Memaparkan catatan dengan label Karangan BM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Karangan BM. Papar semua catatan

Selasa, 26 Februari 2013

Penggunaan kata adjektif berkaitan perasaan



PERKATAAN sayang tergolong ke dalam sejumlah kata adjektif yang membawa konsep perasaan. Contoh lain, antaranya malu, marah, benci, berani, kasih, ragu, takut dan lain-lain lagi.

Dalam bahasa Melayu, jika kata adjektif hendak diluaskan struktur unsurnya (konstituen) dengan menambahkan kata nama selepasnya, maka lazimnya, kata adjektif itu diikuti oleh kata sendi nama seperti 'akan', 'pada', 'kepada' dan seumpamanya.

Perhatikan ayat-ayat contoh berikut ini:

1. (a) Penduduk di kampung itu sangat benci dengan perangai buruk pemuda itu.

(b) Penduduk di kampung itu sangat benci akan perangai buruk pemuda itu.

2. (a) Anak muda kini suka akan hiburan bercorak muzik.

(b) Anak muda kini suka pada hiburan bercorak muzik.

3. (a) Adik bongsu Kuswadi takut akan hantu.

(b) Adik bongsu Kuswadi takut pada hantu.

4. (a) Megawati amat sayang terhadap anak dan menantunya.

(b) Megawati amat sayang akan anak dan menantunya.

(c) Megawati amat sayang kepada anak dan menantunya.

Kata-kata adjektif dalam ayat (1) hingga (4) diikuti oleh kata sendi 'dengan', 'akan', 'pada' 'kepada' dan 'terhadap'.

Ayat-ayat tersebut salah jikalau ayat-ayat itu tidak mengandungi kata sendi nama selepas kata adjektif kerana kata-kata adjektif itu merupakan kata adjektif yang memerlukan kata sendi nama selepasnya.

Oleh yang demikian, salahlah jikalau ayat-ayat di atas ditulis begini:

1. (c) *Penduduk di kampung itu sangat bencikan perangai buruk pemuda itu..

2. (c) *Anak muda kini sukakan hiburan bercorak muzik.

3. (c) *Adik bongsu Kuswadi takutkan hantu.

4. (c) * Megawati amat sayangkan anak dan menantunya.

Lain pula halnya jikalau kata-kata adjektif itu dijadikan kata kerja dengan menambahkan imbuhan yang sesuai.

Misalnya, sayang dijadikan menyayangi, benci menjadi membenci, suka menjadi menyukai dan menyukakan, kata adjektif takut menjadi menakuti dan menakutkan, dan kata adjektif rindu menjadi merindu, dan merindukan.

Bagi kata adjektif rindu, kadang-kadang orang tersilap dalam penggunaan bentuk rindu akan, merindu dan merindukan.

Frasa rindu akan ialah frasa adjektif (kata adjektif + kata sendi), manakala merindu dan merindukan ialah kata kerja transitif. Daripada ketiga-tiga bentuk kata tersebut dapat dibinakan ayat-ayat seperti yang berikut:

5. Latifah rindu akan kekasihnya.

6. Sejak pemergian kekasihnya di perbatasan, sejak itulah dia merindu.

7. Rosnita merindukan kampung halamannya.

Frasa sendi rindu akan tidak boleh menjadi *rindukan seperti dalam ayat:

(9) *Pungguk rindukan bulan.

Ayat ini salah kerana kata adjektif rindu tidak dapat menerima akhiran -kan (semua kata adjektif tidak boleh menerima akhiran -kan dalam bahasa Melayu melainkan jika hendak mengubah kelas katanya). Sebaliknya kata adjektif rindu itu perlu menerima kata sendi 'akan'.

Jikalau akhiran -kan hendak digunakan, maka perlulah kata adjektif rindu diubah menjadi kata kerja merindukan. Jadi ayat (9) itu betul jika kata rindukan menjadi merindukan seperti dalam ayat

(10) Pungguk merindukan bulan.

Harus diingat juga, apabila kata adjektif disertai akhiran -kan, maka kata yang tadinya daripada golongan kata adjektif itu berubah kelasnya menjadi kata kerja pasif, dan hal ini akan melibatkan berlakunya hukum tentang bentuk ayat pasif pula.

Misalnya, kata adjektif takut ditiadakan maka terbentuklah perkataan takutkan. Perkataan takutkan bukan kata kerja transitif, tetapi kata kerja pasif.

Dengan kata kerja transitif menakutkan kita dapat membentuk ayat aktif transitif seperti:

(11) Saya menakutkan kanak-kanak itu.

dengan maksud 'menyebabkan' atau 'menjadikan' kanak-kanak itu takut.

Daripada ayat-ayat aktif ini sebagai ayat dasar, kita dapat membentuk ayat pasif songsang seperti yang berikut:

(11a) Saya takutkan kanak-kanak itu.

Ayat (11a) ini berbeza dari segi semantik dengan ayat (12) di bawah

(12) Saya takut akan kanak-kanak itu.

Makna ayat (11a) ialah bahawa 'kanak-kanak itu takut', sementara makna ayat (12) ialah bahawa 'saya dan bukan kanak-kanak itu yang takut'.

Perhatikan perbezaan ketiga-tiga ayat berikut ini:

(13) Saya gemarkan buah-buahan tempatan.

(13a) Saya gemar akan buah-buahan tempatan.

(13b) Saya menggemari buah-buahan tempatan.

Ayat (13) *Saya gemarkan buah-buahan tempatan, berbeza maknanya dengan ayat (13a) Saya gemar akan buah-buahan tempatan, atau (13c) Saya menggemari buah-buahan tempatan. Ayat (13) bermakna buah-buahan menjadi gemar oleh perbuatan saya, tetapi bukanlah saya gemar akan (menggemari) buah-buahan tempatan.

Demikianlah beberapa tatacara penggunaan kata adjektif bahasa Melayu yang betul. Penggunaan tatacara yang betul ini dapat membantu pengguna bahasa Melayu berbahasa persis.

http://utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130218/pe_02/Tatacara-penggunaan-kata-adjektif-berkaitan-perasaan


Khamis, 14 Februari 2013

Penjodoh bilangan untuk kata nama benda hidup



DALAM kegiatan berbahasa, lumrah didapati pengguna bahasa Melayu cenderung meninggalkan penjodoh bilangan.

Ada dalam kalangan mereka berpendapat bahawa tidak menggunakan penjodoh bilangan sebelum sesuatu kata nama tidak akan menjejaskan maksud sesuatu ayat. Tanpanya, pembaca tetap dapat memahami maksud ayat.

Dalam media massa, sama ada media cetak atau media elekronik dapat kita temukan ayat-ayat contoh seperti yang berikut:

1. Lima pendatang tanpa izin ditangkap oleh polis.

2. Beberapa jalan di kawasan itu ditenggelami air.

Kedua-dua ayat 1 dan 2 akan menjadi persis apabila penjodoh bilangan orang dan batang dibubuh di hadapan kata nama pendatang (ayat 1) dan jalan (ayat 2).

Ketiadaan penjodoh bilangan juga menerbitkan maksud yang pelbagai. Kepelbagaian maksud itu menyebabkan maksud ayat tidak khusus.

Dalam ayat contoh 1 misalnya, bilangan 'enam' itu boleh jadi membawa maksud jumlah individu atau jumlah kumpulan, atau jumlah gerombolan.

Hal ini menunjukkan betapa pentingnya penjodoh bilangan untuk menyampaikan maklumat yang tepat.

Di samping itu, penjodoh bilangan berfungsi untuk mengindahkan gaya bahasa selain melembutkan serta menimbulkan lenggang-lenggok bahasa yang menarik. Tanpa penjodoh bilangan, kelembutan dan keindahan bahasa tidak berapa ketara.

Apakah penjodoh bilangan? Penjodoh bilangan ialah perkataan yang terletak di antara kata bilangan dan kata nama sesuatu frasa nama.

Pendeta Za'ba menamakan penjodoh bilangan sebagai "pemadan bilangan".

Dalam tulisan kali ini, saya akan berbicara tentang penjodoh bilangan untuk kata nama hidup.

Dalam bahasa Melayu, kata nama hidup dapat dibahagikan kepada dua, iaitu manusia dan bukan manusia. Penjodoh bilangan untuk manusia berbeza daripada penjodoh bilangan bukan manusia.

Penjodoh bilangan untuk manusia bergantung pada jumlah bilangan nombor atau bilangan kuantiti. Penjodoh bilangan untuk manusia yang menunjukkan jumlah bilangan ialah orang.

Bagi bilangan yang menunjukkan kuantiti pula, penjodoh bilangannya ialah kumpulan, pasukan dan gerombolan.

Beberapa ayat contoh yang menggunakan penjodoh bilangan tersebut ialah:

3. Seorang pelancong asing sedang makan di restoran itu.

4. Enam orang kanak-kanak tadika bermain di padang permainan.

5. Beberapa kumpulan sukarelawan telah berangkat sebentar tadi.

6. Dua pasukan kriket di daerah kami bertemu dalam perlawanan akhir.

7. Segerombolan pengganas telah ditawan oleh askar kerajaan di tepi rawa.

Penjodoh bilangan gerombolan digunakan untuk kumpulan orang jahat, seperti samseng, pengganas, penjenayah, penjarah, penyamun dan seumpamanya.

Organ di dalam tubuh manusia seperti usus, jantung, paru-paru, pankerias, hempedu, limpa dan lain-lain tidak menggunakan penjodoh bilangan, kecuali organ hati yang diberi penjodoh bilangan keping, seperti sekeping hati.

Penjodoh bilangan untuk benda bernyawa bukan manusia dapat dibahagikan kepada dua, iaitu binatang dan makhluk lain.

Seperti halnya dengan penjodoh bilangan untuk manusia, penjodoh bilangan untuk binatang juga bergantung pada jumlah bilangan atau jumlah kuantiti.

Bagi menunjukkan jumlah bilangan (nombor), penjodoh bilangannya ialah ekor. Penjodoh bilangan yang menunjukkan kuantiti pula ialah kawan. Contoh dalam ayat:

8. Saya membeli dua ekor itik bemban.

9. Beberapa ekor kerbau balar berkubang di sawah.

10. Pemburu itu terserempak dengan sekawan gajah.

Penjodoh bilangan ekor digunakan untuk semua binatang, sama ada bersaiz besar atau kecil, tidak kira binatang itu mempunyai ekor atau tidak. Semut, ketam dan siput binatang yang tidak mempunyai ekor, tetapi tetap menggunakan penjodoh bilangan ekor.

Binatang yang menerima penjodoh bilangan ialah binatang yang dapat dikira dan dilihat. Binatang yang bersaiz mikro, yakni yang bersaiz halus seperti bakteria, ameba, virus, kuman, dan protozoa tidak menggunakan penjodoh bilangan.

Kita tidak menyebut seekor bakteria, lima ekor virus atau beberapa ekor kuman.

Jenis benda bernyawa bukan manusia yang kedua, iaitu makhluk asing, ialah seperti malaikat, syaitan, iblis, bidadari dan bunian.

Masyarakat Melayu menggolongkan makhluk jenis ini kepada dua, iaitu golongan yang baik dan golongan yang jahat.

Makhluk yang baik dikatakan berperangai seperti manusia. Makhluk tersebut ialah bidadari dan bunian, dan penjodoh bilangannya ialah orang.

11. Tujuh orang bidadari telah turun dari kayangan ke taman tuan puteri.

12. Orang kampung mengatakan Tok Ketua telah berkahwin dengan seorang bunian.

Demikian huraian berkenaan dengan penjodoh bilangan untuk kata nama benda hidup. Dalam siaran akan datang, dibincangkan pula penjodoh bilangan bagi benda tidak bernyawa.

http://utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130211/pe_02/Penjodoh-bilangan-untuk-kata-nama-benda-hidup




Isnin, 4 Februari 2013

Bentuk kata 'ada' sebagai kata penegas



KATA penegas tergolong dalam golongan kata tugas. Kata penegas disebut juga partikel.

Partikel ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat.

Ayat yang mengandungi kata penegas ialah ayat penegas kerana mengandungi sesuatu penegasan tentang sesuatu perkara.

Kita mengenal sesuatu ayat penegas itu melalui adanya kata penegas dalam binaan predikat ayat. Dengan adanya kata penegas itu, hal atau perkara yang hendak ditekankan, atau yang hendak diutamakan dapat disampaikan dengan jelas dan berkesan.

Selain partikel -kah, -lah, -tah (penegas frasa predikat, dan bahagian-bahagiannya), juga, jua, pun, sahaja, lagi dan memang (penegas frasa subjek dan frasa predikat), kata kerja tak transitif ada juga dapat berfungsi sebagai penegas ayat.

Sebagai kata penegas, ada menjadi unsur dalam binaan predikat ayat. Ayat yang mengandungi kata ada dinamai ayat penegas.

Perhatikan penggunaan kata penegas ada dalam ayat-ayat contoh yang berikut ini:

1. Saya / ada bersamanya ketika kejadian itu terjadi.

2. Dia / ada mengatakan hal itu kepadanya.


Dalam ayat (1) dan (2), kata penegas ada yang menjadi unsur utama predikat ayat digunakan untuk menegaskan kesungguhan sesuatu hal yang hendak diperkatakan.

Hal demikian itu terkandung dalam makna frasa kerja ayat (1) dan (2), iaitu ada bersamanya dan ada mengatakan. Jadi, untuk menegaskan frasa kerja, maka kata penegas ada dapat digunakan.

Bagaimana pula halnya untuk menegaskan frasa nama, frasa adjektif dan frasa sendi nama?

Untuk frasa adjektif dan frasa sendi nama, kata penegas ada perlu ditambahkan dengan partikel -lah di belakangnya, lalu membentuk kata adalah.

Harus diingat, dalam golongan kata bahasa Melayu, kata adalah ialah kata pemeri.

Fungsi kata pemeri tidak lain daripada tugasnya sebagai unsur yang menjadi pemeri hal selain sebagai perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat.

Dengan kata lain, maksud pemerian merupakan suatu penegasan juga. Hal yang demikian ini dapat kita perhatikan dalam ayat-ayat contoh seperti yang berikut:

3. Komputer riba ini adalah untuk anak bongsunya.

(adalah diikuti oleh frasa sendi nama dan penegas frasa sendi nama "untuk anak bongsunyanya")

4. Kenyataan saksi perbicaraan itu adalah benar.

(adalah diikuti oleh frasa adjektif dan penegas frasa adjektif "benar")

Untuk frasa nama, kata pemeri ialah bukan adalah digunakan kerana penggunaan ialah dapat menunjukkan pemerihalan secara persamaan atau akuatif.

Oleh itu, untuk maksud yang demikian itu, ialah hadir di hadapan frasa nama. Contohnya dalam ayat:

5. Wanita itu ialah pramugari.

(ialah diikuti oleh frasa nama, dan penegas frasa nama "pramugari")

Untuk tujuan pertanyaan pula, partikel -kah digabungkan dengan kata ada dan ia membentuk kata tanya adakah dan iakah. Partikel -kah pada kata ada, dan ia bertujuan semata-mata untuk menegaskan hal yang ditanyakan.

Lihatlah tanya jawab yang berikut yang menunjukkan cara kata penegas tanya itu digunakan:

6. Adakah Syahmi datang ke sini?

Ya, Syahmi ada datang ke sini.

7. Adakah berita itu benar?

Ya, berita itu adalah benar.

8. Iakah lelaki itu abangmu?

Ya, lelaki itu ialah abangku.

Harus diingat bahawa kata tanya apakah tidak boleh dijadikan kata penegas tanya seperti adakah atau iakah.

Perhatikan betapa janggalnya ayat tanya yang menggunakan kata tanya apakah dalam ayat tanya berikut:

9. Apakah keluarganya merestui perkahwinanmu?

Seharusnya: Adakah keluarganya merestui perkahwinanmu?

10. Apakah orang itu mantan merinyu polis?

Seharusnya: Iakah orang itu merinyu polis?

11. Apakah bandar Melaka ibu negeri Melaka?

Seharusnya: Adakah bandar Melaka ibu negeri Melaka?

Begitulah huraian tentang bentuk kata ada yang berfungsi sebagai kata penegas dalam ayat bahasa Melayu.

http://utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130204/pe_03/Bentuk-kata-ada-sebagai-kata-penegas


Sabtu, 2 Februari 2013

Cara betul penggunaan awalan ter-


Awalan ter- ialah awalan asli bahasa Melayu. Awalan ter- ini dapat digabungkan dengan kata dasar daripada pelbagai golongan kata utama (kata nama, kata kerja dan kata adjektif) bagi membentuk kata kerja terbitan.

Misalnya, daripada kata nama buku, dayung, nama, paku dan pelajar terbitlah kata kerja terbuku, terdayung, ternama, terpaku, dan terpelajar. Daripada kata kerja transitif ambil, beli, makan, pukul dan suruh lahir kata kerja terambil, terbeli, termakan, terpukul, dan tersuruh. Kemudian, daripada golongan kata kerja tak transitif baring, duduk, diam, jatuh dan sandar, terbit kata kerja terbaring, terduduk, terdiam, terjatuh dan tersandar.

Daripada kata adjektif baik, cantik, masyhur, pandai dan tinggi, terbit kata kerja terbaik, tercantik, termasyhur, terpandai, dan tertinggi.

Kata kerja (KK) dengan awalan ter- terdiri daripada dua jenis, iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Kata kerja transitif itu pula terbahagi kepada dua bentuk lagi, iaitu kata kerja transitif aktif, dan kata kerja transitif pasif.

Kata kerja transitif aktif ialah kata kerja yang diikuti oleh objek atau penyambut, dan objek atau penyambut itu hendaklah terdiri daripada frasa nama.

Peraturan ini samalah seperti objek yang mengikuti kata kerja transitif aktif berawalan me-. Perhatikan ayat-ayat yang berikut ini:

1. Ruslan terbaca buku yang tebal itu.

2. Adik termakan lauk yang pedas ini.

3. Ramlah membaca majalah Dewan Siswa.

4. Pembinaan pangsapuri itu telah memakan masa dua tahun.

Kata-kata buku dan lauk dalam ayat 1 dan 2 ialah objek kata kerja terbaca dan termakan, sementara Dewan Siswa dan masa satu tahun dalam ayat 3 dan 4 ialah objek kata kerja berawalan me-, iaitu memakan dan membaca. Semua objek yang berkenaan terdiri daripada frasa nama belaka.

Demikianlah persamaan yang terdapat antara kata kerja transitif aktif berawalan ter- dengan kata kerja transitif aktif berawalan me-.

Dalam bahasa Melayu juga, ada kata kerja yang terhasil daripada gabungan kata dasar dengan imbuhan ter- berfungsi sebagai kata kerja ayat pasif.

Contoh:

5. Kulit pisang itu terpijak oleh Razid.

6. Pasukan bola baling sekolah tertewas oleh pasukan pelawat.

Dalam ayat-ayat di atas, unsur pasif dinyatakan melalui struktur kata kerja berawalan tertewas oleh pasukan pelawat.

Dalam ayat pasif ini, struktur oleh + frasa nama membawa maksud pelengkap pelaku, iaitu yang menerima akibat sesuatu perbuatan.

Kadang-kadang seluruh struktur oleh + frasa nama digugurkan, meninggalkan susunan ayat dengan kata kerja berawalan ter- sahaja, tetapi disedari bermaksud pasifnya kerana makna yang tergambar, iaitu yang sedia dan telah sempurna jadinya. Contoh:

7. Pakaian seragam itu terpakai di sekolah kami.

Berasal daripada ayat “Pakaian seragam itu terpakai oleh kami di sekolah kami."

Kata kerja tak transitif dengan awalan ter- pula ialah kata kerja yang tidak memerlukan objek atau penyambut sesudahnya, tetapi dapat diikuti oleh pelengkap. Contoh:

8. Mohamad terduduk setelah mendengar berita itu.

9. Pekerja kontrak itu tersandar di tiang bangunan.

10. Murid-murid terdiam apabila dimarahi pengetua.

Ungkapan setelah mendengar berita itu (ayat 8), di tiang bangunan (ayat 9), dan apabila dimarahi pengetua (ayat 10) ialah pelengkap kepada kata kerja terduduk, tersandar dan terdiam.

Demikianlah huraian tentang awalan ter- dalam bahasa Melayu yang membentuk kata kerja terbitan. Anda harus berhati-hati sewaktu menggunakan ayat yang berawalan ter- kerana adakalanya ayat itu berbentuk aktif, dan ada ketikanya pula berbentuk pasif.

http://utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130128/pe_02/Cara-betul-penggunaan-awalan-ter-





Sabtu, 7 April 2012

Panduan bagi Penghasilan Penulisan Cemerlang

Panduan bagi Penghasilan Wacana Penulisan Cemerlang
  • Banyakkan membaca bahan bacaan tambahan berfaedah seperti akhbar, majalah dan buku cerita yang bersesuaian untuk meneliti kesinambungan isi-isi.
  • Sentiasa merujuk kepada kamus untuk mengetahui erti perkataan atau kosa kata baharu bagi penulisan.
  • Baca dan semak semula penulisan yang telah ditanda oleh guru.
  • Teliti pengajaran guru berdasarkan pengolahan wacana yang tepat dan kemas. Elakkan tanda tanya dalam wacana.


Panduan Khusus bagi Penulisan

  • Perlu memahami betul-betul kehendak soalan.
  • Catatkan apa sahaja isi-isi yang terlintas dalam fikiran, kemudian susun mengikut isi yang lebih penting.
  • Tulis berdasarkan rangka yang disediakan.
  • Penulisan mestilah mempunyai pendahuluan, isi-isi dan penutup.
  • Bagi penulisan meminta fakta, sekurang-kurangnya mempunyai tiga isi (seelok-eloknya cari empat isi) dan setiap perenggan mengandungi satu isi.
  • Gunakan ayat yang pendek dan bahasa yang mudah.


Kelemahan Murid dalam Penulisan

  • Murid tidak mengemukakan isi yang menepati tajuk atau kehendak soalan.
  • Isi yang dikemukakan tidak mencukupi (iaitu kurang daripada empat).
  • Penulisan panjang, tetapi isi yang dikemukakan berulang.
  • Murid tidak menghuraikan isi yang dikemukakan.
  • Tidak memberikan contoh untuk menguatkan isi yang dikemukakan.
  • Tidak mempunyai kesinambungan antara satu isi dengan satu isi yang lain.
  • Tidak menggunakan penanda wacana yang sesuai untuk menunjukkan kesinambungan isi atau ayat.
  • Tidak menggunakan kosa kata yang sesuai.
  • Struktur ayat tidak kemas, selain terdapat kesalahan ejaan.


Langkah-Langkah Penulisan Karangan

Perkara paling penting untuk diimbas kembali sebelum penulisan, murid hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak sesuatu soalan. Selepas itu, fikirkanlah pula tentang:

  • Pengenalan;
  • Isi-isi; dan
  • Penutup.
  1. Pengenalan
    Setiap penulisan mestilah mempunyai pendahuluan atau pengenalan. Dalam pengenalan, hendaklah diperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Murid hendaklah menarik perhatian pembaca supaya membaca penulisan itu. Pengenalan dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pendahuluan penulisan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam kepada pembaca.
  1. Isi-Isi
    Isi hendaklah mengikut kehendak sesuatu tajuk penulisan itu. Penulisan perlu mempunyai empat isi. Isi yang lebih tidak menjadi perkara pokok, tetapi mungkin akan menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait antara satu dengan lain. Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan khusus. Isi yang utama mestilah didahulukan. Sebaik-baiknya, satu isi bagi satu perenggan, kecuali jika isi pendek-pendek dan berkait rapat. Tiap-tiap perenggan tidak semestinya sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Hal ini demikian kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain. Pastikan isi supaya tidak terkeluar daripada tajuk yang dikehendaki. Elakkan penggunaan isi yang bercanggah dengan tajuk. Isi penulisan hendaklah asli, iaitu tidak ditiru bulat-bulat daripada penulisan lain. Dalam mendapatkan isi yang berkualiti, murid hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, menyaksikan sendiri dan daripada pengalaman sendiri. Jangan campur adukkan isi. Elakkan daripada menulis sesuatu isi dalam perenggan yang sama. Catatkan setiap isi sebelum menulis.

    Tip Penulisan
    Antara kaedah mengenal pasti isi ialah (mengikut kaedah pertanyaan):
    • Apa?
    • Siapa?
    • Bila?
    • Mengapa?
    • Di mana?
    • Bagaimana?
  1. Penutup
    Jika pengenalan dapat mempengaruhi atau menarik minat pembaca untuk mengikuti sesuatu penulisan, maka kesimpulannya juga hendaklah memberikan sesuatu kepuasan kepada pembaca (Juriah Long, Raminah Hj. Sabran & Sofiah Hamid, 1990). Kesimpulan menjadi rumusan atau akhiran bagi sesuatu penulisan. Dalam kesimpulan digambarkan juga pendapat dengan ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Elakkan penamatan penulisan secara mengejut atau tergantung.


Cara-cara Menulis

Sebelum menulis perkara yang dilakukan adalah seperti berikut:

Pemilihan Tajuk atau Soalan

    • Baca dan fahami setiap tajuk / soalan yang diberi.
    • Fahami bentuk soalan, sama ada jenis berformat atau tidak berformat.
    • Pilih soalan / tajuk yang benar-benar boleh dikuasai.
    • Memahami benar-benar kata kunci atau kehendak soalan.
Penyusunan Rangka Penulisan
    • Pilih mana-mana kaedah yang mudah untuk mendapatkan isi.
    • Senaraikan semua isi penting secara ringkas.
    • Susun isi mengikut urutan dan kepentingan.
    • Masukkan huraian serta contoh yang sesuai bagi setiap isi yang akan dihurai.
    • Elakkan pengulangan isi utama.
Penulisan
    • Semasa menulis, mulakan dengan penulisan pendahuluan dalam satu perenggan.
    • Setiap isi yang dihuraikan perlu ditulis dalam satu perenggan dan disertai dengan contoh.

Bahagian-bahagian penulisan yang ideal

    • Perenggan pendahuluan
    • Perenggan isi pertama
    • Perenggan isi kedua
    • Perenggan isi ketiga
    • Perenggan isi keempat
    • Perenggan penutup
Penyemakan Penulisan
    • Setelah selesai menulis, murid perlu melakukan penyemakan untuk memastikan jika ada tulisan yang kurang jelas, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan imbuhan, struktur ayat yang salah dan aspek tatabahasa yang lain.
    • Baca berulang kali untuk memastikan ketepatan penulisan


Secara umumnya, berikan peruntukan masa untuk sesebuah penulisan, iaitu:
    • 4 minit untuk mendapatkan isi
    • 24 minit untuk menulis
    • 2 minit untuk menyemak semula


Contoh: Bagaimanakah murid hendak menulis dialog dengan baik?
Berikut adalah contoh yang sesuai untuk menulis dialog:

Contoh:

“Kamu baru pulang?”
“Baru sebentar tadi,”jawab saya. “Tentu kamu tertunggu kepulangan saya.”
“Memang saya tertunggu-tunggu,” luah Jamal, lembut.


Sumber:
Dr. Adenan ayob. (2009). HBML 3203 Tatabahasa Dalam Pengajaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Open University Malaysia




Strategi Pengajaran Dan Pembelajaran Penulisan

Beberapa perkara perlu diberikan perhatian oleh murid dalam usaha menghasilkan penulisan yang baik, iaitu sebelum, semasa dan selepas penulisan (Kamarudin Hj. Husin, 1988), iaitu seperti berikut:

Sebelum Penulisan

  • Fahami kehendak soalan dan format penulisan (jika karangan berformat).
  • Gariskan kata kunci dalam soalan yang diberi.
  • Catat isi atau kerangka penulisan. Mesti ada pendahuluan, isi dan penutup. Terdapat pelbagai cara untuk mencatat isi. Antaranya adalah dengan menggunakan konsep peta minda dan penomboran.


Semasa Penulisan
`
  • Menulis berdasarkan isi / kerangka penulisan. Patuhi format (jika berkaitan).
  • Tulis pendahuluan secara ringkas. Memadai dengan satu atau dua ayat.
  • Setiap isi hendaklah dinyatakan dan diikuti penjelasan atau keterangan lanjut serta contohnya.
  • Penutup juga hendaklah ringkas yang menunjukkan rumusan atau kesimpulan wacana.

Selepas Penulisan

  • Baca semula hasil penulisan yang telah siap dan pada masa yang sama semak pelbagai perkara, iaitu:
Format
Isi / Huraian
Struktur Ayat
Ejaan
Tanda Baca
Perbendaharaan Kata

  • Baiki kesalahan atau membuat penambahan bagi beberapa kekurangan.


Sumber:

Dr. Adenan ayob. (2009). HBML 3203 Tatabahasa Dalam Pengajaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Open University Malaysia


Khamis, 24 Mac 2011

Surat Kiriman Rasmi


Karangan Jenis Surat Rasmi


Surat rasmi ditulis untuk tujuan-tujuan seperti yang berikut antaranya :

a. memohon pekerjaan

b. membuat aduan / bantahan / cadangan

c. membuat rayuan

d. membuat jemputan rasmi

e. menempah barangan

f. meminta kebenaran

g. atau apa-apa yang melibatkan urusan rasmi

1. Surat rasmi adalah salah satu karangan yang memerlukan kita sensitif dengan penggunaan tanda baca seperti penggunaan huruf besar dan huruf kecil. ( Anda boleh dapatkan bantuan daripada guru. )

2. Karangan ini juga merupakan karangan yang penuh dengan format tersendiri yang mesti kamu ikuti. Ini memudahkan anda melakukan kesalahan serta mudahlah markah anda melayang. Ia juga memudahkan anda mendapat markah jika anda mahir dengan formatnya.

3. Gunakanlah bahasa yang mudah, tepat dan padat. Bahasa yang digunakan mestilah baku dan betul dari segi ejaan dan tanda baca.

4. Elakkan penggunaan unsur-unsur kiasan dan ungkapan peribahasa dalam penulisan karangan jenis ini.

5. Perhatikan format di bawah.



Contoh Surat Rasmi:


Pasukan Bola Jaring,
Sek. Keb. Seri Kenangan Darau,
22000 Jerteh,
Terengganu.
_________________________________________

Encik Musa Bin Hassan,
Setiausaha Sukan,
Sek. Keb. Seri Kenangan Darau,
22000 Jerteh,
Terengganu.
24 APRIL 1998.

Tuan,

Memohon Sebiji Bola Baru Bagi Menggantikan Bola Lama

Saya sebagai Ketua Pasukan, Pasukan Bola Jaring Sek. Keb. Seri Kenangan Darau ingin memohon sebiji bola yang baru bagi menggantikan yang lama.

2. Bola yang sedia ada itu telah rosak dan tidak dapat digunakan lagi. Kami memohon bola baru itu melicinkan lagi latihan yang sedang kami jalankan sebagai persediaan untuk menghadapi perlawanan yang akan datang.

3. Kami berharap permohonan kami ini akan segera diluluskan. Dengan ini latihan yang kami adakan setiap hari itu tidak tergendala.

4. Untuk pengetahuan tuan, kami hanya mempunyai masa dua minggu lagi untuk berlatih sebelum turun ke padang untuk menghadapi perlawanan.

Sekian, terima kasih

Yang benar,

Widyawati

…………………

( WIDYAWATI BINTI HUSAIN )

Ketua Pasukan,
Pasukan Bola Jaring,
Sek. Keb. Seri Kenangan Darau.


Contoh Ke-2


Sekolah Kebangsaan Merapoh,
28000 Merapoh,
Kuala Lipis,
Pahang.
_____________________________________________

Ibu bapa dan Penjaga Murid,
Sekolah Kebangsaan Merapoh,
28000 Merapoh,
Kuala Lipis,
Pahang.
1 OKTOBER 2010

Tuan,


Kempen Kebersihan dan Keceriaan Sekolah


Merujuki perkara di atas, pihak sekolah ini akan menganjurkan Kempen kebersihan dan Keceriaan Sekolah sepanjang bulan ini.

2. Tujuan kempen ini diadakan adalah untuk menyemai kesedaran dalam kalangan murid tentang kepentingan kebersihan dan keceriaan sekolah. Selain itu, pihak sekolah berharap agar kempen ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara pihak sekolah dengan pihak ibu bapa atau penjaga melalui pelbagai kegiatan sepanjang kempen ini dijalankan.

3. Antara kegiatan yang akan dijalankan bersempena dengan kempen ini termasuklah aktiviti gotong-royong, pertandingan mewarna, pertandingan kelas terbersih, ceramah kesihatan, pertandingan mengarang dan program kitar semula.

4. Kegiatan gotong-royong dan kitar semula akan turut disertai oleh Pegawai Pelajaran Daerah. Kegiatan ini diharapkan dapat memastikan kawasan sekolah tidak dicemari oleh sampah dan kawasan pembiakan nyamukdapat dihapuskan.

Kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan amat kami hargai. Sekian, terima kasih.

Saya yang menurut perintah,

............................................
(ABDUL MALEK BIN IBRAHIM)
Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Merapoh,
27210 Merapoh,
Kuala Lipis, Pahang.

Lihat Yang Ini Pula

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Mengenai Saya

Foto saya
Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Pengikut