Ahad, 16 Oktober 2016

Rahsia Kantin Tersihat Negara


Menerima pengiktirafan sebagai kafeteria sekolah tersihat dalam negara ini nyata sesuatu yang mengagumkan bagi warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasir Kechil, dekat sini.

Barang kali juga ramai yang tertanya-tanya bagaimana peng­iktirafan itu boleh diberikan, namun segala perso­alan terjawab sekiranya anda berkunjung sendiri ke kantin sekolah tersebut.

Tidak hanya menyajikan makanan sihat dan bersih, keadaan kantin yang ceria, berinformasi, kemas dan tersusun sememang­nya melayakkan pengiktirafan itu diberi oleh Kementerian Ke­sihatan.

Kantin sekolah tersebut yang dikendalikan syarikat Eimpian Enterprise diangkat sebagai satu-satunya kantin sekolah di negara ini yang menerima pengiktirafan sebagai kafeteria sihat.

Kantin yang ingin mendapatkan pengiktirafan tersebut perlu mematuhi beberapa syarat ditetapkan dengan tidak menjual makanan tidak berkhasiat termasuk makanan ringan.

Bukan itu sahaja, pengusaha kafeteria juga perlu mempromosi makanan sihat di premis, mematuhi prinsip amalan pe­ngilangan baik (GMP), tidak menjual rokok atau menyediakan kemudahan merokok serta digalakkan mendapat pensijilan halal.

Bercakap tentang rahsia kejayaan sekolah berkenaan, pemilik Eimpian Enterprise, Mat Zain Itam, 64, mengakui gembira dengan apa yang dilakukannya kerana berjaya memberi perkhid­matan terbaik kepada 'cucu-cucunya' di sekolah tersebut.

“Ibarat memberi makan kepada ahli keluarga, sudah tentu kita mahu memberi yang terbaik. Sama juga di sini di mana makanan dan minuman untuk pelajar dipastikan agar tidak mendatangkan kemudaratan kepada mereka.

“Di sini kami tidak menyediakan nasi lemak sebaliknya hanya nasi putih dan sambal ikan bilis. Para pelajar juga boleh memilih untuk menikmati ikan kembung bakar dan nasi yang dijual pada harga RM1.50,” katanya yang lebih mesra dipanggil Tok Wan oleh murid-murid di situ.

Bagi minuman pula katanya, pihaknya hanya menjual air mineral, air bertapis, milo serta air soya sekali gus menepati piawaian ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan untuk melayakannya menerima pengiktirafan tersebut.

Sementara itu, guru besar sekolah tersebut, Mohd. Bakri Md. Taib berkata, usaha untuk melakukan perubahan di kantin sekolah tersebut bermula kira-kira tiga tahun lalu setelah ada dalam kalangan ibu bapa pelajar yang bekerja dengan Kementerian Kesihatan, menyua­rakan keprihatinannya mengenai perkara itu.

“Usaha tersebut dirancakkan lagi setelah sekolah kami terpilih untuk program 'saya nak sihat' anjuran Unit Pemakanan, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda yang menyasarkan penurunan indeks jisim badan (BMI) untuk para pelajar obes pada tahun lalu.

“Hasilnya, 13 daripada 31 murid sekolah ini menepati sasaran setelah BMI mereka berjaya diturunkan. Apa yang kami lakukan adalah bersandarkan rasa tanggungjawab dan pengiktirafan bukanlah sesuatu yang tidak dijangka,” katanya.

Melalui aktiviti berkenaan katanya, semua murid dapat mempelajari dan mengamalkan budaya pemakanan sihat termasuk dalam kalangan ibu bapa dan waris mereka.

“Selain murid ibu bapa turut diberikan kursus amalan pemakanan sihat.

“Alhamdulillah usaha sekolah ini mendapat kerjasama baik dalam kalangan pengusaha kantin, ibu bapa, murid serta guru sekolah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti