Jumaat, 26 April 2013

Kesilapan Ibubapa Mendidik Anak-Anak




Anak-anak adalah merupakan salah satu anugerah terindah dari Allah kepada mereka yang bergelar Ibu & Bapa. Tidak dapat dinafikan, kehidupan rumahtangga pasti menjadi lebih ceria dan menyeronokkan dengan kehadiran anak-anak.

Namun begitu, ibu-bapa perlu sedar, bahawa anugerah ini juga datang dengan sebuah tanggungjawap yang besar, iaitu tanggungjawap untuk mendidik dan membentuk si anak , agar menjadi seorang insan yang berguna dan cemerlang. Ianya adalah satu tanggungjawap yang besar untuk ibu-bapa mendidik & mencorakkan kehidupan anak mereka.

Sepertimana Sabda Nabi Muhammad S.A.W..

"Sebaik-baik manusia antara kamu adalah yang paling banyak memberi manfaat pada orang lain .."
- Bukhari & Muslim


Realiti hidup masa kini yang semakin kompleks dan mencabar menuntut ibu bapa agar lebih tekun mendalami ilmu dan kemahiran keibubapaan dan mengadaptasinya dalam kehidupan berkeluarga, antara faktor yang merosakkan pendidikan anak ialah berpunca dari ibu bapa sendiri yang gagal mendidik dengan cara yang betul.

Terdapat banyak bentuk kesilapan dalam mendidik anak-anak.

Kesilapan terbesar ialah kegagalan ibu dan bapa menjadikan agama sebagai teras dalam pendidikan anak-anak.

Agama membawa kepada keseimbangan antara fizikal dan spiritual. Antara pembangunan akhlak dan kecemerlangan akademik. Antara dunia dan akhirat.

Tanpa agama, anak-anak ibarat ditinggalkan di lorong yang gelap tanpa pedoman untuk diikuti.

Sering kali berlaku, ibu bapa yang bersungguh-sungguh memarahi anak yang mendapat nombor yang corot dalam peperiksaan, tetapi hanya buat selamba abapila mengetahui anaknya meninggalkan solat dengan sengaja.

Tak kurang juga ibu bapa yang sangat mengambil berat soal makan-minum anak-anak tetapi, mengabaikan terus ‘makanan’ rohani anak-anak yang sentiasa ‘lapar’ dan ‘dahagakan’ petunjuk agama.

Ada juga ibu bapa yang membiarkan anak-anak bergaul bebas lelaki perempuan dengan alasan ia adalah ‘kebiasaan budak-budak zaman sekarang’, tanpa peka dengan batasan syariat yang menuntut kawalan pergaulan antara jantina berbeza.

Ringkasnya, pengabaian agama merupakan kesilapan terbesar dalam pendidikan anak-anak.


Mendidik Tanpa Belas Ihsan

Selain itu, kesilapan juga berlaku apabila ibu bapa mendidik anak tanpa perasaan belas ihsan.

Dr Abdullah Nasih Ulwan menyebut bahawa terdapat anak-anak yang diperlaku dengan perlakuan yang keras sehingga menyebabkan anak-anak tertekan, kecewa, punah harapan dan ada yang membunuh diri.

Tidak dinafikan terdapat ibu bapa yang ‘mendidik’ anak berbekalkan luapan emosi marah tidak terkawal sehingga ada yang memaki hamun, menghina, memukul dan membelasah anak sendiri.

Bahkan kes-kes penderaan anak masih kerap didengari sehingga hari ini.

Kekerasan melampau ke atas anak-anak ini membuahkan kekacauan jiwa anak-anak. Hal ini juga ada kaitannya dengan faktor anak-anak enggan berada di rumah.


Bagi mereka ‘Rumahku Nerakaku’.

Mereka lebih bahagia dan damai bila berada dengan rakan-rakan, yang kadang-kadang membawa mereka ke kancah kemusnahan kekal.

Bagi si ibu dan bapa, perlu diingat bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk berbuat baik kepada anak-anak kerana anak adalah amanah dari Allah SWT.

“Sesungguhnya Allah menyuruh menjalankan keadilan, berbuat baik, dan memberi kepada kaum kerabat.” (Surah an-Nahl:90)

Sabda Rasulullah SAW:

“Sekiranya Allah inginkan kebaikan bagi sesebuah keluarga, maka diberikan sifat belas kasihan kepada mereka. Dan andainya sifat belas kasihan itu suatu ciptaan (yang boleh dilihat), nescaya semua manusia akan memandangnya sebagai sebaik-baik ciptaan dari Allah. Dan sekiranya kekerasan itu adalah satu ciptaan (yang boleh dilihat), nescaya semua manusia akan memandangnya sebagai seburuk-buruk ciptaan dari Allah.” – Riwayat Ahmad dan Al-Baihaqi


Terlalu Memanjakan Anak-Anak

Selain itu, kesilapan juga berlaku apabila ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak.

Ada ibu bapa yang berat untuk menghukum dan menegur anak-anak semata-mata takutkan anak itu merajuk.

Kuasa merajuk anak itu diberikan sedemikian rupa sehingga anak itu berjaya memanupulasikannya sebagai senjata untuk mengugut ibu bapa.

Tidak salah untuk memanjakan mereka. Memang anak-anak perlukan kemanjaan dan kasih sayang.

Namun, tindakan yang salah ialah terlalu memanjakan anak dengan tidak menetapkan disiplin dan sempadan ke atas anak-anak.

Akhirnya anak itu menjadi terlalu bebas, dan gagal dididik dangan teratur dan berprinsip.

Landasan agama merupakan asas yang paling baik untuk menjadi bekalan dan rujukan dalam mendidik anak-anak menuju ketinggian sahsiah.


Doa untuk anak yang degil / nakal

Baca sambil menyentuh ubun-ubun anak ketika sedang tidur.


Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, dimedan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).
Surah: Al-Imran ayat 200





10 Tip Didik Anak Cemerlang

1. Konsisten dengan peraturan yang ditetapkan kepada anak-anak.

2. Apabila anak bercerita kepada anda, jadilah pendengar yang setia.

3. Bersikap jujur kepada anak.

4. Memperuntukkan masa berkualiti untuk bersama anak.

5. Pandanglah anak dengan penuh kasih sayang.

6. Berikan penghargaan setiap kali anak melakukan perbuatan baik (pujian, pelukan, ciuman dan hadiah)

7. Tenangkan anak anda setiap kali dia memerlukannya.

8. Hargailah permainan kesayangan anak anda.

9. Berbicaralah dengan anak anda.

10. Ajaklah anak bersembahyang berjemaah dengan anda

Sumber:

http://pama.karangkraf.com/
http://harianislam.com/





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti