Categories
Halaman
Memaparkan catatan dengan label Info Ibubapa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Info Ibubapa. Papar semua catatan
Jumaat, 19 Mei 2017
Tanda-Tanda Anak Autisme
Ramai kanak-kanak autisme tidak didiagnosis dengan masalah perkembangan kompleks ini sehingga mereka berusia sekurang-kurangnya empat tahun atau lebih menyebabkan tanda autisme gagal dikenal pasti di peringkat awal.
Mengesan autisme seawal mungkin adalah penting kerana kajian menunjukkan intervensi dilakukan terhadap kanak-kanak autisme selepas pemeriksaan awal menghasilkan keputusan lebih baik dari segi pembelajaran, komunikasi dan kemahiran sosial berbanding mereka yang dikesan lewat.
Malah, menyediakan terapi dan pendidikan untuk kanak-kanak autisme pada usia masih muda iaitu dalam tempoh perkembangan otak kanak-kanak paling mudah menyerap ilmu juga diharap dapat mengubah perjalanan autisme.
Pada masa kini tiada pemeriksaan perubatan untuk mendiagnosis autisme, sebaliknya autisme didiagnosis dengan memerhatikan tingkah laku kanak-kanak dan mencari tanda-tanda tertentu yang juga ciri-ciri autisme.
Menerusi kajian dilakukan penyelidik mengenai tanda awal autisme membolehkan doktor tahu apa yang perlu dicari dan seterusnya penghidap autisme mendapat bantuan diperlukan secepat mungkin. Namun, mengesan ciri-ciri autisme boleh jadi sukar berikutan kebanyakan kanak-kanak bukan autisme kadangkala menunjukkan tingkah laku yang sama.
Tanda-tanda awal autisme pada setiap penghidapnya juga berbeza. Ada yang menunjukkan kelainan pada usia beberapa bulan selepas lahir, manakala yang lain menunjukkan ciri-ciri yang jelas pada usia antara 18 hingga 24 bulan.
Pengarah Pusat Pendidikan Khas Eden Firdaus, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, ibu bapa perlu menghantar anak yang menghidap autisme ke sekolah khas supaya kanak-kanak istimewa berkenaan mendapat pendidikan dengan lebih berkesan.
Menurutnya, pelan pendidikan untuk kanak-kanak autisme biasanya menekankan pelbagai kemahiran pembangunan, akademik, komunikasi dan bahasa, kemahiran sosial, kemahiran berdikari, isu tingkah laku dan kemahiran lain yang berkaitan.
Oleh itu, guru kanak-perlu mempunyai latihan khusus dalam masalah perkembangan kompleks bagi membantu anak-anak istimewa itu mendapat manfaat daripada program pendidikan yang diikuti.
“Di Singapura dan Amerika Syarikat, kanak-kanak autisme didiagnosis dengan masalah terbabit ketika berusia tiga hingga empat tahun dan pada usia seawal itu mereka dihantar ke pusat atau sekolah khas bagi mendapat pendidikan dan terapi sekali gus.
“Perkara sedemikian wajar dicontohi kerana berbeza di negara ini yang tiada pusat sehenti untuk melatih dan mendidik kanak-kanak autisme apabila ada pusat hanya menyediakan terapi tetapi tiada pendidikan khusus,” katanya.
Katanya, ibu bapa perlu sedar mengenai keperluan latihan dan pendidikan khas kanak-kanak autisme dan dapatkan maklumat sebanyak mungkin untuk membantu meningkatkan pembelajaran serta perkembangan anak istimewa mereka.
“Autisme bukanlah penyakit sebaliknya gangguan perkembangan otak yang menjejaskan kemahiran sosial dan komunikasi. Latihan dan pendidikan khas mampu merangsang sel-sel otak di bahagian yang terjejas.
“Namun, sepanjang pengalaman saya menguruskan pusat pendidikan khas ini lebih setahun lalu, segelintir ibu bapa sukar menerima hakikat anak mereka autisme menyebabkan hak kanak-kanak berkenaan mendapat pendidikan dinafikan,” katanya.
Beliau berkata, maklumat mengenai autisme terutama bagaimana mengenal tanda-tandanya kini banyak didedahkan dan dengan teknologi terkini ia boleh diperoleh semudah di hujung jari, malah dunia juga memperuntukkan April sebagai bulan kesedaran autisme untuk mendidik masyarakat dan menyebarkan kesedaran.
Tanda-Tanda Autisme
Tanda-tanda berikut boleh dijadikan petunjuk anak mungkin berisiko hidap austisme
• Tidak mengukir senyum, tergelak atau menunjukkan ekspresi gembira atau suka ketika bayi berusia enam bulan.
• Tiada hubungan mata atau hubungan mata yang terhad ketika bayi berusia enam bulan.
• Tidak membuat bunyi, senyum atau ekspresi wajah ketika bayi berusia sembilan bulan.
• Tidak mengagah ketika bayi berusia 12 bulan.
• Tidak membuat gerak isyarat untuk berkomunikasi seperti melambai, mencapai ketika bayi berusia 12 bulan.
• Tidak memberi tindak balas ketika namanya dipanggil ketika bayi berusia 12 bulan.
• Tidak berceloteh ketika bayi berusia 16 bulan.
• Tidak mengeluarkan perkataan ketika kanak-kanak berusia dua tahun.
• Langsung tidak bercakap atau menunjukkan kemahiran sosial pada semua peringkat umur.
Tanda-tanda lain yang boleh diperhatikan
• Mengelak hubungan mata dan lebih suka bersendirian.
• Sukar memahami perasaan orang lain.
• Perkembangan pertuturan yang lambat.
• Mengulang perkataan atau frasa berulang-kali (echolalia).
• Cepat marah dengan perubahan kecil dalam rutin atau persekitaran.
• Mempunyai minat yang sangat terhad.
• Menunjukkan tingkah laku berulang-ulang seperti berpusing atau goyang badan.
• Mempunyai tindak balas luar biasa atau reaksi keterlaluan terhadap bunyi, bau, rasa, tekstur, cahaya atau warna
Sumber: http://lynk.my/TIdCPn
Rabu, 30 November 2016
1BestariNet Realisasi Konsep Teknologi Untuk Semua
Pembangunan projek 1BestariNet memberi impak positif dalam jangka panjang membantu murid memperoleh kemahiran pembelajaran abad ke-21, merapatkan jurang digital dan merealisasikan konsep teknologi untuk semua sekali gus mengubah kehidupan masyarakat khususnya mereka yang tinggal jauh di kawasan pinggiran bandar.
YTL Communications Sdn. Bhd. (YTLC) berkata, antara usaha itu, pihaknya membuat tawaran membina stesen tapak yang dikenali sebagai menara telekomunikasi Sistem Penerima Bersepadu 1BestariNet (1BRIS).
Katanya, ia dibina di lokasi-lokasi strategik dalam kawasan sekolah terpilih yang tanah tapaknya diperuntukkan oleh Kementerian Pendidikan tanpa sebarang caj bagi memastikan penyediaan liputan perkhidmatan 4G yang stabil termasuk mampu dinikmati oleh komuniti yang tinggal di sekitar kawasan sekolah sebagai kemudahan tambahan.
“Bagaimanapun, selepas projek dianugerahkan kepada YTLC, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian telah menegaskan bahawa sewaan perlu dibayar bagi penggunaan lot tanah seluas 4 meter x 4 meter di setiap sekolah terpilih.
“Sehubungan itu, selepas mempertimbangkan perjanjian yang dibuat oleh YTLC dengan kementerian sebelumnya, kadar sewaan tahunan yang nominal untuk setiap tapak dipersetujui oleh kesemua pihak terlibat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
YTLC membangunkan projek 1BestariNet bagi memenuhi cadangan hasil kajian yang dijalankan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Pejabat Perdana Menteri.
Ia dijalankan dengan usahasama Boston Consulting Group mengenai peranan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam bidang pendidikan sebagai pengganti serta penambahbaikan perkhidmatan SchoolNet yang tamat pada akhir tahun 2010.
Sebanyak 19 syarikat membida projek itu dan YTLC dipilih berdasarkan bidaannya yang mempamerkan faktor pematuhan teknikal dan keberkesanan kos yang terbaik pada nilai RM663 juta oleh Kementerian Pendidikan pada akhir tahun 2011.
Antara faktor keberkesanan kos yang ditawarkan termasuklah cadangan YTLC untuk membiayai sepenuhnya pelaburan kapital teknologi 4G bagi projek tersebut tanpa melibatkan sebarang kos perbelanjaan daripada pembayar cukai mahupun Kementerian Pendidikan.
Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/1bestarinet-realisasi-konsep-teknologi-untuk-semua-1.413600
Baca -> YTL Communications Responds To Reports On MoE's 1BestariNet Project For Malaysian Schools
Baca -> YTL Communications Responds To Reports On MoE's 1BestariNet Project For Malaysian Schools
Jangan Kecewa Dengan Keputusan UPSR
AKHIRNYA keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan pada 17 November lalu. Pastinya calon peperiksaan tersebut kini sudah boleh menarik nafas lega, setelah berhempas pulas mengulang kaji pelajaran untuk mendapat keputusan terbaik.
Pelbagai perasaan pastinya bercampur baur. Ada gembira, sedih, biasa-biasa saja dan tidak kurang juga rasa menyesal setelah melihat gred keputusan diterima.
Guru dan ibu bapa calon pastinya teruja menanti pengumuman peperiksaan ini. Apa tidaknya tahun ini merupakan kohort pertama telah mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) serta melalui pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sejak berada di tahun 1, pada 2011.
Pastinya mahu melihat, apakah keputusan diperoleh calon perintis yang dihasratkan dapat melalui transformasi kurikulum dan pentaksiran pada peringkat pendidikan sekolah rendah bagi memastikan perkembangan mereka secara menyeluruh, seimbang dan sepadu ini.
Perkembangan ini dikatakan meliputi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan insan seimbang, harmonis dan berakhlak mulia. Justeru format Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (Kbat) diserap dalam UPSR bermula tahun ini.
Yang pasti, kelibat A dalam slip peperiksaan tersebut, tetap sangat dinanti-nantikan calon, guru dan pihak sekolah malah lebih berharap, adalah ibu bapa murid terlibat.
Namun, agak membuka mata apabila hanya seramai 4,896 calon memperoleh keputusan cemerlang semua Gred A dalam UPSR tahun ini. Jumlah pencapaian dikategorikan cemerlang itu adalah bersamaan hanyalah 1.11 peratus daripada 452,751 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu September lalu.
Apa pun seperti dimaklumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, pencapaian calon UPSR 2016 adalah dilaporkan berdasarkan pelaksanaan kurikulum dan format peperiksaan baharu. Jadi ia tanpa membuat perbandingan dengan pencapaian calon tahun lalu.
Menurutnya, keputusan tahun ini tidak boleh dibandingkan secara terus dengan tahun lalu kerana sebelum ini ia berdasarkan tiga gred iaitu A,B, C manakala tahun ini empat gred iaitu A, B, C dan D.
Termaktub DSKP
Tidak ketinggalan memberi respons terhadap pencapaian calon UPSR, Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Foziah Buang berkata, tujuan peperiksaan ini adalah untuk melihat pencapaian murid dalam bidang akademik daripada segi penguasaan kemahiran literasi, numerasi dan penaakulan atau 4M (menulis, membaca, mengira, menaakul) dan bukan semata-mata terhadap bilangan gred A yang diperoleh oleh calon.
"Keputusan peperiksaan UPSR merujuk kepada pencapaian akademik calon berdasarkan standard kandungan, pembelajaran dan standard prestasi seperti termaktub dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), serta bukan merujuk kepada lulus atau gagal.
"Tahap pencapaian calon dilaporkan dalam bentuk gred berdasarkan pertimbangan terhadap kualiti, ketekalan, ketepatan dan keadilan. Tahap pencapaian minimum pada 2016 ialah gred D berbanding gred C pada 2015," katanya.
Beliau berkata demikian semasa pengumuman rasmi keputusan UPSR 2016 di Blok Duta 1, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, lalu.
Dalam pada itu, menurutnya, pelaporan akhir pendidikan rendah yang terdiri daripada keputusan peperiksaan UPSR, Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum, dan Pentaksiran Psikometrik mengandungi pelbagai maklumat mengenai calon secara menyeluruh.
"Maklumat ini harus digunakan oleh semua pihak kerana ia menggambarkan profil calon sebagai modal insan untuk negara di masa akan datang.
"Ia juga menggambarkan status pendidikan sekolah rendah bagi seseorang murid," katanya.
Apa pun pesan GPS Bestari.com, walau apa pun keputusan dan gred adik-adik dapat bagi UPSR ini, ini hanya peringkat permulaan. Berapa banyak pun A diperoleh dalam UPSR ini, ia bukan penentu kejayaan dalam hidup.
Banyak lagi ranjau dan duri perlu dilalui!
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/gps-bestari/jangan-kecewa-bilangan-a-1.592210
Khamis, 17 November 2016
UPSR 2016: P.Pinang Antara 3 Negeri Terbaik
PULAU PINANG 17 Nov. - Negeri ini muncul antara tiga buah negeri yang mencatat keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) terbaik selepas seramai 399 calonnya mendapat keputusan semua A seperti diumumkan hari ini.
Bagaimanapun, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Jamil Mohamed berkata, jumlah calon yang mendapat semua A itu ini menurun berbanding keputusan tahun lalu.
Menurutnya, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perempuan Cina diumumkan sebagai sekolah terbaik keseluruhan manakala empat buah sekolah lain mencatat keputusan 100 peratus lulus.
Empat sekolah itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aman; SK Permatang To’ Jaya; SJKC Chun Hwa Pantai Acheh dan SJK Tamil (SJKT) Ladang Byram. - UTUSAN ONLINE
Jumaat, 11 November 2016
5 Cara Galak Anak Ambil Sarapan
Sarapan sangat penting bagi para pelajar kerana otak kita memerlukan glukosa dari sumber (makanan) karbohidrat. Tanpa sarapan pagi bermakna tenaga otak akan berkurangan. Penyelidikan dari Universiti Swansea Wales membuktikan bahawa pelajar yang selalu sarapan mencatat rata-rata skor 22% lebih tinggi berbanding mereka yang tidak sarapan. Ketika anda bangun pagi, sebahagian besar tenaga (dalam bentuk glukosa dan glikogen) telah habis digunakan oleh aktiviti sehari sebelumnya. Menurut para ahli, glukosa adalah satu-satunya bahan bakar yang diperlukan otak. Tanpa glukosa yang cukup anda akan merasa lemah dan mengurangkan bekalan nutrisi pada otak. Oleh itu sarapan pagi adalah penting untuk memastikan anak-anak anda kekal bertenaga tidak kira pada musim sekolah atau musim cuti.
Persoalan sekarang, bagaimana cara kita menggalakkan anak-anak untuk mengamalkan tabiat bersarapan? Berikut adalah beberapa tip untuk menggalakkan anak anda menikmati sarapan pagi.
1. Makan bersama mereka
Jika suasana pagi anda sentiasa dalam keaadaan riuh rendah, cuba ambil seketika untuk duduk dan bersarapan bersama anak–anak anda. Elakkan daripada terlalu paksa dan jadikan waktu sarapan waktu penting bersama keluarga. Cubalah membuat perbualan anda untuk lebih mengenali mereka dengan lebih dalam. Malah, ibu bapa merupakan contoh yang terbaik untuk mendorong anak–anak muda untuk mengamalkan tabiat bersarapan pagi. Ia juga sangat penting untuk anda memberi penjelasan tentang kepentingan sarapan supaya mereka memahami kebaikan tabiat tersebut.
Berdasarkan MyBreakfast Study, kajian pertama di Malaysia yang mengkaji info tabiat sarapan terkini di Malaysia, mencadangkan bahawa ibu bapa perlu lebih aktif dalam usaha menggalakkan makan secara sihat dan menjalani gaya hidup yang sihat bersama anak-anak. Sarapan menyediakan rutin dan struktur yang memberikan anak-anak kestabilan dan keselamatan yang tentunya penting untuk perkembangan mereka.
Pagi anda pasti akan lebih positif!
2. Mempelbagaikan menu
Kanak-kanak sukakan kepelbagaian! Jika anda kerap memberikan mereka makanan yang sama, mereka akan mula merasa muak. Duduk bersama mereka ketika cuti sekolah dan cuba mencari menu sarapan dar pelbagai negara atau budaya dan biarkan mereka menentukan pilihan sarapan yang ingin mereka cuba. Anda perlu sentiasa ingat bahawa anak-anak akan kehilangan 80% tenaga simpanan mereka ketika mereka tidur* jadi mereka perlu mengembalikan tenaga itu dengan betul supaya mereka boleh bertenaga sepanjang hari. Walau apapun yang anda pilih untuk sarapan mereka, pastikan ianya sentiasa seimbang dan sihat.
3. Membuat sarapan bersama
Jadikan sarapan pagi sebagai suatu aktiviti yang menyeronokkan. Berikan mata kepada siapa yang pertama menghabiskan makanan mereka terutamanya makanan yang mereka tidak suka makan dan biarkan mereka mengumpul mata untuk menebus hadiah utama. Contohnya ‘pancake’ buatan sendiri ataupun cip coklat di dalam muffin strawberi? Jika MILO® adalah minuman kegemaran mereka, apa kata anda sembunyikannya dan berikan mereka petunjuk ibarat permainan mencari harta karun? Pastikan hadiah ditumpukan kepada sarapan untuk mengingatkan kepentingan sarapan itu sendiri. Tiada masa yang lebih sesuai untuk lakukan sedemikian dengan anak-anak anda melainkan waktu cuti sekolah ini. Jadikan sarapan pagi itu adalah waktu bersama keluarga yang menyeronokkan!
4. Nikmatinya!
Tidak salah kalau sehari dalam seminggu itu anda menyediakan sarapan yang berlainan. Sekali-sekala gorengan kepingan ayam, telur dan roti untuk dijadikan sarapan itu adalah lebih enak! Tetapi ingat untuk memberikan sekali secawan MILO atau susu supaya mereka mendapatkan tenaga yang diperlukan untuk aktiviti seharian mereka.
5. Perubahan adalah baik. Jangan takut untuk mencuba!
Tiap-tiap hari kami kebanyakanya rutin yang sama; bangun pagi, gosok gigi, mengemas beg, bersarapan dan bergegas keluar. Namun, kadang kala, adalah bagus untuk kita ubah rutin tersebut. Kita semua tahu bahawa makan di hadapan TV atau di dalam kereta adalah tidak elok. Tetapi kadang kala, pengorbanan perlu dilakukan. Apa yang lebih baik? Sentiasa bekalkan mereka dengan sedikit sarapan yang dapat mengurangkan kepenatan untuk mengelakkan kemerosotan tenaga sebelum tiba tengah hari. Jadi cubalah pelbagai aktiviti-aktiviti kerana ia akan membantu untuk menggalakkan anak-anak muda untuk bersarapan pagi.
Sarapan adalah penting tidak kisah ketika cuti sekolah ataupun tidak. Jadi, anda perlu sentiasa terus mengamalkan tabiat merancang sarapan setiap hari. Jadikan sarapan amalan keluarga yang menyeronokkan terutamanya ketika cuti sekolah!
Isnin, 31 Oktober 2016
Kajian Mansuh UPSR
Kajian mansuh UPSR hampir siap
Bakal digantikan dengan pentaksiran berasaskan sekolah.
Kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan berkaitan cadangan untuk menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) kini sudah memasuki peringkat akhir.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya menyifatkan sudah sampai masanya untuk ujian yang berorentasikan peperiksaan yang dilaksanakan pada masa ini dikaji semula bagi menilai pencapaian sebenar murid.
“Sebenarnya, zaman ini bukan lagi nak tengok keputusan peperiksaan semata-mata tetapi melihat pencapaian sebenar murid tersebut. Kalau pada masa ini, 100 peratus pencapaian murid berpaksikan peperiksaan mungkin kita boleh ubah.
“Melalui PBS yang bakal dilaksanakan nanti, mungkin hanya 50 peratus sahaja markah berdasarkan kepada peperiksaan manakala markah selebihnya dinilai pihak sekolah menerusi kehadiran, tingkah laku, disiplin, penyertaaan dalam aktiviti kokurikulum dan sukan murid tersebut.
“Bagaimanapun, saya kena berjumpa dahulu dengan semua pihak berkepentingan seperti guru, ibu bapa dan persatuan sebelum keputusan (pemansuhan) dibuat. Kalau semua bersetuju, baharu kerajaan akan memutuskan kaedah lain untuk menilai pencapaian murid tahun enam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Masjid Baharu Kariah Pulau Kijang yang bernilai RM3.2 juta di sini hari ini.
Menurut Mahdzir, pihaknya tidak menolak berkemungkinan model yang diguna pakai dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) akan turut diaplikasi dalam pentaksiran untuk murid tahun enam.
“Pihak kementerian sedang membuat kajian untuk mencari resolusi terbaik dan mungkin model PT3 akan diguna pakai. Untuk membolehkan murid tersebut memasuki sekolah asrama penuh, mungkin peperiksaan one off akan diperkenalkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mahdzir berpendapat, UPSR berorentasikan peperiksaan itu perlu diubah berikutan kebanyakan guru dan ibu bapa hanya menumpukan kepada keputusan semata-mata hingga menyebabkan murid berasa tertekan.
“Demi mengejar keputusan 5A atau 6A, siang malam ibu bapa menghantar anak-anak mereka pergi kelas tambahan. Guru pula, mahukan murid-murid mereka mendapatkan keputusan cemerlang kerana peperiksaan itu menjadi instrumen menilai pencapaian sekolah.
“Psikomotor atau perkembangan kanak boleh terganggu kerana mereka berasa tertekan kerana guru, ibu bapa yang mendesak mereka mendapatkan 5A atau 6A. Secara peribadi, saya memang mahu memansuhkan UPSR ini tahun depan,” ujarnya.
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kajian-mansuh-upsr-hampir-siap-1.400553
Khamis, 20 Oktober 2016
Terapi Teater Bantu Murid Disleksia
DI sebalik fizikal kelihatan insan normal, mereka berdepan masalah. Namun dek kebanyakan orang luar hanya melihat rupa luaran, ramai salah sangka dan menggelar golongan ini malas, bodoh atau 'lembap'. Penghidap disleksia sebenarnya berdepan masalah kecerdasan otak tidak selaras dengan usia biologikal.
Tahukah anda, disleksia menyebabkan terutama kanak-kanak di alam persekolahan lambat bertutur, alami kesukaran sebutan atau rima, sukar menulis nama sendiri, payah mengenal bentuk atau warna atau sukar memberitahu cerita didengarinya?
Memetik artikel Disleksia daripada portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, di alam persekolahan, kanak-kanak disleksia mungkin gagal menguasai tugasan sekolah seperti membaca, menulis, mengeja atau mengira serta tidak suka membaca dan mengelak dari membaca di kelas.
Mereka juga selalunya akan membuat kesilapan semasa membaca huruf, perkataan atau nombor (bacaan terbalik) dan selalu tersalah letak atau hilang barang atau kerja sekolah.
Jadi, jika berdepan anak-anak mempunyai ciri-ciri seumpamanya, jangan mudah menggelar mereka yang tidak-tidak. Mereka insan istimewa.
Apalagi dianggarkan 4 hingga 8 peratus pelajar sekolah dikatakan bermasalah disleksia. Angka agak besar itu sudah seharusnya diberikan perhatian.
Malahan disleksia diletakkan di bawah komponen Masalah Pembelajaran merupakan satu daripada tujuh jenis golongan dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pelbagai langkah diambil bagi membantu anak-anak bermasalah disleksia melalui pemulihan latihan dan terapi. Langkah jarang diketengahkan, antaranya melalui terapi teater.
Seni sebagai terapi kepada beberapa permasalahan telah lama dijalankan, malahan sebelum trend pengubatan moden. Seni seperti muzik, lukisan, puisi, mantera dan sebagainya dijadikan agen penyembuhan atau meredakan tekanan.
Definisi terapi dalam konteks pendidikan ialah kaedah membantu seseorang murid untuk bergerak-balas terhadap sesuatu aktiviti atau kemahiran yang didasari dari konsep kepelbagaian kategori individu berkeperluan khas seperti disleksia, autisme dan sebagainya.
Dengan itu, kaedah terapi sebenarnya membantu perkembangan dari segi kognitif, emosi, sosial atau psikomotor.
Perkara baharu
GPS Bestari bertemu 'orang kuat' penggiat terapi teater ini yang juga Penolong Pengarah, Sektor Teknikal Penerbitan, Kementerian Pendidikan, Norzuraina Mohd Nor @ Ayudez Fia.
Berkongsi pengalamannya, menurutnya, beliau menjadi seorang yang memandang murid istimewa ini dengan hati bermula dengan kajiannya dalam sarjana yang melibatkan golongan ini.
Tambahan pula, sebagai seorang pegawai terlibat dalam penghasilan buku murid berkeperluan khas, ia menguatkan lagi keinginan itu.
"Minat dan pendedahan dalam teater ditambah tanggungjawab sebagai warga pendidik membuatkan saya menjadi seorang yang sangat berminat dengan golongan murid ini. Idea itu telah lama saya bincangkan bersama penggiat teater yang juga guru, Mohd Fairul Rashid atau lebih dikenali sebagai Fairul Pujangga, namun tiada peluang merealisasikannya.
"Apabila diberi peluang oleh Persatuan Disleksia Malaysia (PDM), kami seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Terus bersetuju tanpa berfikir panjang. Fairul ada bertanya, berani ke? Berdasarkan penglibatan dan kajian sebelum ini, saya rasa, saya bersedia," katanya semasa Pertandingan Seni Visual & Rekacipta, PDM, anjuran PDM Cawangan Shah Alam berlangsung di Galeri Shah Alam, baru-baru ini.
Hadir merasmikan program, Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Swasta & Pendidikan Khas (Unit Pendidikan Khas), Jabatan Pendidikan Selangor, Azhar Minai.
Norzuraina berkata, di luar negara, teater untuk terapi telah lama dijalankan dan membandingkan mengapa tidak beliau dan rakan seangkatan turut melakukannya.
Menurutnya, apalagi mereka mempunyai kepakaran sebagai guru dan kemahiran di dalam teater.
"Apa salahnya kami cuba membuat perkara baharu untuk membantu murid-murid ini," katanya.
Bantu murid keperluan khas
Perubahan anak selepas terlibat terapi melalui seni teater bukanlah dapat dilihat dalam jangka masa pendek kerana keperluan murid ini adalah berbeza.
Norzuraina berkata, untuk peringkat pertama pihaknya lebih menekankan kepada menarik fokus murid, sosialis (komunikasi) dan motorskill dan menyifatkan ia berjaya.
"Disleksia juga mempunyai tahap tertentu. Untuk peringkat awal, kami mengesan murid dapat melibatkan diri dengan aktif dalam aktiviti dijalankan.
"Objektif kami kali ini lebih kepada penglibatan murid dalam aktiviti asas lakon teater seperti latihan vokal, artikulasi, ekspresi dan pergerakan besar," katanya.
Menurutnya, terapi tidak mengikut peringkat umur namun untuk terlibat secara aktif dan mudah dikawal, disarankan bermula dengan murid berusia 4 tahun dan ke atas.
Katanya lagi, ia juga sesuai untuk semua terutama murid berkeperluan khas atau murid mempunyai masalah tingkah laku.
"Orang berkeperluan khas ini perlu mendapat pendidikan dan layanan setara tanpa prejudis. Itulah sedang kami lakukan di Kelab Deklamator Malaysia. Kami bukan mengejar nama semata, kami lebih suka hadir dalam industri sebagai pendidik yang beri sedikit sumbangan pada anak bangsa.
"Harapan saya dan Fairul Pujangga amat besar, agar kami diberi peluang sama-sama menggembleng tenaga ke arah usaha ini. Insya-ALLAH tahun 2O17 kami akan keluar dengan pementasan libatkan murid berkeperluan khas ini," katanya.
Menurutnya, berikutan kekangan kewangan, beliau mengalu-alukan pihak sanggup menyuntik dana dalam usaha memartabatkan seni teater khusus untuk anak-anak murid ini.
Norzuraina berkata, pihaknya bakal menemui peminat teater untuk pementasan Syahid Dukapura pada 28, 29 dan 30 Oktober ini di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) jam 8 malam.
Pada 29 Oktober juga, akan dilancarkan Kumpulan Drama Pentas Konklusi hasil tulisannya, Ayudez Fia dan Fairul Pujangga.
Fahami karakter
Sementara itu, menurut Fairul, ada sekolah mengajarkan teater kanak-kanak sebagai elemen pengajaran bagi kes murid khas (OKU) .
Menurutnya, kebiasaannya anak-anak ini diajar membuat boneka (puppet), berlakon menggunakan boneka dan membuat persembahan sketsa pendek.
"Namun, aktiviti seumpama ni tidak dilakukan menyeluruh di semua sekolah menawarkan pendidikan khas. Mungkin kepakaran guru dalam bidang teater untuk pendidikan khas tidak banyak. Bagi kes disleksia pula, saya masih belum dengar ada pihak menawarkan kursus teater untuk mereka.
"Aktiviti baharu kita buat bersama murid disleksia di Galeri Shah Alam ini mungkin pertama barangkali. Namun, untuk sesi pertama ini, kami lebih menekankan sesi mengenali dan fahami watak murid disleksia. Hal ini kerana, kebanyakan aktivis teater tak banyak terlibat dengan murid disleksia," katanya.
Menurutnya, pengalaman pertama itu akan digunakan pihaknya untuk memahami karakter mereka di samping memperkenalkan permainan teater. Sekiranya ada ruang, pihaknya akan rangka proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) lebih sistematik.
Mengulas bentuk sketsa sesuai kepada murid ini, katanya, pembimbing mesti menjadi watak fantasi seperti binatang, robot, peralatan sekeliling, pokok dan sebagainya.
"Pembimbing perlu pakai kostum lengkap dengan tatarias watak. Ia penting menarik perhatian maksimum. Jika tidak, murid akan hilang fokus.
"Pengisian mestilah ada unsur tarian, nyanyian, dan kerja-kerja kraf untuk meningkatkan kemampuan psikomotor murid mereka," katanya.
Menurutnya, sasaran usia untuk mengikuti sesi perbengkelan ini antara 7 hingga 14 tahun.
Fairul berkata, terapi teater masih baharu di Malaysia. Justeru memerlukan kajian serius jika benar mahu menjadikannya sebagai terapi murid berkeperluan khas.
"Bagaimana teater jadi terapi, jawapannya mudah, untuk merangsang hormon serotonin kanak-kanak. Melalui permainan dalam teater, hormon ini akan meningkat sekali gus mengubah emosi mereka menjadi gembira dan fokus dengan aktiviti pembelajaran secara tidak langsung.
"Sokongan dana dan keterlibatan banyak pihak amat diperlukan kerana ia memerlukan kos kostum, peralatan dan kos tenaga pengajar. Dari segi kepakaran, kita ada banyak tenaga pengajar teater yang mahir. Mereka hanya perlukan ruang dan peluang saja untuk berkongsi ilmu secara lebih meluas," tegasnya.
Budak 4 Tahun Fasih Tujuh Bahasa
Angelina Bella Devyatkina
MOSCOW - RUSIA. Si cilik yang hebat! Itu sahaja gambaran yang sesuai diberikan kepada seorang kanak-kanak yang kini viral kerana kepetahannya bercakap dalam tujuh bahasa.
Menurut Malaysian Digest, Angelina Bella Devyatkina, 4 atau Bella berasal dari Moscow, Rusia menjadi popular ketika menghadiri uji bakat sebuah rancangan.
Dalam ujibakat itu, Bella menjawab soalan dalam bahasa Rusia, Inggeris, Perancis, Jerman, Sepanyol, Cina dan Arab, menyebabkan juri dan penonton 'terlopong'.
Menurut ibu Bella yang mengajar bahasa Inggeris, Bella didedahkan dengan bahasa-bahasa berkenaan sejak lahir.
Bella juga dijaga lebih daripada seorang penjaga yang berlatarbelakangkan pelbagai negara.
Penjaganya bukan sahaja mengajar Bella mengenai bahasa dan frasa, malah menceritakan isu-isu dunia, sejarah dunia dan pelbagai topik dari ensiklopedia.
Rakaman telatah Bella telah viral di laman Facebook dan ditonton lebih 8 juta pelayar.
Ahad, 16 Oktober 2016
Akhlak Dan Ilmu Perlu Seimbang
Perubahan lanskap pendidikan dan ekonomi semasa menuntut murid-murid sebagai bakal pemimpin generasi akan datang mempunyai keseimbangan dari segi ilmu dan akhlak.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usaha membangunkan murid-murid secara holistik sebagai persediaan pada masa hadapan telah diselaraskan melalui enam aspirasi yang diterapkan dalam pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Katanya, penerapan nilai aspirasi terbabit akan membantu mengembangkan set pengetahuan dan kemahiran murid-murid sebagai persediaan menempuh kehendak pasaran pada abad ke-21.
Menurut beliau, kemahiran yang perlu dimiliki adalah keupayaan untuk bekerja secara berpasukan, kolaboratif, kreatif, imaginatif, berfikiran kritis dan mampu menyelesaikan masalah.
“Dengan perkembangan pesat teknologi yang mempengaruhi kehidupan ketika ini, kita perlu berfikir tentang nilai dan kemahiran yang perlu dimiliki oleh murid-murid kita yang bakal menempuhi cabaran masa hadapan yang tidak dapat dibayangkan.
“Justeru, enam aspirasi perlu diterapkan kepada murid-murid iaitu ilmu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran dwibahasa, kemahiran memimpin, etika dan kerohanian serta identiti nasional,” katanya dalam satu rakaman video kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Mahdzir menambah, peperiksaan yang bakal menjelang bukanlah penentu segala, sebaliknya merupakan langkah pertama ke arah pembentukan sahsiah dan jati diri kepada anak-anak sebagai warga yang dapat menyumbang kepada negara.
Beliau turut mengingatkan bahawa era pembelajaran secara hafalan sudah berlalu kerana ilmu pengetahuan kini berada di hujung hari dan murid-murid perlu bijak menggunakan kemudahan tersebut bagi pembangunan sahsiah diri.
“Kepada ibu bapa fahamilah setiap anak-anak mempunyai potensi dan bakat masing-masing yang boleh digilap dan diterapkan dengan kemahiran serta dan nilai untuk mereka bersaing pada abad ke-21 nanti, berikan mereka peluang untuk bersinar mengikut kecenderungan dan bakat yang ada pada mereka.
“Kementerian telah menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti melalui transformasi pendidikan untuk meletakkan negara satu per tiga teratas dalam sistem pendidikan terbaik di dunia,” ujarnya.
Ahad, 11 September 2016
Budak 7 Tahun Jadi Pakar Komputer
BIRMINGHAM: Seorang kanak-kanak di Britain menjadi manusia paling muda di dunia memiliki kelayakan sebagai pengatur cara komputer, sekali gus berpeluang untuk memulakan kerjaya seawal usia tujuh tahun.
Menurut portal Birmingham Mail, kanak-kanak genius yang pernah mendapat pendidikan di Handsworth, Kanada, Muhammad Hamza Shahzad sudah mula menunjukkan bakat dalam bidang komputer sejak kecil lagi.
Jelas laporan itu, Hamza banyak mendalami ilmu komputer menerusi bapanya, Asim yang merupakan pakar teknologi tinggi di syarikat Cyber Royal milik Amerika Syarikat.
Malah lebih mengagumkan lagi, guru-guru di sekolah Hamza sering meminta tolong daripadanya apabila komputer mereka menghadapi masalah.
"Saya mahu menjadi seperti Bill Gates," kata Hamza yang merujuk kepada pengasas syarikat perisian komputer, Microsoft.
Hamza yang kini telah berpindah ke Birmingham bersama keluarganya sejak tujuh bulan lalu, tetapi masih gagal menemukan sekolah yang bersesuaian dengan bakat besarnya.
Hamza sebelum ini menjadi manusia termuda di dunia melepasi ujian Microsoft Office Professional pada usia enam tahun apabila meraih markah 757 berbanding 700 mata minimum yang diperlukan.
Dia kemudiannya menjalani beberapa lagi ujian Microsoft dan kini mahir dalam program Software Development Fundamentals, Microsoft Word, Microsoft PowerPoint dan Microsoft Excel.
Seorang jurucakap Microsoft berkata, Hamza memiliki keupayaan untuk mencipta applikasi web dengan mudah selain mampu membina applikasi perniagaan secara sendiri.
"Dia boleh menjelaskan beberapa proses atau istilah komputer yang sukar dengan lebih baik berbanding pakar komputer yang lebih berpengalaman," jelas jurucakap itu.
Ahad, 7 Ogos 2016
Tips for Successful Students
As students you will always have to face exams and tests. We want you to know that you are not alone! New topics are being taught in class right now, and it is important to have the right tools and the right attitude! You can do it if you plan well, and if you hang on for the exciting ride!
You may have scored the marks you expected or maybe, you got lower scores than what you’ve aimed for. No matter the marks, if you want to improve, the trick is to keep at it. Your work gets better when you make small changes again and again! Here are our top tips:
1. Do not give up!
The key to success is to never give up! If you did not get the marks that you expected it does not mean that you are failing. It simply means that you might need to try something new! What do you need to improve to get better? Could your teacher look through your paper and guide you to the right exercises and revision? What you want to do is always give it a shot. If you stop trying, you stop moving ahead!
2. Keep preparing.
When you are learning something, try scribbling your ideas in a thinking map, or with lots of colours! Writing outlines can also help you get a better overview of your work. Sometimes all your brain needs is a fresh perspective! Talking to a friend or your teacher can give you new ideas. Who knows, the best way to understand the subject could be right there. You just need to ask.
3. Get enough rest
A good night’s sleep means a healthy and alert mind. You need sleep to absorb information well, like a sponge! Do you want to stay focused throughout the day? Without sleep, you may not be able to keep going all day, or remember what you talked about in class. Plus, you will always feel awesome if you get enough rest.
So, remember: do not give up, keep preparing, and get enough rest for the best possible you at school!
Isnin, 9 Mei 2016
Tema Hari Guru 2016: Guru Pembina Negara Bangsa
PELANCARAN PERAYAAN HARI GURU PERINGKAT KEBANGSAAN KE-45
Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-45 akan diadakan pada 16 Mei 2016 di Universiti Malaysia Sabah. "Guru Pembina Negara Bangsa" menjadi tema Hari Guru 2016, selaras dengan peranan guru yang terbukti memainkan watak penting dalam memperjuangkan dan mengekalkan kemerdekaan serta kedaulatan negara melalui sistem pendidikan. Seterusnya, guru juga berperanan membangunkan negara dan mencipta pelbagai kejayaan sehingga dikagumi oleh masyarakat antarabangsa.
TEMA HARI GURU
2016 Guru Pembina Negara Bangsa
2015 Guru : Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak
2014 Guru : Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi
2013 Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda
2012 Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
2011 Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
2010 Guru Pembina Negara Bangsa
2009 Guru Pembina Negara Bangsa
2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975 Guru dan Pembangunan Negara
1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara
PERUTUSAN KPPM UNTUK HARI GURU 2016
TEKS PERUTUSAN HARI GURU TAHUN 2016
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
TEMA:
“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam sejahtera, Salam 1Malaysia dan Salam Sehati Sejiwa
Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan murid-murid yang dikasihi sekalian,
1. Saban tahun, tarikh 16 Mei merupakan hari yang amat bermakna bagi warga pendidik atau lebih sinonim dengan panggilan ‘cikgu’. Pada hari istimewa ini, para guru akan diraikan oleh anak-anak didik demi menghargai jasa dan menyanjungi pengorbanan guru dalam mendidik anak bangsa. Guru-guru sekalian amat bertuah kerana ia merupakan pengiktirafan tertinggi masyarakat dan kerajaan atas sumbangan tidak ternilai dalam mencorak masa hadapan anak bangsa dan membangunkan negara. Kita bersyukur ke hadrat Ilahi kerana pada tahun ini, dapat kita bersama-sama menyambut Hari Guru kali ke-45 yang bertemakan “Guru Pembina Negara Bangsa”.
2. Tema ini bertepatan dengan peranan guru sebagai pendidik dalam membentuk murid yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, memiliki jati diri yang kukuh, berdaya saing dan berpegang teguh kepada ajaran agama serta nilai sejagat. Para guru sekalian wajar berbangga kerana faktor utama yang menyumbang kepada kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia ialah tuan-tuan dan puanpuan sendiri.
3. Demi merealisasikan agenda pendidikan, gurulah yang bertungkus-lumus memerah kudrat, berkorban masa bersengkang mata, cekal menempuhi pelbagai cabaran. Bagi menjayakan misi murni ini, para guru sanggup menabur bakti ke segala pelosok rantau – bandar, desa, merentas pulau dan lautan hatta lurah dan gunung. Di sanubari guru tersemat satu iltizam – akal budi murid mesti dibangunkan dan ditajamkan, sahsiah murid perlu dipimpin dan diasuh, jasmani murid harus dicergaskan dan disegarkan, emosi murid patut dibelai dan disentuh, rohani murid wajar dibimbing dan dimantapkan, potensi murid layak dimajukan dan disuburkan. Syabas guru semua!
4. Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, prasyarat utama untuk membina sebuah negara bangsa yang teguh, harmoni dan sejahtera adalah melalui pengukuhan perpaduan, pembinaan identiti
nasional, persefahaman dan saling meraikan kepelbagaian resam budaya dan keutuhan semangat kebangsaan bersesuaian dengan kepesatan pembangunan negara dalam menghadapi era dunia tanpa
sempadan. Tidak mungkin kepentingan peranan guru dalam merealisasikan aspirasi ini boleh dikesampingkan dan dipandang remeh apatah lagi perjuangan guru telah terpahat dalam sejarah sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Berdiri teguh di barisan hadapan pendidikan, dengan bersanggakan semangat juang yang tulus, tanpa mengharapkan ganjaran dan balasan, para guru gigih berjuang melalui penulisan, persatuan malah berani menentang secara terang-terangan pihak penjajah yang menafikan hak kedaulatan negara.
5. Pengorbanan guru mana mungkin dipertikaikan lagi. Pada zaman pasca kemerdekaan ini, peranan guru telah berubah daripada menentang penjajah kepada menyuntik bibit-bibit perpaduan dan pembangunan negara, memperkukuh perkongsian nilai dan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum. Sekolah menjadi agen perpaduan dan medan penyubur
nilai sosial seperti semangat kekitaan, sifat toleransi, demokratik, saling menghormati dan menerima, taat setia kepada negara dan mempunyai keazaman, kesanggupan dan kesediaan untuk hidup bersama dengan bersepakat, rukun dan harmoni.
Warga pendidik yang diraikan sekalian,
6. Sesungguhnya tugas seorang guru dipandang tinggi dan amat mulia. Guru merupakan penggerak kepada pembangunan pendidikan dengan menyahut cabaran transformasi pendidikan negara melalui
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Menerusi transformasi tersebut, peradaban bangsa boleh diperkukuh apabila guru melaksanakan peranan mereka menghasilkan modal insan yang memiliki kemahiran memimpin, adil, berdikari, hidup dalam masyarakat demokratik, liberal, bertolak ansur, prihatin dan penyayang. Nilai-nilai peradaban ini perlu disemai bermula pada peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi. Peranan guru adalah memastikan generasi pewaris negara diberikan pendidikan berkualiti seiring era kemajuan terkini.
7. Justeru itu, guru perlu sentiasa bersedia untuk berubah, melaksanakan tugas daripada cara biasa kepada yang luar biasa, berdaya tahan, futuristik dan berfikiran aras tinggi. Guru juga berperanan membentuk murid agar berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang baharu, mempunyai daya tahan dan kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran global yang dinamik. Sehubungan dengan itu, kita selaku warga pendidik perlu melestarikan pembangunan profesionalisme keguruan melalui nilai tambah dalam aspek pengetahuan, kemahiran dan amalan profesional keguruan bagi menyokong usaha pelaksanaan transformasi pendidikan negara.
Guru-guru pembina bangsa sekalian,
8. Untuk bersaing dengan negara maju dunia, kita perlu menyediakan pendidikan berkualiti dan mantap yang mampu menghasilkan murid bertaraf dunia dan mempunyai pemikiran kritikal abad ke-21. Kurikulum pendidikan disemak semula dari semasa ke semasa untuk membangunkan kemahiran abad ke-21 yang dapat menggalakkan perkembangan sahsiah murid yang holistik dan seimbang. Hasrat ini direalisasikan dalam Gelombang 2 PPPM (2016- 2020), iaitu melalui Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan penyemakan semula Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Selain itu, pendidikan abad ke-21 ini turut memberikan penekanan kepada pembangunan murid secara holistik yang menekankan pembangunan intelek, rohani, emosi dan fizikal, seiring dengan
pembinaan identiti nasional yang kukuh dan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pihak Kementerian Pendidikan telah mengenal pasti kemahiran abad ke-21 yang mampu melahirkan murid yang seimbang, berdaya tahan, bersemangat jitu, berprinsip, bermaklumat dan patriotik, juga mempunyai kemahiran berfikir, berkomunikasi dan bekerja secara berpasukan seperti yang dihasratkan oleh kementerian dalam melahirkan modal insan cemerlang dan berketerampilan. Natijahnya, diharapkan modal insan negara pada era akan datang memiliki keupayaan berdaya saing pada peringkat antarabangsa dan diiktiraf pengetahuan, kemahiran dan nilai etika mereka dalam kelas tersendiri.
9. Untuk makluman para guru, kerajaan sentiasa berusaha menaik taraf kemudahan pendidikan yang meliputi pembinaan infrastruktur bangunan dan penyediaan bilik khas bagi mengupayakan sistem
pembelajaran ke arah pendidikan abad ke-21. Pihak Kementerian Pendidikan dalam usaha untuk menambah baik kelengkapan makmal komputer, makmal sains dan bengkel kemahiran agar dapat menyokong pembelajaran berteraskan projek yang membolehkan murid mempunyai akses pembelajaran kendiri. Hal ini banyak membantu menarik minat murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Transformasi pendidikan ini adalah selaras dengan perubahan sistem pendidikan global yang diaplikasikan oleh kebanyakan negara maju.
10. Kementerian juga sentiasa berusaha untuk melengkapkan murid dengan pengetahuan dan kemahiran terkini yang amat penting dalam mendepani cabaran dunia tanpa sempadan, antaranya dengan memperkukuh inisiatif pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM. Pendidikan sepanjang hayat ini merangkumi pembelajaran bersepadu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik di sekolah dan juga di luar sekolah. Pendidikan STEM akan mula didedahkan kepada murid seawal usia empat atau lima tahun pada peringkat prasekolah. Sekolah memainkan peranan utama dan
pemangkin untuk menyediakan sumber graduan STEM yang mencukupi dan berkelayakan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja untuk memacu Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi. Gagasan kerajaan dan pihak kementerian ini tidak mungkin berjaya tanpa sokongan dan daya upaya guru.
11. Melalui pelaksanaan inisiatif STEM di sekolah, nilai tambah yang dikenal pasti boleh menyumbang kepada peningkatan minat murid dalam bidang pendidikan STEM akan diberi penekanan dan diperluaskan manakala pendekatan strategik yang optimum untuk pelaksanaan pendidikan STEM di sekolah akan dimantapkan dari semasa ke semasa. Daya usaha ini merupakan titik tolak ke arah
mewujudkan masyarakat berliterasi STEM yang mampu memahami sekurang-kurangnya konsep asas STEM dan mengaplikasikan pengetahuan tersebut bagi memahami dunia sekeliling juga
menggunakan teknologi terkini serta prinsip matematik dan saintifik dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam berkomunikasi, mempermudahkan urusan dan menyelesaikan masalah.
12. Selain itu, usaha meningkatkan kualiti penyampaian pengetahuan dan kemahiran serta memperluas pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) menjadi fokus pihak kementerian. Inisiatif ini
merupakan sebahagian daripada transformasi pendidikan yang perlu dicapai dalam usaha kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan, modal insan dan daya saing negara. Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) merupakan salah satu usaha merekayasa sistem tersebut bagi menyumbang kepada agenda transformasi negara bertujuan memenuhi keperluan industri dan kehendak pasaran kerja supaya kita tidak terlalu bergantung kepada tenaga mahir dari luar negara.
13. Sekolah dan guru sekali lagi memikul amanah melahirkan modal insan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, mempunyai kebolehkerjaan dan kebolehpasaran tinggi selaras dengan keperluan
industri negara malah bersahsiah mulia. Kerjasama dan usaha semua pihak, termasuklah para guru, telah mula menampakkan kemajuan dan keberhasilan positif. Antara kejayaannya; semua program yang dilaksanakan di 15 buah Kolej Vokasional rintis telah menerima akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia dan program yang ditawarkan juga telah mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Peratusan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma Vokasional Malaysia telah meningkat kepada 87.9 peratus pada tahun 2015 berbanding 83.6 peratus pada tahun 2014.
14. KPM turut mengatur langkah bagi melahirkan golongan berkemahiran melalui Transformasi Pendidikan Vokasional dengan melaksanakan program Pendidikan Asas Vokasional (PAV) melibatkan
81 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan 4 buah Sekolah Model Khas K9. Program kemahiran vokasional ini dilaksanakan seawal pendidikan menengah rendah. Mulai tahun 2016, Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) diperkenalkan di 271 buah SMK terpilih di seluruh negara. Murid akan menerima dua pensijilan iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sijil kemahiran daripada badan pentauliahan kemahiran seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) selepas menamatkan
program ini.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian,
15. Kerjaya sebagai guru memerlukan kita semua siap siaga melakukan anjakan minda dan perubahan budaya kerja dengan memperbaharui pengetahuan dan mempertingkatkan kemahiran agar pengajaran terus relevan dan berkesan. Peliharalah akhlak dan budi pekerti supaya guru terus dipandang tinggi dan menjadi suri teladan kepada anak didik dan masyarakat. Sayangilah profesion keguruan kerana bakti luhur dan jasa murni guru sesungguhnya tidak terbalas. Tanggungjawab kita sememangnya semakin hari semakin kompleks serta mencabar selaras dengan perkembangan yang amat pesat pada masa kini. Ingatlah bahawa setiap gerak laku, tutur bicara dan tindakan para guru menjadi perhatian dan dinilai oleh masyarakat, justeru, guru hendaklah memastikan martabat profesion keguruan dipelihara,
disanjung dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
16. Dasar dan etika penjawat awam seperti Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Pindaan Tahun 2002 perlu dipatuhi demi menjaga imej dan kepentingan negara, juga profesion keguruan. Guru merupakan contoh kepada murid melalui nilai integriti yang dipamerkan dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan. Guru yang berintegriti menjadi pemangkin memacu sesebuah organisasi ke arah perkhidmatan berkualiti dan cekap yang menyumbang ke arah pembangunan negara dengan lebih berkesan. Dengan erti kata lain, integriti dalam diri seorang guru amat penting kerana masa hadapan murid, malah masa hadapan bangsa dan negara ditentukan oleh corak didikan yang disemai oleh guru-guru pada hari ini. Integriti dalam pendidikan berkait rapat dengan akauntabiliti. Akauntabiliti keguruan merangkumi tanggungjawab guru terhadap murid, diri sendiri, sekolah, masyarakat dan negara. Oleh itu, guru perlu melaksanakan tugas dengan amanah, adil, berdedikasi, prihatin, penuh kasih sayang dan memiliki tahap kesabaran yang tinggi.
Tuan-tuan, puan-puan dan murid-murid sekalian,
17. Barisan kepimpinan sekolah juga tidak terlepas menerima tempias cabaran perubahan pesat dalam arus transformasi yang melanda dunia pendidikan kita pada masa kini. Senario ini sudah tentunya memerlukan perubahan yang radikal dalam aspek pengurusan di sekolah khasnya dalam pengurusan profesional. Pihak pentadbir bertanggungjawab menentukan iklim sekolah, suasana pengajaran dan pembelajaran, tahap dan kualiti profesionalisme guru, semangat kekitaan, dan rasa tanggungjawab terhadap kemenjadian murid. Pengetua dan guru besar selaku peneraju tonggak kepimpinan sekolah perlu berubah dahulu dan bertindak proaktif bagi melaksanakan transformasi di sekolah dan memberikan sokongan jitu terhadap guru-guru di bawah seliaan mereka. Hal ini kerana pengetua dan guru besar merupakan penggerak utama dalam membina negara bangsa agar setiap murid memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, bertolak ansur, hidup sebagai masyarakat penyayang, bersatu padu, berfikiran dan berbudaya saintifik, demokratik serta liberal.
Anak-anak murid yang disayangi sekalian,
18. Saya yakin tanggungjawab berat yang digalas oleh para guru dan pelbagai cabaran yang harus dihadapi tidak sedikit pun melunturkan rasa kasih sayang kepada anak-anak didik semua. Kehadiran murid ke sekolah tentulah dengan harapan dan semangat untuk menimba ilmu dan mempertingkatkan kualiti diri. Setiap murid di mata dan hati seorang guru adalah permata yang menanti untuk digilap sehingga bergemerlapan yang akhirnya membentuk individu berdaya saing, berfikiran logik, berbudi pekerti mulia dan berjati diri kukuh seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara. Anggaplah para guru sebagai ibu dan bapa di sekolah yang sentiasa mengambil berat dan menginginkan yang terbaik untuk murid-murid. Jadikanlah nasihat dan teguran para guru sebagai pedoman dan bekalan menuju kejayaan.
Para guru yang dihormati,
19. Besarlah harapan saya agar warga pendidik yang dikasihi sekalian terus melaksanakan amanah yang diberi dengan tulus dan ikhlas, bertunjangkan integriti dan berlandaskan etika perkhidmatan awam. Kegigihan guru dalam mendidik anak watan dengan ikhlas tanpa rasa jemu tidak perlu dipertikaikan. Kahlil Gibran pernah mengungkapkan bahawa “seorang guru yang bijaksana tidak hanya mengalu-alukan murid meneroka domain kebijaksanaan guru malah memimpin murid meneroka kecendiakaan sendiri”. Sudah terang lagi bersuluh, jasa dan pengorbanan seorang guru itu sukar untuk dibalas walaupun dengan segunung intan dan emas permata. Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang pula pernah menyatakan bahawa lahirnya seorang perdana menteri, doktor, peguam dan pensyarah adalah bermula daripada seorang guru biasa yang mengajarnya membaca dan menulis.
Inilah ungkapan yang mengangkat martabat seorang guru dalam mendidik anak bangsa tanpa mengira masa, tenaga dan wang ringgit. Mereka ibarat matahari yang menyinari kehidupan insan dengan cahaya
ilmunya.
20. Guru haruslah menjaga keperibadian dan menjadi contoh kepada insan lain dengan mengamalkan apa yang diajarkan. Selaku pencetus, penggerak dan pemegang amanah kepada proses transformasi sistem pendidikan negara, warga pendidik sesungguhnya mempunyai kedudukan mulia yang tersendiri dalam masyarakat, sentiasa disegani dan dipandang tinggi. Perjuangan guru tetap berterusan dan merupakan satu perjalanan yang masih jauh. Jadi, teruskanlah khidmat baktimu yang mulia ini. Terima kasih ‘cikgu’ dan sekali lagi saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Guru. Akhir kata, saya sudahi ucapan dengan dua rangkap pantun:
Sekolah gudang pelita ilmu,
Bekalan hidup aman sentosa,
Selamat menyambut hari guru,
Guru Pembina Negara Bangsa.
Kaulah pendidik perwira bangsa,
Mendidik tanpa mengira masa,
Segala budi dan curahan jasa,
Tak akan dilupa terpahat sentiasa.
Wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sekian. Terima kasih.
DATO’ SRI DR. KHAIR BIN MOHAMAD YUSOF
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Sumber TeksUcapan:
http://www.moe.gov.my/cms/upload_files/articlefile/2016/articlefile_file_004525.pdf
Frog VLE Kaedah Pengajaran Alaf Baharu
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) terus mengorak langkah seiring tuntutan teknologi, agar pembelajaran alaf baharu lebih relevan dengan kehendak semasa.
KPM melalui kerjasama dengan YTL Communications mewujudkan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (Frog VLE) atau dikenali juga sebagai bilik darjah online dan ruang sosial untuk sekolah, semuanya di bawah satu bumbung.
Kaedah ini adalah sistem pembelajaran berasaskan laman sesawang (web) menyerupai pendidikan dunia sebenar dengan menyatukan konsep pendidikan konvensional.
Menurut KPM, melalui laman ini, guru-guru boleh memberi tugasan, ujian dan markah secara maya, sementara, pelajar dan murid-murid boleh menghantar kerja rumah dan menyemak markah yang diperoleh melalui Frog VLE.
Ibu bapa juga berpeluang berkomunikasi dengan guru-guru, manakala, pentadbir sekolah pula boleh menyusun kalendar sekolah dan memaparkan notis melalui internet.
Frog VLE boleh diakses di mana jua, pada bila-bila masa menggunakan sambungan internet.
Ia mula dilancarkan pada Mac 2012, dan masih dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
Frog VLE dibina dengan mengutamakan penggunanya. Sasarannya adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berkuasa ke atas pemilikan pendidikan serta bersedia bersaing dalam ekonomi global yang berasaskan pengetahuan.
KPM juga menyatakan Frog VLE mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran kerana menjimatkan masa dan usaha. Ia berfungsi sebagai alat untuk memudahkan guru melaksanakan tugas, seperti merancang pengajaran, menandakan tugasan dan menguruskan kalendar akademik.
Ia juga menghubungkan para pendidik di seluruh negara bagi membolehkan mereka berkolaborasi serta berkongsi sumber dan idea.
Oleh kerana perisian Frog berasaskan awan (cloud-based), dan pembelajaran boleh dilaksanakan pada bila-bila masa, pelajar dan murid boleh melakukan penyimpanan awan, beg sekolah yang berat bertukar ringan.
Sistem Frog yang mudah digunakan membolehkan guru dan pelajar mencari kandungan pendidikan dalam satu laman web tanpa memerlukan kepakaran teknikal.
Ia membolehkan guru menghasilkan sumber pengajaran yang menarik. Ikuti pendapat guru-guru dan murid berhubung pelaksanaan kaedah ini di sekolah.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/cikgu-cikgi/frog-vle-kaedah-pengajaran-alaf-baharu-1.516479
Isnin, 25 April 2016
Dr Zakir Dulu Budak Gagap Kini Pendakwah Terkenal
Gagap merupakan masalah pertuturan di mana sebutan (biasanya) huruf pertama atau syllable sesuatu perkataan diulang tanpa kawalan. Gagap merupakan proses luar sedar yang membantutkan komunikasi biasa. Gagap boleh dirawat melalui terapi pertuturan.
Dr Zakir Naik dikenali seluruh dunia. Siapa sangka pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik seorang budak gagap yang tidak mampu menyebut namanya sendiri dengan betul.
Malah Zakir menganggap masalah gagap yang dialaminya itu di tahap yang kronik.
Namun komplikasi struktur lidah itu tidak menghalang cita-citanya untuk menjadi seperti mentornya, Ahmad Deedat.
Beliau berusaha keras mengatasi masalah pertuturannya dan memastikan hasrat untuk menjadi pendakwah tidak terkubur.
“Akhirnya janji ALLAH SWT itu benar. Kalau kita bantu agama ALLAH, pasti ALLAH akan membantu kita,” katanya ketika ditemui dalam kempen #IslamIsFirstClass TV Al-Hijrah.
Setelah memulakan usaha dakwah melalui ceramah, lama kelamaan masalah gagap yang dialaminya hilang dengan sendiri.
Menyedari pentingnya bakat serta keterampilan pendakwah diasuh pada usia kecil terutama dalam konteks pembinaan personaliti ketika menyampaikan syarahan, Zakir mengasaskan sekolah ceramah khas di Mumbai yang silibusnya diiktiraf Universiti Cambridge.
Matlamatnya untuk melahirkan lebih ramai pendakwah melalui kaedah ceramah yang diasaskan Ahmad Deedat.
“Di sekolah ini kami mendidik pelajar seawal usia dua tahun untuk menguasai bahasa Arab, Inggeris dan Mandarin,” katanya.
Selain penguasaan tiga bahasa utama dunia, pelajar turut diajar memahami al-Quran serta menguasai pelajaran Sains dan Matematik.
Pada usia empat tahun, para pelajar sudah didedahkan dengan ucapan awam bagi memastikan mereka menguasai kemahiran dan teknik menampilkan diri ketika berceramah.
“Kajian membuktikan, 93 peratus kejayaan dalam menyampaikan ceramah terletak pada kemahiran dan teknik. Hanya tujuh peratus terletak pada isi yang dibahaskan.
Menyedari hakikat itulah, sekolah yang diasaskannya sangat menekankan pada strategi teknik dan kemahiran.
Mengenai usaha melahirkan protege, Zakir mendedahkan mengenai 20 penceramah yang kini sedang dididik di sekolahnya.
Mereka menerima latihan antara 20 hingga 45 hari dengan kelas yang padat selama 16 jam sehari.
“Kini terdapat enam pelajar Malaysia, empat dari India serta dari Indonesia, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS),” jelasnya.
Selain sekolah debat, Zakir turut memiliki stesen televisyen Peace TV yang ada tiga saluran melalui satelit bersiaran 24 jam sehari dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan Arab.
Peace TV beroperasi di Mumbai India dan boleh diakses di Eropah, AS, Kanada, India, Pakistan dan China.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/nasional/dr-zakir-dulu-budak-gagap-kini-pendakwah-terkenal-1.513208
Selasa, 12 Januari 2016
Cadangan Ubah Format UPSR Seperti PT3
Kementerian Pendidikan Cadang Ubah Format UPSR Seperti PT3 - Mahdzir Khalid
PUTRAJAYA, 12 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan bercadang mengubah format Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada 40 peratus Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan 60 peratus peperiksaan seperti pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementerian akan mengadakan pertemuan dengan semua pihak berkepentingan secara berperingkat pada tahun ini bagi mendapatkan pandangan mereka terhadap cadangan itu.
"Sebenarnya, cadangan ini kita hampir laksanakan tetapi ditangguhkan. Jadi, boleh cuba kemukakan semula.
"Dalam setahun ini, kementerian akan berjumpa semua pihak terlibat. Jika mereka setuju, ia akan dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan tahun baharu 2016 kementerian, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Selain itu, beliau berkata gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bermula 2016 hingga 2020 akan menentukan kejayaan sistem pendidikan negara bukan sahaja dari aspek akademik malah psikometrik, kokurikulum dan pembinaan insan.
"Jika suatu hari nanti kombinasi dalam PBS menjadi lebih berkesan, itulah pelajar yang kita kehendaki untuk masa depan bukan sahaja berasaskan akademik semata-mata," kata Mahdzir.
Dalam masa yang sama, beliau berkata aspek pengajaran dan pembelajaran juga perlu diberi tumpuan bagi mengekalkan keharmonian dalam sistem perguruan.
Untuk itu, katanya, komunikasi dua hala antara kementerian dan semua peringkat kepimpinan sekolah, pejabat pendidikan daerah dan negeri perlu dipertingkatkan.
"Jika ada idea yang lebih baik, beritahulah kepada kementerian, saya boleh terima. Tak perlu tunggu sahaja arahan atau pekeliling dari kementerian.
"Menteri dan semua peringkat tertinggi kementerian ini, kami berkhidmat untuk pihak sekolah. Kementerian bekerja untuk menentukan kejayaan sekolah," katanya.
-- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1206261
Isnin, 4 Januari 2016
Takwim Peperiksaan dan Pentaksiran 2016
Takwin bagi membantu pelajar, ibubapa dan guru untuk persedian awal bagi menghadapi peperiksaan. Persediaan awal harus di tekankan supaya pelajar dapat menjawab pepeiksaan dan lulus dengan cemerlang.
Sumber: hhttp://www.lp.edu.my/v1/images/bahan/suratmakluman/takwim%20peperiksaan%20&%20pentaksiran%20tahun%202016%20(2).pdf
Isnin, 28 September 2015
Format baharu UPSR mulai 2016
Mulai tahun depan, calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan menduduki enam kertas apabila Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) merombak kertas Bahasa Inggeris kepada dua pecahan iaitu Pemahaman dan Penulisan.
Pengarah Peperiksaan Kementerian Pendidikan, Datin Nawal Salleh berkata, perkara itu merupakan format baharu LPM dalam melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan melengkapi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Beliau berkata, format baharu itu juga telah merombak kertas untuk mata pelajaran bahasa iaitu Bahasa Cina dan Bahasa Tamil kepada dua iaitu Pemahaman dan Penulisan.
Menurutnya, rombakan format baharu itu juga memperlihatkan ujian subjektif dan objektif pelbagai bentuk akan dimasukkan ke dalam kertas pemahaman untuk semua mata pelajaran bahasa berbanding sebelum ini hanya ujian objektif.
Jelas beliau, secara asasnya UPSR sebelum ini hanya memerlukan calon menduduki lima kertas iaitu Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu Penulisan, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
“Walau bagaimanapun UPSR masih berbentuk ujian bertulis 100 peratus peperiksaan pusat seperti tahun-tahun sebelumnya dan mengutamakan calon menerapkan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mana-mana pihak yang ingin melihat dan meneliti format serta contoh instrumen UPSR mulai 2016 boleh berbuat demikian dengan melayari laman sesawang www.lp.edu.my
-Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/format-baharu-upsr-mulai-2016-1.140763
Khamis, 2 Julai 2015
Pendidikan Holistik Bagi Kanak-Kanak Autisme
AUTISME adalah salah satu bahagian dalam gangguan yang dipanggil “ Pervasive Developmental Disorders.“ dan satu lagi gangguan dari kumpulan ini ialah 'Asperger's Syndrome di mana pertuturan kanak-kanak dan kemahiran kognitif boleh jadi normal.
Autisme merupakan gangguan perkembangan yang sangat kompleks pada seorang kanak-kanak yang gejalanya sudah boleh dilihat sebelum kanak-kanak tersebut mencapai umur tiga tahun.
Penyebab autisme adalah gangguan neurobiologi yang mempengaruhi fungsi otak sehingga kanak-kanak itu tidak mampu berinteraksi dan berkomunikasi dengan dunia luar secara efektif.
Perangainya yang sangat ketara adalah sikap anak yang cenderung tidak mempedulikan sekelilingnya dan orang-orang di sekitarnya, seakan-akan mereka hidup dalam dunia sendiri.
Kanak-kanak autisme merupakan kanak-kanak istimewa yang boleh dibantu daripada banyak segi seperti pembelajaran, pengurusan diri, terapi pertuturan, melakukan aktiviti atau senaman dan sebagainya.
Jika di Amerika Syarikat (AS), terdapat sebuah pusat pemulihan autistik di Ivymount, Rockville. Ia merupakan sebuah pusat pendidikan khas khusus memberi pengajaran menerusi bidang muzik.
Tidak kurang di Malaysia, Selain NASOM terdapat sebuah pusat rawatan autisme yang meneramkan pendidikan holistik bagi melengkapi keperluan pendidikan kanak-kanak autisme. Dengan hasrat menyediakan pendidikan yang sewajarnya kepada kanak-kanak autisme, tiga orang sahabat, iaitu Marissa Ali, Rafidah Ramly dan Aisyah Maricar bersepakat membuka sebuah sekolah untuk kanak-kanak autisme yang dinamakan Brightstars.
Brighstars terletak di Oasis Square, Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, pusat ini mula dibuka pada bulan Oktober 2014 dan pengambilan pelajar bermula pada bulan Januari 2015.
Pada masa ini terdapat seramai 15 orang kanak-kanak autisme , gangguan tingkah laku attention deficit hyperactive disorder (ADHD) dan kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran berumur di antara dua hingga 12 tahun, dihantar oleh ibu bapa mereka setiap hari ke sini.
Marissa, Rafidah dan Aisyah yang merupakan pengasas Brighstars juga merupakan ibu yang mempunyai anak-anak autisme. Inilah antara penyebab utama mengapa mereka membuka Brightstars kerana mereka sendiri memahami mengenai anak autisme dan masalah yang dihadapi oleh ibu bapa.
Menurut Marissa, di Brightstars, mereka menggunakan pendekatan holistik dan menggunakan semua terapi yang bagus seperti Apply Behavioral Analysis (ABA), program Son-Rise dan sebagainya.
Katanya, terdapat dua orang konsultan untuk ABA untuk setiap kanak-kanak dan memantau keseluruhan pembelajaran kerana setiap kanak-kanak yang berada di sini adalah unik.
“Kanak-kanak yang belajar di sini adalah daripada mereka yang terdiri daripada tahap autisme yang paling rendah hingga pada yang paling tinggi. Oleh itu setiap orang daripada mereka adalah berbeza.
“Kami menyediakan seramai 13 orang ahli terapi sepenuh masa dan tiga orang separuh masa. Majoriti daripada mereka berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari universiti tempatan atau ijazah pendidikan awal kanak-kanak. Seorang ahli terapi hanya ditugaskan untuk menjaga seorang kanak-kanak sahaja.
“Kriteria penting untuk mengenali kanak-kanak autisme ialah melihat kepada pertuturannya, kelakuan dan pergaulan. Ada yang hiperaktif, agresif, pendiam, antisosial (suka menyendiri), suka menghantukkan kepala dan mengeluarkan bunyi daripada mulut (istilah psikologinya self stimulatory behavior).
“Pembelajaran harian dimulakan dengan terapi pergerakan autisme dan senaman. Kemudian mereka akan dilatih dengan kemahiran harian seperti menyikat rambut, mencuci muka, memakai baju, menggosok gigi dan sebagainya.
“Kemudian mereka akan makan bersama-sama dengan dibantu oleh ahli terapi. Seterusnya pembelajaran akademik, aktiviti berkumpulan, terapi pertuturan, kemahiran hidup dan sebagainya.
“Kanak-kanak ini akan diajar mengenai tata-tertib, membantu menghidangkan makanan, mengangkat pinggan, membasuh pinggan dan ini semua dapat praktikkan semasa mereka di rumah.
“Ada ibu bapa yang memang mahukan kami mengajar anak mereka untuk melakukan kerja-kerja ringan di rumah seperti mencuci pinggan dan melipat baju.
“Sebelum balik, kanak-kanak ini akan diajar membuat senaman yang memberikan fokus untuk menenangkan dan melepaskan stres kerana selepas sehari di sekolah mereka pasti penat dan kami tidak mahu mereka mengamuk selepas pulang ke rumah.
“Kami dapat melihat perubahan pada kanak-kanak yang dihantar ke sini. Jika sebelumnya mereka nampak agresif, tidak mahu bergaul, suka menyendiri dan sebagainya tetapi setelah diberikan pembelajaran dan pendidikan di sini, keadaan mereka nampak lebih baik daripada dahulu. Ibu bapa mereka turut menyatakan bahawa anak mereka sudah boleh menguruskan diri sendiri dan membantu mengemaskan meja selepas makan,” kata Marissa.
Sementara itu, rakan kongsinya, Rafidah yang merupakan bekas peguam berkata, Brighstars menyediakan dua program, iaitu program sepenuh masa yang diadakan pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula pukul sembilan pagi hingga tiga petang, sementara program setengah hari bermula pukul sembilan pagi hingga 12 tengah hari atau 12.30 tengah hari hingga 3.30 petang.
Ujarnya, bayaran bulanan yang dikenakan untuk program sepenuh masa ialah RM5,200 sebulan, sementara program setengah hari ialah RM2,900 sebulan.
“Kanak-kanak autisme sentiasa ada harapan untuk pulih atau meningkatkan kualiti dalam hidup. Oleh itu ibu bapa harus berusaha daripada peringkat awal lagi. Walaupun memiliki anak autisme seperti menekan sesebuah keluarga daripada segi kewangan, hubungan suami isteri, stres dan sebagainya namun penting jika ada kumpulan sokongan yang akan memberikan sokongan kepada satu sama lain.
“Brighstars adalah sebuah sekolah istimewa untuk anak autisme yang menyediakan satu guru untuk satu kanak-kanak, secara intensif dan berkualiti,” kata Rafidah.
“Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pusat tersebut boleh hubungi talian 012-3222405 atau lawati laman sesawang www.brightstars.my atau Facebook brightstars.
Sumber:
http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/pendidikan-holistik-di-brighstars-1.109705
https://www.facebook.com/BrightstarsLifeSkills/photos_stream
http://www2.bharian.com.my/articles/Misteriautisme/Article/
Ahad, 28 Jun 2015
Ranking Universiti Awam di Malaysia 2015
EMPAT universiti awam yang juga universiti penyelidikan negara berjaya memperbaik kedudukan dalam QS University Ranking Asia 2015, berbanding tahun sebelumnya.
Universiti Malaya memperbaiki kedudukan dari tangga ke-32 tahun lepas kepada 29 tahun ini dan Universiti Sains Malaysia di tempat ke-49 berbanding 57 tahun lepas.
Selain itu, Universiti Teknologi Malaysia di tangga ke-61 daripada 66, Universiti Putra Malaysia (76 ke 66), manakala Universiti Kebangsaan Malaysia pula kekal pada kedudukan ke-56 seperti tahun sebelumnya.
Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh bercakap kepada pemberita semasa menyampaikan taklimat Peningkatan Berterusan: Transformasi dan Kejayaan Pendidikan Malaysia di Wisma Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia).
"Pencapaian universiti awam negara semakin baik dalam pelbagai bidang sejak kebelakangan ini antaranya, tersenarai dalam 'top 100 subject ranking in the world' menerusi QS World University Rankings by Subject 2015."
Beliau juga yakin sasaran untuk universiti negara berada pada kedudukan 100 universiti terbaik di dunia dalam masa dua tahun lagi akan tercapai menerusi langkah sedia ada dalam Pelan Pembangunan Pendididikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.
https://twitter.com/idrisjusoh/status/608534542815629312/photo/1
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/empat-universiti-awam-perbaik-kedudukan-dalam-ranking-asia-62085
Langgan:
Catatan (Atom)
Mengenai Saya
- Titian Ilmu
- Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya." (Hadis riwayat Ibnu Majah).