Teknologi maklumat merupakan medium yang telah banyak merubah cara kehidupan manusia. Pada dasarnya, tujuannya adalah untuk memudahkan sesuatu. Sekiranya ia digunakan dengan niat yang betul, sudah tentu akan membawa manfaat dan kesejahteraan hidup. Jika sebaliknya, maka akan membawa perkara yang sia-sia dan merugikan.
Dengan teknologi maklumat dan komunikasi, kita dengan mudah memperolehi ilmu dan maklumat. Kita juga boleh berhubung antara satu sama lain, melakukan transaksi perbankan, membuat pembayaran seperti bil-bil dan banyak lagi kemudahan yang boleh kita perolehi melalui internet. Melihat kepada manfaatnya, kita hendaklah celik dan peka terhadap penggunaanya kerana kemudahan tersebut menawarkan maklumat dan ilmu yang sangat banyak, dan Islam memang menghendaki umatnya untuk sentiasa menimba dan meningkatkan ilmu pengetahuan.
Dalam beberapa kajian yang telah dijalankan (Funkhouser, 1993; Henderson and Landersman, 1992; Chazan, 1988; Mc Coy, 1991; Al Ghamdi, 1987) didapati bahawa:
- Pelajar yang menggunakan komputer dalam matematik mempunyai sikap yang lebih positif terhadap dirinya sebagai ahli matematik dan berkeupayaan menyelesaikan masalah yang lebih kompleks.
- Perisian komputer yang digunakan dalam proses pengajaran akan dapat membantu pelajar memahami konsep dan prinsip matematik dengan mudah dan berkesan.
- Pencapaian pelajar dalam peperiksaan akhir menunjukkan peningkatan yang ketara.
- Kumpulan yang belajar berbantukan komputer mempunyai kemampuan mengekalkan maklumat dalam jangka masa yang lebih lama dan dapat menggunakannya dalam bidang-bidang lain.
Penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran melibatkan beberapa aplikasi, seperti spreadsheet, multimedia dan internet. Peranan dan penggunaan internet telah mula dikenalpasti dapat membantu pengurusan dalam sistem pendidikan negara khususnya dalam pelaksanaan proses pengajaran pembelajaran di dalam dan luar bilik darjah yang secara langsung melibatkan para pendidik, pelajar dan ibubapa serta ahli masyarakat yang prihatin.
Namun tidak dinafikan juga, ia mempunyai keburukan dan memberikan kesan negatif yang boleh mempengaruhi fikiran dan minda, boleh merosakkan moral dan akhlah, boleh menjejaskan keselamatan awam dan negara, dan lebih buruk lagi mengugat akidah umat Islam. Melalui internet sahaja, seseorang itu boleh mendapatkan maklumat yang berkemungkinan tidak betul atau kurang tepat. Selain itu, terdapat juga peristiwa atau laman web yang mempunyai unsur tidak beretika dan
tidak bermoral seperti paparan gambar pornografi, penyebaran fahaman yang bertentangan dengan agama Islam, perjudian dan penipuan dalam urusan jualbeli melalui Internet.
Ibubapa perlu memberikan pendidikan agama dan menerapkan pembentukan akhlak yang mulia ke dalam jiwa anak-anak. Selain itu, ibubapa perlu tegas mendidik anak-anak untuk menggunakan internet bagi tujuan yang baik dan bermanfaat sahaja, dan mengatur masa dengan bijak agar tidak terlalai dan leka ketika melayari Internet.
Sungguhpun kita hidup di zaman yang semuanya mudah, cepat dan jimat. Namun perlu juga disedari bahawa ia juga membawa perubahan kepada kehidupan kita, seperti cara bersosial, berkomunikasi dan sebagainya. Kita juga harus berwaspada dan berhati-hati terhadap pihak yang sentiasa cuba merosakkan akhlak dan minda serta akidah umat Islam. Para ibubapa, guru dan masyarakat wajib melindungi kanak-kanak dengan sentiasa memberi bimbingan dan nasihat kepada mereka akan etika ketika melayari Internet.