Sabtu, 27 November 2010

P&P Isipadu Cecair

Dalam bidang matematik, cecair diukur dalam 2 bentuk unit pengukuran iaitu unit piawai dan unit bukan piawai. Unit piawai adalah seperti liter dan milliliter. Manakala bagi unit bukan piawai pula adalah seperti, setitik, secawan dan sebaldi. Unit bukan piawai adalah mengikut alat pengukurannya. Contohnya, jika sudu diguna sebagai alat ukuran, unitnya adalah setengah sudu, sesudu, dua sudu dan seterusnya. Unit-unit bukan piawai ini masih lagi digunakan pada hari ini. Contoh yang paling mudah ialah jumlah pengambilan ubat cecair dan sukatan beras untuk memasak nasi.

Dalam pendidikan disekolah, ilmu pengetahuan dan kemahiran mengukur isipadu cecair adalah amat penting untuk dikuasai oleh kanak-kanak. Atas kesedaran ini, maka Kementerian Pelajaran Malaysia bersama Pusat Perkembangan Kurikulum telah memasukkan “isipadu cecair” sebagai salah satu topik dalam matapelajaran matematik di tahun dua. Ini adalah untuk memastikan kanak-kanak dapat menguasai kemahiran mengukur isipadu cecair apabila mereka tamat di alam persekolahaan.



Dalam menganggarkan dan membanding-beza isipadu cecair, kebiasaannya kanak-kanak akan membuat kesilapan (sepeti video di atas) dengan menyangkakan bekas yang tinggi mempunyai isipadu yang lebih dari bekas yang memanjang. Dalam menyelesaikan kesalahan tafsiran ini, guru perlu menjelaskan bahawa tetinggian bekas bukanlah penentu isipadu atau kuantiti cecair di dalamnya. Guru perlu bijak menyusun penerangan-penerangannya dengan bahan bantu pengajaran atau eksperimen-eksperimen yang tertentu.

Menurut Sobri (2000), dalam sebuah tesis seorang mahasiswi Universiti Teknologi Malaysia, Nur Baizura Binti Mahyidin (2006:5) menyatakan bahawa terdapat tiga kepentingan alat bantu mengajar iaitu;


1. Membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ianya memainkan peranan sebagai membantu tugas guru di dalam menerangkan isi pelajaran.

2. Mengawal disiplin pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlaku.

3. Mengurangkan kebosanan pelajar semasa berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran.

Dalam pengajaran dan pembelajaran isipadu cecair, kemahiran mengukur, pengajaran harus lah tersusus dari mudah ke susah. Ini bermakna sebelum mengajar kemahiran mengukur, murid-murid harus diajar perbandingan isipadu cecair, iaitu, banyak, sedikit, separuh, penuh dan kosong. Peringkat seterusnya, murid-murid harus diberi kemahiran menyukat dengan menggunakan unut bukan piawai dengan menggunakan sudu, cawan, dan sebagainya. Berikut adalah contoh-contoh susunan peringkat pengajaran.



P&P Peringkat Pertama




P&P Peringkat Kedua




P&P Peringkat ketiga




P&P Peringkat keempat

Secara kesimpulan, kita perlu faham dengan teori pembezaan individu di mana kanak-kanak adalah berbeza di sebabkan oleh faktor persekitaran dan faktor baka. Pada pendapat saya tiada satu pun teknik, kaedah atau modul pengajaran yang berkesan. Sebaliknya keberkesanan sesuatu pengajaran itu adalah terletak pada kesesuaian pelajar. Oleh itu kita sebagai guru perlu bijak dalam merancang pengajaran agar bersesuaian dengan minat dan aras pemikiran kanak-kanak.

Menurut Sabri Ahmad. et.al. (2006:6), dalam bukunya “Isu-Isu Dalam Pendidikan Matematik” menyatakan bahawa kaedah pengajaran yang lama, tidak menarik dan sukar difaham oleh pelajar menjadi punca kegagalan mereka dalam matapelajaran tersebut. Oleh itu adalah perlunya kita sebagai guru sentiasa mencipta pengajaran yang lebih berkesan dalam pembelajaran murid.

“Dalam pembelajaran matematik, Gagne (1970) telah menyatakan empat kategori yang harus dipelajari iaitu fakta, kemahiran, konsep dan prinsip.” (Mok Soon Sang, 1995). Daripada petikan ini, kita harus memastikan pelajar menguasai, fakta seperti 1liter = 1000 mililiter, kemahiran menyukat isipadu cecair, konsep cecair memenuhi ruang, dan prinsip-prinsip isipadu cecair.

Sekian,
Mohamad Hasrul Daud


Rujukan :


Mok Soon Sang. (1995). Pengajian Matematik Untuk Kursus Perguruan. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.

Noraini Idris. (2001). Pedagogi Dalam Pendidikan Matematik. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd

Nur Baizura Binti Mahyidin. (2006). TESIS: Faktor-Faktor Yang Menggalakkan Penggunaan Alat Bantu Mengajar Di Kalangan Guru-Guru Teknikal Di Dalam Pengajaran Seharian. Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Malaysia

Sabri Ahmad. et.al. (2006). Isu-Isu Dalam Pendidikan Matematik. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd

Rujukan laman web

http://books.google.com.my/

http://www.learningandteaching.info/learning/piaget.htm

http://webspace.ship.edu/cgboer/piaget.html



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ke arah keperibadian yang seimbang dan pendidikan yang berkualiti