Isnin, 9 Mei 2016

Frog VLE Kaedah Pengajaran Alaf Baharu



KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) terus mengorak langkah seiring tuntutan teknologi, agar pembelajaran alaf baharu lebih relevan dengan kehendak semasa.

KPM melalui kerjasama dengan YTL Communications mewujudkan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (Frog VLE) atau dikenali juga sebagai bilik darjah online dan ruang sosial untuk sekolah, semuanya di bawah satu bumbung.

Kaedah ini adalah sistem pembelajaran berasaskan laman sesawang (web) menyerupai pendidikan dunia sebenar dengan menyatukan konsep pendidikan konvensional.

Menurut KPM, melalui laman ini, guru-guru boleh memberi tugasan, ujian dan markah secara maya, sementara, pelajar dan murid-murid boleh menghantar kerja rumah dan menyemak markah yang diperoleh melalui Frog VLE.

Ibu bapa juga berpeluang berkomunikasi dengan guru-guru, manakala, pentadbir sekolah pula boleh menyusun kalendar sekolah dan memaparkan notis melalui internet.

Frog VLE boleh diakses di mana jua, pada bila-bila masa menggunakan sambungan internet.

Ia mula dilancarkan pada Mac 2012, dan masih dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Frog VLE dibina dengan mengutamakan penggunanya. Sasarannya adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berkuasa ke atas pemilikan pendidikan serta bersedia bersaing dalam ekonomi global yang berasaskan pengetahuan.

KPM juga menyatakan Frog VLE mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran kerana menjimatkan masa dan usaha. Ia berfungsi sebagai alat untuk memudahkan guru melaksanakan tugas, seperti merancang pengajaran, menandakan tugasan dan menguruskan kalendar akademik.

Ia juga menghubungkan para pendidik di seluruh negara bagi membolehkan mereka berkolaborasi serta berkongsi sumber dan idea.

Oleh kerana perisian Frog berasaskan awan (cloud-based), dan pembelajaran boleh dilaksanakan pada bila-bila masa, pelajar dan murid boleh melakukan penyimpanan awan, beg sekolah yang berat bertukar ringan.

Sistem Frog yang mudah digunakan membolehkan guru dan pelajar mencari kandungan pendidikan dalam  satu laman web tanpa memerlukan kepakaran teknikal.

Ia membolehkan guru menghasilkan sumber pengajaran yang menarik. Ikuti pendapat guru-guru dan murid berhubung pelaksanaan kaedah ini di sekolah.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/cikgu-cikgi/frog-vle-kaedah-pengajaran-alaf-baharu-1.516479

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti