Isnin, 2 Mei 2016

Tokoh Nilam


SIRI Jelajah Resensi bersama Tokoh Pembaca (Nilam) Sekolah Rendah Negeri Pahang telah diadakan bagi membudayakan tabiat membaca kalangan murid. Nur Alyaa Zaheeda Kamarulzaman dari Sekolah Kluster Kecemerlangan SK Pekan Jaya Pekan merupakan Tokoh Pembaca bagi kategori Bahasa Melayu, manakala Hajar Khadija Sofea Mohd Shaharuddin dari Sekolah Berprestasi Tinggi SK Seri Biram Pekan Pahang merupakan Tokoh Pembaca bagi kategori Bahasa Inggeris.

Masing-masing telah membaca lebih 360 judul buku dan dianugerahi Pingat Nilam iaitu pencapaian tertinggi dalam Program Nilam (Nadi Ilmu Amalan Membaca) anjuran Kementerian Pendidikan (KPM). Sebanyak 11 sekolah dari daerah Pekan, Kuantan, Muadzam dan Zon Chini terlibat dalam siri jelajah ini. Program ini berjaya memupuk tabiat membaca dalam kalangan murid-murid seawal usia mereka.

Selain berkongsi maklumat pembacaan kedua tokoh ini telah menyampaikan pengucapan awam daripada pelbagai isu yang dipilih seperti pencemaran, laman sosial, dan pendidikan. Kedua-duannya telah dibimbing oleh Cikgu Norafizah Abdul Razak dan Cikgu Muhamad Hazrul Hafiz yang merupakan Guru Perpustakaan dan Media sekolah masing-masing.

Program Jelajah Resensi Buku merupakan aktiviti dalam Tahap Rakan Pembaca yang menekankan kepimpinan dalam pembacaan. Melalui aktiviti ini pelbagai strategi boleh digunakan dalam melahirkan pembaca berkesan dalam Pendidikan Abad Ke-21.

Idea yang diperoleh semasa membaca akan digunakan secara bebas dalam perbincangan dan menjadi rakan pembaca yang berjaya. Mereka mampu menarik ramai rakan untuk berkongsi minat. Budaya ilmu dan pembacaan akan membawa pemikiran mereka ke tahap tinggi (High Order Thinking Skills).

Rakan pembaca yang berjaya mempunyai keyakinan diri, menjadikan mereka pelajar yang efektif, dan mampu menjadi ejen yang dapat mempamerkan potensi diri selaras dengan ciri Pendidikan Abad Ke-21.

Amalan budaya suka membaca dan kemampuan menarik orang lain untuk membaca merupakan suatu keadaan di mana wujudnya budaya sekolah yang mampu mencapai tahap amalan dan minat membaca yang sejati.



Menurut Cikgu Norafizah, Guru Cemerlang Perpustakaan dan Media yang juga Jurulatih Program Nilam Pahang, tabiat membaca harus dipupuk  seawal usia kanak-kanak lagi dalam melahirkan generasi yang cintakan ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/cikgu-cikgi/nur-alyaa-hajar-baca-360-judul-buku-1.511151

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti

Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut