Khamis, 16 Mei 2013
Pembentukan Pendidikan bertaraf dunia
Nilai: Guru di negara ini perlu memiliki wawasan unggul untuk mentransformasikan pelbagai aspek pendidikan, berpemikiran aras tinggi dan mampu berinovasi bagi melaksanakan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap bertaraf dunia.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi menyahut hasrat itu, guru perlu sentiasa berusaha meningkatkan keberhasilan sekolah dan murid.
“Saya akur guru selama ini memang berakauntabiliti dalam meningkatkan pencapaian murid dan kejayaan sekolah. Namun, akauntabiliti terhadap keberhasilan operasi sekolah masing-masing perlu terus dipertingkat kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini persaingan menjadi semakin sengit.
“Kebolehan kita untuk bersaing bergantung kepada kelebihan daya saing kita yang ditentukan oleh kemampuan minda dan keupayaan berfikir pada aras tinggi (KBAT),” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi Malaysia berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-42 di Stadium Tertutup Nilai, dekat sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I Datuk Mary Yap, Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II P Kamalanathan, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.
Muhyiddin berkata, aspek pendidikan guru menjadi agenda utama kementerian bagi pemerkasaan guru melalui latihan berterusan dan untuk itu Pelan Induk Pembangunan Profesionalisme Berterusan (CPD) baharu dan pengkalan data pengesanan CPD bertujuan memantap dan mengukuhkan ilmu pengetahuan akan dilaksanakan.
Katanya, demi memartabatkan profesion keguruan, kerajaan turut menggariskan beberapa inisiatif untuk meningkatkan taraf guru. “Melalui PPPM 2013-2025, pelan menaik taraf profesion keguruan dirangka supaya 420,000 guru berpeluang dinaikkan pangkat berdasarkan prestasi,” katanya.
Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/Pendidikanbertarafdunia/Article
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti