Rabu, 30 November 2016

1BestariNet Realisasi Konsep Teknologi Untuk Semua


Pembangunan projek 1BestariNet memberi impak positif dalam jangka panjang membantu murid memperoleh kemahiran pembe­lajaran abad ke-21, merapatkan jurang digital dan merealisasikan konsep teknologi untuk semua sekali gus me­ngubah kehidupan masyarakat khususnya mereka yang tinggal jauh di kawasan pinggiran bandar.

YTL Communications Sdn. Bhd. (YTLC) berkata, antara usaha itu, pihaknya membuat tawaran membina stesen tapak yang dikenali sebagai menara telekomunikasi Sistem Penerima Bersepadu 1BestariNet (1BRIS).

Katanya, ia dibina di lokasi-lokasi strategik dalam kawasan sekolah terpilih yang tanah tapak­nya diperuntukkan oleh Kementerian Pendidikan tanpa sebarang caj bagi memastikan penyediaan liputan perkhidmatan 4G yang stabil termasuk mampu dinikmati oleh komuniti yang tinggal di sekitar kawasan sekolah sebagai kemudahan tambahan.

“Bagaimanapun, selepas projek dianugerahkan kepada YTLC, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian telah menegaskan bahawa sewaan perlu dibayar bagi penggunaan lot tanah seluas 4 meter x 4 meter di setiap sekolah terpilih.

“Sehubungan itu, selepas mempertimbangkan perjanjian yang dibuat oleh YTLC dengan kementerian sebelumnya, kadar sewaan tahunan yang nominal untuk setiap tapak dipersetujui oleh kesemua pihak terlibat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

YTLC membangunkan projek 1BestariNet bagi memenuhi cadangan hasil kajian yang dijalankan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Pejabat Perdana Menteri.

Ia dijalankan dengan usahasama Boston Consulting Group mengenai peranan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam bidang pendidikan sebagai pengganti serta penambahbaikan perkhidmatan SchoolNet yang tamat pada akhir tahun 2010.

Sebanyak 19 syarikat membida projek itu dan YTLC dipilih berdasarkan bidaannya yang mempamerkan faktor pematuhan teknikal dan keberkesanan kos yang terbaik pada nilai RM663 juta oleh Kementerian Pendidikan pada akhir tahun 2011.

Antara faktor keberkesanan kos yang ditawarkan termasuklah cadangan YTLC untuk membiayai sepenuhnya pelaburan kapital teknologi 4G bagi projek tersebut tanpa melibatkan sebarang kos perbelanjaan daripada pembayar cukai mahupun Kementerian Pendidikan.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/1bestarinet-realisasi-konsep-teknologi-untuk-semua-1.413600

Baca  -> YTL Communications Responds To Reports On MoE's 1BestariNet Project For Malaysian Schools

Jangan Kecewa Dengan Keputusan UPSR


AKHIRNYA keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan pada 17 November lalu. Pastinya calon peperiksaan tersebut kini sudah boleh menarik nafas lega, setelah berhempas pulas mengulang kaji pelajaran untuk mendapat keputusan terbaik.

Pelbagai perasaan pastinya bercampur baur. Ada gembira, sedih, biasa-biasa saja dan tidak kurang juga rasa menyesal setelah melihat gred keputusan diterima.

Guru dan ibu bapa calon pastinya teruja menanti pengumuman peperiksaan ini. Apa tidaknya tahun ini merupakan kohort pertama telah mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) serta melalui pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sejak berada di tahun 1, pada 2011.

Pastinya mahu melihat, apakah keputusan diperoleh calon perintis yang dihasratkan dapat melalui transformasi kurikulum dan pentaksiran pada peringkat pendidikan sekolah rendah bagi memastikan perkembangan mereka secara menyeluruh, seimbang dan sepadu ini.

Perkembangan ini dikatakan meliputi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan insan seimbang, harmonis dan berakhlak mulia. Justeru format Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (Kbat) diserap dalam UPSR bermula tahun ini.

Yang pasti, kelibat A dalam slip peperiksaan tersebut, tetap sangat dinanti-nantikan calon, guru dan pihak sekolah malah lebih berharap, adalah ibu bapa murid terlibat.

Namun, agak membuka mata apabila hanya seramai 4,896 calon memperoleh keputusan cemerlang semua Gred A dalam UPSR tahun ini. Jumlah pencapaian dikategorikan cemerlang itu adalah bersamaan hanyalah 1.11 peratus daripada 452,751 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu September lalu.

Apa pun seperti dimaklumkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, pencapaian calon UPSR 2016 adalah dilaporkan berdasarkan pelaksanaan kurikulum dan format peperiksaan baharu. Jadi ia tanpa membuat perbandingan dengan pencapaian calon tahun lalu.

Menurutnya, keputusan tahun ini tidak boleh dibandingkan secara terus dengan tahun lalu kerana sebelum ini ia berdasarkan tiga gred iaitu A,B, C manakala tahun ini empat gred iaitu A, B, C dan D.

Termaktub DSKP

Tidak ketinggalan memberi respons terhadap pencapaian calon UPSR, Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Foziah Buang berkata, tujuan peperiksaan ini adalah untuk melihat pencapaian murid dalam bidang akademik daripada segi penguasaan kemahiran literasi, numerasi dan penaakulan atau 4M (menulis, membaca, mengira, menaakul) dan bukan semata-mata terhadap bilangan gred A yang diperoleh oleh calon.

"Keputusan peperiksaan UPSR merujuk kepada pencapaian akademik calon berdasarkan standard kandungan, pembelajaran dan standard prestasi seperti termaktub dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), serta bukan merujuk kepada lulus atau gagal.

"Tahap pencapaian calon dilaporkan dalam bentuk gred berdasarkan pertimbangan terhadap kualiti, ketekalan, ketepatan dan keadilan. Tahap pencapaian minimum pada 2016 ialah gred D berbanding gred C pada 2015," katanya.

Beliau berkata demikian semasa pengumuman rasmi keputusan UPSR 2016 di Blok Duta 1, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, lalu.

Dalam pada itu, menurutnya, pelaporan akhir pendidikan rendah yang terdiri daripada keputusan peperiksaan UPSR, Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum, dan Pentaksiran Psikometrik mengandungi pelbagai maklumat mengenai calon secara menyeluruh.

"Maklumat ini harus digunakan oleh semua pihak kerana ia menggambarkan profil calon sebagai modal insan untuk negara di masa akan datang.

"Ia juga menggambarkan status pendidikan sekolah rendah bagi seseorang murid," katanya.

Apa pun pesan GPS Bestari.com, walau apa pun keputusan dan gred adik-adik dapat bagi UPSR ini, ini hanya peringkat permulaan. Berapa banyak pun A diperoleh dalam UPSR ini, ia bukan penentu kejayaan dalam hidup.

Banyak lagi ranjau dan duri perlu dilalui!

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/gps-bestari/jangan-kecewa-bilangan-a-1.592210

Khamis, 17 November 2016

UPSR 2016: P.Pinang Antara 3 Negeri Terbaik


PULAU PINANG 17 Nov. - Negeri ini muncul antara tiga buah negeri yang mencatat keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) terbaik selepas seramai 399 calonnya mendapat keputusan semua A seperti diumumkan hari ini.

Bagaimanapun, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Jamil Mohamed berkata, jumlah calon yang mendapat semua A itu ini menurun berbanding keputusan tahun lalu.

Menurutnya, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perempuan Cina diumumkan sebagai sekolah terbaik keseluruhan manakala empat buah sekolah lain mencatat keputusan 100 peratus lulus.

Empat sekolah itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aman; SK Permatang To’ Jaya; SJKC Chun Hwa Pantai Acheh dan SJK Tamil (SJKT) Ladang Byram. - UTUSAN ONLINE

Ahad, 13 November 2016

Fenomena Supermoon 14 November ini

"SUPERMOON’ TERBESAR SEJAK 1948 AKAN BERLAKU PADA 14 NOVEMBER 2016


Fenomena Supermoon adalah satu fenomena astronomi di mana Bulan akan berada di kedudukan paling hampir dengan Bumi (perigee).



Kejadian ini dikenali sebagai Bulan Penuh Perigee bagi ahli astronomi dan istilah ‘supermoon’ di kalangan masyarakat umum. Fenomena ini boleh dilihat pada 14 November 2016.

Keadaan Bulan di kedudukan perigee ketika fasa purnama ini menyebabkan Bulan kelihatan  seolah-olah lebih besar dari keadaan biasa. Bagaimanapun saiz fizikal Bulan sebenarnya tidak berubah sama sekali.


Fenomena supermoon telah berlaku pada 6 Mei 2012, 23 Jun 2013, 10 Ogos 2014 dan 28 September 2015. Bagaimanapun menurut Agensi Angkasa Negara (Angkasa), fenomena Supermoon kali ini merupakan yang terbesar pada jarak paling dekat dengan bumi sejak 68 tahun lepas. Maka rakyat Malaysia perlu mengambil kesempatan ini untuk menyaksikannya kerana ianya dijangka berlaku 18 tahun akan datang.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa fenomena Supermoon pada Isnin ini akan berlaku pukul 7.24 malam dan seterusnya berada pada fasa penuh atau purnama pada 9.54 malam.

Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat, orbit bulan sekeliling Bumi agak membujur, menyebabkan kadang-kadang ia dekat dan kadang-kadang ia jauh.

Apabila bulan penuh ketika berada paling hampir dengan Bumi, ia dikenali sebagai 'supermoon'. Pada perigee, iaitu tahap bulan paling dekat dengan Bumi, ia berada 14 peratus lebih hampir dengan Bumi berbanding apogee, apabila bulan paling jauh dengan planet ini.


Video Fenomena Supermoon



Sumber:
http://www.planetariumnegara.gov.my/
http://www.angkasa.gov.my/
http://www.hmetro.com.my/node/180618

Jumaat, 11 November 2016

5 Cara Galak Anak Ambil Sarapan


Sarapan sangat penting bagi para pelajar kerana otak kita memerlukan glukosa dari sumber (makanan) karbohidrat. Tanpa sarapan pagi bermakna tenaga otak akan berkurangan. Penyelidikan dari Universiti Swansea Wales membuktikan bahawa pelajar yang selalu sarapan mencatat rata-rata skor 22% lebih tinggi berbanding mereka yang tidak sarapan. Ketika anda bangun pagi, sebahagian besar tenaga (dalam bentuk glukosa dan glikogen) telah habis digunakan oleh aktiviti sehari sebelumnya. Menurut para ahli, glukosa adalah satu-satunya bahan bakar yang diperlukan otak. Tanpa glukosa yang cukup anda akan merasa lemah dan mengurangkan bekalan nutrisi pada otak. Oleh itu sarapan pagi adalah penting untuk memastikan anak-anak anda kekal bertenaga tidak kira pada musim sekolah atau musim cuti.

Persoalan sekarang, bagaimana cara kita menggalakkan anak-anak untuk mengamalkan tabiat bersarapan? Berikut adalah beberapa tip untuk menggalakkan anak anda menikmati sarapan pagi.


1. Makan bersama mereka

Jika suasana pagi anda sentiasa dalam keaadaan riuh rendah, cuba ambil seketika untuk duduk dan bersarapan bersama anak–anak anda. Elakkan daripada terlalu paksa dan jadikan waktu sarapan waktu penting bersama keluarga. Cubalah membuat perbualan anda  untuk lebih mengenali mereka dengan lebih dalam. Malah, ibu bapa merupakan contoh yang terbaik untuk mendorong anak–anak muda untuk mengamalkan tabiat bersarapan pagi. Ia juga sangat penting untuk anda memberi penjelasan tentang kepentingan sarapan supaya mereka memahami kebaikan tabiat tersebut.

Berdasarkan MyBreakfast Study, kajian pertama di Malaysia yang mengkaji info tabiat sarapan terkini di Malaysia, mencadangkan bahawa ibu bapa perlu lebih aktif dalam usaha menggalakkan makan secara sihat dan menjalani gaya hidup yang sihat bersama anak-anak. Sarapan menyediakan rutin dan struktur yang memberikan anak-anak kestabilan dan keselamatan yang tentunya penting untuk perkembangan mereka.

Pagi anda pasti akan lebih positif!

2. Mempelbagaikan menu

Kanak-kanak sukakan kepelbagaian! Jika anda kerap memberikan mereka makanan yang sama, mereka akan mula merasa muak. Duduk bersama mereka ketika cuti sekolah dan cuba mencari menu sarapan dar pelbagai negara atau budaya dan biarkan mereka menentukan pilihan sarapan yang ingin mereka cuba. Anda perlu sentiasa ingat bahawa anak-anak akan kehilangan 80% tenaga simpanan mereka ketika mereka tidur* jadi mereka perlu mengembalikan tenaga itu dengan betul supaya mereka boleh bertenaga sepanjang hari. Walau apapun yang anda pilih untuk sarapan mereka, pastikan ianya sentiasa seimbang dan sihat.

3. Membuat sarapan bersama

Jadikan sarapan pagi sebagai suatu aktiviti yang menyeronokkan. Berikan mata kepada siapa yang pertama menghabiskan makanan mereka terutamanya makanan yang mereka tidak suka makan dan biarkan mereka mengumpul mata untuk menebus hadiah utama. Contohnya ‘pancake’ buatan sendiri ataupun cip coklat di dalam muffin strawberi? Jika MILO® adalah minuman kegemaran mereka, apa kata anda sembunyikannya dan berikan mereka petunjuk ibarat permainan mencari harta karun? Pastikan hadiah ditumpukan kepada sarapan untuk mengingatkan kepentingan sarapan itu sendiri. Tiada masa yang lebih sesuai untuk lakukan sedemikian dengan anak-anak anda melainkan waktu cuti sekolah ini. Jadikan sarapan pagi itu adalah waktu bersama keluarga yang menyeronokkan!

4. Nikmatinya!

Tidak salah kalau sehari dalam seminggu itu anda menyediakan sarapan yang berlainan. Sekali-sekala gorengan kepingan ayam, telur dan roti untuk dijadikan sarapan itu adalah lebih enak! Tetapi ingat untuk memberikan sekali secawan MILO atau susu supaya mereka mendapatkan tenaga yang diperlukan untuk aktiviti seharian mereka.    

5. Perubahan adalah baik. Jangan takut untuk mencuba!

Tiap-tiap hari kami kebanyakanya rutin yang sama; bangun pagi, gosok gigi, mengemas beg, bersarapan dan bergegas keluar. Namun, kadang kala, adalah bagus untuk kita ubah rutin tersebut. Kita semua tahu bahawa makan di hadapan TV atau di dalam kereta adalah tidak elok. Tetapi kadang kala, pengorbanan perlu dilakukan. Apa yang lebih baik? Sentiasa bekalkan mereka dengan sedikit sarapan yang dapat mengurangkan kepenatan untuk mengelakkan kemerosotan tenaga sebelum tiba tengah hari. Jadi cubalah pelbagai aktiviti-aktiviti kerana ia akan membantu untuk menggalakkan anak-anak muda untuk bersarapan pagi.

Sarapan adalah penting tidak kisah ketika cuti sekolah ataupun tidak. Jadi, anda perlu sentiasa terus mengamalkan tabiat merancang sarapan setiap hari. Jadikan sarapan amalan keluarga yang menyeronokkan terutamanya ketika cuti sekolah!