Sabtu, 12 Julai 2014

3 Ele­men Menjadi Guru Cemerlang



SETIAP guru perlu menguasai tiga ele­men iaitu komited, sedia berkorban serta mengamalkan perkongsian intelektual jika mahu menjadi seorang pendidik yang cemerlang.

Itu pesanan Tokoh Guru Kebangsaan 2012, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib yang menegaskan, untuk menjadi seorang guru cemerlang, mereka perlu komited dan beri komitmen terhadap kerja serta sayang kepada kerjaya perguruan.

“Malah guru-guru juga perlu sedia berkorban tanpa mengira masa. Selain itu, mereka juga perlu bersedia mengamalkan perkongsian intelektual pengalaman masing-masing.

“Ketiga-ketiga elemen ini perlu ada kerana pengorbanan guru sangat besar terutama ketika berdepan dengan para pelajar. Mereka juga perlu mening­katkan ilmu pengetahuan disebabkan keperluan pendi­dikan sekarang berubah dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubu­ngi baru-baru ini.

Ahmad Azmey yang juga me­rupakan Tokoh Guru Pahang 2011 berkata, setiap guru juga perlu me­ningkatkan pengetahuan dan kreativi­ti masing-masing disebabkan bidang pendidikan yang sentiasa berubah setiap tahun.

“Guru-guru perlu sentiasa me­ning­katkan pengetahuan lebih daripada yang sering diajar di bilik darjah terutama dalam mengatasi sesuatu masalah kerana pelajar-pelajar sekarang lebih cerdik.

“Jadi guru perlu sentiasa mengikut perkembangan semasa. Guru-guru perlu tingkatkan pengetahuan kerana keperluan semakin berubah terutama dengan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi," katanya.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Pendidikan Menengah dan Rendah Felda berkata, golongan pendidik juga perlu mempunyai keupayaan untuk membentuk pelajar menjadi lebih kreatif dan holistik.

“Tidak kira guru dalam mata pelajaran apa sekalipun, mereka mesti memiliki keupayaan untuk membentuk individu (pelajar) yang holistik," jelasnya.

Tambah beliau, bidang pendidikan juga perlu tertumpu kepada pembangunan sahsiah, karakter serta intelektual yang mana guru-guru perlu menjalankan program-program yang boleh membantu dalam aspek pembangunan pendidikan.

“Pastikan para pelajar dapat membentuk sahsiah secara holistik. Ini le­bih penting daripada mengutamakan akademik semata-mata," katanya.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20140630/pe_04/Guru-perlu-kuasai-tiga-elemen




Isnin, 7 Julai 2014

Kesan buruk medium sosial


Media sosial antara medium komunikasi paling hangat pada abad ini sehingga sudah menjadi sebahagian keutamaan hidup.

Bilangan pengguna Internet di Malaysia dijangka meningkat kepada 25 juta orang menjelang 2015 berbanding 18 juta pada 2012, demikian menurut Laporan Ekonomi 2013/3014 dikeluarkan Kementerian Kewangan.
Menurut laporan itu, kadar penembusan jalur lebar isi rumah pula meningkat kepada 66.8 peratus pada akhir Jun 2013 manakala kadar penembusan telefon mudah alih melebihi 100 peratus, kini terdapat 42.6 juta langganan.

Kehadiran media sosial membawa kepada perubahan ke arah penyertaan masyarakat secara dalam talian.


Penggunaan media sosial yang mudah diakses antara kelebihannya. Hal ini disebabkan aplikasi terdapat di media sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat hingga terlupa pada masa sama mampu memberi kesan negatif terhadap gaya hidup.

Kesan penggunaan media sosial yang meluas menyebab­kan fitnah mudah berlaku.

Mengikut laporan sebuah portal berita tempatan pada 18 Mac 2014, pelbagai cerita dan spekulasi berterusan ditulis di media sosial.

Masing-masing mengeluarkan teori rekaan sendiri untuk menunjuk pandai dan mempengaruhi pembaca agar mempercayai tulisan mereka itu.

Kemudahan media sosial sering disalah guna untuk kepentingan peribadi.

Menurut Sengupta dan Chaudhuri (2008), penyalahgunaan maklumat yang tidak benar serta menghantar ugutan dan mesej agresif dikira sebagai ‘Internet abuse’ sekali gus mampu mencemarkan maruah, kedudukan dan tekanan kepada individu.

Kesan penggunaan media sosial juga tidak boleh menafikan mampu mewujudkan individu bersifat anti sosial terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Menurut Cris Rowan (2010), pendedahan pada ­pel­bagai jenis penggunaan teknologi selama lapan jam sehari akan menyebabkan kanak-kanak menjadi tidak aktif secara fizikal dan merugikan golongan itu keseluruhannya jika tidak ditadbir dengan sistematik.

Media sosial juga ­mengakibatkan tekanan hidup dalam kalangan masyarakat terutama golongan remaja.

Arnett (1999) menggambarkan kehidupan remaja sebagai kehidupan yang sentiasa bergelora. Sikap mengejar kemewahan penggunaan media sosial menjadi satu budaya dalam kehidupan masa kini.

Keterlaluan penggunaan media sosial menyebabkan ibu bapa dan anak kurang mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang dan berdamping antara satu sama lain.

Keadaan ini menyebab­kan remaja membawa cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa. Keluarga yang terlalu mewah cara hidupnya juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja.

Cara menangani kesan media sosial adalah melalui pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan.

Masalah atau tekanan adalah sebahagian daripada asam garam kehidupan. Manusia tidak dapat mengelak daripada mengalami ­tekanan, namun mempunyai kekuatan dan upaya untuk mengurus tekanan dan menyelesaikan masalah.

Malah, tekanan juga memberi dorongan untuk seseorang melonjakkan diri mereka ke arah hidup yang lebih cemerlang sekiranya mereka dapat menguruskan tekanan dengan baik.

Kerajaan juga hendaklah memainkan peranan untuk mengurangkan kejadian media sosial yang mendatangkan tekanan kepada masyarakat.

Pihak kerajaan perlu me­ngetatkan undang-undang dan peraturan terhadap segala kegiatan penyalahgunaan media sosial.

Mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bertang­gungjawab memantau dan menangani isu ­sensitif yang mengancam ­keselamatan negara seperti isu perkauman dan
agama.

Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pula bertanggungjawab mengendalikan semua urusan berkaitan dengan Internet serta mengambil alih kuasa pelesenan terhadap spektrum penyiaran dan komunikasi.

Sebagai pengguna media sosial, kita perlu ­mengamalkan gaya hidup sihat. Amalan kehidupan yang harmonis boleh ­mengurangkan tekanan hidup.

Pengalaman sikap bertoleransi, sabar dan ceria dalam pergaulan seharian mampu mengelakkan pertelingkahan.

Individu perlu berhati-hati dan bijak dalam perkongsian pendapat dan komen serta perbincangan di media sosial.

‘Mencegah itu lebih baik daripada mengubati’. Dengan ini, kita dapat mengurangkan risiko berlakunya penyalahgunaan media sosial, sekali gus mengurangkan masalah sosial dan jenayah daripada berlaku.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kesanburukmediumsosial/MA/Article/index_html


FACEBOOK MENGANCAM UMAT ISLAM HARI INI
-Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman



Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut