Jumaat, 15 Ogos 2014

Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)


Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) adalah pentaksiran sumatif untuk menilai pencapaian akademik murid di peringkat menengah rendah. PT3 juga merupakan komponen Pentaksiran Pusat (PP) di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Ia adalah penambahbaikan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dilalui pelajar tingkatan tiga mulai Julai 2014. Pelajar tingkatan satu pada 2012 adalah kohort pertama melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan akan menempuhi PT3 pada tahun 2014.


Mata pelajaran yang ditaksir dalam PT3


Mata pelajaran yang ditaksir dalam PT3 adalah seperti berikut:


  • Bahasa Melayu
  • Bahasa Inggeris
  • Sejarah
  • Geografi
  • Matematik
  • Sains
  • Pendidikan Islam
  • 4 pilihan Kemahiran Hidup Bersepadu:

            KHB Kemahiran Teknikal
            KHB Ekonomi Rumah Tangga
            KHB Pertanian
            KHB Perdagangan dan Keusahawanan

  • 5 pilihan bahasa tambahan:

            Bahasa Arab
            Bahasa Cina
            Bahasa Tamil
            Bahasa Iban
            Bahasa Kadazandusun

Secara asasnya, skop pentaksiran PT3 masih sama seperti PMR di mana ia berbentuk pentaksiran sumatif iaitu mengukur penguasaan intelek pelajar secara menyeluruh di peringkat menengah rendah.

Namun, beberapa instrumen seperti ujian lisan misalnya, diperkukuhkan dalam PT3 untuk memastikan pelajar bukan saja menguasai mata pelajaran terbabit secara bertulis malah secara lisan. Pelbagai instrumen pentaksiran lain seperti kajian kes turut digunakan supaya pelajar benar-benar menguasai aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai bagi mata pelajaran yang dipelajari.

Melalui PBS, terdapat dua komponen dalam bidang akademik dan dua komponen dalam bidang bukan akademik. Dua komponen dalam bidang akademik ialah Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP) iaitu PT3. Namun begitu, setiap pelajar akan turut diukur dari sudut jasmani melalui Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta dari segi emosi dan rohani melalui Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Pada akhir tingkatan tiga, pelajar akan diberi empat pelaporan iaitu PT3, PAJSK, PPsi dan Pentaksiran Sekolah (PS).

Pentaksiran Sekolah mempunyai dua bentuk pentaksiran formatif (mengesan perkembangan pembelajaran murid secara berterusan bagi tujuan membaiki kelemahannya membuat penambahbaikan de­ngan serta merta serta sumatif seperti ujian dan peperiksaan bagi mengesan pencapaian murid berdasarkan beberapa unit pembelajaran dan pemeringkatan gred murid. Makluman awal mengenai perkembangan dan pencapaian murid adalah penting bagi membolehkan pihak sekolah melaksanakan intervensi dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru dapat merancang program pemulihan yang diperlukan bagi membantu meningkatkan prestasi murid.

Lembaga Peperiksaan (LP) menyediakan soalan untuk digunakan guru dalam menjalankan PT3 di sekolah masing-masing. Bagi ujian bertulis misalnya, pihak Lembaga Peperiksaan bertanggungjawab menyediakan item, format instrumen, panduan pemasangan instrumen, panduan penskoran item, peraturan pentadbiran dan format pelaporan PT3.

Manakala, bagi ujian lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, kajian kes Sejarah dan Geografi pula, Lembaga Peperiksaan akan menyediakan instrumen, panduan penskoran dan peraturan pentadbiran. Lembaga Peperiksaan juga menyediakan format pelaporan PT3.

 Pihak sekolah bertanggung­jawab dalam melaksanakan beberapa perkara antaranya memasang instrumen ujian bertulis berdasarkan, Format Instrumen dan Panduan Pemasangan Instrumen, memeriksa skrip jawapan murid dan menyediakan pelaporan.

Di peringkat menengah rendah, murid akan menerima 4 pelaporan iaitu Pelaporan Pentaksiran Sekolah, Pelaporan PT3, Pelaporan PAJSK dan Pelaporan Pentaksiran Psikometrik.

Pelaporan-pelaporan ini memberi gambaran tentang perkemba­ngan , pencapaian dan potensi murid secara menyeluruh. Pelaporan ini boleh digunakan oleh pihak yang berkepentingan untuk membuat keputusan yang lebih tepat dalam pemilihan murid ke aliran pendidikan peringkat menengah atas.

Pelaporan Pencapaian Murid bagi PT3 adalah dalam bentuk Gred A, B, C, D, E dan F dengan tafsiran seperti rajah di bawah


Penjaminan kualiti dilaksanakan melalui proses moderasi dan verifikasi. Moderasi ialah proses menyelaras markah berdasarkan peraturan penskoran yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan. Proses ini dilaksanakan bagi memastikan ketekalan (konsistensi) dalam pemberian markah antara guru-guru yang memeriksa.

Verifikasi pula ialah proses menentusahkan markah yang diperoleh murid adalah markah yang selayaknya diterima.

Sumber:
http://didikmalaysia.com.my/bm/?page_id=527
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BezaPT3denganPMR/MA/Article/index_html



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti