwayatkan daripada Anas r.a., bahawa Nabi S.A.W. bersabda:

Maksudnya:
“Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Sahur adalah berkat kerana ia membantu menguatkan orang yang berpuasa.
Waktu bersahur ialah bermula pada pertengahan malam hingga terbit fajar namun disunatkan mengakhirkan waktu bersahur. Diriwayatkan daripada Zaid bin Thabit bahawa beliau berkata:

Maksudnya:
“Kami telah bersahur bersama Rasulullah s.a.w., kemudian kami bangkit untuk solat (subuh). Dan kadar antara azan (subuh) dan sahur ialah sekadar (bacaan) lima puluh ayat.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Seseorang itu sudah dikira bersahur walaupun dengan minum seteguk air. Sabda Nabi S.A.W.:

Maksudnya:
Sahur itu berkat, maka janganlah kamu tinggalkannya walaupun seorang antara kamu (hanya) meneguk seteguk air.
(Riwayat Ahmad)



2. Mempercepatkan berbuka puasa apabila terbenamnya matahari.

Sabda Rasulullah S.A.W.:

Maksudnya:
Kekallah umatku dengan kebaikan selagimana mereka mempercepatkan berbuka puasa.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Begitu juga disunatkan berbuka puasa dengan tamar. Sekiranya tiada tamar maka sunat dengan air. Sunat juga berdoa ketika berbuka. Antara doa Rasulullah S.A.W. ketika berbuka ialah:


3. Sunat beriktikaf sepanjang bulan Ramadhan khususnya pada sepuluh hari terakhir Ramadhan.

4. Tidak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak dan tujuan puasa.

Puasa bukanlah sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah sama ada berupa iktikad, perbuatan atau pertuturan.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya:
Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan mengamalkannya maka Allah tidak berhajat pada apa yang ia tinggalkan dari makanan dan minumannya.”
(Riwayat al-Bukhari)


Rasulullah S.A.W. juga memerintahkan kepada orang yang berpuasa sekiranya berhadapan dengan celaan atau permusuhan maka hendaklah ia sabar dan berkata: “Aku berpuasa.”

5. Tadarus Al-Quran. Jibrail A.S. bertadarus Al-Quran dengan Rasulullah S.A.W. pada setiap malam sepanjang bulan Ramadhan.

Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut