Jumaat, 15 Mei 2015

HARGAI JASA DAN SUMBANGAN GURU


TEMA sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan ta­hun ini adalah Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak. Tema ini membawa makna yang cukup besar sekali gus menggambarkan betapa signifikan sumbangan dan peranan guru yang tidak pernah pudar mahupun ditelan dek zaman.
Peranan guru dalam pelbagai aspek kehidupan anak didik terutamanya dari segi ilmu dan akhlak digambarkan secara menyeluruh melalui tema ini. Tema ini juga memberikan mesej yang cukup jelas mengenai tuntutan dan harapan masyarakat dan negara terhadap peranan guru yang semakin hari semakin mencabar.

Seperti biasa tarikh keramat 16 Mei datang lagi sebagai memenuhi salah satu hari dalam kalendar ha­rian kita dan sekali gus menandakan hari yang telah dimasyhurkan sebagai Hari Guru di negara ini. Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada hari bulan yang sama dalam 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Fe­deral Legislative Council) telah me­nerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang selepas itu dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajar­an Kebangsaan maka tarikh keramat ini besar maknanya kepada kita semua terutamanya kepada institusi pendidik­an dan perguruan negara.

Saban tahun pelbagai isu mewarnai dunia pendidikan negara baik yang positif dan membanggakan mahupun yang kurang enak untuk kita dengar. Contohnya, beberapa kejadian buruk di sekolah yang melibatkan masalah disiplin pelajar, tindak tanduk guru serta campur tangan ibu bapa terus mewarnai kalendar persekolahan tahunan kita. Malah beberapa insiden di universiti melibatkan mahasiswa dan pensyarah turut mencuri perhatian khalayak. Namun kedudukan guru di mata rakyat tidak pernah pudar mahupun tenggelam.

Cuma ada ketikanya kita terfikir sejauh mana peranan dan sumbangan guru itu dihargai masyarakat. Sebagai peringatan bersama secara ringkas tetapi penuh bermakna marilah kita hayati antara bait-bait keramat dari sajak nukilan Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang pada 1979 yang bertajuk ‘Guru Oh Guru’. Antara lain sajak ini berbunyi:

“Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca”

Setiap satu rangkap sajak ini menceritakan sumbangan, peranan dan kejayaan besar guru dalam mendidik dan membentuk peribadi dan karakter dalam masyarakat kita. Hakikatnya, setiap seorang daripada kita pasti terhutang budi sekurang-kurangnya kepada seorang guru dalam apa jua keadaan sekalipun. Guru juga sentiasa diangkat sebagai agen perubahan sosial yang cukup berkesan. Ringkasnya, tiada kita seperti pada hari ini tanpa ajaran dan bimbingan daripada seorang insan mulia bernama guru.

Adakalanya kita rasa cukup sedih dan kecewa apabila berlakunya kejadian seperti pelajar menampar guru, ibu bapa memarahi guru, kenderaan guru dirosakkan oleh pelajar dan sebagainya yang jelas menunjukkan bahawa kita masih kurang rasa hormat dan sayang kepada insan mulia ini. Dapat dikatakan, guru bertanggungjawab membentuk tamadun manusia melalui penyebaran ilmu dan pembentukan akhlak yang mulia. Jasa guru sama ada guru sekolah, tadika mahupun pensyarah amatlah besar, begitu juga pengaruh mereka.

Justeru, usahlah kita asyik mencari kesalahan mereka semata-mata. Sekarang amat jarang kita dengar pelajar mahupun ibu bapa mengucapkan ‘terima kasih’ kepada guru. Ini adalah perkembangan yang cukup menyedihkan dan sepatutnya tidak berlaku dalam masyarakat kita yang begitu mementingkan gaya hidup yang sopan santun dan nilai-nilai murni sejagat. Walaupun kita juga akui bahawa memang ada segelintir guru yang mungkin bermasalah atas pelbagai faktor peribadi terutamanya bagi mereka yang memilih kerjaya guru kerana terpaksa dan tiada pilihan lain, tetapi adalah tidak wajar untuk kita menghakimi keseluruhan institusi perguruan hanya kerana nila setitik seperti ini.

Hakikatnya, tugas guru pada zaman yang semakin canggih ini dilihat cukup mencabar berbanding guru zaman dahulu. Pelajar sekarang juga didapati lebih tahu serba serbi dan cepat memberontak dan bertindak balas mengikut emosi masing-masing. Akibatnya, guru terpaksa melalui pelbagai dugaan dan rintangan baik di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat sekolah menengah, apatah lagi di peringkat universiti dalam memenuhi kehendak dan tuntutan pelajar dan juga ibu bapa mereka.
Maka dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan menyedarkan anak-anak mereka mengenai jasa dan sumbangan guru. Anak-anak perlu diajar untuk menghormati guru mereka. Pada masa sama ibu bapa juga perlu percaya dan membenarkan guru menjalankan tanggungjawab mereka tanpa sebarang gangguan jika mahu melihat anak mereka menjadi manusia berguna kelak.

Masyarakat perlu meletakkan guru dalam kedudukan sewajarnya. Perlu diingat bahawa gelaran guru pada seseorang itu akan kekal hingga ke akhir hayatnya yang menandakan tugas mendidik tidak pernah berhenti walaupun guru itu telah bersara dan dianggap sebagai tugas yang kekal hingga ke akhir hayat seseorang individu bergelar guru.

Walaupun ramai masih beranggapan kerja guru mudah, boleh pulang rumah awal, kerja separuh hari dan mempunyai cuti panjang namun tidak ramai sedar, tahu dan menyelami hakikat sebenar tugas seorang pendidik. Tidak ramai yang sedar guru perlu bekerja sehingga lewat petang walaupun mengajar sesi pagi, terpaksa bekerja di hujung minggu serta melayan pelbagai kerenah anak murid dan ibu bapa sepanjang masa. Itu belum lagi soal tugas pekeranian yang semakin bertambah.

Hakikatnya, waktu kerja guru bukanlah mengikut jadual kerja seperti penjawat awam lain iaitu 8 pagi hingga 5 petang tetapi kerja dan tanggungjawab mereka adalah berterusan sepanjang masa iaitu 24 jam tanpa mengira hari dan waktu. Justeru, kita perlu mengiktiraf sumbangan guru dengan sebaiknya. Untuk itu, dalam kita bergerak secara agresif untuk melaksanakan dan menjayakan Pelan

Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi mentransformasikan sistem pendidikan negara secara menyeluruh kita perlu juga memberi fokus kepada kepentingan guru yang merupakan antara komposisi dan pemain utama dalam ekosistem pendidikan negara.

Hal ini penting demi mengangkat martabat profesion perguruan ke tahap sewajarnya sekali gus memperkasakan laluan kerjaya guru itu sendiri. Ini kerana pemantapan profesion perguruan akan turut memantapkan sistem pendidikan negara yang sekali gus mampu melahirkan modal insan dan generasi masa depan yang hebat, berkaliber, serba boleh dan bijak.

Apapun kita tetap berharap agar guru itu sendiri memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh jujur dan ikhlas. Jagalah nama baik dan imej jawatan ini yang sentiasa menjadi sanjungan masyarakat. Jangan sesekali bertindak mengikut emosi. Bersabarlah dengan kerenah anak didik dan teruskan usaha dan niat murni untuk mendidik anak bangsa.

Sama-samalah kita mendoakan agar golongan guru terus memainkan peranan demi melahirkan modal insan dan generasi pelapis yang mempunyai nilai jati diri yang unggul dan boleh menjadi warga yang bertanggungjawab kepada diri, keluarga, agama, bangsa dan negara secara keseluruhannya. Apapun penulis mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga pendidik di atas jasa dan sumbangan ikhlas selama ini. Selamat Hari Guru, cikgu.

Sumber:
Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia.
http://www.utusan.com.my/rencana/hargai-jasa-dan-sumbangan-guru-1.92151

Ahad, 10 Mei 2015

TEMA HARI GURU 2015



HURAIAN TEMA HARI GURU 2015
GURU : MEMBINA ILMU MENYEMPURNAKAN AKHLAK

1. DEFINISI


1.1 GURU: Kata GURU merangkumi semua warga pendidik yang menyumbang khidmat bakti dalam semua bentuk institusi pendidikan yang menjadi penggerak serta pendukung kepada pembangunan pendidikan negara. Guru merupakan insan yang berpengetahuan luas, berkemahiran tinggi dalam bidangnya dan mempunyai keperibadian terpuji serta berupaya menjadikan diri mereka sebagai suri teladan.

1.2 MEMBINA ILMU: Individu yang membangunkan dan membentuk atau mewujudkan kualiti pada setiap insan dan keilmuan. Dalam konteks pendidikan, guru berperanan sebagai individu yang membina dan membentuk kualiti individu muridi/pelajar dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (kognitIf).

1.3 MENYEMPURNAKAN: Menjadikan sempurna atau lengkap. Warga pendidik berperanan untuk menyempurnakan keberhasilan murid berpandukan enam aspirasi murid yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

1.4 AKHLAK: Budi pekerti dan nilai-nilai murni sejagat yang perlu ada dan dihayati oleh setiap modal insan bagi mendepani cabaran dan perubahan dalam menjalani kehidupan.



2. HURAIAN

2.1 Guru berperanan mengupayakan diri dengan ilmu dan pengalaman agar dapat membangunkan potensi insan melalui penyerapan elemen-elemen kerohanian dan kurikulum, menyediakan kepelbagaian bahan rangsangan bagi mengoptimumkan potensi murid serta menyediakan pelan pembangunan individu yang menyeluruh dan bersepadu bagi menghasilkan modal insan bertaraf dunia. Warga Pendidik perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan serta membentuk insan peribadi mulia berpersonaliti unggul di dalam membina negara bangsa yang berkualiti.

2.2 Peranan guru tidak hanya terbatas kepada menyampaikan kandungan silibus dalam bilik darjah, malah guru perlu kreatif dan inovatif dalam pembangunan ilmu (knowledge development) dalam kalangan anak didik seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan masa depan melalui amalan pengajaran guru yang berpusatkan murid serta penggunaan bahan sumber secara berkesan.

2.3 Peranan guru adalah menghasilkan modal insan holistik yang berilmu dan berakhlak ke arah kesempurnaan kemenjadian murid. Seperti yang digarapkan dalam PPPM 2013-2025, sistem pendidikan Malaysia berhasrat untuk melahirkan murid berdasarkan enam aspirasi murid iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika serta kerohanian dan identiti nasional. Justeru, guru merupakan agen ke arah merealisasikan hasrat tersebut.

Selamat Hari Guru...

Sumber: http://www.moe.gov.my/cms/upload_files/files/Hari%20Guru%202015.pdf

Tema Hari Guru:

2015   Guru : Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak
2014   Guru : Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi
2013   Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda
2012   Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
2011   Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
2010   Guru Pembina Negara Bangsa
2009   Guru Pembina Negara Bangsa
2008   Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007   Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006   Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005   Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004   Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003   Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002   Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001   Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
2000   Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999   Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998   Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997   Guru Bestari Sekolah Bestari
1996   Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995   Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994   Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993   Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992   Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991   Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990   Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989   Guru Pembina Budaya Ilmu
1988   Guru Pengasas Budaya Membaca
1987   Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986   Pendidikan Teras Nasionalisme
1985   Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984   Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983   Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982   Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981   Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980   Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979   Murid Sejahtera Negara Jaya
1978   Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977   Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976   Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975   Guru dan Pembangunan Negara
1974   Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973   Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972   Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara