Ahad, 16 Oktober 2016

Akhlak Dan Ilmu Perlu Seimbang


Perubahan lanskap pendidikan dan ekonomi semasa menuntut mu­rid-murid sebagai bakal pe­mimpin generasi akan datang mempunyai keseimbangan dari segi ilmu dan akhlak.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usaha membangunkan murid-murid secara holistik sebagai persediaan pada masa hadapan telah diselaraskan melalui enam aspirasi yang diterapkan dalam pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Katanya, penerapan nilai aspirasi terbabit akan membantu mengembangkan set pengetahuan dan kemahiran murid-murid sebagai persediaan menempuh kehendak pasaran pada abad ke-21.

Menurut beliau, kemahiran yang perlu dimiliki adalah keupayaan untuk bekerja secara berpasukan, kolaboratif, kreatif, imaginatif, berfikiran kritis dan mampu menyelesaikan masalah.

“Dengan perkembangan pesat teknologi yang mempengaruhi kehidupan ketika ini, kita perlu berfikir tentang nilai dan kemahiran yang perlu dimiliki oleh murid-murid kita yang bakal me­nempuhi cabaran masa hadapan yang tidak dapat dibayangkan.

“Justeru, enam aspirasi perlu diterapkan kepada murid-murid iaitu ilmu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran dwibahasa, kemahiran memim­pin, etika dan kerohanian serta identiti nasional,” katanya dalam satu rakaman video kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Mahdzir menambah, pepe­riksaan yang bakal menjelang bukanlah penentu segala, sebaliknya merupakan langkah pertama ke arah pembentukan sahsiah dan jati diri kepada anak-anak sebagai warga yang dapat menyumbang kepada negara.

Beliau turut mengingatkan bahawa era pembe­lajaran secara hafa­lan sudah berlalu kerana ilmu penge­tahuan kini berada di hujung hari dan murid-murid perlu bijak menggunakan kemudahan tersebut bagi pembangunan sahsiah diri.

“Kepada ibu bapa fahamilah setiap anak-anak mempunyai potensi dan bakat masing-masing yang boleh digilap dan diterapkan dengan kemahiran serta dan nilai untuk mereka bersaing pada abad ke-21 nanti, berikan mereka peluang untuk bersinar mengikut kecende­rungan dan bakat yang ada pada mereka.

“Kementerian telah menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti melalui transformasi pendidikan untuk me­letakkan negara satu per tiga teratas dalam sistem pendidikan terbaik di dunia,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti